Isnin, 11 November 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Kukuhkan tahap kedudukan

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota @utusangroup.com.my

Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) mendengar penerangan daripada Pengerusi Koperasi Pegawai-Pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Berhad, Ramli Kassim (dua dari kanan) mengenai projek perumahan yang bakal dibina semasa lawatan ke ruang pameran selepas merasmikan Karnival Koperasi Wilayah Persekutuan 2013 di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD AZIM ABD RAHMAN

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Kesemua koperasi di negara ini disaran menjalinkan kerjasama lebih luas bagi mengukuhkan kedudukannya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ini penting bagi memastikan sektor itu dapat mencapai indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh Dasar Koperasi Negara 2011-2020 iaitu menyumbang 10 peratus Keluaran Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Menurutnya, gerakan koperasi di negara ini hanya memberi sumbangan sebanyak 0.98 peratus, iaitu peratus yang sangat kecil kepada KDNK walaupun sehingga akhir Jun lalu terdapat 10,578 buah koperasi berdaftar di negara ini.

"Terdapat seramai 7.5 juta rakyat negara ini yang terlibat dalam gerakan koperasi namun berbanding negara Vietnam misalnya aktiviti koperasi di negara itu berjaya menyumbang sehingga 8.6 peratus kepada KDNK negara tersebut.

"Ini memerlukan kita meningkatkan usaha dengan lebih efektif lagi bagi mencapai indeks prestasi utama yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Koperasi Wilayah Persekutuan 2013 di Medan Tunku di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Musa Nasri, Ketua Sektor Operasi dan Kawal Selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Mat Deris Jusoh, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Basaruddin Sadali dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Salleh Yusop.

Karnival selama tiga hari bermula hari ini itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia bertujuan mempromosi produk dan perkhidmatan koperasi kepada masyarakat khususnya, warga kota.

Lebih 70 pempamer mengambil bahagian dalam karnival itu meliputi koperasi, usahawan koperasi serta agensi kerajaan yang berkait dengan gerakan koperasi.

Tambah Tengku Adnan, gerakan koperasi di negara ini juga diharap dapat melahirkan idea lebih kritis agar sektor tersebut dapat bersaing dengan entiti perniagaan lain yang lebih kompetitif.

"Aktiviti koperasi bukan sahaja berupaya mewujudkan peluang-peluang perniagaan, bahkan peluang pekerjaan kepada lebih dari 100 juta penduduk di seluruh dunia yang tidak sahaja memberikan faedah kepada ahli malah seluruh anggota masyarakat amnya,"katanya.

Bajet DBKL: Isu kekurangan tempat letak kereta perlu diutama

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

Masalah kekurangan tempat letak kereta di perumahan bertingkat antara masalah yang dihadapi warga kota sejak sekian lama.

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Membina tempat letak kereta bertingkat bagi menyelesaikan kekurangan tempat letak kereta, selain isu kebersihan dan kebanjiran peniaga asing adalah antara cadangan warga kota kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk dipertimbangkan dalam Bajet 2014.

Mereka berpandangan peruntukan tersebut perlu bagi memastikan keselesaan warga kota seiring matlamat ke arah mewujudkan sebuah bandaraya Kuala Lumpur yang mapan.

Seorang pekerja swasta, Rabiatul Naseemah Mohd. Mazlan, 25, berkata, masalah kekurangan tempat letak kereta di ibu kota sudah semakin kritikal dan perlu diselesaikan segera.

Menurutnya, ini bagi memastikan warga kota tidak terus terbeban apatah lagi dengan caj bayaran yang dikenakan terlalu tinggi dan tidak seragam.

"Sudahlah sukar mencari tempat letak kenderaan, caj yang dikenakan pula terlampau tinggi. Ini cukup membebankan khususnya golongan berpendapatan rendah,"katanya.

Seorang pekerja swasta, Nurul Asyikin Kamarulzzaman, 20, pula mencadangkan pihak bertanggungjawab mencari penyelesaian bagi jangka masa panjang berhubung masalah tersebut.

Menurutnya, ini termasuk menyediakan tempat letak kereta bertingkat berhampiran lokasi tumpuan ramai.

"Kekurangan tempat letak kereta bukan sahaja berlaku di lokasi tumpuan, lebih teruk di kawasan-kawasan perumahan bertingkat terutama di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) kendalian DBKL,''katanya.

Turut meluahkan perasaan sama Mohd. Nur Ridzuan Marzuki, 22.

Katanya, kadar caj bayaran tempat letak kereta di bandaraya Kuala Lumpur sememangnya tidak masuk akal.

"Bayangkan saya dikenakan caj sebanyak RM10 oleh operator ketika meletakkan kenderaan di salah sebuah kawasan berhampiran pusat membeli-belah.

"Pihak berkuasa tempatan perlu memantau dan jika perlu mengeluarkan arahan mengenai penyeragaman kadar caj," katanya.

Seorang kerani, Zolkafle Ahmad, 57, pula mencadangkan agar bajet DBKL bagi 2014 lebih kepada menyelesaikan isu kebanjiran peniaga warga asing.

Menurutnya, usaha membanteras peniaga warga asing yang dilihat mendominasi perniaga di sekitar ibu kota perlu dipertingkatkan.

"Peniaga asing ini bukan sahaja 'membunuh' peniaga tempatan, bahkan turut menjadi punca kekotoran di ibu kota,"katanya.

Dalam pada itu, untuk bajet tahun ini, DBKL memperuntukan sebanyak RM2.188 bilion dengan memberi fokus untuk merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia menjelang 2020 yang dapat memenuhi keperluan warga kota.

Bajet tersebut juga memberi penekanan kepada dua aspek utama iaitu 'Kebersihan Bandar' meliputi penyelenggaraan infrastruktur jalan dan sungai, kemudahan lalu lintas, penghijauan, pengindahan taman dan rekreasi.

Bagi Kesihatan Awam pula ia meliputi keselamatan, pengubahsuaian kediaman, perumahan awam dan perumahan rakyat, kediaman mampu milik serta penjaja dan peniaga kecil.

Segera bayar lesen niaga MPAJ

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Mereka yang menjalankan perniagaan dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dinasihat segera memperbaharui lesen perniagaan dan papan iklan 2014 mereka sebelum atau pada 31 Disember ini.

MPAJ dalam kenyataannya memaklumkan, mereka boleh berbuat demikian dengan berkunjung ke beberapa kaunter MPAJ di lokasi terpilih.

Menurut kenyataan itu, mereka boleh berkunjung ke Giant Superstore, Taman Permata bermula hari ini hingga Jumaat ini.

"Kaunter dibuka bermula pada setiap hari bekerja bermula pukul 10.30 pagi hingga 4 petang," kata MPAJ yang dipetik daripada laman web rasminya www.mpaj.gov. di sini.

Tambah kenyataan itu, sekiranya pihak berkenaan gagal berbuat demikian sebelum atau pada 31 Disember ini tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan, termasuk dikompaun sebanyak RM1,000.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved