Isnin, 11 November 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Shahrizat, Rafizi sama-sama tarik balik saman isu NFCorp

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

Shahrizat Abdul Jalil

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini menarik balik saman fitnah RM100 juta terhadap Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berhubung isu National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp).

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO, memfailkan saman tersebut melalui peguam utamanya, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah pada 19 Januari 2012.

Mohd. Rafizi pula pada 30 Mac tahun sama, telah memfailkan tuntutan balas terhadap Shahrizat dengan mendakwa bekas menteri Kabinet itu yang sepatutnya menjawab pendedahan dibuatnya berhubung isu NFCorp, sebaliknya melancarkan serangan peribadi dan dendam terhadapnya.

Peguam, Datuk Ahmad Redza Abdullah yang mewakili Shahrizat memberitahu pemberita, bekas menteri Kabinet itu dan Mohd. Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan saling bersetuju menarik balik saman masing-masing di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam, Ranjit Singh yang mewakili Mohd. Rafizi dan Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR, mengesahkan saman terhadap anak guamnya ditarik balik tanpa kos dan tanpa kebebasan memfailkan tindakan saman yang baharu.

Ekoran perkembangan itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera membatalkan saman dan pernyataan tuntutan berkenaan semasa prosiding di kamar beliau di sini.

Sementara itu di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya pula, Muhammad Shafee memberitahu pemberita, anak guamnya menarik balik saman tersebut disebabkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah berakhir.

''Apabila PRU sudah selesai, tindakan saman tersebut tidak perlu diteruskan lagi dan adalah bijak bagi mereka untuk menarik balik saman ini tanpa sebarang perintah mengenai kos,'' katanya lagi.

Walau bagaimanapun dalam satu kenyataan akhbar oleh Muhammad Shafee pada petang ini, beliau menyatakan, tuntutan saman oleh NFCorp terhadap Mohd. Rafizi di sebuah lagi Mahkamah Tinggi di sini akan diteruskan dengan sewajarnya.

Muhammad Shafee juga menyatakan, Shahrizat berhak untuk mengambil tindakan undang-undang jika penarikan balik saman tersebut digunakan untuk membuat kesimpulan yang memudaratkan terhadap anak guamnya itu.

Shahrizat selaku pihak plaintif dalam pernyataan tuntutannya sebelum ini mendakwa, Mohd. Rafizi dan Zuraida yang dinamakan sebagai pihak defendan telah melancarkan satu kempen strategik untuk mencemarkan nama baiknya dengan mengaitkan diri beliau dengan NFCorp.

Walhal menurut bekas menteri Kabinet itu, beliau tidak memegang jawatan atau memiliki ekuiti dalam projek tersebut mahupun Agro- Science Industries Sdn. Bhd. (Agro-Science).

Agro-Science yang diterajui oleh suami Shahrizat, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail dan anak-anaknya, Wan Shahinur Izmir, Wan Shahinur Izran serta Wan Izzana Fatimah Zabedah merupakan syarikat induk yang memiliki hampir kesemua saham terbitan NFCorp.

Penyiaran dan pengulangan kenyataan berbaur fitnah itu didakwa Shahrizat memberi gambaran, beliau menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO dan menteri agar projek NFCorp diserahkan kepada Agro-Science.

Plaintif yang mendakwa pernyataan fitnah tersebut telah menyebabkan reputasi dan nama baiknya terjejas menuntut ganti rugi am atas fitnah lisan sebanyak RM50 juta sementara ganti rugi teruk dan teladan juga sebanyak RM50 juta serta memohon perintah injunksi.

Shahrizat telah memberikan keterangan dalam perbicaraan kes saman tersebut namun masih belum selesai. Beliau tidak hadir di mahkamah ketika mahkamah membatalkan saman tersebut.

Mohd. Rafizi dan Zuraida hadir bersama peguam mereka.

Muhammad Shafee hujah pelantikannya sah

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

PUTRAJAYA 11 Nov. - Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berhujah di Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa pelantikan beliau mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan pendakwa raya bagi kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sah di sisi undang-undang.

Beliau menghujahkan, pelantikannya selaku pendakwa raya tidak dibuat secara kekal sebaliknya secara sementara dan tidak melibatkan konflik kepentingan.

Hujah peguam terkemuka itu, beliau tidak pernah dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu walaupun keterangannya telah direkodkan.

Sehubungan itu, Muhammad Shafee menyatakan, Mahkamah Rayuan betul ketika mendapati tiada bukti material yang mencukupi bagi menyokong hujahan peguam bela bahawa beliau merupakan saksi yang berpotensi dalam kes itu.

Muhammad Shafee selanjutnya menyatakan, Peguam Negara boleh melantik sesiapa yang layak selaku pendakwa raya asalkan mereka sesuai serta berkebolehan.

Menurut beliau, pelantikan selaku pendakwa raya dalam rayuan itu dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 376(3) dan Seksyen 379, kedua-duanya dalam Kanun Tatacara Jenayah (CPC) serta Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Muhammad Shafee menyatakan, pelantikan itu sah kerana Seksyen 379 antara lain memberi kuasa kepada pendakwa raya melantik seorang peguam mengendalikan kes jenayah.

Seksyen 378 pula menyebut hanya pendakwa raya, timbalan pendakwa raya kanan atau timbalan pendakwa raya boleh bertindak dalam rayuan jenayah, bukan pihak lain.

Sehubungan itu, hujahnya, Mahkamah Rayuan betul ketika memutuskan Seksyen 376(3) yang menyatakan pendakwa raya boleh melantik mereka yang layak sebagai timbalan pendakwa raya, perlu dibaca secara harmoni dengan Seksyen 378 kerana kedua-duanya konsisten di antara satu sama lain.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif yang bersidang bersama Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Seri Abu Samah Nordin menetapkan keputusan rayuan itu pada 21 November ini.

Sebelum itu, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar berhujah, pelantikan Muhammad Shafee selaku pendakwa raya dalam rayuan itu terbatal dan tidak mempunyai kesan.

Peguam bela menghujahkan, hanya pegawai kerajaan yang dilantik selaku pendakwa raya secara tetap diberi kuasa mengendalikan rayuan jenayah di mahkamah.

Sehubungan itu, hujahnya, Muhammad Shafee tidak boleh bertindak selaku pendakwa raya kerana beliau bukan pegawai kerajaan dan tidak layak menerima gaji yang dibayar menggunakan wang rakyat.

Hujah Karpal, Seksyen 379 tidak konsisten dengan Seksyen 378 yang telah dipinda berkuat kuasa pada 1 April 1998 yang jelas melarang pengamal undang-undang persendirian bertindak bagi pihak pendakwa raya dalam rayuan jenayah.

Beliau turut menyatakan, Muhammad Shafee merupakan saksi material dalam kes liwat kerana beliau berada di kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak ketika bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan datang menemui Perdana Menteri (ketika itu Timbalan Perdana Menteri).

Sehubungan itu, Karpal menghujahkan, Muhammad Shafee seharusnya dilarang daripada mewakili pihak pendakwaan dalam rayuan itu kerana kehadirannya boleh menimbulkan konflik kepentingan.

Pada 9 Januari tahun lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah melepas dan membebaskan Anwar selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Mohd. Saiful Bukhari selain tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).

Anwar, 66, didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved