Selasa, 8 Oktober 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Pengundi muda beralih kepada BN

Posted: 07 Oct 2013 12:12 PM PDT

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

Badrulhisham

BANDAR BAHARU 7 Okt. - Pergerakan Pemuda UMNO Kedah yakin sokongan pengundi muda akan beralih kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 November ini.

Ketuanya, Badrulhisham Hashim berkata, keyakinan itu berasaskan penerimaan baik pengundi khususnya golongan muda terhadap kepemimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya golongan pengundi muda juga lebih cenderung memilih calon BN ekoran merasakan kawasan Sungai Limau akan menjadi lebih maju jika berada di bawah BN.

"Golongan pengundi muda di DUN Sungai Limau sekitar 7,000 orang atau kira-kira 30 peratus daripada pengundi keseluruhan. Kita yakin mereka akan kembali menyokong BN memandangkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar sekarang proaktif dan berusaha meletakkan Kedah sebagai sebuah negeri maju," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Draf Randangan Pembangunan Tempatan Daerah Bandar Baharu di Serdang, dekat sini semalam.

Badrulhisham yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Negeri berkata, bagi memperkukuh peluang berkenaan Pemuda UMNO akan menjalankan program mendekati pengundi secara agresif di DUN Sungai Limau bermula hujung minggu ini.

Tambahnya, Pemuda UMNO juga akan menggunakan kesempatan itu memperjelas dasar dan rancangan yang akan dilakukan kerajaan negeri di kawasan DUN SUngai Limau.

"Selain itu, kita turut memberi penekanan terhadap usaha memajukan DUN Sungai Limau yang sebelum ini banyak ketinggalan berbanding kawasan lain," katanya.

UMNO Jerai perlu utamakan PRK Sungai Limau

Posted: 07 Oct 2013 12:12 PM PDT

Ahmad Maslan bersama Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO Jerai mengangkat tangan dengan semangat sebagai tanda untuk menakluk kembali DUN Sungai Limau dalam majlis taklimat mengenai Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau dan Pemilihan UMNO di Gurun, Kedah, kelmarin.

GURUN 7 Okt. - Ahli UMNO Bahagian Jerai dinasihat menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau sebagai keutamaan berbanding pemilihan parti yang akan berlangsung bulan ini.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, PRK DUN Sungai Limau perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh semua pihak terutama calon yang bertanding dalam pemilihan UMNO demi memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

"Dari segi keutamaan dan semangatnya, PRK Sungai Limau adalah nombor satu kepentingannya, pemilihan UMNO pula jatuh nombor dua di UMNO Bahagian Jerai ini.

"Saya yakin pemilihan ini adalah bersama keluarga UMNO dan yang menang tak menang semua, yang kalah tak kalah semua dan akan ditentukan rezeki kita masing-masing," katanya kepada pemberita selepas berucap pada Program Jalinan Rakyat bersama Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Jerai, di sini semalam.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei lalu, Azizan mengekalkan DUN Sungai Limau selepas menang dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru termasuk sepupu beliau, Mohd. Fazillah Mohd. Ali yang mewakili Barisan Nasional (BN).

Ini merupakan Pilihan Raya Kecil (PRK) kedua selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan yang pertama, PRK DUN Kuala Besut yang diadakan pada 24 Julai lalu.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, walaupun kerusi DUN Sungai Limau telah dimenangi Pas selama lima penggal namun tidak mustahil bagi BN merampas semula kerusi itu.

"Kita boleh menang atas dua faktor iaitu yang pertama pengundi di DUN Sungai Limau tidak lagi perlu mengundi Pas untuk mempertahankan Menteri Besar kerana Menteri Besar sekarang ialah Datuk Mukhriz Mahathir.

"Faktor kedua pula ialah dahulunya kita kalah Parlimen Jerai tetapi sekarang kita sudah tawan semula, mudah-mudahan kemenangan itu memberikan kekuatan kepada jentera yang ada di Parlimen Jerai dan DUN Sungai Limau bahawa kita boleh menang," ujarnya.

Kerajaan Perak janji atasi masalah tanah petani di Tanah Hitam

Posted: 07 Oct 2013 12:12 PM PDT

IPOH 7 Okt. - Kerajaan negeri akan berusaha menyelesaikan masalah tanah melibatkan tiga petani merangkumi kawasan seluas 1.032 hektar di Tanah Hitam/ Changkat Kinding di Ulu Kinta yang didakwa diberi kepada individu lain biarpun telah diusahakan sejak beberapa dekad lalu.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak, C. Sivarraajh berkata, berdasarkan maklumat awal yang diterima daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG), tiada sebarang permohonan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dikemukakan petani berkenaan.

"Sebaliknya, menurut apa yang dimaklumkan kepada saya, individu lain yang didakwa menerima lesen TOL berkenaan ada membuat permohonan mengikut prosedur ditetapkan.

"Namun, saya akan berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenainya daripada pihak berkuasa terlibat dan membawa perkara ini ke pengetahuan Menteri Besar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima surat aduan tersebut daripada petani berkenaan di luar bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Tiga petani itu ialah Low Swee Loy, 50, Mok Yake Foo, 53, dan Leong Ah, 71.

Terdahulu, tiga petani tersebut yang diwakili Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Jeyakumar Devaraj mendakwa, tanah kerajaan berstatus pertanian itu telah diberikan kepada seorang individu bernama K. Vasantha Kumar awal tahun ini.

Utusan Malaysia difahamkan, pemberian lesen TOL kepada Vasantha Kumar itu berkuat kuasa dari 4 Februari lalu hingga 31 Disember ini.

"Saya telah mengiringi kumpulan petani ini untuk membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Baru Tanah Hitam pada 31 Mac lalu bagi mengadukan isu ini.

"Saya juga diberitahu oleh petani-petani ini Vasantha Kumar baru membawa bahan-bahan untuk kerja-kerja mendirikan pagar di atas tanah mereka yang dikatakan akan bermula esok," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved