Selasa, 8 Oktober 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Merah-putih pembakar semangat UMNO

Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT

Perjuangan mengarusperdanakan Wanita UMNO dalam arena politik penuh dengan onak dan duri. Selaku Ketua, saya mesti mempunyai keberanian dan daya tahan untuk mengharungi apa jua dugaan yang terpaksa saya lalui demi mencapai visi saya untuk Wanita UMNO," kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri SHAHRIZAT ABDUL JALIL ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, AZMAN ANUAR dan FAIZAH IZZANI serta jurugambar HAFIZ JOHARI baru-baru ini.

Menurut beliau, walaupun perjuangan ini bukan mudah, dan sudah tentunya belum selesai lagi, Wanita sudah mula mengecapi bibit-bibit kejayaannya.

Hari ini lambang keberanian merah dan kesucian putih Wanita UMNO menjadi obor pembakar semangat perjuangan dalam UMNO. Insya-Allah doa saya bahawa jika kita terus bersatu padu dan fokus, Wanita UMNO akan diiktirafkan sebagai tulang belakang dan bukan lagi sayap dalam UMNO. Insya-Allah." kata Shahrizat.

UTUSAN: Datuk Seri terus diberi kepercayaan, sebab itu dilantik sebagai Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri. Apa perancangan Datuk Seri?

SHAHRIZAT: Saya percaya ia adalah satu pengiktirafan kepada wanita dan pembangunan ekonomi wanita. Insya-Allah saya akan bekerjasama dengan semua pihak dalam kerajaan dan swasta untuk memperjuangkan peningkatan pendapatan usahawan wanita dengan cara lebih inovatif dan kreatif. Saya telah mula berjumpa dengan NGO-NGO dan individu-individu yang relevan supaya dapat dikumpulkan isu-isu yang perlu diketengahkan untuk perhatian pihak-pihak yang tertentu. Saya akan go all out untuk membantu mereka.

Selepas ini, saya akan mula berjumpa dengan badan-badan ikhtisas Wanita seperti peguam, doktor dan lain-lain dan akan bekerjasama dengan mereka supaya isu-isu mereka dapat diketengahkan dan pada masa yang sama vision Perdana Menteri akan saya kongsi bersama mereka.

Baru-baru ini, keahlian Wanita UMNO sudah capai lebih kurang 1.3 juta orang dengan lebih kurang 19,000 cawangan. Macam mana Datuk Seri melihat perpaduan di dalam Wanita pada pemilihan kali ini sedangkan ada dua pencabar jawatan Ketua Wanita UMNO?

Saya yakin perpaduan, penyatuan dan kemesraan dalam kalangan pemimpin dan ahli Wanita UMNO berada di satu tahap yang amat baik. Apabila saya diberi mandat memimpin Wanita empat tahun yang lalu, saya sedar bahawa saya mesti jadi payung kepada semua ahli Wanita UMNO.

Saya juga tentukan bahawa suasana kami - Wanita UMNO - berinteraksi dan berjuang mestilah dalam satu suasana eratnya tali silaturrahim, hormat menghormati dan sayang menyayangi antara satu dengan yang lain. Sebab itu brand Wanita adalah SAYANG, terutama dalam program-program kemasyarakatan. SAYANG ini adalah satu nilai dan cita rasa yang istimewa untuk orang Malaysia, apabila kita sayang kepada seseorang atau negara, atau parti atau perjuangan, maka bukan mudah untuk musuh nak nyahkannya daripada hidup kita.

Wanita akan memberi perkhidmatan dan perjuangan yang terbaik jika mereka tidak ditekan, dihalang, diketepikan. Jika seorang wanita itu dihormati dan disayangi, percayalah dia akan jadi pejuang yang hebat. Sebab itu saya amat percaya dengan nilai Sayang, terutama apabila kami menghadapi landskap politik yang sarat dengan dugaan.

Saya sayang dan hormat kepada Wanita UMNO dan mereka menjadi sumber inspirasi kepada saya. Sebab itu, perpaduan dalam kalangan Wanita UMNO sedia terjalin. Itulah rahsia perpaduan kami. Semakin ramai ahli Wanita dan semakin banyak cawangan Wanita, semakin bersemangat kami berjuang untuk parti dan negara.

Tapi bila masa nak bertanding, kami bertanding dengan berhemah. Tak kira berapa calon. Tiap-tiap individu ada agenda dan visi mereka. Tidak semestinya kalau ada pertandingan, tidak ada perpaduan. Itu teori karut. Oleh kerana wujudnya perpaduan dalam kalangan kami Wanita UMNO, sebab itulah kita menyaksikan kebangkitan suara lantang Wanita UMNO daripada sayap hingga boleh diiktirafkan sebagai tulang belakang UMNO.

Datuk Seri menjadi Ketua Wanita selepas tsunami politik Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12. Apakah cabaran yang paling getir yang Datuk Seri hadapi?

Saya sedar bahawa jika Wanita UMNO mahu kekal menjadi relevan dan kritikal kepada UMNO, maka saya mesti fokus dan membina serta memimpin Wanita UMNO dalam dua perkara: Pertama - Pengukuhan dan re-branding jentera Wanita UMNO menghadapi PRU mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK). Kedua - Wanita UMNO dan Wanita BN mesti berada di barisan hadapan untuk memperjuangkan isu-isu wanita dan pembangunan masyarakat.

Semasa saya di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya memberi tumpuan yang serius terhadap perundangan, polisi dan peraturan yang membabitkan wanita dan pembangunan masyarakat sebab saya tekad untuk ia menjadi legasi saya semasa menjadi menteri. Alhamdulillah saya yakin ramai wanita yang mendapat manfaat dan pembelaan daripada usaha ini. Pada hari ini kami Wanita terus memperjuangkan isu-isu wanita di mana jua kami berada.

Saya memberi fokus kepada jentera Jalinan Rakyat Wanita UMNO dalam menghadapi 16 Pilihan Raya Kecil sebelum PRU-13. Memang Wanita sentiasa dalam kesibukan. Membantu 16 PRK dan terbaharu PRK Kuala Besut. Untuk PRU-13, Wanita UMNO menjadi jentera utama yang membawa kemenangan kepada 133 kerusi Barisan Nasional di mana 88 dimenangi kerusi UMNO iaitu peningkatan 9 kerusi berbanding daripada PRU-12.

Nak menang pilihan raya, selain daripada kepimpinan yang menambat hati rakyat, jentera mesti kuat. Inilah yang menjadi dugaan pertama kepada saya sebab saya tekad untuk memimpin satu jentera yang berdisiplin, berdedikasi dan sistematik. Alhamdulillah Wanita UMNO di peringkat akar umbi menyambut seruan ini dan mereka memberi komitmen yang luar biasa untuk memenangkan Barisan Nasional.

Datuk Seri lantang memperjuangkan supaya wanita berada di persada membuat keputusan tertinggi di dalam kerajaan dan swasta dan ternyata berjaya mengetengahkan wanita. Bagaimana pula di dalam parti UMNO sendiri?

Mengarusperdanakan Wanita di dalam UMNO membakar semangat saya untuk terus berjuang. Memang ini menjadi cabaran yang menarik untuk saya. Sebenarnya apa yang diperlukan ialah mind set change dalam kalangan Wanita supaya mereka memilih lebih ramai Wanita UMNO menjadi pemimpin di semua peringkat.

Kedua, kaum bapa yang memegang tampuk kuasa mesti memberi peluang dan ruang untuk lebih ramai Wanita UMNO diberi tempat. Presiden UMNO yakin dengan kebolehan dan sumbangan Wanita. Ini juga disambut oleh Timbalan Presiden UMNO, tetapi lebih banyak langkah affirmative yang mesti dibuat oleh banyak pihak supaya target sekurang-kurangnya 30 peratus (%) wanita yang berkelayakan diberi tempat dalam bidang politik. Seperti kata Tun Mahathir Mohamad, perjuangan kami juga belum selesai.

Namun begitu, dalam empat tahun kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, kita nampak banyak perubahan positif, terutama transformasi untuk membuka ruang seluas-luasnya kepada semua ahli termasuk Wanita UMNO. Saya mengambil kesempatan itu untuk push agenda mengarusperdanakan Wanita dalam mainstream politics.

Pindaan Perlembagaan UMNO merupakan satu titik sejarah untuk Wanita. Dahulu Wanita UMNO terutama Wanita akar umbi tidak diberi peranan yang bermakna. Selalunya Wanita hanya memenuhi kuota persidangan, menganjur dan menghadiri program-program. Tetapi dengan ada Pindaan Perlembagaan sekali gus Wanita dibawa ke meja mesyuarat. Terpulanglah kepada Wanita untuk mula menggilap potensi mereka dalam membuat keputusan bersama kaum bapa.

Hasil Pindaan Perlembagaan parti, seramai 23,108 perwakilan Wanita UMNO akan ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian sementara jumlah perwakilan Wanita UMNO ke Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian pula adalah seramai 110,765 orang.

Selain itu, pindaan perlembagaan parti juga melihat tambahan satu lagi tempat untuk wakil Wanita UMNO di dalam Majlis Tertinggi, sementara Ketua Wanita UMNO Cawangan secara automatik layak sebagai perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian.

Selain itu, Ketua Wanita UMNO Cawangan, Naib Ketua Wanita UMNO Cawangan, Penolong Setiausaha Wanita UMNO Cawangan juga secara automatik layak sebagai perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian dan Naib Ketua serta Penolong Setiausaha Wanita UMNO Bahagian pula secara automatik layak menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia. Selain daripada itu, wakil Wanita dilantik di Bahagian. Pindaan perlembagaan ini telah meletakkan Wanita ke satu tahap membuat keputusan yang meyakinkan.

Semasa pemilihan parti pada 2009, Datuk Seri menang dengan kelebihan undi yang besar kira-kira 200 tetapi sekarang dengan jumlah 110,765 ahli Wanita mengundi jawatan Ketua Wanita UMNO, bagaimana Datuk Seri jangka daripada segi pilihan mereka?

Saya amat teruja dengan keterbukaan pemilihan kali ini. Sebenarnya kepada kami - Wanita - pucuk dicita, ulam mendatang. Kami Wanita adalah satu pergerakan akar umbi. Pada akhirnya Wanita akar umbi diberi peluang untuk memikul tanggungjawab dan amanah memilih pimimpin mereka. Alhamdulillah.

Bagaimana dengan program JUWITA dan SOHONITA yang Datuk Seri diperkenalkan sebelum PRU-13? Ada kemajuan atau tidak?

JUWITA adalah nama singkatan kepada Jaringan Untuk Wanita Ibu Tunggal Malaysia. Presiden UMNO telah melancarkan JUWITA pada 23 Mac 2013 di hadapan lebih kurang 15,000 ahli-ahli Persatuan Ibu Tunggal seluruh Malaysia. Saya amat bimbang dan risau dengan nasib ibu tunggal dan anak-anak mereka. Alhamdulilah Pesiden UMNO telah meluluskan penubuhan Sekretariat JUWITA di Ibu Pejabat Wanita UMNO Malaysia dan di semua Pejabat Wanita UMNO Bahagian-bahagian.

Sekretariat JUWITA akan memfokuskan kepada program dan perjuangan untuk ibu tunggal di Malaysia. Selain daripada itu, SOHONITA iaitu satu program untuk wanita yang berniaga dari rumah khususnya secara online akan diperjuangkan. Program ini telah bermula dan mendapat sambutan yang menggalakkan terutama kerana ia mampu untuk meningkatkan ekonomi wanita yang bekerja dari rumah.

Macam mana dengan peluang sembilan calon Majlis Tertinggi (MT) daripada Wanita UMNO?

Saya menaruh harapan tinggi supaya calon-calon Wanita untuk Majlis Tertinggi diberi kepercayaan dan tempat. Buat pertama kalinya kami menonjolkan calon Wanita yang ramai, lebih kurang 30 peratus daripada kerusi MT. Calon-calon Wanita terdiri daripada mereka yang berkelayakan dan berpengalaman dan mampu untuk memberi contribution kepada MT. Saya amat berharap perwakilan akan beri peluang kepada mereka kerana apa jua keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi, mestilah mengambil kira suara dan pendapat Wanita.

Adakah Datuk Seri puas hati dengan pencapaian sendiri walaupun macam-macam isu yang menyerang Datuk Seri dalam masa empat tahun ini?

Secara umumnya saya puas hati dengan pencapaian Wanita UMNO selama empat tahun ini. Saya sudah lama dalam politik, sudah lebih kurang 32 tahun. Asam garam politik menjadi darah daging saya. Semasa menjadi Exco dan Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia cabarannya lain. Bila tiba masanya saya jadi Ketua Wanita UMNO Malaysia, dugaannya amat berlainan sekali. Memang macam-macam peluru melayang kiri kanan atas bawah, tetapi Insya-Allah saya tawakal kepada Allah dan menghadapinya dengan hati yang tabah. Sumber inspirasi saya adalah ahli Wanita UMNO. Mereka stabil dan rock steady.

Saya faham bahawa menjadi Ketua Wanita UMNO Malaysia semasa parti menghadapi pelbagai cabaran selepas tsunami politik PRU-12 memerlukan saya mempunyai visi dan misi yang jelas untuk Wanita dan keberanian untuk memperjuangkannya. Saya juga mesti tentukan penyatuan dan tali silaturrahim sentiasa terjalin di antara kami Wanita UMNO.

Syukur Alhamdulilah, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli Wanita yang telah memberi sokongan padu kepada saya untuk menjalankan tugas dan amanah selaku Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia terutamanya untuk mengarusperdanakan Pergerakan Wanita UMNO di dalam parti itu sendiri dan menentukan sekurang-kurangnya 30% daripada Wanita UMNO mesti diberi tempat untuk membuat keputusan dalam UMNO.

Sikap tak peduli perokok terhadap kenaikan harga rokok

Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT

Oleh Fauziah Arof

KIRA-KIRA 10,000 penduduk Malaysia meninggal dunia setiap tahun akibat menghisap rokok. Itu menurut Dr. Amer Siddiq Amer Nordin, Penyelaras Pusat Penyelidikan dan Kerjasama Ketagihan Nikotin (NARCC), kumpulan penyelidikan mengenai penagihan nikotin Pusat Sains Ketagihan, Universiti Malaya.

Kiraan itu dibuat daripada kes-kes yang sudah dikenal pasti. Ini bermakna angka kematian akibat menghisap rokok mungkin lebih besar lagi. Maka perkembangan itu, kata Amer Siddiq, adalah sesuatu yang membimbangkan negara.

Pun begitu, bagi perokok-perokok tegar, angka-angka yang diberikan mungkin tidak menimbulkan rasa bimbang atau gerun sedikit pun. Sebelum ini banyak juga statistik mengenainya didedahkan, tiada apa pun kesannya. Bilangan perokok dipercayai bertambah dari sehari ke sehari.

Sama juga reaksinya apabila harga rokok dinaikkan minggu lalu. Yang hairannya, perokok-perokok tegar ini bersikap biasa-biasa saja menerima kenaikan itu, yang bukan perokok pula lebih-lebih membuat pelbagai andaian dan analisis sendiri termasuk menghentam kerajaan kerana kenaikan tersebut.

Kenaikan harga rokok sehingga RM1.50 sekotak itu juga tidak membuatkan perokok-perokok tegar ini beratur panjang membeli rokok sebelum harga baru dikuatkuasakan. Tidak sama kelam-kabutnya, apabila harga petrol dinaikkan 20 sen baru-baru ini, beratur panjang di stesen-stesen minyak di seluruh negara , macamlah tangki minyak yang diisi penuh itu boleh tahan sehingga setahun.

Ini menunjukkan perokok-perokok tegar memang cukup steady dalam menghadapi kenaikan harga rokok. Kata seorang teman, naiklah sampai RM20 sekotak sekalipun, beli tetap beli, kalau ada yang bising-bising pun sehari dua semasa harga rokok baru dinaikkan, lepas itu okay semula.

Itulah, seharusnya perlu ada kajian setiap kali berlakunya kenaikan harga rokok, adakah ia mengurangkan bilangan perokok-perokok di negara ini supaya kita dapat melihat kesannya.

Dalam pada itu, kerajaan juga harus melakukan pemantauan lebih ketat lagi terhadap kemasukan rokok-rokok seludup yang dijual murah di sini. Perokok-perokok tegar sudah tentunya beralih kepada rokok yang lebih murah, tidak lagi menghisap rokok yang berharga RM12 sekotak.

Jadi, jika alasan menaikkan harga adalah untuk mengurangkan jumlah perokok, mungkin tidak dapat dicapai kerana lambakan rokok tiruan yang murah dan mudah dibeli di mana-mana. Inilah pula cabarannya kepada pihak berkuasa yang terlibat untuk memastikan penyeludupan rokok ini dapat dibanteras.

Dalam menghadapi kenaikan harga rokok, seharusnya kita bersikap lebih positif, dengan melihat kepada faktor kesihatan. Sudah tentu kesihatan itu lebih utama, berbanding wang ringgit. Jika ada wang banyak pun, tetapi akhirnya terlantar di hospital pun tidak guna juga. Apatah lagi yang kurang berduit, tetapi masih boleh berbelanja untuk rokok dan penyudahnya terlantar juga di hospital yang memerlukan kos rawatan yang tinggi, bertambahlah susah kehidupan, dengan keluarga terpaksa menanggung sama kesempitan itu.

Sememangnya, kesan merokok tidak timbul setahun dua merokok. Ia selalunya kelihatan selepas 10, 20, 30 tahun kemudian. Rokok bukan saja menyumbang kepada kanser tetapi penyakit-penyakit kronik lain seperti sakit jantung, strok, paru-paru dan lain-lain.

Bukan saja perokok membahayakan nyawa sendiri, orang di sekeliling yang menyedut asap rokok juga terbabit sama. Malah risikonya untuk mendapat penyakit berkaitan rokok dikatakan lebih tinggi.

Kata perokok tegar, RM12 sekotak bukannya mahal sangat. Tetapi cuba dikira semula, bila dikumpul RM12 itu dalam sehari boleh makan sepinggan nasi yang bermacam-macam lauknya. Tempoh seminggu pula boleh mengisi penuh tangki minyak kereta dan lepas duit berbelanja dapur seminggu. Kalau sebulan sudah boleh bayar downpayment kereta Perodua Viva. Kalau dikira setahun macam-macam barang keperluan lain yang lebih penting boleh dibeli.

Dalam pada itu, kita juga mengharapkan kenaikan harga ini akan membuatkan golongan remaja di peringkat sekolah yang merokok berhenti merokok. Kasihanilah ibu bapa yang bekerja keras mencari duit tetapi terpaksa memberi wang lebih kepada anak-anak yang sebenarnya membelanjakannya untuk membeli rokok.

Sememangnya merokok bagaikan sudah biasa dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan kita pun tidak hairan ada pelajar sekolah rendah di Tahap 5 dan 6 sudah belajar merokok.

Dan di negara ini apabila ada barang-barang keperluan yang naik, maka banyak kedengaran saranan daripada individu dan persatuan pengguna tertentu yang menggesa pengguna memboikot membeli barang itu, dan bila tiba bab rokok naik harga, ada berani boikot?

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved