Selasa, 8 Oktober 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Sempadan dua negeri dimajukan

Posted: 07 Oct 2013 12:12 PM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

PESISIR Sungai Muar yang berpotensi untuk dibangunkan dengan projek ekopelancongan dekat Muar, Johor. - UTUSAN/Ishak Rahmad

LEDANG 7 Okt. - Beberapa lokasi dikenal pasti untuk membangunkan projek ekopelancongan tanpa sempadan melibatkan kawasan Melaka dan Johor di daerah ini dengan kos RM700 juta yang dijangka meningkatkan lagi industri pelancongan kedua-dua negeri.

Projek tersebut akan dibangunkan di sepanjang pesisir laut dan sungai bermula dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Melaka sehingga ke Kesang Laut di DUN Serom dan sebahagian Mukim Gersik di dalam DUN Bukit Serampang di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abdul Razak Minhat berkata, kawasannya menjadi tempat lokasi utama pembangunan projek itu yang dinamakan sebagai Projek Pembangunan Pesisiran Laut dan Sungai Sempadan Melaka-Johor 2014-2016.

Beliau berkata, pelancong akan dibawa menaiki bot dari Sungai Melaka di Banda Hilir menyusur ke Sungai Rambai memasuki Kesang Laut dan berakhir di Gersik yang mengambil masa kira-kira lapan jam perjalanan.

"Kita menggunakan sepenuhnya kedudukan strategik Serom yang bersempadan dengan Melaka selain kekayaan alam semula jadi berpotensi dijadikan destinasi berkonsep ekopelancongan. Ini akan menjadi satu lagi tarikan di daerah ini selain Gunung Ledang.

"Antara yang sudah dikenal pasti projek di sepanjang laluan itu ialah membina calet baharu di kawasan seluas kira-kira lapan hektar di Kesang Laut," katanya selepas melakukan tinjuan selama kira-kira empat jam menyusur pesisir laut dan sungai dengan menaiki bot dari Sungai Rambai ke Gersik, dekat sini hari ini.

Razak turut ditemani Ketua Penolong Pegawai Daerah Ledang, Mustaffa Kamal Shamsudin; Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ledang, Rosly Aiman; Pengurus Persatuan Nelayan Kawasan Ledang, Fazlina Yasmin Ismail; wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan ketua-ketua kampung.

Selain itu, pihaknya akan melakukan pembaharuan dan menambah baik kemudahan sedia ada di Dataran Kesang termasuk cadangan mewujudkan pasar karat atau Uptown Kesang selain mewujudkan medan ikan bakar.

Menurutnya, rancangan mewujudkan galeri dan tempat khas menjual produk-produk nelayan juga dipersetujui contohnya pasar ikan rakyat dengan menjual makanan basah dan kering termasuk makanan laut sejuk beku.

Dalam masa sama, kesemua 15 jeti nelayan termasuk empat pangkalan nelayan utama di sepanjang laluan itu yang jaraknya kira-kira 80 hingga 100 kilometer akan disediakan kedai makan dan hasil kraf tangan nelayan.

"Kita juga sudah menemui kawasan di laluan terbabit yang mempunyai serangga kelip-kelip. Terdapat lokasi hinggapan kelip-kelip yang begitu indah yang sebelum ini hanya diketahui kewujudannya di Selangor, Pahang dan tempat lain di Johor," katanya.

Katanya, bagi membangunkan ekonomi 315 nelayan yang berdaftar dengan persatuan nelayan di sini serta hampir lebih 1,500 ahli keluarga mereka, projek ternakan ikan dalam sangkar juga dirancang.

Menurutnya, projek pembangunan pesisir laut dan sungai itu juga akan melibatkan kerja-kerja melebar serta mencantikkan sungai namun akan dilakukan tahap minimum bagi memastikan alam semula jadi tidak terjejas.

"Begitu juga dengan kerja-kerja memotong pokok yang menghalang laluan bot. Kita akan mendapat kebenaran pihak Jabatan Hutan dan JAS kerana terdapat pokok-pokok yang sudah diwartakan berikutan spesiesnya dilindungi," katanya.

Melayu perlu kikis sikap negatif terhadap bangsa sendiri

Posted: 07 Oct 2013 12:12 PM PDT

Ir.Hasni Mohammad menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak Tabika Kemas dalam satu majlis di Dewan Orang Ramai Parit Semerah, di Pontian, Johor, kelmarin.

PONTIAN 7 Okt. - Masyarakat Melayu diminta mengikis sikap negatif terhadap bangsanya sendiri dan mengelak perselisihan faham dalam banyak perkara dengan menerapkan nilai-nilai positif seperti musyawarah.

Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, 'tembok pemisah' yang terdiri daripada hasad dengki dan persengketaan harus dipisahkan supaya orang Melayu dapat sama-sama berganding bahu bagi mengangkat martabat bangsanya sendiri tanpa ada pihak yang memperkecilkannya.

"Kita bimbang jika orang Melayu masih mempunyai sikap yang sebenarnya tidak menguntungkan sebaliknya menyebabkan mereka berpecah dan bertelagah disebabkan hal-hal yang kecil. Kita perlu melihat kepada cabaran masa depan dan tidak membiarkan diri hanyut dengan perasaan.

"Orang Melayu juga perlu yakin dengan kerajaan yang ditunjangi oleh Barisan Nasional kerana sentiasa menitikberatkan soal kebajikan rakyat serta program pembangunan yang dapat meningkatkan taraf sosioekonomi," katanya pada majlis penyampaian hadiah kanak-kanak Tabika Kemas di Dewan Serbaguna Parit Semerah, di sini semalam.

Majlis tersebut melibatkan gabungan lima buah Tabika Kemas iaitu Tabika Kemas Parit Semerah, Pontian Besar Kiri, Jalan Syawal dan Parit Haji Dahlan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Hasni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri berkata, soal pendidikan awal kanak-kanak yang dijalankan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) adalah seiring dengan tuntutan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)

"Ibu bapa perlu memberikan keyakinan kepada tenaga pengajar yang kini dalam proses untuk dinaik taraf kelulusan dari peringkat sijil ke peringkat diploma seterusnya ke peringkat ijazah. Ini penting kerana pendidikan awal kanak-kanak sama ada oleh kerajaan atau swasta kini mengguna pakai Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).

"Saya harap Tabika Kemas yang telah melahirkan ramai cerdik pandai termasuk pemimpin negara sejak penubuhannya 50 tahun lalu diterima sebagai medium penting dalam pendidikan masa kini selain peranan mengembangkan kemahiran asas membaca, menulis, mengira dan menaakul sebagai persediaan ke alam persekolahan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved