Selasa, 8 Oktober 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kereta konsep potensi dikomersial

Posted: 07 Oct 2013 12:12 PM PDT

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
utusanmelaka@utusan.com.my

ALEXANDER Nanta Linggi mencuba memandu sebuah kereta konsep milik salah seorang pelumba pada Perasmian Penutupan Perlumbaan Kereta Konsep IPMrace 2013 di Ayer Keroh, Melaka, kelmarin.

MELAKA 7 Okt. - Kereta konsep yang dihasilkan pelajar dalam Perlumbaan Kereta Konsep Institusi Pendidikan Mara (IPMArace) 2013 berpotensi dikomersialkan menerusi penambahbaikan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap produk inovasi berkenaan.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, setelah memasuki edisi ketiga, penganjuran IPMArace oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) semakin menyerlahkan hasil kreativiti dan inovasi pelajar dalam penciptaan kereta konsep.

Menurutnya, selain memenuhi ciri-ciri keselamatan kereta ciptaan pelajar itu juga kemas dan menarik iaitu salah satu faktor yang mampu untuk dikomersialkan.

"Penganjuran IPMArace ini merupakan platform bagi membudayakan inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar. Ini selaras dengan objektif Mara membangunkan teknousahawan dan profesional selain medan kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan IPMArace 2013 di Melaka International Motorsports Circuit (MIMC), Ayer Keroh di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Mara, Datuk Abd. Rahim Abd. Ghani dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman.

Alexander berkata, kementerian sentiasa menyokong usaha yang dilakukan Mara ke arah melahirkan modal insan berkemahiran dan berpengetahuan tinggi dan sedia mempertimbang permohonan termasuk peruntukan kewangan untuk menjayakan program seumpama itu.

"Saya berharap usaha murni seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang supaya dapat memberi lebih peluang kepada golongan belia menceburi bidang sukan permotoran ini yang secara tidak langsung dapat mengurangkan gejala sosial," katanya.

Selain itu, katanya, melalui program itu juga, bakat pelajar dalam perlumbaan kereta dapat dicungkil dan digilap supaya suatu hari ini dapat mewakili negara dalam bidang sukan permotoran di peringkat antarabangsa.

IPMArace 2013 menampilkan sebanyak 49 peserta daripada institusi pendidikan Mara seluruh negara.

Turut mengambil bahagian adalah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) antaranya Jabatan Pengajian Politeknik, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis dan Institut Jerman-Malaysia (GMI).

Melaka Tapak Warisan Dunia terus dipulihara

Posted: 07 Oct 2013 12:12 PM PDT

MELAKA 7 Okt. - Kerajaan negeri akan memikul tanggungjawab dan amanah untuk meneruskan usaha memulihara Melaka sebagai kawasan tapak warisan yang diiktiraf oleh dunia melalui Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO).

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan diberi tanggungjawab memulihara bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di negeri ini.

Menurutnya, usaha tersebut amat penting kerana pengiktirafan UNESCO ke atas Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia adalah satu penghargaan yang amat besar.

''Kesenian dan warisan adalah satu manifestasi tinggi dalam memelihara dan memulihara warisan negara yang ada di negeri ini sebagai tatapan generasi akan datang.

''Ini kerana kesan-kesan sejarah di Tapak Warisan Dunia yang terdapat di negeri ini boleh mendekatkan diri generasi muda dengan sejarah perjuangan dan menanam nilai-nilai patriotisme bangsa.

''Semua ini adalah bertepatan dengan konsep 1Malaysia 1Budaya dan 1Warisan, seiring dengan pembangunan dan kemajuan negara," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Hari UNESCO Malaysia 2013 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini baru-baru ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut dihadiri Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengarah UNESCO Serantau, Prof. Dr. Hubert Gijen.

Sehubungan itu Idris berkata, suasana kehidupan di Melaka yang harmoni dan saling bantu-membantu dalam kalangan pelbagai kaum adalah satu contoh terbaik bagi mewujudkan keamanan sejagat selari dengan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan setinggi penghargaan kepada kerajaan Pusat kerana telah memilih Melaka bagi sambutan Hari UNESCO Malaysia 2013 di negeri ini.

Susun strategi bantu OKU

Posted: 07 Oct 2013 12:12 PM PDT

MELAKA 7 Okt. - Institusi kerajaan, swasta dan orang awam perlu berganding bahu dalam menyusun pelbagai strategi dan usaha bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) memajukan diri agar tidak tersisih dalam arus globalisasi.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, golongan OKU sekiranya diberi peluang oleh pelbagai pihak, dapat membantu memberi sumbangan membangunkan ekonomi negara.

Menurutnya, sejak akhir-akhir ini, isu kebajikan golongan itu telah menjadi topik perbincangan ramai justeru, pembelaan perlu diberikan oleh setiap anggota masyarakat.

"Antara usaha untuk membantu OKU ialah menyediakan peluang untuk mendapatkan kemahiran dalam bidang tertentu, program kemahiran tersebut sangat penting untuk melatih OKU menguasai bidang seperti kraftangan, membaiki kenderaan, perniagaan dan kesenian.

"Dengan cara ini, mereka akan mudah bekerja dan dapat menjana pendapatan keluarga walaupun cacat.

"Jelaslah kemahiran yang dimiliki oleh OKU itu akan membantu mereka berdikari dan menyumbang kepada kemajuan serta pembangunan ekonomi negara," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan, Datuk Latipah Omar yang merasmikan pertandingan Bakat Seni Suara Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka, Ayer Keroh, di sini semalam.

Turut hadir pada pertandingan anjuran SBM dan kerajaan negeri itu ialah Presiden SBM, Mohd. Nazari Othman.

Idris dalam pada itu menyeru agar pihak swasta tidak mengamalkan dasar pilih kasih dalam proses pengambilan pekerja untuk berkhidmat dalam syarikat mereka.

Katanya, sikap adil amat perlu memandangkan golongan itu turut berkemampuan menyumbangkan kemahiran yang ada.

Mengambil contoh di kilang-kilang, kata Idris, sudah ramai dalam kalangan OKU yang diberi peluang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani di mana sebelum ini pekerjaan itu dilakukan oleh pekerja normal.

"Peluang pekerjaan haruslah dibuka kepada OKU untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan bagi menyara kehidupan keluarga," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved