Selasa, 8 Oktober 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Lawan UAE bukan kelas A

Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

PEMAIN-PEMAIN Harimau Malaya akan berdepan dengan UAE dalam aksi persahabatan di Shenzen, China, hari ini.

PETALING JAYA - Skrip yang sama terus berulang. Walaupun berjaya mendapatkan satu perlawanan persahabatan menentang sebuah pasukan kebangsaan nampaknya ia jelas tidak memberikan sebarang manfaat apabila aksi menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), hari ini di Shenzhen, China disahkan bukan perlawanan kelas A.

Perkara itu diberitahu sendiri Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang berkata, ia disebabkan oleh permintaan UAE sendiri yang tidak bersedia hanya menggunakan penggantian enam pemain dalam aksi persahabatan menentang Harimau Malaya.

Apa yang saya boleh beritahu perlawanan dengan UAE di Shenzhen bukannya perlawanan berkelas A kerana itu yang dimahukan oleh UAE sendiri melalui permohonan yang dihantar kepada kita.

Jadi, perlawanan ini boleh dianggap sebagai perlawanan ujian sebelum menentang Bahrain nanti pada 15 Oktober nanti dan itu sahaja yang saya boleh beritahu," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.

Ini bukan kali pertama aksi persahabatan Harimau Malaya dengan pasukan luar negara tidak disenaraikan sebagai bukan perlawanan berstatus A apabila pada 17 Mac lalu, perlawanan dengan Arab Saudi sekadar menjadi medan pemanas badan buat pengendali, Datuk K. Rajagobal yang memperlihatkan skuad negara dibelasah 1-4.

Selain itu, dua lagi perlawanan iaitu ketika menentang Iraq (1 Februari) yang menyaksikan Malaysia tewas 0-3 dan Palestin, kalah 1-2 (26 Mac) juga tidak diambil kira dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Berdasarkan undang-undang, aksi persahabatan kelas A tidak boleh menggunakan lebih enam pemain gantian dan sekiranya itu terjadi, perlawanan itu mendatangkan sebarang faedah dalam kiraan ranking FIFA.

Rajagobal bertandang ke China dengan membawa skuad yang tempang kerana enam pemain utama mengalami kecederaan serius menjelang perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain, 15 Oktober ini.

Wan Zack Haikal Wan Nor sudah pasti antara nama yang akan dilupakan oleh Rajagobal selain menunggu nasib beberapa pemain seperti Norshahrul Idlan Talaha yang mengalami kecederaan hidung manakala Safee Sali, Mohd. Aidil Zafuan dan Shakir Shaari dilanda masalah hamstring.

Dua tonggak pertahanan dari skuad Harimau Muda, Mohd. Fadhli Shas serta Nik Shahrul Mohd. Azim mendapat kecederaan Muscle Cruciate Ligament (MCL) dan terpaksa berehat sekurang-kurangnya dua minggu.

Harimau Malaya dijadualkan berdepan UAE pada pukul 7 malam ini waktu Malaysia.

Harimau Muda ke Liga Singapura?

Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Hamidin (kiri) bersama Ong Kim Swee pada sidang akhbar skuad Harimau Muda di Wisma FAM, Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA - Masih terlalu awal untuk memperkatakannya, namun ada kemungkinan pasukan Harimau Muda A yang akan memberi tumpuan kepada persiapan Sukan Asia 2014 Incheon terpaksa bersaing dalam Liga Singapura (S-League) pada tahun depan.

Bayangan awal perancangan Harimau Muda A itu diumumkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang berkata, mereka masih di peringkat rundingan sama ada akan membawa skuad bimbingan Ong Kim Swee berlatih ke luar negara seperti mana Slovakia pada tahun ini.

Jika semua rundingan itu gagal, beliau sedang menimbang kemungkinan menyerapkan kembali Harimau Muda A dalam S-League seperti mana yang mereka lalui pada tahun lalu.

Buat masa ini, FAM ada melakukan beberapa rundingan dengan beberapa pihak dan pilihan yang kami ada adalah seperti Slovakia iaitu tempat persiapan yang kita lalui tahun ini selain Brazil dan Australia.

Penghujung tahun ini kita akan umumkan dan mengikut Jawatankuasa Pertandingan yang lepas, ada kemungkinan pasukan Harimau Muda A akan bermain di Singapura jika hasrat bermain di luar negara tidak kesampaian.

Jika itu berlaku, Harimau Muda B akan ditempatkan ke Liga Perdana dan Harimau Muda C akan kekal bermain di Liga FAM," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.

Tahun lalu, Harimau Muda berjaya menduduki tempat keempat dalam saingan S-League, 10 mata di belakang pendahulu, Tampines Rovers.

Sementara itu, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee mengesahkan pasukannya akan berdepan skuad Bawah 23 Jordan di Amman pada 8 hingga 20 November ini sebagai rangka persiapan mempertahankan pingat emas di Sukan SEA 2013 Myanmar.

Selepas ini, kita akan mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan pasukan utama Bawah 23 tahun Jordan selain cuba mendapatkan dua perlawanan menentang pasukan kelab semasa di sana.

Apabila pulang ke tanah air pada 21 November nanti, kita akan mengaturkan dua lagi perlawanan persahabatan dan salah satunya adalah menentang kelab Jepun, FC Ryukyu manakala satu lagi akan dikenal pasti dalam masa terdekat," katanya.

Dia juga yakin pertindihan kepentingan skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda tidak akan mengganggu perancangannya sambil menjelaskan dia sentiasa berbincang dengan Datuk K. Rajagobal jika mahu mengambil mana-mana pemain.

Tambahnya, jika pemain itu tidak dipanggil oleh skuad senior, dia akan terus mendapatkan mereka untuk menjalani bersama Harimau Muda selain mempunyai beberapa pilihan lain dengan menyerapkan pemain Harimau Muda B dan C.

Saya tahu pada November nanti pasukan kebangsaan akan melalui pusingan kelayakan Piala Asia 2015 namun saya rasa itu bukan satu masalah kerana saya tetap boleh memanggil mana-mana pemain yang tidak disenaraikan.

Sebagai contoh, buat masa sekarang saya telah memanggil pemain Perak, Mohd. Nasir Basharuddin untuk menjalani latihan bersama kami dan saya juga ada ramai pemain dari Harimau Muda B atau C yang bila-bila masa sahaja boleh dipanggil," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved