Rabu, 4 September 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Karya sastera wajar dimartabatkan

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

MUKHRIZ Mahathir mendeklamasi puisi sambil diiringi petikan gitar Ramli Sarip sempena Malam Puisi dan Lagu Bulan Kemerdekaan di Alor Setar, malam semalam.

ALOR SETAR 3 Sept. - Hasil karya sastera sebagai cabang budaya wajar dimartabat secara kolektif untuk menjadi sebahagian pengisian bulan kemerdekaan di negara ini serta menjadi pemangkin menyemai semangat cintakan negara.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, oleh itu usaha komprehensif dan inovatif perlu dilakukan bagi melahirkan generasi muda yang kreatif supaya dapat meneruskan legasi pembinaan masyarakat melalui puisi.

"Puisi seharusnya menjadi cerminan keperibadian masyarakat negeri Kedah yang berbudaya luhur kerana tema yang dizahirkan penyair berbeza antara satu sama lain, namun persoalan manusia sejagat, permasalahan sosial dan perkembangan politik dapat digarap dan dihayati bersama.

"Setiap penyair yang memasuki dunia kreatif menuju destinasi yang sama tetapi menggunakan kaedah berbeza. Apabila puisi dan lagu bersatu, keharmoniannya dapat kita rasai dalam getaran jiwa yang memberi rangsangan kepada sebuah masyarakat madani," katanya.

Beliau berucap dalam majlis Malam Puisi dan Lagu Bulan Kemerdekaan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah di Pumpong, di sini malam tadi.

Dalam majlis itu, Mukhriz turut menunjukkan bakat berpuisi dengan mendeklamasikan puisi bertajuk Kedah Aman Makmur nukilan Abdul Mutalib Abdul Rahman sambil diiringi petikan gitar oleh Ramli Sarip.

Selain Mukhriz, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri, Aminuddin Omar turut mendeklamasi puisi.

Turut mendeklamasikan puisi ialah Puzi Hadi, Azmi Ismail, Suliha Yusuf, Khalid Salleh dan penonton turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Ramli Sarip dan kumpulan Kopratasa.

Menurut Mukhriz, program yang dianjurkan JKKN itu dilihat berupaya memberi nilai tambah terhadap kemeriahan bulan kemerdekaan melalui aktiviti seni dan budaya.

"Program pembudayaan bahasa melalui puisi taktala seluruh negara meraikan bulan kemerdekaan adalah langkah yang dianggap bertepatan.

"Malam ini satu lagi sejarah akan dirakam lantaran puisi sebagai artifak budaya yang tidak ternilai harganya memberi kefahaman bagaimana tamadun masyarakat berkembang," ujarnya.

4,000 mahasiswa sertai UUM

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

Prof. Madya Dr. Malek Abdul Karim (dua dari kiri) berkata sesuatu kepada penuntut baharu yang mendaftar di kampus UUM dekat Kubang Pasu, semalam. - Gambar Ihsan UUM

KUBANG PASU 3 Sept. - Seramai 4,000 orang mendaftar sebagai penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi kemasukan sesi pertama 2013/2014 dengan 90 peratus daripadanya mendapat keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sekurang-kurangnya 3.00.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim berkata, kemasukan bagi sesi tersebut turut mencatatkan peningkatan daripada segi permohonan berkualiti.

"Permohonan berkualiti yang diterima daripada calon-calon mahasiswa dengan PNGK 3.00 menunjukkan peningkatan daripada 78 peratus kepada 90 peratus berbanding permohonan kemasukan sebelumnya.

"Hal ini adalah hasil daripada usaha yang dilakukan pihak universiti termasuklah meningkatkan mutu program-program pengajian yang ditawarkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Malek berkata, bagi pengambilan kali ini lebih 3,000 mahasiswa akan mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama melibatkan 39 program pengajian manakala hampir 1,000 di peringkat pasca siswazah.

Katanya, sebanyak 700 penuntut antarabangsa yang mendaftar masuk terdiri daripada 38 negara antaranya Indonesia, Thailand, China, Libya, Somalia dan Tanzania.

"Bilangan ini akan berubah dari semasa ke semasa kerana sesi pendaftaran masih berlangsung. Jadi, kita jangka lebih ramai penuntut khususnya penuntut antarabangsa akan mendaftar masuk ke UUM dalam tempoh terdekat," katanya.

Tiga program pengajian yang mendapat permintaan tinggi adalah Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian).

"Selain itu, dua program baharu turut ditawarkan kali ini iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan (Kepujian)," jelasnya.

KUIPs terima lima tawaran Kuwait University

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

KANGAR 3 Sept. - Kuwait University menyediakan lima tawaran awal, termasuk biasiswa kepada mahasiswa Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) untuk melanjutkan pelajaran ke Kuwait City, mulai 2014.

Rektor KUIPs, Dr. Mohd. Mizan Mohamad Aslam berkata, tawaran itu dinyatakan sendiri oleh Presiden Kuwait University, Abdullah A. Al-Bader dalam pertemuan di ibu negara Kuwait baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu katanya, Naib Presiden Kebajikan Pendidikan Kuwait University, Firyal Bou-Rabee turut memberikan butiran lanjut berhubung kelima-lima tawaran berkenaan.

"Tawaran itu turut diperincikan oleh Abdullah A. Al-Bader dan Firyal Bou-Rabee kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang memimpin Misi Pendidikan Islam ke Asia Barat, baru-baru ini," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini.

Rektor KUIPs memberitahu, tawaran pertama yang disediakan oleh Kuwait University ialah kuota khas buat mahasiswa KUIPs untuk melanjutkan pengajian ke universiti itu mulai tahun depan.

"Tawaran kedua pula, mana-mana mahasiswa KUIPs yang melanjutkan pelajaran ke Kuwait University akan memperolehi biasiswa universiti itu sendiri jika belum mendapat mana-mana biasiswa.

"Tawaran ketiga pula, universiti berkenaan turut menyediakan pengajian lanjutan peringkat ijazah tinggi iaitu sarjana dan doktor falsafah kepada mahasiswa KUIPs," ujarnya.

Menyentuh tawaran keempat pula, Mohd. Mizan juga menyatakan, University Kuwait akan menghantar mahasiswanya melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang perbankan, kewangan dan pelaburan Islam dalam suasana ketimuran di KUIPs yang berpusat di sini.

Selain itu, katanya, Kuwait University dan KUIPs juga akan meneroka pelbagai bidang pengajian baharu di mana sarjana dari Timur akan mengkaji dan membuat penyelidikan berkaitan Barat.

Baru-baru ini, Mohd. Mizan berada di Asia Barat, termasuk Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) selama tujuh hari bagi mempromosikan KUIPs sempena Misi Pendidikan Islam.

Turut serta dalam misi berkenaan ialah Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) yang diketuai oleh Presiden AUCMS, Datuk Dr. Zainuddin Wazir dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pimpinan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Semasa di UAE, Rektor KUIPs turut mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Al-Mashreq Bank, Abdullah Ahmad Al-Ghurair dan Timbalan Pengerusi Al-Mashreq Bank, Essa A. Al-Ghurair di Wisma Al-Ghurair di Dubai.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved