Rabu, 4 September 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Wajib ada permit polis

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 4 Sept. - Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan, perhimpunan awam wajib mempunyai permit polis kerana seksyen tertentu yang menghendaki permit dikeluarkan di bawah Akta Polis 1967, tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu dinyatakan dalam keputusan majoriti 2-1 panel tiga hakim ketika menolak rayuan lima bekas penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang didapati bersalah terlibat dalam perhimpunan haram di perkarangan Masjid Negara, 12 tahun lalu.

Mereka ialah Nik Norhafizi Nik Ibrahim dan Ahmad Kamal Abdul Hamid ketika kejadian dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zulkefle Idris dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Rafzan Ramli dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Khairul Amal Mahmud dari Universiti Malaya (UM).

Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mengetuai panel bersidang sependapat dengan Hakim Datuk Linton Albert ketika menolak rayuan mereka manakala Hakim Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer membuat keputusan menentang.

Dalam penghakiman bertulis setebal 50 muka surat, Hakim Mohamed Apandi berpuas hati bahawa perhimpunan awam wajib mempunyai permit kerana itu merupakan satu peraturan di bawah Akta Polis bagi membolehkan pihak berkuasa mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Pada hemat beliau, Seksyen 27(2) dibaca bersama Seksyen 27(5) akta tersebut tidak melanggar mahupun mempunyai konflik dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Hakim Mohamed Apandi, kedua-dua subseksyen itu merupakan sekatan yang munasabah dan mematuhi peraturan memandangkan subseksyen tersebut tidak menghalang orang awam terlibat dalam perhimpunan aman.

Sehubungan itu, mahkamah menolak rayuan mereka selepas berpuas hati, rayuan kelima-lima perayu tidak mempunyai merit.

Sementara itu, Hakim Hamid Sultan dalam penghakiman setebal 77 muka surat tidak bersetuju dengan pandangan dua hakim tersebut lalu mengetepikan sabitan dan hukuman manakala denda RM3,900 yang telah dibayar oleh perayu-perayu dipulangkan.

Beliau turut membuat keputusan, sabitan dan hukuman terhadap mereka yang lain yang terlibat dalam perhimpunan tersebut (walau tiada rayuan dibuat) turut diketepikan dan segala denda yang telah dibayar juga dikembalikan.

Hakim Hamid Sultan berpendapat, kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, jika pun perhimpunan tersebut tidak mendapat permit, ini tidak bermakna itu merupakan perhimpunan haram selagi kesalahan melibatkan unsur-unsur jenayah di bawah Seksyen 141 Kanun Keseksaan tidak dibuktikan.

Perayu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Januari 2011 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret mendenda kelima-limanya serta memerintahkan mereka dipenjara tiga bulan lagi sekiranya gagal membayar denda RM3,900 itu.

Pada 18 Jun 2009, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mensabitkan mereka manakala seorang lagi penuntut, Helman Sanuddin, 34, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan selepas pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa terlibat dalam perhimpunan haram bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang diadakan di perkarangan Masjid Negara, Jalan Perdana di ibu negara antara pukul 2 petang dan 2.15 petang, 8 Jun 2001.

Kesemua perayu diwakili oleh peguam Edmund Bon manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim.

Dua beradik tak mengaku perdagang 31 wanita Indonesia

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Dua beradik yang merupakan pemilik dan penyelia syarikat agensi pekerja asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 31 pertuduhan memperdagangkan 31 wanita Indonesia bagi melakukan kerja secara paksaan, empat tahun lalu.

Sim Whye Hong, 32, selaku pemilik agensi dan kakaknya Sim Yee Sie, 34, penyelia di situ didakwa memperdagangkan kesemua mangsa yang berusia antara 21 dan 59 tahun itu dengan tujuan eksploitasi untuk dijadikan pembantu rumah dan melakukan kerja secara paksaan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di lima lokasi berlainan iaitu 15 pertuduhan di sebuah pusat kecantikan (spa) di Kuchai Entrepreneurs Park, Persimpangan Jalan Kuchai Lama manakala tujuh pertuduhan, dilakukan di Jalan 4/36, Bukit Sri Bintang, Kepong dan tujuh lagi pertuduhan di sebuah spa di Desa Aman Puri, Kepong di sini.

Sementara itu, baki dua lagi pertuduhan didakwa dilakukan di Pejabat Kedutaan Besar Republik Indonesia, Jalan Tun Razak di sini dan di Taman Sri Gombak dekat sini yang semuanya dilakukan antara Ogos 2009 dan 19 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Suzanne Tiyon Bimen tidak mencadangkan sebarang jaminan dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh.

Namun katanya, sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin, satu jumlah yang tinggi patut dikenakan kepada mereka bagi setiap pertuduhan.

Peguam bela Goh Kim Lian yang mewakili kedua-dua tertuduh kemudian memohon anak guamnya dibenarkan ikat jamin kerana mereka menanggung anak yang masih bersekolah.

Menurutnya, Yee Sie seorang ibu tunggal kepada seorang anak berusia 13 tahun yang masih bersekolah, manakala Whye Hong juga adalah penanggung tunggal keluarga.

"Whye Hong turut mempunyai 20 kakitangan, namun selepas dia ditahan reman selama 19 hari, perniagaannya terhenti begitu saja dan kesan buruk turut dialami kakitangannya yang kini sudah tiada pekerjaan," katanya.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM310,000 berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 2 Oktober depan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved