Rabu, 4 September 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Pengguna pas One Asia nikmati banyak imbuhan

Posted: 04 Sep 2013 01:45 AM PDT

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Pengunjung ke lapan bandar raya Asia, termasuk Kuala Lumpur akan berpeluang menikmati pelbagai imbuhan seperti diskaun, hadiah dan kemudahan lain melalui program 'One Asia Pass' yang dilancarkan hari ini.

Lapan bandar raya berkenaan adalah anggota Majlis Penggalakan Pelancongan Asia (CPTA). Selain Kuala Lumpur, CPTA turut dianggotai Seoul, Tokyo, Hanoi, Bangkok, Jakarta, Taipei dan Delhi.

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup berkata, melalui penggunaan pas itu, pelancong yang berkunjung ke bandar raya berkenaan akan menikmati pelbagai tawaran promosi istimewa daripada penyedia produk dan perkhidmatan pelancongan.

"Ini termasuk diskaun bagi produk tarikan pelancongan dan diskaun beli-belah serta menikmati hidangan dan hadiah apabila membuat pembelian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif itu di sini hari ini.

Beliau berkata, program itu adalah sebahagian daripada kempen 'Welcome to Asia', yang bertujuan meningkatkan jualan dan menggalakkan pelancong tinggal lebih lama di bandar raya yang menganggotai CPTA.

Salleh berkata, usaha itu diharap dapat menarik lebih ramai warga Barat melawat rantau ini, di samping menggalakkan kegiatan melancong dalam kalangan penduduk Asia.

Katanya program ini berpotensi meningkatkan jumlah ketibaan pelancong dari luar Asia ke Malaysia bagi menjana pertumbuhan ekonomi melalui sektor pelancongan.

Mereka yang ingin menikmati manfaat daripada One Asia Pass dan mendapatkan maklumat lanjut mengenainya, boleh melayari www.welcometoasia.jp. - BERNAMA

Tindakan bawa pulang pelajar tak jejas hubungan - Duta Mesir

Posted: 04 Sep 2013 01:43 AM PDT

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Walaupun Malaysia mengambil keputusan membawa pulang pelajarnya dari pelbagai universiti di Mesir berikutan perkembangan yang berlaku di negara itu, hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan akan terus kukuh dan berkekalan, kata Duta Mesir ke Malaysia, Mohamed Saad Ebeid.

Ebeid berkata, beliau faham bahawa Malaysia berbuat demikian semata-mata kerana bimbang tentang keselamatan pelajarnya di Mesir.

Ketika berkongsi pandangannya dengan Bernama, duta itu berkata, walaupun tiada keperluan bagi kerajaan Malaysia untuk berbuat demikian, namun ia mungkin dilakukan sebagai respons terhadap sikap ibu bapa yang semakin bimbang tentang keselamatan anak mereka yang belajar jauh di perantauan.

Ebeid menegaskan, pelajar Malaysia tidak terdedah kepada sebarang risiko di Mesir dan setakat ini tidak terdapat sebarang kejadian melibatkan pelajar Malaysia atau negara lain, tetapi media sering menokok tambah tentang sesuatu keadaan.

"Apabila media melaporkan tentang demonstrasi yang berlaku di sesuatu kejiranan atau jalan raya, wujudlah tanggapan bahawa satu bencana besar telah berlaku," katanya sambil menambah bahawa kadangkala, perkara yang ditokok tambah tentang sesuatu kejadian melalui media menyebabkan tersebarnya maklumat yang berbeza dengan keadaan sebenar.

Pada 20 Ogos, kerajaan Malaysia melancarkan operasi dikenali sebagai Op Piramid II untuk membawa pulang pelajarnya dengan menggunakan penerbangan komersial apabila krisis di Mesir menjadi semakin buruk.

Sebanyak 2,796 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui operasi itu, yang berakhir pada 28 Ogos.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, dilaporkan berkata mereka adalah antara 3,379 rakyat Malaysia yang berdaftar di Mesir setakat 15 Ogos. Sebanyak 583 yang lain membuat keputusan untuk terus berada di Mesir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula dilaporkan berkata, keselamatan pelajar Malaysia di Mesir menjadi keutamaan kerajaan dan oleh itu mereka perlu dibawa pulang dengan segera ke tanah air sebelum keadaan menjadi semakin buruk.

Merujuk kepada hubungan Malaysia-Mesir, Ebeid berkata hubungan sedia ada mencerminkan wujudnya prospek lebih meluas berasaskan hubungan sejarah yang terjalin antara kedua-dua negara dan hakikat bahawa selama ini, kedua-dua pihak sering mengadakan perundingan dan penyelarasan berhubung pelbagai portfolio antarabangsa.

Katanya, selain dalam bidang pendidikan, Malaysia dan Mesir juga mempunyai hubungan kukuh dalam bidang budaya, pelaburan dan perdagangan, dengan pertukaran perdagangan antara kedua-dua negara bernilai kira-kira US$500 juta (RM1.6 bilion).

Hampir 1,000 orang terbunuh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penyokong Mohamed Morsi yang digulingkan daripada jawatan presiden sejak 14 Ogos apabila tentera bertindak menyuraikan kumpulan penyokong dan penentang Morsi di Kaherah, yang menyebabkan beratus orang terbunuh serta mencetuskan keganasan.

Ketegangan antara kedua-dua kumpulan memuncak berikutan penggulingan Morsi pada 3 Julai selepas berjuta-juta rakyat Mesir mengadakan bantahan bagi mendesak presiden itu berundur dan menuduhnya menyalahguna kuasa.

Penyokong Morsi bertindak balas dengan mengadakan demonstrasi untuk menuntut beliau dikekalkan sebagai presiden. - BERNAMA

8,500 pengguna di Lembah Klang masih alami gangguan air

Posted: 04 Sep 2013 12:54 AM PDT

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Situasi bekalan air di Lembah Klang yang terjejas berikutan pencemaran di Sungai Selangor, hampir pulih sepenuhnya dengan hanya sekitar 8,500 pengguna masih mengalami gangguan bekalan air setakat pukul 9 pagi ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan berkata, kawasan yang masih terjejas ialah Seksyen 22, Seksyen 25, Seksyen 26, Seksyen 27, Seksyen 29, Kampung Baru Hicom dan Subang Mas di Klang dan Shah Alam yang meliputi 3,470 pengguna.

Sekitar 4,961 pengguna di Kampung Ampang Campuran, Kampung Tasek Permai dan Taman Tasek Tambahan di Gombak juga masih mengalami masalah bekalan air.

Berikutan dari tahap pemulihan bekalan air itu, Syabas telah menurunkan tahap Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Kuning bagi wilayah Klang/Shah Alam dan Gombak kepada ERP Kod Hijau.

ERP Kod Kuning bagi wilayah Petaling dan Kuala Lumpur juga ditamatkan pada pukul 9 pagi ini.

"Walau bagaimanapun, pihak Syabas akan terus memantau dan mengedalirus pemulihan bekalan air serta pengagihan bantuan bekalan air kepada pengguna yang masih terjejas dan akan terus memaklumkan dari semasa ke semasa berhubung status pemulihan bekalan air di kawasan yang terlibat sekiranya perlu," tambah kenyataan itu.

Katanya, sehinga kini, sebanyak 43 lori tangki telah melakukan 669 trip penghantaran bekalan air ke kawasan pengguna yang terlibat, manakala sejumlah 66 buah tangki air statik juga diletakkan di lokasi yang strategik di wilayah tersebut. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved