Rabu, 4 September 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Zamri digantung dua tahun

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Zamri hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam yang membincangkan dakwaan yang dihadapinya.

PETALING JAYA - Pemain pertahanan Kelantan, Zamri Ramli digantung dua tahun daripada kegiatan bola sepak selepas sampel air kencingnya pada perlawanan akhir Piala FA, 29 Jun lalu, didapati positif mengandungi bahan terlarang, metamphetamine oleh sebuah makmal di India.

Dia bernasib baik kerana tidak dikenakan hukuman maksimum digantung seumur hidup atau minimumnya, enam bulan yang tidak boleh dirayu biarpun Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufik Razak berkata, penyalahgunaan dadah merupakan satu kes yang serius.

"Bahan yang diambilnya, diklasifikasikan makmal di India itu sebagai terlarang pada FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan WADA (Agensi Antidoping Dunia). Tiada denda dikenakan ke atasnya dan dia boleh merayu kepada Jawatankuasa Rayuan FAM dalam tempoh 14 hari mengikut tarikh kuat kuasa hukuman yang ditetapkan dalam surat kepadanya.

"Kami sudah memberi masa, ruang dan peluang kepada pemain ini dan wakil KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) untuk membelanya. Kami juga sudah menimbang daripada aspek umur, keluarga dan latar belakangnya tetapi kami tidak mahu perkara ini menular dan menjadi ikutan kepada pemain sedia ada dalam Liga M atau bakal pemain dari peringkat sekolah," kata Taufik.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam, menambah, soal sama ada hukuman itu akan dikekalkan, dikurangkan atau dibatalkan, terpulang kepada Jawatankuasa Rayuan persatuan sekiranya Zamri masih mahu menjalani proses terakhir bagi menyelamatkan kariernya itu.

Kata Taufik, pemain Kuala Lumpur, Hafizie Roslee pula digantung enam bulan daripada sebarang kegiatan bola sepak dan didenda RM2,000 selepas didapati tidak mempunyai semangat kesukanan bermain ketika perlawanan Liga Perdana menentang Sime Darby di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 17 Mei lalu.

"Amaran keras juga diberikan kepadanya jika dia berpeluang bermain semula dengan mana-mana pasukan selepas penggantungan ini, supaya tidak mengulangi kelakuan tidak bersemangat kesukanan itu dan jika denda itu tidak dibayar, namanya turut akan disenaraihitamkan.

"Kami mengkaji rakaman video dan mendapatinya melanggar pertuduhan Perkara 35.1 Kod Tatatertib Edisi 2012 FAM dan dihukum mengikut Perkara 56.2 kod sama yang hukuman maksimumnya, didenda RM25,000. Dalam pembelaan, dia mengatakan telah dicabar seorang pemain Sime Darby sedangkan dalam video, tiada.

"Dia (sepatutnya) boleh menggelecek bola naik dan mengeluarkan bola dari kawasan sendiri (namun) menendangnya ke belakang, seolah-olah memberikan kepada pemain Sime Darby. Hukuman ke atasnya tidak boleh dirayu," katanya sambil enggan mengulas sama ada tindakan itu berkaitan dengan mengatur keputusan perlawanan.

Sementara itu, kata Taufik, Johor Darul Takzim pula didenda RM40,000 atas pembakaran suar yang begitu banyak oleh penonton di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru sehingga mengancam keselamatan orang ramai selain gagal menyediakan anggota keselamatan ketika menentang Selangor dalam Liga Super, 6 Julai lalu.

"Johor Darul Takzim mengaku bersalah atas pertuduhan kali ketiga dalam satu perlawanan itu dan hukuman ini masih boleh dirayu kerana denda maksimumnya ialah RM100,000 dan jika diulangi pada perlawanan selepas ini, boleh membawa hukuman diarah bermain di stadium itu tanpa penonton," katanya.

BAM ambil pandangan media

Posted: 04 Sep 2013 11:25 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Tengku Mahaleel berucap dalam forum bersama media bertajuk 'Apa yang perlu dilakukan untuk membantu negara di kedudukan teratas dalam sukan badminton' di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR - Pucuk kepemimpinan baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mula mengorak langkah untuk memantapkan sukan badminton negara dengan mengambil pandangan dan cadangan daripada pihak media dalam satu pertemuan khas di sini, semalam.

Selepas dipilih menerajui BAM untuk penggal 2013-2017 Julai lalu, Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff menggunakan pendekatan untuk mendekati pengamal media dengan lebih dekat serta berkongsi pandangan agar Malaysia mampu untuk mengusai sukan tersebut pada masa akan datang.

Kira-kira 20 pengamal media termasuk daripada jawatan editor, bekas wartawan dan wartawan diberi peluang untuk membentangkan idea kepada BAM yang turut didengari oleh Tengku Mahaleel sendiri serta Timbalan Presiden, Datuk Norza Zakaria serta pegawai tertinggi dalam persatuan tersebut.

Menurut Tengku Mahaleel, memang beliau telah merancang untuk bertemu pihak media untuk mendapatkan segala input bagi dibentangkan di Mesyuarat Majlis BAM Sabtu ini.

"Semua maklumat ini akan diletakkan dalam pelan strategi sebelum ia disebarkan di Mesyuarat Majlis 7 September ini, memang banyak idea yang boleh diambil hasil pertemuan ini," katanya kepada media selepas pertemuan yang dilangsungkan selama dua jam itu berakhir di Pusat Konvensyen Sime Darby semalam.

Jelasnya, BAM akan memastikan setiap idea yang diberi diuruskan dengan baik bagi program masa depan sukan badminton negara selepas pandangan diberikan dari pelbagai sudut termasuk program akar umbi, penggunaan teknologi, disiplin, sistem kejurulatihan, pemilihan kejohanan dan penubuhan liga badminton.

"Pelbagai perkara perlu dilakukan untuk membantu Malaysia mengembalikan kedudukan utama dalam sukan badminton. Reputasi pemain negara tidaklah teruk, cuma kita akui banyak kelemahan dari aspek akar umbi yang perlu diberikan penekanan," katanya.

Antara wakil media tempatan yang menyertai forum tersebut ialah Utusan Malaysia, Kosmo, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), The Star, Sports 247, Astro Arena, Malay Mail serta kumpulan Media Prima iaitu Harian Metro, Berita Harian, News Straits Times dan TV3.

Selepas dipilih untuk menerajui BAM di Mesyuarat Pemilihan Julai lalu, Tengku Mahaleel masih belum bersedia untuk membuat sebarang kenyataan tentang perkembangan terkini pemain badminton negara dan juga perancangannya untuk masa akan datang bagi memantapkan badan tersebut.

Beliau mengakui memerlukan sedikit masa dan perlu mendapat input dari semua pihak agar dapat menguruskan badan tersebut dengan cemerlang. Bagaimanapun beliau berjanji akan menjawab segala pertanyaan wartawan selepas Mesyuarat Majlis BAM, Sabtu ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved