Selasa, 3 September 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Fasa kedua NCIA di Perak dilancar

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Zambry Abdul Kadir

TAIPING 2 Sept. - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir hari ini melancarkan secara rasmi Fasa Kedua Pelan Pembangunan Koridor Utara di Perak yang antara lain memberi penekanan kepada penyediaan infrastruktur bagi projek 'Greater Kamunting'.

Zambry berkata, penyediaan infrastruktur itu berpotensi menarik pelaburan sebanyak RM18 bilion melalui 34 projek permulaan sekali gus bakal memberi impak pertumbuhan ekonomi dan perindustrian negeri Perak.

"Dalam konteks negeri Perak, pelaburan yang berjaya ditarik oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi tahun ini sehingga kini adalah sebanyak RM166.5 juta.

"Projek pertama bagi 'Greater Kamunting' akan bermula sebelum hujung tahun ini dengan pelaburan sebanyak RM400 juta membabitkan kerjasama antara syarikat tempatan dan luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan pembangunan fasa kedua Koridor Utara dan jamuan Aidilfitri di pejabat baru NCIA di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq.

Dalam pada itu, Zambry berkata, bagi fasa kedua Pelan Pembangunan Koridor Utara, kerajaan sudah melihat semula peranan NCIA bagi membantu merangsang pertumbuhan selain menarik pelaburan negeri.

Sehubungan itu, katanya, pembangunan 'Greater Kamunting' yang telah dipersetujui Kerajaan Pusat diharap dapat menjadi model taman teknologi tinggi seperti di Kulim, Kedah sekali gus memangkin pembangunan di kawasan-kawasan sekitarnya.

"Projek ini akan menjadi tarikan pelaburan kepada pemain industri besar di seluruh dunia kerana kita bukan sahaja menumpukan kepada perindustrian, malah termasuk industri berasaskan teknologi hijau," katanya.

Pelabuhan darat baharu di Perlis

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

Sabry Ahmad (kiri) diberi penerangan ketika mengadakan lawatan dan pemantauan projek Landasan Kereta Api Berkembar dan Perkhidmatan Kontena di Terminal Multi Modal Padang Besar di Stesen Kereta Api Padang Besar, Perlis, semalam.

PADANG BESAR 2 Sept. - Kerajaan negeri bercadang mewujudkan sebuah pelabuhan darat di Perlis di kawasan seluas 81 hektar berdekatan stesen kereta api yang dijangka siap pertengahan tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Pembangunan Wilayah Negeri, Sabry Ahmad berkata, perancangan itu bersesuaian dengan projek Landasan Kereta Api Berkembar yang bakal menjadi tarikan baharu ke negeri ini.

Beliau berkata, projek itu juga berikutan permintaan kemasukan kontena dari negara jiran menggunakan pengangkutan kereta api sebanyak 25,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena setiap hari.

"Sekarang ini kita hanya dapat menampung 10,000 TEU kontena setiap hari," katanya dalam sidang akhbar semasa mengadakan lawatan dan pemantauan projek Landasan Kereta Api Berkembar dan Perkhidmatan Kontena di Stesen Keretapi Padang Besar, di sini hari ini.

Sabry berkata, hasil pemantauannya juga mendapati urusan lori kontena yang menggunakan perkhidmatan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) ketika ini sangat sesak.

Dalam masa sama, kata beliau, adalah kerugian kepada negeri ini jika tidak dapat menampung permintaan tersebut.

Katanya, negara jiran lebih suka menggunakan perkhidmatan kereta api untuk menghantar kontena ke pelabuhan di seluruh negara kerana harganya lebih murah.

"Sewa penghantaran satu TEU kontena dari sempadan Malaysia-Thai iaitu Padang Besar ke Pelabuhan Pulau Pinang dengan lori dikenakan bayaran RM1,200 manakala dengan kereta api hanya RM300," katanya.

Katanya, beliau juga akan berbincang dengan pihak Pelabuhan Pulau Pinang esok untuk mencari jalan terbaik berkaitan isu itu.

Polemik tanah sekolah Tamil di Perak selesai

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

IPOH 2 Sept. - Polemik siapa yang akan menguruskan tanah seluas 809 hektar kurniaan kerajaan negeri untuk membantu pembangunan dan kemajuan 134 sekolah Tamil di Perak sejak 2009 akhirnya tamat selepas tanggungjawab tersebut diserahkan kepada Yayasan Pembangunan Pendidikan India Perak selaku pemegang amanah.

Ketika mengumumkan perkara tersebut di sini baru-baru ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, keputusan tersebut termasuk pemilihan ahli lembaga pengarah yayasan itu diputuskan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Senarai mereka yang akan menduduki Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pembangunan Pendidikan India Perak dimaklumkan kepada kami oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.

"Mereka terdiri daripada kalangan yang dihormati dalam masyarakat India dari pelbagai latar belakang dan sanggup memberikan komitmen tinggi bagi membantu memajukan pendidikan kaum India," katanya.

Menurut Zambry, dengan pengumuman secara rasmi itu, beliau berharap kumpulan yang bertelagah tidak memanjangkan polemik tersebut demi kepentingan masyarakat India di negeri ini.

Beliau tidak mahu niat murni kerajaan negeri untuk membantu pendidikan masyarakat India di Perak diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk meraih laba politik.

"Jangan ada pihak ambil kesempatan untuk menghentikan, menggagalkan atau melengah-lengahkan perkara ini kerana yang akan rugi akhirnya ialah masyarakat India di negeri ini. Lagipun, masyarakat India di Perak masih ketinggalan dalam pendidikan dan kemiskinan," katanya.

Dalam sidang akhbar itu, beliau turut mengumumkan senarai nama lapan orang ahli lembaga pengarah yayasan berkenaan yang dipengerusikan Pengerusi Majlis Guru Besar Sekolah-sekolah Tamil Perak, S. Muniandy selaku pengerusi.

Tujuh lagi ahli lembaga pengarah ialah Penyelaras Sri Murugan Centre Perak, K. Nachemuthu; dua bekas timbalan menteri, Tan Sri K. Kumaran dan Datuk S. Veerasingam;Pengurus Besar National Land Finance and Co-Operative Society (NLFCS), Datuk B. Sahadevan; Penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil, Prof. Dr. N. Rajendran dan penilai sijil kemahiran Malaysia, S. Thillainathan.

Menteri Besar turut menunjukkan surat hak milik tanah tersebut atas nama Yayasan Pembangunan Pendidikan India Perak.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved