Selasa, 3 September 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Nama ketua kongsi gelap didedah

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my

Khalid Abu Bakar menyampaikan anugerah kepada Muhd. Aidil Syafiq, salah seorang daripada 20 Pelatih Keseluruhan Terbaik dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Kor Suksis IPTA Kesembilan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak, Selangor, semalam. - UTUSAN/ZAKARIA IDRIS

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan akan mendedahkan nama-nama ketua atau dalang kumpulan kongsi gelap di negara ini seperti mana pendedahan 49 kumpulan gengster yang diumumkan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pendedahan itu mungkin akan dilakukan polis jika perlu dan signifikan dengan setiap tindakan serta siasatan yang dilakukan oleh PDRM.

Katanya, polis ketika ini mempunyai semua maklumat berkaitan kumpulan kongsi gelap di seluruh negara termasuklah nama ketua yang bertanggungjawab menjadi dalang utama kumpulan.

"Jika perlu kita akan umumkan mereka yang menjadi ketua bagi kumpulan-kumpulan kongsi gelap ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Kor Sukarelawan Siswa-Siswi Polis (Suksis) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hari ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 29 Ogos lalu mengumumkan nama 49 kumpulan kongsi gelap di seluruh negara yang dikesan menjalankan kegiatan memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, polis juga sedang mengenal pasti kumpulan kongsi gelap yang berselindung di sebalik Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti mana yang didedahkan Ketua Pengarah agensi itu, Datuk Abdul Rahman Othman semalam.

Kata beliau, lebih daripada tiga kumpulan kongsi gelap sudah dikenal pasti telah mendaftar dengan ROS.

"Jangan ingat mereka boleh melepaskan diri setelah mendaftar dengan ROS. Kita telah kenal pasti beberapa kumpulan yang melakukan perkara sedemikian dan mempunyai maklumat berhubung perkara itu," tegasnya.

Abdul Rahman semalam memberitahu, ROS akan bekerjasama dengan polis untuk menyemak tiga pertubuhan kaum Cina iaitu satu dari Semenanjung dan dua dari Sabah yang menggunakan nama dan logo sama atau hampir sama dengan sebahagian 49 pertubuhan haram yang didedahkan KDN.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, impak daripada Op Cantas Khas yang dilancarkan PDRM di seluruh negara akhir-akhir ini, sebilangan ahli kumpulan gengster kini pergi ke negara jiran untuk membuang tatu yang menjadi tanda penglibatan mereka.

"Polis membuat beberapa tangkapan ahli kongsi gelap yang cuba pergi ke negara seberang untuk membuang tatu atau logo kongsi gelap yang dicacah pada badan mereka.

"Sebenarnya tatu pada badan mereka ini adalah cara paling mudah untuk mengenal pasti penglibatan mereka dalam kongsi gelap. Tetapi jangan ingat mereka telah membuang tatu itu, mereka akan terlepas kerana pintu masuk negara akan sentiasa dikawal ketat," katanya.

Beliau memberitahu, polis akan mengambil-alih siasatan terhadap warga asing yang ditahan dalam operasi Ops 6P Bersepadu secara besar-besaran oleh Jabatan Imigresen jika dikesan mempunyai kaitan dengan kongsi gelap.

Pemilik kedai emas cuba halang rompakan parah ditembak

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Abdul Rasul Abd. Razak yang cedera parah ditenangkan oleh orang ramai sebelum dibawa ke hospital selepas berjaya mematahkan cubaan merompak di kedainya di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Seorang pemilik kedai emas cedera parah terkena dua das tembakan di bahu dan perut selepas bertindak nekad bergelut bagi menghalang empat penjenayah merompak premisnya di Lebuh Ampang di sini pagi ini.

Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Abdul Rasul Abd. Razak, 58, sedang berada di dalam pejabatnya manakala empat pekerjanya berada di ruang pameran kedai.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, tiba-tiba muncul empat lelaki memakai topi keledar penutup muka penuh dengan seorang daripadanya terus melompat ke dalam ruang pekerja.

Beliau berkata, seorang lagi suspek berdiri di ruang pelanggan sambil mengarahkan kesemua pekerja tidak membuat bising dan menuruti arahan mereka manakala dua lagi suspek di luar kedai.

"Ketika itulah mangsa keluar dari pejabatnya dan terus bergelut dengan dua suspek di dalam kedai. Dua lagi suspek yang berada di luar premis dan melihat pergelutan itu lalu masuk campur.

"Salah seorang daripada mereka bertindak mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan empat hingga enam das tembakan.

"Dua tembakan itu mengenai Abdul Rasul dan kesemua suspek kemudian melarikan diri dalam keadaan kelam-kabut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Difahamkan, suspek yang kesemuanya memakai topi keledar penutup muka penuh dilihat melarikan diri dengan menggunakan dua buah motosikal dan tidak sempat melarikan sebarang barangan berharga.

Mengulas lanjut, Khairil berkata, siasatan di tempat kejadian telah menemukan tiga kelongsong peluru dan satu serpihan slug peluru.

"Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis itu dan kawasan berdekatan untuk mengesan suspek terlibat. Kami juga telah menemu bual saksi kejadian," katanya.

Tambah Khairi, mangsa kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan dilaporkan stabil.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 kerana melepaskan tembakan senjata api ketika melakukan rompakan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved