Selasa, 3 September 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Dua hospital baharu di Pahang

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Norhizan Ismail (berdiri, kanan) bersama Norol Azali Sulaiman (berdiri, kiri) beramah mesra dengan wartawan dalam majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Media di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

KUANTAN 3 Sept. - Pembinaan dua hospital masing-masing di Bera serta Rompin yang dijangka siap selewat-lewatnya pada 2015 akan memberi nilai tambah kepada penduduk kawasan berkenaan dalam menikmati kemudahan rawatan kesihatan lebih efisien dan cepat.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Norhizan Ismail berkata, hospital terbabit yang menelan kos kira-kira RM200 juta adalah langkah kerajaan dalam menyediakan kemudahan rawatan kesihatan sempurna kepada rakyat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.

Beliau berkata, hospital berkenaan yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan bedah, wad lebih selesa dan besar serta peralatan canggih boleh menampung jumlah pesakit yang ramai.

"Hospital Rompin dan Bera boleh menempatkan kira-kira 100 pesakit sekali gus memberi kemudahan kepada penduduk mendapatkan rawatan terutama ketika waktu kecemasan seperti bersalin atau mengalami penyakit kronik.

"Jika dibandingkan sebelum ini, mereka perlu menempuh perjalanan jauh hanya semata-mata mendapatkan rawatan.

"Sebagai contoh penduduk di Bera perlu ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh yang jaraknya kira-kira 70 kilometer," katanya ketika ditemui dalam majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Media di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman.

Menurut Dr. Norhizan, pembinaan hospital berkenaan menunjukkan kerajaan begitu peka kepada rungutan dan kesulitan dihadapi penduduk di kawasan berkenaan yang sukar menerima rawatan kesihatan sempurna.

"Apabila siap, kedua-dua hospital ini dapat membantu seterusnya mendidik mereka untuk lebih mementingkan aspek kesihatan melalui kemudahan disediakan nanti.

"Oleh itu, saya mahu penduduk kawasan berkenaan bersabar kerana Hospital Rompin dijangka mula beroperasi awal tahun depan manakala di Bera pembinaannya sudah 25 peratus siap dan dijangka boleh digunakan awal 2015," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan turut merancang membina hospital pakar di Bentong bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat di daerah berkenaan.

"Hospital pakar ini masih dalam perancangan kerana perlu melihat keperluannya kepada penduduk tempatan selain anggaran kos," katanya.

Jaga kebersihan premis makanan

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

KUALA LIPIS 3 Sept. - Masyarakat di bandar ini khususnya pengusaha premis makanan diminta menjaga kebersihan bahagian pemprosesan, dapur dan stor untuk mengelak daripada jangkitan bakteria kencing tikus atau leptospirosis.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, jangkitan wabak itu pada makanan dan minuman boleh berlaku tanpa disedari apabila terminum atau menyentuh air kencing tikus.

Menurutnya, kesedaran mengawal dan mencegah dengan tumpuan terhadap kebersihan premis lebih baik berbanding kaedah merawat jika terdapat mangsa yang terkena jangkitan penyakit itu.

"Pemilik premis dan penduduk tidak boleh bersikap sambil lewa mengenai kebersihan khususnya membiarkan haiwan dan serangga seperti tikus, lalat dan nyamuk bebas berkeliaran.

"Oleh itu, pihak berkuasa tempatan, jabatan kesihatan dan agensi kawalan serangga mempunyai mekanisme iaitu peralatan kawalan serta pemusnah yang dapat membantu gejala penularan penyakit berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kawalan Tikus Peringkat Daerah Lipis di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohamad Noor Abdul Rani dan Setiuasaha Majlis Daerah Lipis (MDL), Mohd. Pauzi Abu Hussaini.

Menurut beliau, penduduk dan pengusaha premis makanan wajar mempunyai kesedaran dengan mengamalkan peraturan kebersihan supaya pengguna lebih selamat serta terkawal daripada wabak leptospirosis.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk mengubah mentaliti mengatakan leptospirosis tidak akan berlaku di premis, perumahan dan tempat pelancongan kerana belum ada direkodkan wujudnya penyakit tersebut berbanding tempat lain.

IADA Pekan sasar tingkat pengeluaran padi

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

KUANTAN 3 Sept. - Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran padi di enam kawasan di daerah itu daripada purata 2.4 metrik tan sehektar kepada enam metrik tan sehektar setelah dipilih sebagai kawasan jelapang padi kesembilan negara.

Pengarahnya, Mohd. Yusoff Sadi Sutan berkata, kawasan terlibat seluas 7,211 hektar melibatkan Pahang Tua (1,275 hektar), Ganchong (1,005), Pulau Jawa (209), Mambang (348), Serandu (240) dan Merchong dengan keluasan 4,134 hektar.

"Kita sasarkan setelah kerja-kerja pembangunan dilaksanakan, dalam tempoh tujuh tahun akan dapat capai jumlah pengeluaran enam metrik tan sehektar.

"Buat masa ini, kerja-kerja pembangunan seperti penyediaan infrastruktur belum lagi dilaksanakan kerana IADA dalam proses memperkemaskan maklumat asas bagi memudahkan gerak kerja memajukan sektor padi dijalankan," katanya dalam sidang akhbar selepas Seminar Komuniti Padi Pekan 2013 yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri, Md. Kassim Mahmud di Indera Sempurna Resort di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pekan, Datuk Abdul Manaf Sulong.

Mohd. Yusoff Sadi berkata, pihaknya akan membina tali air dan parit tambahan di Pahang Tua, menaiktaraf infrastruktur sedia ada di Ganchong dan Pulau Jawa serta membina pintu kawalan pasang surut dan sistem pengairan di Merchong.

Beliau berkata, pihak IADA juga akan menyediakan sistem penjadualan penanaman padi yang lebih sistematik dan teratur.

"Tujuan penjadualan ini adalah bagi memastikan masalah seperti aktiviti pembajakan, pengagihan air, membaja, kawalan penyakit perosak, penuaian dan banjir dapat diatasi dengan berkesan.

"Kejayaan penanaman dua kali setahun hanya akan berjaya jika perancangan dan penjadualan penanaman padi diikuti oleh pesawah," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, faktor utama bagi menjamin kejayaan penanaman padi adalah interaksi yang baik antara komponen pertanian meliputi kemudahan infrastruktur, teknologi tanaman dan petani.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved