Selasa, 3 September 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Rakyat diminta bersabar kenaikan harga minyak

Posted: 03 Sep 2013 02:13 AM PDT

NANNING 3 Sept. - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta rakyat supaya bersabar dan memahami bahawa tindakan kerajaan mengurangkan subsidi bertujuan mengelak kesan yang lebih buruk atau "meletup" pada masa depan.

"Rakyat kena bersabar dan faham apa yang kita buat, semuanya semata-mata untuk kebaikan rakyat dan kerajaan. Kalau kita teruskan (subsidi), akan bagi kesan yang lebih serius kepada negara," katanya.

Beliau berkata, kerajaan memberi subsidi untuk barangan keperluan seperti tepung, minyak masak, tong gas dan sebagainya, namun kerajaan mesti mengawal defisit yang boleh menjejaskan penarafan kredit Malaysia.

"Apabila defisit kita bertambah, penarafan kita menurun, persepsi negara negatif, dan ini akan menjejas pelaburan masa depan dan menyusahkan cucu-cicit kita," kata Mustapa pada sidang media selepas perbincangan dengan peserta pameran Malaysia pada Ekspo China-Asean ke-10 (CAEXPO).

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa pada Selasa.

Mustapa berharap tindakan mengurangkan subsidi ini tidak memberi kesan yang terlalu besar kepada rakyat.

"Kita akan mengurangkannya secara perlahan-lahan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan membelanjakan RM20 bilion setahun ke atas subsidi minyak dan gas, yang merupakan angka yang besar.

"Kita bukannya tak boleh beri subsidi... kerajaan akan terus bagi subsidi, namun jumlahnya kena dikawal," katanya.

Pada Julai, agensi penarafan dunia Fitch Ratings menyemak unjuran penarafan kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif. - BERNAMA

Kenaikan petrol tidak jejas harga hasil pertanian

Posted: 03 Sep 2013 01:56 AM PDT

Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI

KOTA BHARU 3 Sept. - Kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter yang diumumkan kerajaan semalam tidak menjejaskan harga hasil pertanian kepada pengguna.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, walaupun harga minyak dinaikkan , namun harga produk pertanian di ladang sentiasa stabil dan jika ada pun kenaikan pun tidak banyak sehingga membebankan pengguna.

"Seperti yang kita tahu, kos minyak merupakan satu kos pemasaran tetapi jika petani dapat mengeluarkan hasil pengeluaran yang banyak, kenaikan kos tersebut tidak menjadi begitu ketara kepada mereka.

"Jadi, kita mahu pertingkatkan lagi produktiviti pengeluaran pertanian di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri FAMA di Pusat Tansformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Tunjong di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Sambutan Aidilfitri Mandailing Malaysia di Chemor meriah

Posted: 03 Sep 2013 01:42 AM PDT

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI

RAMLI Abdul Karim Hasibuan (kanan) bersalaman dengan Ahmad Husni Hanadzlah selepas beliau memakaikan ulos (selempang) kepada Menteri Kewangan II itu di Sambutan Aidilfitri Persatuan Halak Mandailing Malaysia di Kampung Batu 9 Chemor di Ipoh, kelmarin. - UTUSAN

IPOH 3 Sept. - Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan anjuran Persatuan Halak Mandailing Malaysia di Kampung Batu 9, Chemor di sini kelmarin berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 2,000 orang berketurunan suku tersebut dari seluruh negara.

Program dihadiri pelbagai lapisan umur suku kaum tersebut yang datang dari seluruh tanah air, kebanyakannya dari Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur selain sebahagian dari Kedah, Pahang, Johor serta Melaka.

Sambutan dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Kewangan II merangkap Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selaku tetamu kehormat dan pemimpin tempatan berketurunan Mandailing iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional Perak, Datuk Rusnah Kassim.

Pada majlis itu, Presiden Persatuan Halak Mandailing Malaysia, Ramli Abdul Karim Hasibuan turut memakaikan ulos iaitu sejenis selempang tradisional suku tersebut kepada Ahmad Husni sebagai tanda penghargaan.

Yang turut hadir, Ahli-ahli Majlis Penasihat Mandailing Malaysia, Datuk Ahmad Tamimi Siregar Kamaruddin, Datuk Raduan Md. Taib dan Raja Annuar Datuk Raja Mohamed.

Selain itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Abd. Rahim Uda; bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Mazidah Zakaria dan bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Azumu Tak.

Suasana gembira jelas terasa pada majlis tersebut apabila mereka yang hadir dihiburkan persembahan budaya warisan masyarakat Mandailing iaitu Gordang Sambilan Mandailing dan Tor-Tor Mandailing serta persandingan mengikuti budaya suku itu.

Tetamu dihidangkan dengan jamuan makan tengah hari makanan tradisional Mandailing termasuk gulai pucuk ubi tumbuk, rendang, lemang dan kuih-muih tradisional.

Ketika ditemui, Ramli berkata, majlis tersebut diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat berketurunan suku Mandailing dari seluruh negara terutamanya yang berada di Perak.

Menurut beliau, lokasi majlis itu diadakan juga amat signifikan kerana di situlah lahir ramai tokoh negara khususnya, Aminuddin Baki yang mendapat jolokan 'Bapa Pendidikan Malaysia'. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved