Selasa, 3 September 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Mahkamah tolak permohonan hina mahkamah ke atas Kosmo!

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan tiga tertuduh dalam perbicaraan kes penculikan kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar untuk mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap penerbit akhbar Kosmo! atas dakwaan mengeluarkan dua artikel yang didakwa mengelirukan dan prejudis.

Hakim Kamardin Hashim memutuskan demikian selepas bersetuju dengan hujah penerbit akhbar tersebut yang dinamakan sebagai responden bahawa permohonan itu dibuat tanpa mengikut peruntukan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Beliau turut memerintahkan pemohon-pemohon, Chong Tat Siong dan dua rakannya, Foong Khar Fai serta Lee Phak Seng untuk membayar kos sebanyak RM3,000 kepada penerbit Kosmo!.

Ketiga-tiga tertuduh terbabit selaku pihak pemohon memfailkan permohonan tersebut pada April lalu mendakwa dua artikel bertarikh 17 dan 18 April lalu telah memberikan gambaran, kesemua mereka merupakan penjenayah di dalam kes terbabit.

Pihak pemohon turut mendakwa kedua-dua artikel terbabit telah memberikan stigma buruk dan menimbulkan prejudis terhadap mereka.

Oleh itu ketiga-tiga lelaki terbabit memohon Kosmo! menyiarkan permohonan maaf di atas kekeliruan dan membuat pengakuan atas kesilapan akibat salah lapor.

Penerbit akhbar Kosmo! dalam afidavitnya bertarikh 10 Jun lalu menyatakan permohonan terbabit perlu ditolak ekoran kesemua pemohon tidak mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding pengkomitan.

Pemohon-pemohon juga tidak pernah memberikan sebarang notis atau memperincikan sebarang butiran tentang perkara yang didakwa sebagai pemberitaan salah dan prejudis.

Pada prosiding hari ini, peguam Mohd. Izral Khairy hadir mewakili Kosmo! manakala kesemua pemohon diwakili peguam, Zamri Ibrahim.

Turut hadir ialah Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin dan Pengurus Jabatan Pengarang, Syed Agil Syed Jaafar.

Tat Siong, 24, yang bekerja sendiri; Khar Hai, 20, penjual telefon bimbit, Khar Fai dan Phak Seng, 24, penganggur bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, didakwa menculik kanak-kanak berkenaan yang kini berusia 13 tahun bagi mendapatkan wang tebusan RM300,000.

Kejadian didakwa berlaku di hadapan sekolah itu, di Jalan Kiara 1, Mont Kiara pada pukul 7.30 pagi, 27 April 2012.

Nayati dibebaskan penculiknya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rawang 3 Mei tahun lalu, seminggu selepas diculik di hadapan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara.

Perbicaraan kes culik itu akan bersambung pada 21 Oktober ini.

Eksekutif GLC didakwa beri keterangan bercanggah

Posted: 03 Sep 2013 11:11 AM PDT

SHAH ALAM 3 Sept. - Seorang pegawai eksekutif syarikat milik kerajaan (GLC) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi keterangan bercanggah dalam perbicaraan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua tahun lalu.

Menurut kertas pertuduhan, Mohd. Fazly Samsuri, 34, didakwa memberi keterangan yang tidak selaras dengan pernyataan sebelum ini kepada pegawai-pegawai SPRM semasa perbicaraan kes Pendakwa Raya melawan empat individu termasuk seorang wanita.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Mohd. Fazly di Mahkamah Sesyen Jenayah 9 di sini pada 29 November 2011.

Lelaki itu didakwa telah memberi keterangan kepada Penolong Kanan Penguasa SPRM, Rosfiza Hashim dan Penolong Penguasa SPRM, Azeem Hafeez Jamaluddin di pejabat SPRM Selangor pada 5 Oktober 2010 dan 24 November 2011.

Pernyataan-pernyataan itu berhubung penggunaan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan akaun tertuduh yang melibatkan adik tertuduh yang juga merupakan seorang daripada individu yang dituduh di dalam perbicaraan tersebut, Mohamad Izuwanshah Samsuri.

Selain Mohamad Izuwanshah, tiga individu lain yang turut dibicarakan bersama ketika itu ialah Nor Shahazlina Sulaiman, Mohamad Huzzail Ahmad dan Md. Shahrizal Che Dan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Lokman Kasim mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 27 (2) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Keempat-empat individu tersebut merupakan pegawai Imigresen yang telah dihukum penjara 12 tahun dan denda RM361,400 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada September tahun lalu setelah didapati bersalah memperoleh rasuah daripada pemandu feri dan orang perantara melibatkan nilai keseluruhan RM86,850 pada 2010.

Kesemua tertuduh yang ketika kejadian bertugas di bahagian Perkapalan Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang didakwa memperoleh wang suapan itu yang dimasukkan ke dalam akaun mereka atau individu lain sebagai upah bagi memudahkan urusan kemasukan penumpang warga Indonesia ke negara ini tanpa perlu mematuhi syarat ditetapkan.

Dalam pada itu, Lokman mencadangkan supaya Mohd. Fazly diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Namun peguam, Iskandar Putra Ishak yang mewakili Mohd. Fazly memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM5,000 dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan isteri dan anak.

Hakim Slamat Yahya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved