Selasa, 3 September 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Lebih banyak CCTV pada 2015

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin diberi penerangan oleh Ismail Yatim mengenai CCTV ketika menghadiri taklimat mengenainya di IPD Nusajaya, semalam.

JOHOR BAHRU 2 Sept. - Dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan di Iskandar Malaysia sekali gus menyediakan persekitaran selamat, sebanyak 1,467 kamera litar tertutup (CCTV) dengan kos RM245 juta akan dipasang dalam lima fasa menjelang 2015.

CCTV berteknologi tinggi itu mempunyai kemampuan antaranya membuat pengecaman wajah, melakukan zoom optikal sebanyak 37 kali iaitu dapat merakam imej kecil dari jauh dan memantau aktiviti orang ramai dalam parameter ditetapkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemasangan CCTV itu selaras dengan fokus utama disuarakan rakyat yang mahukan persekitaran selamat menerusi kaji selidik Suara Hati Johor yang dijalankan kerajaan negeri.

Menurutnya, Polis Kontinjen Johor dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sudah pun memulakan pemasangan sebanyak 250 CCTV dan dijangka memulakan operasi pada Oktober ini.

"Bagi fasa pertama, CCTV itu akan dipasang di kawasan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah dengan pusat kawalan terletak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya dan Johor Bahru Utara melibatkan beberapa kawasan panas yang dikenal pasti.

"Fasa kedua yang dijangka beroperasi Januari tahun depan pula melibatkan pemasangan 165 CCTV di kawasan Majlis Perbandaran Kulaijaya dan dikawal IPD Kulaijaya," katanya dalam lawatan kerja ke pusat kawalan CCTV di IPD Nusajaya, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia, R. Vidyananthan; Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim dan Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga dalam proses memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat bagi membolehkan fasa ketiga pemasangan CCTV teknologi tinggi di kawasan pelaburan dan yang pesat membangun itu dapat dimulakan.

Dalam pada itu, tambahnya, di Iskandar Malaysia juga terdapat lebih 100,000 CCTV yang dipasang pemilik premis atau orang persendirian dan daripada jumlah itu sebanyak 1,221 CCTV dikenal pasti boleh dihubungkan dengan pusat kawalan polis.

Minta Kerajaan Pusat siapkan segera IPD Nusajaya

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

JOHOR BAHRU 2 Sept. - Kerajaan negeri meminta Kerajaan Pusat mempercepat proses pembinaan bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya baharu di kawasan yang dikenal pasti berdekatan Kota Iskandar di Nusajaya di sini.

IPD Nusajaya yang kini beroperasi di kawasan rumah kedai di Bukit Indah di sini, bakal dipindahkan ke bangunan baharu yang bakal dibina di atas tapak seluas 8.1 hektar dengan kos dianggarkan sebanyak RM100 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha memindahkan IPD Nusajaya ke bangunan baharu itu bersesuaian dengan keperluan Nusajaya sebagai kawasan yang membangun dengan pelbagai kemajuan dan pelaburan.

"Kita minta usaha membina IPD Nusajaya yang baharu itu dapat dipercepatkan," katanya kepada pemberita dalam lawatan kerja ke pusat kawalan kamera litar tertutup (CCTV) di IPD Nusajaya, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia, R. Vidyananthan; Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kini terdapat sebanyak 13 IPD di seluruh negeri dan sebanyak dua IPD lagi bakal dibuka masing-masing IPD Pengerang dan IPD Yong Peng dalam usaha memantapkan lagi tahap keselamatan di kawasan terlibat.

Tambahnya, usaha tersebut juga mampu meningkatkan keberkesanan polis dalam menjaga keselamatan di tempat terlibat selain mengeratkan hubungan antara polis dan orang awam menerusi pelbagai pendekatan.

"Dalam lawatan kerja hari ini saya diberi taklimat mengenai tahap keselamatan di Johor selain usaha yang giat dijalankan polis dalam menangani sebarang bentuk jenayah dan saya berpuas hati dengan komitmen mereka di negeri ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved