Selasa, 3 September 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


UDA beri tempoh setahun

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusankota.com.my

Johari Abdul Ghani
Pengerusi UDA Holding Berhad

KUALA LUMPUR 2 Sept. - UDA Holding Berhad memberi tempoh setahun kepada 42 penyewa di Kompleks Pertama di sini bagi melangsaikan tunggakan sewa mereka.

Pengerusinya, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan penyewa terlibat dalam tempoh terdekat bagi mendapat maklum balas mengenai tawaran tersebut.

"Kita akan tanya mereka jika terdapat sebarang kesulitan untuk membayar tunggakan dalam tempoh setahun dan sekiranya ada kita akan sama-sama mencari jalan terbaik untuk mengatasi perkara itu.

"Seorang penyewa mempunyai tunggakan kira-kira RM20,000 dan saya berasa mereka mampu selesaikan tunggakan tersebut dalam tempoh diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka UDA Holding Bhd. bersama penyewa Kompleks Pertama di sini hari ini.

Menurutnya, pihak penyewa mahupun UDA mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing yang perlu dimainkan.

"Tindakan penyewa yang tidak membayar sewa menyebabkan pihak UDA terpaksa membayar caj perkhidmatan dan ini menambahkan beban hutang kepada pihak UDA.

"Oleh itu kerjasama antara penyewa dan UDA amatlah penting bagi memastikan peniaga Bumiputera dapat terus menjalankan perniagaan di sini," katanya.

Tambahnya, jumlah keseluruhan tunggakan penyewa kira-kira RM500,000.

"Kita juga akan mengadakan promosi bagi membantu penyewa yang mempunyai tunggakan sewa ini bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan," tambahnya.

Penduduk tanggung derita

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 2 Sept - Kewujudan gerai haram berhampiran Pangsapuri Desa Tasik Fasa 1A, Sungai Besi di sini terus menimbulkan kebimbangan penduduk.

Mereka mendakwa kegagalan pihak berkuasa tempatan memantau kegiatan itu menyebabkan peniaga semakin bermaharajalela sehingga penduduk terpaksa menanggung sengsara.

Selain kesesakan lalu lintas, penduduk turut berhadapan dengan masalah keselamatan dan kebersihan ekoran pasar malam yang dibuka di kawasan berhampiran.

Timbalan Pengerusi Persatuan penduduk, Rusli Ismail berkata, aduan berkaitan sudah dikemukakan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun tidak ada sebarang tindakan diambil.

Menurutnya, penduduk tidak ada niat menutup periuk nasi peniaga terlibat, namun apa yang perlu diutamakan soal keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan itu.

Kesesakan di kawasan itu berlaku terutama pada waktu puncak bermula dari pukul 7 pagi dan 6 petang.

Sejak pasar malam itu beroperasi peniaga dan pengunjung dengan sewenang-wenangnya meletakkan kereta mereka di kawasan pangsapuri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai sesi bantahan penduduk pangsapuri berkenaan berhubung kewujudan gerai haram dan operasi pasar malam di Pangsapuri Desa Tasik Fasa 1A, Sungai Besi di sini.

Pemandu teksi, R.Thavarajoo, 57 pula berkata, kesesakan di situ sering menyukarkan dia untuk mengambil dan menurunkan penumpang di kawasan berhampiran.

Katanya, disebabkan kesesakan tersebut dia terpaksa mengambil masa antara 20 minit hingga setengah jam untuk pergi ke pekan Sungai Besi yang jaraknya kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Laluan di sini sangat sempit sehingga ada ketikanya saya terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari kawasan pangsapuri.

Turut meluahkan perasaan sama, Tan Chin Tian, 63.

Katanya, kesesakan lalu lintas merupakan masalah utama yang terpaksa dihadapi penduduk di situ.

Pihak berkuasa perlu turun padang dan melihat sendiri bagaimana kesesakan di kawasan ini.

Keadaan ini benar-benar menyusahkan," katanya.

Gangguan air: Capai tahap 96 peratus pemulihan

Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT

Penduduk Pangsapuri Mesra Ria, Taman Pandan Mesra, Ampang beratur panjang untuk mengambil air dari lori tangki Syabas akibat masalah ketiadaan air sejak Jumaat lalu - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Beberapa kawasan di Lembah Klang yang mengalami gangguan air ekoran tumpahan minyak diesel di Sungai Selangor kini sudah mencapai tahap pemulihan 96 peratus secara berperingkat meskipun terdapat beberapa kawasan yang masih mengalami tekanan air rendah.

Menurut Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Priscilla Alfred, tujuh kawasan yang mengalami gangguan bekalan air itu ialah Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

"Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, hanya empat kawasan iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam dan Gombak masih mengalami tekanan air rendah manakala bekalan air telah kembali pulih sepenuhnya di kawasan-kawasan di Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, pencapaian ini

hasil dari usaha berterusan pihak Syabas memantau dan mengendali urus program pemulihan bekalan air termasuk mendapatkan kerjasama dari operator loji rawatan air berkenaan bagi mengoperasikan loji-loji rawatan air tersebut ke tahap maksima dan overload selepas ianya beroperasi semula.

"Oleh yang demikian, jumlah akaun pengguna yang terjejas telah menurun pantas kepada 63,390 akaun yang merupakan hanya 4.2 peratus daripada jumlah akaun pengguna yang terjejas sebelum ini berbanding dengan kira-kira sejumlah 880,000 akaun atau pun 60 peratus sepertimana dilaporkan sebelum ini pada Sabtu lalu," katanya.

Menurutnya, antara kawasan di wilayah Klang/Shah Alam yang terjejas ialah Batu 3,Shah Alam, Seksyen 25 hingga 28 Shah Alam dan Kampung Kebun Bunga.

Bagi wilayah Gombak kawasan terlibat ialah Ampang Jaya, Bandar Baru Ampang dan Taman Sri Rampai.

Turut terjejas wilayah Petaling di Desa Petaling, Salak Selatan dan Bandar Puchong Jaya.

"Bagi wilayah Kuala Lumpur pula kawasan terjejas meliputi sebahagian kawasan Bukit Damansara, Jalan Setiabudi 12 dan Jalan Setiarasa 13," katanya.

Pada Jumaat lalu, empat loji rawatan air (LRA) yang diuruskan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd. dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd (Splash) terpaksa dihentikan sementara operasinya akibat pencemaran tumpahan minyak diesel yang berlaku di hulu sungai di sekitar kawasan Rawang.

Menurut Priscilla, berikutan penurunan jumlah akaun pengguna yang terjejas itu, Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Merah yang telah diaktifkan sejak Jumaat lalu diturunkan kepada ERP Kod Kuning berkuatkuasa pada pukul 10 pagi hari ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved