Khamis, 8 Disember 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Muzium Geologi pertama Perak

Posted:

Muzium Geologi pertama Perak

Muzium Geologi pertama Perak

Oleh ANI AWANG
pengarang@utusan.com.my


Douglas Unggah Embas (kanan) melihat jenis-jenis batu yang dipamerkan di Muzium Geologi di Kompleks Jabatan Geologi dan Geosains Malaysia di Ipoh, baru-baru ini.


IPOH 7 Dis. - Kepentingan muzium menjadi salah satu faktor pemangkin dalam memajukan sektor pelancongan dan maklumat kepada rakyat di negara ini khususnya di Perak.

Ini kerana sumbangan muzium penting dalam menyebarkan khazanah ilmu pengetahuan dari zaman pra-sejarah dan sekarang amat berguna kepada generasi baru.

Justeru, Jabatan Geologi dan Geosains Malaysia (JMG) mengambil inisiatif mewujudkan sebuah muzium sejarah perlombongan di sini.

Bangunan muzium yang baru dinaik taraf membabitkan peruntukan RM1.3 juta itu menjadi satu-satunya muzium yang berperanan sebagai pusat pendidikan dan pembelajaran geologi dan geosains di negara ini.

Muzium itu mempamerkan pelbagai galian dan mineral serta sejarah aktiviti berkaitan.

Antara koleksi yang menarik dipamerkan adalah pelbagai spesimen fosil, batuan, mineral dan batu permata yang kebanyakannya diperolehi dalam negara sejak beberapa tahun lalu.

Turut dipamerkan koleksi sampel kasiterit (bijih timah) yang ditemui dalam lombong yang menggunakan kaedah perlombongan bijih timah secara palung di negara ini.

Input dan sumbangan geologi terhadap pembangunan infrastruktur utama, peningkatan taraf sosioekonomi dan promosi geopelancongan juga dipamerkan kepada pengunjung.

Ketua Pengarah JMG, Datuk Yunus Abdul Razak berkata, muzium itu dinaik taraf dalam dua fasa sejak ia diwujudkan pada 1957.

Menurutnya, ia dinaik taraf dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bertujuan meningkatkan pengetahuan rakyat dan merancakkan aktiviti pelancongan khususnya di negeri itu.

Beliau berkata, kerja ubahsuai bagi fasa pertama membabitkan peruntukan berjumlah RM485,000 dibangunkan dalam tempoh dua tahun pada 2007 manakala fasa kedua membabitkan RM723,000 pada 2010 hingga kini.

"Fasa kedua dan yang terakhir ini membabitkan kerja-kerja reka bentuk dalaman ruang pameran muzium dalam mewujudkan sejarah perlombongan sejajar dengan konsep kemajuan teknologi maklumat mineral dan geologi negara," katanya pada majlis perasmian Muzium Geologi di Kompleks JMG di sini baru-baru ini.

Majlis perasmian muzium itu disempurnakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Yunus berkata, pembukaan muzium tersebut yang setaraf dengan muzium-muzium lain di Malaysia, mampu melahirkan masyarakat yang cintakan ilmu pengetahuan.

Kata beliau, muzium itu juga akan menjadi sebagai pusat penyelidikan yang mampu mengadunkan warisan dan teknologi melalui mekanisme yang mampu membawa perubahan sosial dan pembangunan masyarakat di negeri itu.

Menurutnya, pihaknya bercadang mewujudkan jawatan kurator bagi memudahkan pengunjung dan telah memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mendapatkan kelulusan.

Katanya, kemudahan yang ada di muzium terbuka secara percuma kepada orang awam tetapi ia hanya beroperasi dari Isnin hingga Jumaat sahaja kerana ia ditutup pada Sabtu dan Ahad serta cuti umum.

Full content generated by Get Full RSS.

Tingkatkan aktiviti mengumpul maklumat

Posted:

Tingkatkan aktiviti mengumpul maklumat

Tingkatkan aktiviti mengumpul maklumat

IPOH 7 Dis. - Kakitangan Jabatan Geologi dan Geosains Malaysia (JMG) diminta meningkatkan aktiviti mencari, mengumpul, menyelamat dan memulihara warisan mineral dan geosains untuk membolehkan maklumat dan mendokumentasikan kepada umum.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, dengan cara itu akan membolehkan penemuan baru diterbitkan dalam bentuk buku, monograf, jurnal dan sebagainya untuk diedarkan dan disalurkan kepada masyarakat.

Katanya, ia dapat melahirkan masyarakat yang cintakan ilmu pengetahuan dan peka terhadap sejarah mineral dan geosains.

Selain itu, katanya, orang awam yang mempunyai koleksi mineral dan geosains yang menarik dalam simpanan juga diminta menghadiah atau meminjamkannya kepada muzium kerana bermanfaat jika dipamerkan kepada umum.

Katanya, Ketua Pengarah JMG akan mengkaji jumlah bayaran yang mungkin boleh dibayar kepada individu yang meminjamkan bahan tersebut kepada jabatan berkenaan.

"Usaha ini bertujuan membangunkan sebuah Muzium Geologi yang lebih besar dan gah, setanding dengan sumbangan sumber mineral kepada pembangunan ekonomi negara sejak awal aktiviti perlombongan," katanya sewaktu merasmikan muzium JMG di sini.

Douglas berkata, Muzium Geologi itu didirikan pada 1957 dan didaftarkan sebagai Muzium Institusi serta disenaraikan sebagai salah sebuah muzium di negara ini.

Beliau berkata, program menaik taraf muzium itu adalah sebahagian daripada projek pembangunan kerajaan yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk meningkatkan pengetahuan rakyat dan merancakkan lagi aktiviti pelancongan, khususnya di Perak iaitu negeri yang kaya dengan sejarah perlombongan.

"Dana untuk menaik taraf muzium iaitu RM1.3 juta diakui agak kecil, tetapi apa yang lebih penting, pihak JMG dapat menyediakan sebuah muzium yang bermaklumat dan memenuhi kehendak pengunjung," ujarnya.

Bagi menjadikan muzium itu sebagai penyebar maklumat dan mendidik masyarakat, Douglas berkata, JMG perlu merancang pelbagai tema pameran serta menyertai pameran di tempat lain termasuk juga di sekolah untuk menarik minat orang ramai ke muzium.

"Tanpa muzium, sejarah dan warisan negara yang tidak ternilai harganya tidak dapat dipertahankan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

2013-2015 Tahun Sukan Pelancongan Perlis

Posted:

2013-2015 Tahun Sukan Pelancongan Perlis

2013-2015 Tahun Sukan Pelancongan Perlis

KANGAR 7 Dis. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan sektor pelancongan sukan diberi tumpuan sebagai sektor baharu yang boleh menjana ekonomi.

Titah baginda, melalui penganjuran sukan bertaraf besar, kerajaan negeri akan dapat menggamit kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Titah baginda, ia secara tidak langsung bakal menyumbang kepada pertambahan ekonomi rakyat dan negeri ini.

Bertitah merasmikan Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa Tuanku Syed Putra (Perlis/Milo) 2011 ke-31 di sini malam semalam, baginda mencadangkan agar Kerajaan Perlis mempromosikan 2013 sehingga 2015 sebagai Tahun Sukan Pelancongan Perlis.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan juga Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Ini kerana beberapa acara sukan utama akan berlangsung di Perlis dalam tempoh itu, termasuk juga temasya Sukan Malaysia pada 2014 di samping penganjuran tahunan acara-acara sukan seperti tenis, wodball dan golf dan pelbagai sukan lain yang mendapat sambutan hangat daripada para peserta.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, Perlis mempunyai prasarana yang sempurna bagi beberapa acara sukan selain menyediakan tempat penginapan yang mencukupi melalui kerjasama daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah di seluruh negeri.

Selain itu, titah baginda, sukarelawan sukan juga mencukupi berdasarkan penyertaan yang diberi pada setiap kali acara sukan dianjurkan sebelum ini.

Titah baginda, Perlis juga menawarkan kos penganjuran yang sangat kompetitif, selain mempunyai panorama yang indah sebagai tarikan pelancongan di samping menawarkan peluang melawat kawasan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand.

Selain itu, baginda juga yakin sektor tersebut boleh memperkenalkan nama Perlis ke luar negara dan pada masa yang sama akan menggalakkan rakyat menjadikan sukan sebagai satu budaya hidup baru yang akan meningkatkan mutu kesihatan mereka.

Sehubungan itu, baginda turut berharap lebih banyak penaja dapat membantu menjayakan penganjuran sukan bersaiz besar di negeri ini.

Sementara itu, kejohanan tenis remaja antarabangsa yang diperkenalkan sejak 1981 itu disertai oleh hampir 400 peserta, termasuk dari Korea Selatan, Afrika Selatan, Indonesia, Turkmenistan, Jepun, Thailand, Singapura, Uzbekistan dan Amerika Syarikat.

Kejohanan lima hari anjuran kerajaan negeri Perlis dan Persatuan Tenis Perlis itu berlangsung di beberapa gelanggang utama di sekitar Kangar sejak Ahad lalu.

Kejohanan kategori perseorangan lelaki dan perempuan serta beregu itu akan membabitkan acara mengikut peringkat umur di bawah 8, 10, 12, 14 dan juga 16 tahun. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved