Khamis, 8 Disember 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Budaya taksub bahayakan Islam

Posted:

Budaya taksub bahayakan Islam

Budaya taksub bahayakan Islam

Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

KONTROVERSI menyamakan seorang ulama politik sebagai nabi dan sikap ulama itu yang tidak mahu bertanggungjawab atas kesan gesaan politiknya ibarat putaran ganas politik sempit dan kejumudan pemikiran.

Seluruh umat Islam di Malaysia terpinga- pinga, apakah gejala yang mengiktiraf seseorang yang dipuja itu layak diberikan sama taraf dengan nabi walhal sudah jelas tiada lagi nabi selepas wafatnya baginda Rasullullah SAW pada tahun 632 M.

Bila mereka yang berkenaan sendiri setelah mengetahui berita sesat tersebut dan tidak mahu bertanggungjawab atau tidak mahu menafikan hakikat itu, bererti dia juga bersubahat dengan penyebar berita tersebut.

Kedua-duanya umpama 2 x 5 dalam menyebarkan berita tidak benar. Sekiranya seseorang itu benar-benar tidak mahu bertanggungjawab dengan kenyataan songsang itu pasti dia mampu menolak dan menafikan kenyataan yang bertentangan dengan ajaran Islam itu.

Namun sekiranya mereka sendiri tidak dapat menafikan maka, mereka juga bersubahat dan terlibat dalam berita tersebut. Ini kerana hasil benih kefahaman yang disemai dalam ajaran yang selama ini adalah hasil tanaman kefahaman taksub yang disemai dalam ajaran politik sesetengah kumpulan untuk memperjuangkan fahamannya sendiri.

Apabila ada pihak yang mendakwa dirinya sebagai nabi atau berstatus nabi atau ada orang lain memberikan taraf seseorang yang dilihatnya beragama, warak dan menjadi pemimpin sebagai nabi, umat Islam terus bangkit mempersoalkannya kerana mereka tidak boleh menerimanya.

Kecaman terdengar di mana-mana tetapi malangnya tokoh ulama politik itu tidak menyalahkan sebarang isi kandungan bahan ceramahnya telah lama membeku dalam pemikiran penyokong-penyokong taksubnya.

Masyarakat umum menyedari bahawa komuniti politik agama yang dibentuknya tidak ubah seperti sebuah perjuangan messaniah, perjuangan menggunakan agama sebagai kemuncak memperoleh dan mengekalkan kuasa.

Dalam Islam, tradisi kepatuhan dan keyakinan seseorang adalah sesuatu yang amat besar pengaruhnya, kerana kedua budaya itu melambangkan tahap keinsanan tinggi, iaitu memahami adanya pelindung yang lebih besar dan kuat iaitu Allah SWT.

Dalam memahami konteks hubungan tersebut itulah lahirnya pemimpin agama sekali gus politik yang membawa falsafah bahawa setiap apa yang diutarakan itu sebagai ajaran Islam, sedangkan sebenarnya, ia pandangan peribadinya sendiri.

Dalam situasi politik agama yang berlaku beberapa dekad lalu jelas membuktikan kerana mahukan sokongan besar, pemimpin politik agama itu sanggup "menipu, berbohong" dan memanipulasikan keyakinan khalayaknya dengan pendekatan politik menghalalkan apa sahaja, asalkan matlamatnya tercapai.

Al-Quran memberikan panduan jelas, bahawa sesuatu bentuk ketaatan dan keyakinan yang tulus ikhlas hanyalah kepada Allah, nabi-nabi dan pihak penguasa. Kerana tokoh politik agama itu merupakan pemimpin yang menguasai sebahagian wilayah tertentu, kegagalannya banyak dipersoalkan oleh khalayak pengundinya, maka dengan cara mengangkat martabat menyamai "nabi" mampu mengetepikan sedikit pengaruh buruknya.

Asas ketaatan yang disungguhkan dalam pendekatan Islam ialah melaksanakan segala bentuk kebaikan dan meninggalkan segala bentuk kemungkaran kerana semua orang adalah ibarat nadi dan sendi dalam kehidupan berorganisasi.

Tanpa ketaatan sesebuah organisasi akan mengalami keruntuhan, maka kerana sudah membayangkan bakal berlakunya kehancuran dalam organisasi yang dipimpinnya, khalayak politiknya semakin beralih arah kerana organisasi tandingannya semakin menyerlah, pragmatik dan menjiwai kepentingan awam, maka dengan menghidupkan jiwa taksub akan boleh menyelamatkan kedudukan politiknya.

Ketaatan yang hendak disuburkan dalam Islam adalah sentiasa mencari keredaan-Nya dalam segala bentuk, masa dan keadaan, kerana hidup mati kita adalah bergantung kepada ihsan-Nya.

Penggunaan istilah taat telah dimanupulasikan menyamai konsep taksub, sedangkan kedua-duanya mempunyai persimpangan yang terlalu jauh walaupun pada mulanya bertolak pada asas yang sama.

Taksub membawa makna sebagai ketaatan melulu manakala taat ialah kepatuhan terhadap hakikat dan iradat, sesuai dengan peraturan, prosedur dan ketentuan-ketentuan yang digariskan oleh sesuatu sudut kepercayaan.

Ketaatan kepada pemimpin, meskipun diberikan kedudukan yang tinggi ia tetap tertakluk dengan nilai-nilai pragmatik yang ada padadiri pemimpin itu sendiri.

Meskipun seseorang pemimpin itu dilihat warak dari segi pengetahuan agama, tetapi amalan setiap hari tidak menepati asas agama, khalayak berhak untuk tidak mentaatinya kerana boleh mendatangkan mudarat dan kemusnahan.

Dalam pengertian taksub, khalayak tidak boleh mempersoalkan apa pun, termasuk cara pemimpin mereka bertindak dan memberikan pendapat, kerana perbezaan itu akan dinilai sebagai "penderhaka" sedangkan pemimpin itu sendiri sudah menunjukkan tanda penderhakaan agama yang besar dan kelakuannya sentiasa berselindung di sebalik ungkapan agama untuk membungkuskan tabiat penderhakaannya.

Khalayak taksub memangnya disorot secara jelas dalam al-Quran kerana mereka adalah golongan yang amat bahaya kepada Islam. Ketaatan membuta-tuli itulah akhirnya berupaya melanggar nilai dan etika yang ditetapkan, termasuk apabila mempercayai bahawa tokoh politik agama itu sebagai "orang keramat".

Setiap orang berlumba-lumba untuk mendapat keberkatannya, termasuk makan dalam bekas makanan tanpa dibasuh terlebih dahulu, mengambil barang-barang kepunyaannya dan menaja apa yang sahaja yang dimahukannya. Kerana mempunyai sikap taksub, fikiran dan hati seseorang akan tertutup. Jiwanya dipenuhi gelombang kesumat sehingga tidak lagi nampak kebaikan dan kesegaran pemikiran orang lain. Kerana itulah setiap kali membuat pandangan, seringkali mencela, mengecam, dan menghina seolah-olah dirinya sahajalah yang maha sempurna dan tinggi beragama.

Itulah bahaya yang perlu diawasi, ditolak dan ditentang oleh setiap umat Islam, kerana tiada lagi nabi selepas wafatnya nabi terakhir sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT, dan pengakuan Rasullullah SAW sendiri, bahawa "tiada lagi nabi selepasku."

Nabi-nabi yang muncul selepas itu ialah nabi-nabi palsu. Ajaran yang dikumandangkan oleh nabi-nabi palsu itu tidak akan membawa manusia ke kehidupan yang lebih baik, sejahtera dan harmoni. Ajaran nabi-nabi palsu sesat dan banyak berdasarkan kepada keinginan untuk berkuasa, dan mendominasi semua manusia, kerana dialah seorang yang terhebat, terbaik dan bermoral. Sedangkan dakwaan itu sendiri sudah mengandungi ketidakjujuran, pembohongan dan kejumudan.

Full content generated by Get Full RSS.

Penjagaan kesihatan mental pesakit HIV/AIDS

Posted:

Penjagaan kesihatan mental pesakit HIV/AIDS

Penjagaan kesihatan mental pesakit HIV/AIDS

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

SUDAH hampir 30 tahun penyakit AIDS dan jangkitan HIV bertapak di negara ini dan masyarakat kita sudah amat maklum dan mengetahui apakah sebenarnya jangkitan ini, bagaimana ia boleh tersebar dan kesan tragis yang bakal dibawa dengan penyakit ini.

Bagaimanapun hakikatnya, jangkitan HIV masih lagi meningkat, walaupun rawatan yang ada dapat mengurangkan kesan buruk komplikasi HIV/AIDS, namun masyarakat belum boleh merasa selesa dengan perkara ini.

Masih banyak perlu dilakukan dalam mempertingkatkan aspek pencegahan penularan dan jangkitan virus ini kepada orang lain.

Malah, dari segi rawatan dan penjagaan kesihatan penyakit ini, aspek utama pemulihan belum menyeluruh, kerana ia masih tertumpu di peringkat pemulihan aspek biologi dan fizikal sahaja. Sedangkan sebagai seorang individu, pesakit menyedari bahawa wujud keperluan mengisi segala ruang kekosongan demi pemulihan diri secara total, meliputi aspek mental, emosi, sosial, ekonomi dan spiritual.

Tetapi perkara inilah yang sering tidak menjadi keutamaan dalam aspek pemulihan. Apabila wujudnya keperluan seperti ini, menunjukkan proses pemulihan tidak wajar tertumpu di satu-satu aspek diri individu pesakit, pada peringkat tertentu kehidupan mereka atau melibatkan sesebuah agensi masyarakat sahaja. Ia mungkin akan menjadi tanggungjawab pelbagai peringkat dan agensi lain, malah akan menjadi tanggungjawab seluruh anggota masyarakat.

Kemungkinan besar inilah trennya. Persoalannya, adakah masyarakat kita sudah terbuka fikirannya dan bersedia menyambut dan menerima kewujudan pesakit HIV/AIDS di dalam lingkungan kehidupan mereka, atau sebahagian dari anggota masyarakat mereka?

Sudah pasti akan timbul pelbagai persoalan dan jawapan, namun perlu diingat, setiap individu yang ada sekarang ini berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan HIV yang biasanya atau secara sinonimnya akan berakhir dengan penyakit AIDS.

Kajian epidemiologi mendapati jangkitan HIV/AIDS kini turut menjangkiti golongan tidak berisiko tinggi terlibat dengan gaya hidup dan tingkahlaku negatif dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan. Ia turut menjangkiti suri rumah sepenuh masa, kanak-kanak yang tidak bersalah, yang masih lagi di peringkat awal persekolahan seperti di tadika dan taska.

Apakah masyarakat masih lagi tergamak untuk memandang serong kepada golongan seperti ini? Adakah masyarakat masih lagi takut, gentar atau malu untuk berdepan dengan mereka?

Inilah di antara beberapa stigma yang masih wujud dan melanda pemikiran anggota masyarakat dalam menghadapi isu ini yang sewajarnya diperbaiki.

Menghapuskan stigma seperti ini juga merupakan antara objektif mengapa diadakan sambutan Hari Aids Sedunia pada setiap 1 Disember setiap tahun, di samping memperjuangkan hak pesakit untuk mendapatkan rawatan terbaik secara penuh adil serta dapat memperingati insan tersayang yang telah pergi dahulu buat selama-lamanya akibat penyakit ini.

Sementara tema pada peringkat Pertubuhan Bangsa Bersatu atau UNAIDS bagi tahun ini pula menyasarkan matlamat tidak akan ada lagi jangkitan baru HIV di dalam masyarakat, tiada lagi kematian akibat AIDS dan tidak wujud lagi diskriminasi terhadap pesakit HIV/AIDS dan keluarga mereka.

Jika ditinjau dari aspek pemulihan pula, rawatan dan penjagaan kesihatan pesakit bagi pemulihan yang menyeluruh masih jauh untuk dicapai. Kita membicarakan model pemulihan dan rawatan yang menyeluruh bagi segenap aspek dan kejadian individu sebagai seorang insan kamil.

Tidak dinafikan, penjagaan kesihatan moden dan ubatan menunjukkan pencapaian cemerlang dalam meningkatkan tahap kesihatan dan memanjangkan jangka hayat mereka. Tetapi pemulihan sebagai satu proses tidak wajar terhenti apabila mereka keluar dari wad- wad hospital atau klinik. Tambahan pula, aspek penjagaan dan pemulihan masalah kesihatan mental yang pada hakikatnya perlu turut diberi keutamaan, tetapi seringkali terabai berbanding pemulihan fizikal.

Sememangnya sudah banyak kajian dilakukan di banyak negara maju yang mendapati pesakit HIV/AIDS berdepan dengan pelbagai masalah berkaitan kesihatan mental dan pelbagai penyakit neuropsikiatri lain walaupun rawatan diterima berjaya meningkatkan tahap penyembuhan dan memperbaiki kesihatan fizikal mereka.

Namun kualiti kehidupan mereka sebagai seorang individu menurun kerana masalah mental yang tidak dirawat itu. Sudah pasti seseorang yang ditimpa jangkitan dan penyakit ini akan berasa gundah, sedih, kecewa, rasa bersalah, keliru, takut, risau dan bimbang terhadap penyakit dan tahap kesihatan serta masa depan diri dan keluarga mereka.

Bukan setakat itu, jangkitan yang dialami pula akan mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan terhadap otak dan sistem saraf dan ia akan mengakibatkan gangguan neuropsikiatri lain.

Sebahagian besar penghidap dan pesakit HIV/ AIDS akan mengalami kerosakan fungsi kognitif otak mereka yang boleh membawa kepada masalah dementia, ada juga yang mula menghidapi gangguan psikotik yang tidak pernah dialami sebelum mengalami jangkitan ini, dan selebihnya pula mengalami gangguan mood dan efek seperti kemurungan dan kebimbangan serta mania depresif dan sebagainya.

Hasil kajian juga mendapati masalah kesihatan mental mereka menjejaskan proses pemulihan kesihatan fizikal mereka, di samping meningkatkan risiko jangkitan kepada orang lain pula. Malah, kerosakan fungsi kognitif otak yang dialami didapati meningkatkan pula risiko mortaliti di kalangan pesakit seperti ini.

Bagi memastikan masalah kesihatan mental ini tidak berlaku, rawatan awal penting kerana ia dapat menghalang penyakit dari menjadi lebih kronik atau serius dan akhirnya sukar untuk dirawat.

Tetapi adakah semua pesakit memiliki peluang dan hak yang sama untuk menerima rawatan dan ubatan yang sama? Adakah mereka mempunyai kekuatan tubuh badan dan mental yang sama untuk menghadapi situasi seperti ini? Hakikatnya, ujian tapisan bagi menentukan status kesihatan mental di kalangan mereka pula bukannya menjadi amalan ujian rutin dalam menentukan kaedah rawatan terbaik kepada pesakit seperti mereka.

Menjadi tugas dan tanggungjawab siapakah ini untuk memastikan bahawa mereka turut menerima bentuk rawatan dan pemulihan gangguan mental dan emosi yang dialami akibat dari jangkitan ini? Namun program rawatan yang terbaik tetap perlu diaturkan dan diteruskan untuk mereka.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved