Rabu, 23 November 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Instep lahir 8,000 tenaga mahir

Posted:

Instep lahir 8,000 tenaga mahir

Instep lahir 8,000 tenaga mahir

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 22 Nov. – Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) di Batu Rakit dekat sini telah melahirkan lebih 8,000 tenaga mahir dalam bidang petroleum dan gas sejak penubuhannya pada 1981.

Mereka kini berkhidmat dengan syarikat minyak negara dan syarikat-syarikat gergasi lain di serata dunia.

Naib Presiden Pengurusan Sumber Manusia Petronas, Juniwati Rahmat Hussin berkata, keupayaan mereka mencuri perhatian pelbagai syarikat gergasi dunia termasuk Shell, ExxonMobil, Schlumberger dan Yokogawa.

"Mereka ditawarkan ganjaran lebih besar terutama di Timur Tengah bagi kepakaran yang dimiliki," katanya selepas majlis Konvokesyen Instep 2011 baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pendidikan dan Pembelajaran Bahagian Sumber Manusia Petronas, Khairul Azman Yasin; Pengurus Besar Unit Perbendaharaan Petronas, Liza Mustapha dan Ketua Eksekutif Instep, Wan Azhar Lotfi Wan Yusof.

Pada konvokesyen itu, seramai 230 graduan menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Juniwati.

Beliau memberitahu, perkembangan itu bersesuaian dengan peranan Petronas menerusi Instep yang diwujudkan bagi melahirkan tenaga pakar dalam bidang tersebut untuk membangunkan industri gas dan petroleum.

"Kita bukan sahaja melatih mereka untuk bekerja dengan Petronas, sebaliknya membantu membangunkan industri gas dan petroleum negara dengan menyertai syarikat gergasi lain," ujar beliau.

Selain latihan teknikal kepada anak-anak syarikat Petronas, Instep turut menawarkan kepakaran itu kepada kakitangan syarikat-syarikat gergasi seperti ExxonMobil dan Talisman.

"Kita juga melatih ramai juruteknik dari luar seperti Sudan, Iraq, Turkmenistan, Myanmar dan Vietnam. Ini membuktikan kita mendapat pengiktirafan dunia," katanya.

Di samping program latihan, Instep turut menyediakan khidmat runding cara dalam pembelajaran teknikal serta menjalankan program-program penilaian kemahiran teknikal.

Sementara itu pada majlis tersebut, Mohd. Fadzli Radzi diumumkan graduan terbaik PTP 2-pengambilan Januari 2009 bagi bidang elektrikal manakala Nor Hafizah Jamil (instrumentasi), S. Rubanesan (makmal/analitikal), Mohamad Syamsyul Kamar Hasin (mekanikal) dan Zainudddin Abdullah (proses).

Bagi PTP 2-pengambilan Julai 2009, Muhammad Ikhwan Abdul Razak muncul sebagai graduan terbaik elektrikal manakala Rossahrizan Madsah (instrumentasi), Muhammad Fitri Asyraf Meor Rosidi (mekanikal) dan Rusdin Lakuasa (proses).

Full content generated by Get Full RSS.

Misi kemanusiaan UniSZA

Posted:

Misi kemanusiaan UniSZA

Misi kemanusiaan UniSZA


Sukarelawan Universiti Sultan Zainal Abidin mengagihkan bungkusan biskut kepada masyarakat miskin semasa misi kemanusiaan di Kemboja, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 22 Nov. – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini menganjurkan program misi kemanusiaan di Kemboja baru-baru ini bertujuan mendedahkan pelajar dengan aktiviti kemasyarakatan melangkaui sempadan bangsa dan negara.

Jurucakap program, Abdul Rashid Abdul Manaf berkata, program di bawah kendalian Sekretariat Rakan Muda (SRM) UniSZA itu melibatkan usaha membantu golongan yang memerlukan di samping menyelami masalah kehidupan masyarakat di negara luar.

Katanya, program tujuh hari itu disertai 22 pelajar UniSZA, dua pegawai pengiring, dua doktor, dua jururawat sukarela serta artis Akademi Fantasia, Heliza Helmi yang juga Ikon Rakan Muda IPT Zon Timur.

"'Ini merupakan gerak kerja pertama SRM melalui program kemanusiaan dan Kemboja yang masih dihimpit masalah kemiskinan menjadi pilihan," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Abdul Rashid memberitahu, mereka turut meraikan ibadah korban dan aqiqah bersama umat Islam di negara berkenaan dengan menyembelih 33 ekor lembu serta menyumbang 1,400 pek beras.

"Peluang melihat kehidupan pedalaman di Kemboja, terutama di Kampung Ourung serta melawat Kampung Chenang sangat menginsafkan peserta.

"Kami dapat merasai kepayahan hidup di kampung tanpa bekalan air dan elektrik, jalan berdebu dan kemudahan tandas yang daif, jauh terkebelakang berbanding negara kita," ujarnya.

Katanya, empat hari pertama di Kampung Ourung, semua peserta hanya mampu tinggal di rumah ketua kampung itu, Imam Hashim kerana tiada kemudahan penginapan.

"Selain gotong-royong memasak daging korban dan aqiqah, pelbagai aktiviti menarik seperti pemeriksaan kesihatan, pembahagian 370 kain pelikat dan 200 telekung sembahyang, 200 pasang baju Melayu dan baju kurung serta mengecat masjid.

"Sebanyak 30 kanak-kanak memasuki alam dewasa apabila dikhatankan serta menggembirakan yang lain dengan aktiviti mewarna dan dihiburkan dengan wayang pacak," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

USM, universiti Cuba hasilkan alat kesan angin ahmar

Posted:

USM, universiti Cuba hasilkan alat kesan angin ahmar

USM, universiti Cuba hasilkan alat kesan angin ahmar


Pedro Valdes Sosa (tengah) dan Jafri Malin Abdulah (enam dari kanan) bersama peserta mentafsir isyarat di Kampus kesihatan USM Kubang Kerian, baru -baru ini.


KOTA BHARU 22 Nov. - Penyakit angin ahmar atau strok ialah penyakit mati sebahagian badan akibat salur darah ke bahagian otak menjadi sempit atau pecah sehingga boleh mengakibatkan kecacatan kekal kepada penghidap.

Statistik hospital-hospital kerajaan menunjukkan peningkatan ketara pesakit dan kematian akibat angin ahmar.

Lantaran itu, pelbagai kajian dilakukan bagi mengesan penyakit tersebut di peringkat awal supaya langkah-langkah pencegahan dapat diambil bagi mengurangkan risiko jangkitan dan kematian.

Tidak ketinggalan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan dan Pusat Sains Neuro Cuba yang bekerjasama menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan sejenis alat yang dikatakan mampu mengesan penyakit tersebut di peringkat awal serangannya.

Penghasilan alat melalui penyelidikan neuroinformatik itu dapat mengenal pasti peringkat awal serangan penyakit tersebut menerusi isyarat yang diterima daripada perubahan aktiviti sel-sel otak pesakit.

Peralatan kecil dan ringan itu mudah dibawa ke kawasan pedalaman membolehkan pesakit mendapat rawatan seawal mungkin seterusnya meminimumkan risiko serangan pada tahap lebih serius.

Penghasilan alat itu merupakan antara matlamat 'Kursus Mentafsir Isyarat' anjuran USM Kampus Kesihatan dengan kerjasama Akademi Sains Cuba di sini baru-baru ini.

Kursus itu dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Sains Neuro, Cuba, Prof. Pedro Valdes Sosa dan disertai oleh lebih enam saintis tempatan termasuk dari USM, Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Petronas.

Sepanjang empat hari kursus itu diadakan, peserta didedahkan dengan pelbagai kaedah antaranya melibatkan Pengimejan Saluran Magnet (MRI), pengimejan neuro, neuro modalities, mentafsir fungsi data, frekuensi dan frekuensi domain.

Penyelaras kursus, Prof. Jafri Malin Abdulah berkata, kursus itu diadakan berikutan memorandum persefahaman (MoU) antara USM dengan Pusat Sains Neuro Cuba yang ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Datuk Omar Osman sebelum ini.

"Pengenalan kepada kursus berkenaan bertujuan supaya semua ilmu yang dipelajari akan dimanfaatkan untuk kepentingan dan keperluan pesakit. Harapan kami supaya alat yang dicipta kelak dapat dimanfaatkan untuk merawat pesakit," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pengetahuan dan penyelidikan yang dilakukan jika tidak digunakan akan hanya tersimpan begitu sahaja dan maklumat yang diperoleh hasil kerjasama dengan pakar di Cuba akan dimanfaatkan untuk keperluan pesakit di negara ini.

"Sebagai contoh, daripada penyelidikan melibatkan kira-kira 30,000 kanak-kanak di Cuba, sebanyak 21 peratus dikesan mempunyai masalah pembelajaran termasuk disleksia. Apabila masalah itu dikenal pasti, usaha pemulihan dapat dilakukan dan kini sebahagian besar daripada mereka mampu berdikari dan menjadi warga negara berguna," katanya.

Pakar Bedah Neuro Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) itu berkata, dengan kecanggihan teknologi terkini, banyak masalah dan penyakit dapat dikenal pasti pada peringkat lebih awal seterusnya membolehkan usaha-usaha pencegahan dilakukan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved