Rabu, 23 November 2011

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Lapan tahun tunggu rumah siap

Posted:

Lapan tahun tunggu rumah siap

Lapan tahun tunggu rumah siap

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my


Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli RKR Peter Brickworks E PJS 1, M.Sugumaran (kiri) bersama beberapa penduduk menunjukkan tanah yang sepatutnya dibangunkan rumah mereka di Petaling Jaya, baru-baru ini.


PETALING JAYA 23 Nov. – Penantian selama lapan tahun bukan satu tempoh yang singkat, namun itulah jangka masa yang sudah dilalui oleh pembeli Rumah Kos Rendah (RKR) Peter Brickworks E PJS 1 dekat sini yang masih terbengkalai sehingga kini.

Bukan itu sahaja, penduduk juga terpaksa hidup dalam keadaan tertekan kerana menanggung pelbagai kos termasuk bayaran rumah sewa dan faedah bank setiap bulan.

Malahan, nasib pembeli yang tinggal di rumah panjang Peter Brickworks juga amat menyedihkan kerana terpaksa tinggal di rumah yang serba kekurangan dan tidak disenggara oleh pihak yang bertanggungjawab.

Seorang pembeli, M. Subramaniam, berkata, dia sudah tinggal di rumah panjang itu selama 14 tahun kerana menunggu rumahnya yang masih tidak menunjukkan tandatanda bila ia akan dibina.

Katanya, keadaan rumah itu juga sudah daif kerana terdapat banyak keretakan, bumbung yang bocor serta dilanda banjir kilat setiap kali hujan.

"Kira-kira 30 buah keluarga terpaksa tinggal di rumah panjang ini kerana rumah kami yang dijanjikan dahulu masih lagi terbengkalai.

"Keadaan rumah panjang ini juga tidak dijaga walaupun sudah beberapa kali kami mengadu kepada pemaju. Ini membuatkan penduduk tinggal dalam keadaan yang tidak selesa," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Seorang lagi pembeli, P. Bala Subramaniam, 48, berkata, dia terpaksa menanggung pelbagai kos sampingan terutama sewa rumah kerana masih belum dapat tinggal di rumah sendiri.

"Saya juga terpaksa membayar faedah pinjaman setiap bulan pada bank sejak rumah itu dibeli.

"Apa yang saya tidak faham ialah bagaimana kerajaan negeri (Selangor) masih membenarkan pemaju ini membuat projek pembangunan di tempat lain sedangkan rumah kami yang terbengkalai selama lapan tahun masih tidak dibina," ujarnya.

Dalam pada itu, pembeli, Hoo Pong San, 63, berkata, pada mula-mula projek RKR itu akan dijalankan, pemaju berjanji bahawa ia hanya mengambil masa tiga tahun sahaja.

"Rumah itu sepatutnya sudah siap tapi sampai sekarang tak siap-siap lagi dan disebabkan itu saya terpaksa menyewa rumah lain dengan kadar RM450 sebulan," jelasnya.

Katanya, jumlah itu agak tinggi sedangkan dia boleh berjimat jika rumah yang dibelinya itu siap mengikut jadual.

Full content generated by Get Full RSS.

Pembeli mahu faedah bank dilupus

Posted:

Pembeli mahu faedah bank dilupus

Pembeli mahu faedah bank dilupus


M. Sugumaran (kiri) dan seorang rakannya menunjukkan longkang yang sentiasa tersumbat dengan sampah-sarap dan semak-samun di rumah panjang yang mereka huni di PSJ 1, Petaling Jaya, baru-baru ini.


PETALING JAYA 23 Nov. - Pembeli Rumah Kos Rendah (RKR) Peter Brickworks E PJS 1 dekat sini merayu agar faedah pinjaman perumahan yang mereka perlu bayar kepada pihak bank setiap bulan dimansuhkan.

Mereka juga menuntut pemulangan semula semua faedah yang sudah dibayar selama lapan tahun lalu atas alasan pembeli tidak wajar dipertanggungjawabkan atas kesilapan pihak lain.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli E PJS 1, Petaling Jaya, M. Sugumaran, 42, berkata, pembeli kini berdepan pelbagai masalah terutama masalah kewangan yang meruncing sehingga ada di antara mereka yang tidak mampu membayar faedah itu dan sudah disenarai hitam oleh bank.

Menurut beliau, hakikatnya ialah semua masalah yang berlaku bukan disebabkan oleh pembeli tetapi akibat kecuaian pihak pemaju dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

"Kedua-dua pihak berkenaan adalah punca rumah itu tidak dapat dibina sehingga kini dan pihak terbabit juga tidak berjaya menyelesaikan masalah itu dengan segera," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Pada masa yang sama, katanya, pembeli juga mendesak supaya projek rumah itu dipulihkan segera kerana tempoh lapan tahun terbengkalai adalah satu jangka masa yang terlalu panjang.

Beliau turut menuntut supaya pihak yang sebelum ini telah diberi tawaran untuk membeli rumah tersebut, diberi peluang sekali lagi untuk membeli rumah itu pada harga antara RM35,000 dan RM42,000.

Menurutnya, pembeli kini sudah tidak tahu di manakah tapak sebenar rumah mereka kerana tapak asal projek itu sudah tidak dibenarkan dibina rumah tersebut berikutan tiada pelan merancang.

Beliau berkata, pihaknya telah menghantar satu memorandum kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 15 November lalu berhubung perkara itu.

"MB telah memberi jaminan akan mengadakan pertemuan dengan pembeli selepas pulang daripada lawatan kerja ke Jepun. Kami harap pertemuan itu akan membuahkan hasil positif," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Cara ambil flat satu penganiayaan

Posted:

Cara ambil flat satu penganiayaan

Cara ambil flat satu penganiayaan

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
pengarang@utusan.com.my


ISMAIL Kijo (depan, lima dari kiri) bersama Mohd. Ali Baharom (enam dari kiri), Muhammad Ghani (tujuh dari kiri) dan veteran tentera melaungkan slogan 1Malaysia pada majlis perasmian program Gelombang Celoreng anjuran Persatuan Veteran Askar Melayu (PVTM) di Ampang, baru-baru ini.


AMPANG 23 Nov. - Cara pengambilan rumah pangsa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Pusat Bandar Taman Keramat di Jalan Jelatek merupakan satu penganiayaan dan tidak adil kepada penduduk merupakan pemilik rumah dan kedai di kawasan berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, sepatutnya, pihak PKNS menggunakan kaedah menggantikan semula premis di tempat yang sama apabila melaksanakan pembangunan di kawasan yang sudah ada penghuni.

Katanya, tindakan mengambil rumah mereka secara paksa melalui Akta Pengambilan Tanah oleh kerajaan Selangor merupakan satu penganiayaan kepada pemilik.

"Saya minta agar pemilik ini membawa perkara itu ke mahkamah dan menuntut hak mereka. Pihak UMNO Bahagian juga akan membantu pemilik dengan khidmat guaman di samping peguam yang sudah dilantik oleh pemilik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis "Gelombang Celoreng" anjuran Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) di Bangunan UMNO Bahagian Ampang, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Presiden PVTM, Mohd. Ali Baharom dan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Ghani.

Pada majlis tersebut, beliau turut menerima kira-kira 100 borang daftar pemilih daripada bekas-bekas tentera tersebut.

Sementara itu, Ismail menyeru bekas-bekas tentera supaya mendaftar sebagai pengundi dan membantu Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

"Saya yakin dengan bantuan daripada bekas-bekas tentera, kita dapat bersama-sama berjuang untuk merampas semula Selangor," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved