Isnin, 21 November 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Agenda bumiputera tetap diperjuangkan

Posted:

Agenda bumiputera tetap diperjuangkan

Agenda bumiputera tetap diperjuangkan




TERDAPAT kebimbangan mengenai nasib orang Melayu dan bumiputera sekarang berikutan berakhirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB). Pengenalan Model Baru Ekonomi (MBE) dan penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) pula dikatakan tidak berkesan bagi membantu kaum ini terutama dalam meningkatkan pegangan ekuiti dalam syarikat korporat yang dilihat masih lagi kecil.

Dalam satu pertemuan dengan pihak media yang turut dihadiri wartawan Utusan Malaysia, MOHD. RIDZWAN MD. IMAN, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL dan NIZAM YATIM di Kuala Lumpur, semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED menyifatkan segala kebimbangan itu adalah tidak berasas.

UTUSAN: Apakah berasas tuduhan bahawa dasar terbaru kerajaan telah meminggirkan orang Melayu dan bumiputera?

MUSTAPA: Ini adalah tidak benar. Agenda untuk memastikan bahawa orang Melayu dan bumiputera juga dapat menyertai kemajuan ekonomi akan terus diperjuangkan.

Sebab itu salah satu tujuan diperkenalkan MBE adalah untuk memperjuangkan prinsip keterangkuman. Prinsip ini merujuk kepada komitmen kerajaan untuk memastikan faedah pembangunan dinikmati oleh semua pihak di negara kita dan dalam konteks ini agenda memperjuangkan nasib bumiputera masih lagi relevan kerana ramai bumiputera yang kini hidup di bawah paras kemiskinan dan tidak mendapat kemudahan-kemudahan tertentu yang disediakan oleh kerajaan.

Terdapat juga bumiputera yang memerlukan bantuan dalam bidang keusahawan dan sebab itu kerajaan telah menubuhkan Teraju. Jadi kita ingin tekankan bahawa memang telah menjadi perjuangan pentadbiran kerajaan sekarang dan UMNO untuk mengangkat martabat dan kedudukan orang Melayu serta bumiputera. Ini termasuk dalam bidang perusahaan kecil dan besar yang diberi perhatian oleh Teraju manakala dalam bidang pendidikan dan keusahawan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Kita tahu bahawa dari segi pegangan ekuiti orang Melayu dan bumiputera, kita masih belum mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh DEB, maka kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan pegangan ekuiti ini.

Apakah komen dengan kritikan pelbagai pihak terhadap Teraju yang dianggap kurang berkesan untuk membangunkan ekonomi bumiputera?

Teraju baru ditubuhkan, sudah pasti ada beberapa perkara yang perlu diperkemaskan lagi tetapi dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan kerajaan dan dengan bimbingan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri kita yakin Teraju mampu memperjuangkan agenda membangunkan ekonomi bumiputera.

Bagi mempermudahkan lagi kerja-kerja Teraju kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion kepadanya. Antara tumpuan Teraju adalah untuk membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera. Ia bersama-sama SME Corp sedang mengenal pasti kira-kira 1,000 PKS bumiputera yang boleh diangkat martabat mereka supaya mereka dapat berkembang menjadi syarikat yang lebih besar dan menembusi pasaran global.

Adakah Datuk Seri bersetuju dengan cadangan supaya Teraju diketuai oleh seorang menteri?

Sebenarnya, Teraju telah diberikan satu kedudukan yang istimewa kerana ia melaporkan terus kepada Perdana Menteri. Terdapat juga satu lembaga yang ditubuhkan bagi memantaunya yang diketuai oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh menteri-menteri tertentu yang ada kaitan dengan agenda untuk memajukan penglibatan bumiputera dalam pelbagai bidang.

Oleh itu pada masa ini, kita rasa tidak berbangkit isu Teraju perlu diketuai oleh seorang menteri kerana Perdana Menteri sendiri yang mengawasi dan memantau dengan teliti kemajuan Teraju.

Terdapat kebimbangan penubuhan Teraju hanya akan menguntungkan golongan bumiputera yang rapat dengan ahli politik tertentu sahaja?

Pendekatan membangunkan bumiputera dalam MBE ini berbeza kerana kerajaan akan memberikan perhatian kepada syarikat dan individu yang layak berasaskan meritokrasi.

Kalau dulu mungkin pemilihan yang dibuat itu ada kelemahannya, tetapi di tahun- tahun mendatang ini, pemilihan akan lebih telus dan berasaskan kepada meritokrasi. Ini bermakna syarikat yang akan dipilih untuk dibangunkan termasuk oleh Teraju merupakan syarikat yang benar-benar layak untuk memastikan bahawa mereka boleh berjaya dalam dunia korporat.

Apa pandangan dengan dakwaan kaum lain bahawa DEB hanya menguntungkan orang Melayu dan bumiputera?

Sebenarnya DEB sudah berakhir dan sekarang ini yang ada adalah semangat DEB dalam MBE. DEB dan semua dasar-dasar kerajaan telah memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia dan ini tidak harus dipertikaikan.

Dalam pelajaran umpamanya, kerajaan telah membuka ruang kepada universiti swasta untuk ditubuhkan dan ini telah membolehkan rakyat Malaysia daripada semua kaum untuk mengikuti pengajian di peringkat lebih tinggi.

Dalam bidang ekonomi, walaupun mungkin bumiputera mendapat beberapa faedah daripada DEB, tetapi ia dikongsi bersama oleh rakan-rakan kita kaum lain, umpamanya seorang kontraktor bumiputera mendapat projek, dia kena beli barang keperluan pembinaan daripada syarikat yang dimiliki bukan bumiputera.

Begitu juga dalam bidang pekerjaan profesional, tidak semestinya semuanya 100 peratus adalah bumiputera.

Kita harap rakyat Malaysia akan faham bahawa kita perjuangkan kepentingan semua kaum, tetapi oleh kerana golongan bumiputera masih lagi ketinggalan, maka harus ada usaha-usaha khusus yang tersusun untuk kita memajukan kepentingan ekonomi mereka termasuk ditubuhkan Teraju.

Adakah kerajaan serius membangunkan taraf hidup golongan muda bumiputera berusia 21 hingga 35 tahun?

Untuk golongan muda, dua perkara telah diberi penekanan iaitu pendidikan dan pekerjaan. Peluang pendidikan, ia disediakan seluas-luas oleh kerajaan termasuk menerusi penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Kita menjanjikan setiap rakyat Malaysia yang dapat masuk universiti akan mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan juga pemberian biasiswa khususnya untuk bumiputera oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Mengenai peluang pekerjaan, walaupun keadaan ekonomi dunia lembap kita berusaha memastikan kadar pertumbuhan ekonomi negara antara lima dan enam peratus serta kadar pengangguran yang rendah.

Peluang pekerjaan ini adalah yang berkualiti. Ini boleh dicapai berikutan pelaburan baru yang sedang kita usahakan adalah pelaburan berkualiti yang akan menjana peluang pekerjaan yang memerlukan khidmat individu profesional dan yang berkemahiran tinggi.

Projek permulaan (EPP) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri juga bakal mewujudkan 389,000 peluang pekerjaan. Berikutan kurangnya publisiti untuk membolehkan golongan muda tahu peluang pekerjaan banyak yang disediakan kerajaan maka Pemuda BN juga telah menganjurkan karnival kerjaya.

Apakah mesej Datuk Seri kepada perwakilan UMNO yang akan membahaskan usul ekonomi?

Kita perlu beri kepercayaan kepada pemimpin kita Datuk Seri Najib. Kepada orang Melayu dan bumiputera jangan bimbang kerana kerajaan amat peka dengan kepentingan mereka. Kita tahu mereka masih lagi terkebelakang dalam beberapa bidang termasuklah dalam sektor korporat dan sebab itulah ditubuhkan Teraju.

Dalam erti kata lain, agenda untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan bumiputera akan terus segar dalam UMNO dan kerajaan. Kita juga berharap mereka akan mengambil peluang sepenuhnya daripada program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Full content generated by Get Full RSS.

EAS medan percaturan China-AS?

Posted:

EAS medan percaturan China-AS?

EAS medan percaturan China-AS?

DATUK DR. MAHANI ZAINAL ABIDIN,
Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS)


Pemimpin-pemimpin negara ASEAN dan Asia Pasifik pada sesi bergambar sempena Sidang Kemuncak Asia Timur 2011 di Bali, Indonesia pada 19 November lalu. - BERNAMA


Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) Keenam pada 19 November 2011 di Bali, Indonesia ada kelainannya tersendiri. Walaupun ada tujuh belas pemimpin EAS, kehadiran Presiden Amerika Syarikat Barack Obama telah menjadikan perjumpaan satu yang diperhati secara dekat oleh dunia. Apakah hasil yang boleh kita harapkan daripada sidang kemuncak ini? Adakah perhubungan politik dan ekonomi Asia-Pasifik akan berubah ekoran daripadanya?

Pada asasnya, EAS adalah sidang kemuncak mengeni isu strategik. Justeru, EAS sudah pastinya tidak akan menghasilkan Perjanjian Perdagangan Bebas serantau dalam masa terdekat. Namun, EAS masih dianggap sebagai sidang kemuncak yang terpenting di kalangan negara ASEAN dan Asia Pasifik.

Agak terlalu awal untuk meminta hasil mesyuarat yang nyata kerana kita perlu menyelami isu kandungan Deklarasi EAS itu sendiri untuk menghargai kepentingannya dalammemastikan keamanan dan kemakmuran serantau.

EAS bermula di Kuala Lumpur pada tahun 2005. Selepas Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998, kerjasama ASEAN +3 (China, Jepun dan Korea Selatan) atau APT, ditubuhkan bagi mengukuhkan integrasi ekonomi di kalangan negara ASEAN dan tiga rakan dagangan rapatnya.

Tujuannya adalah untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi lebih mapan serta meningkatkan keupayaan menangani krisis di masa depan. Keanggotaan kumpulan ini diperluaskan dengan kemasukan India, Australia dan New Zealand dan kumpulan baru ini dikenali sebagai EAS (East Asian Summit).

Mandat EAS adalah sebagai forum dialog mengenai isu-isu strategik iaitu isu keselamatan, politik dan ekonomi untuk mencapai "keselamatan bersama, kemakmuran bersama dan kestabilan bersama". Ia adalah satu platform yang unik yang membincangkan gabungan ketiga-tiga isu-isu ini sekali.

Setakat ini, institusi kerjasama atau integrasi serantau yang sedia ada hanyalah untuk perkara-perkara tertentu sahaja, contohnya: Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) untuk isu ekonomi, Forum Serantau ASEAN (ARF) dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) untuk isu keselamatan, dan APT untuk isu-isu ekonomi dan kerjasama rantau Asia Timur.

Pada sidang kemuncak ASEAN di Hanoi tahun lalu, pemimpin-pemimpin ASEAN bersetuju menjemput Amerika Syarikat dan Rusia untuk menyertai EAS. EAS yang diperluaskan ini telah menarik minat dunia kepada rantau Asia Pasifik. Sejak itu, banyak pendapat diberi mengenai keahlian baru yang mampu mempengaruhi arah perbincangan dan hasil mesyuarat tahunan EAS. Selama ini, agenda-agenda mesyuarat EAS berpaksikan isu yang diketengahkan oleh ASEAN. Tapi ini mungkin berubah.

Perdana Menteri China Wen Jiabao telah berulang kali menegaskan bahawa ASEAN harus terus berperanan sebagai pemandu utama EAS. Ini mungkin disebabkan peranan ASEAN yang tidak agresif amat disenangi dan dianggap tidak mengancam kepentingan negara China. Jika ASEAN tidak memainkan peranan utama, mungkin China harus berdepan dengan ahli-ahli EAS yang boleh mengasak dan menekannya dalam persidangan EAS nanti.

Bagaimanapun, peranan ASEAN sebagai pemacu EAS tidak mungkin berterusan tanpa perubahan. Keahlian EAS sekarang terdiri daripada kuasa-kuasa besar dunia yang boleh mencabar norma, prinsip dan amalan dalaman ASEAN seperti prinsip-prinsip kesaksamaan, konsensus dan saling menghormati di antara satu sama lain. Jika prinsip- prinsip lazim ASEAN yang berkecuali ini berubah arah, maka kita akan melihat ASEAN yang berbeza.

Keahlian Amerika Syarikat dalam EAS telah banyak dibahaskan sebagai titik tolak percaturan politik di Asia Timur. Ini disebabkan oleh peralihan dasar hubungan luarnya yang diperkenalkan oleh Presiden Obama di mana Amerika Syarikat kembali berkecimpung di rantau ini.

Sepanjang tempoh 'pengunduran' Amerika Syarikat dari Asia selama pentadbiran George W. Bush, ramai penganalisis berpendapat bahawa China menggunakan "kekosongan" ini dan meluaskan peranan dan pengaruhnya di rantau ini terutamanya di ASEAN.

Langkah Amerika Syarikat menempatkan tenteranya di Australia membuktikan kebimbangannya. Oleh itu, penglibatan semula Amerika Syarikat melalui EAS dilihat sebagai pengimbal balas pengaruh serantau China yang terhasil daripada peningkatan kuasa ekonomi dan ketenteraannya.

Amerika Syarikat sudah pasti akan membawa isu-isu sensitif ketenteraan termasuk kebebasan pelayaran di Laut China Selatan yang sering ditonjolkan berikutan penglibatan aktif tentera China di kawasan tersebut. Sudah pasti, isu ini tidak akan disambut baik oleh China.

Washington akan disambut baik sekiranya ia dapat memenuhi objektif utama EAS dalam mengukuhkan keamanan dan kestabilan Asia Timur. Amat penting bagi kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat mengimbangi kedudukan dan pengaruh masing-masing serta mengelakkan persaingan kuasa yang boleh memudaratkan Asia Timur. EAS seharusnya dijadikan landasan untuk mengeratkan jaringan kerjasama keselamatan dan kesejahteraan serantau ke satu tahap di mana konflik di rantau ini tidak akan berlaku.

Amerika Syarikat sedar bahawa penglibatannya adalah sensitif. Penolong Setiausaha Negara Amerika bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Kurt Campbell berkata "ia (EAS) adalah sangat penting bagi Amerika Syarikat dan untuk berjaya, apabila kita menjadi ahli, kita perlu dengar, perlu peka tentang cara mereka berinteraksi sesama sendiri, dan kita juga perlu menyedari peranan kita sebagai pendatang baru".

Dengan kehadiran empat kuasa-kuasa besar dunia - Amerika Syarikat, China, Rusia dan India - ASEAN perlu memainkan peranannya yang tersendiri melalui penetapan agenda perbincangan EAS. Ada negara-negara ahli EAS yang akan cuba menggerakkan perbincangan di luar topik-topik biasa kepada perkara-perkara yang lebih kompleks dan sensitif.

Ada juga yang berpendapat bahawa perbincangan perlu tertumpu kepada topik-topik yang tidak kontroversial untuk meningkatkan keyakinan ahli-ahli EAS sebelum membawa isu-isu yang lebih berbentuk konfrontasi ke meja persidangan. Cara ini adalah selaras dengan 'budaya' forum-forum yang diterajui ASEAN.

Agenda utama EAS adalah lima perkara - kewangan, pendidikan, tenaga, pengurusan bencana alam dan pencegahan virus selesema burung. Tetapi, EAS perlu bergerak ke arah kerjasama serantau yang lebih erat dan ini bermakna isu-isu sensitif tidak boleh dipandang ringan dan sebaliknya perlu juga dibawa ke meja rundingan termasuklah langkah-langkah ke arah kerjasama keselamatan maritim.

Isu perbalahan serantau di Laut China Selatan tidak akan terlepas dibincangkan di EAS. Persoalannya, mampukah EAS mencadangkan kod tatacara maritim serantau sebagai satu cara untuk penyelesaian secara aman kepada pertikaian ini?

Amerika Syarikat mungkin mencadangkan beberapa agenda tambahan di bawah isu-isu keselamatan tradisional dan bukan tradisional termasuk bantuan kemanusiaan dan bencana, operasi keamanan, dan anti-terorisme. Ini berbeza pula dengan China yang mahu menumpukan kepada isu pertumbuhan ekonomi dan perkembangan infrastruktur yang lebih inklusif, selaras dengan Pelan Induk Kesinambungan Infrastruktur ASEAN sebagai komponen penting bagi pertumbuhan serantau.

Hakikatnya, EAS mampu membentuk architecture rangkaian kerjasama rantau Asia Timur. Ia satu forum yang strategik yang boleh membina keyakinan dan pencegahan konflik serantau. Kejayaan EAS akan bergantung kepada keupayaannya membentuk keamanan dan kestabilan geopolitik Asia Timur, rantau yang kini diuar-uarkan sebagai pusat pertumbuhan global baru. Tetapi kita juga perlu realistik kerana EAS tidak akan berupaya menjadi institusi seperti G-20 yang boleh membuat keputusan yang perlu dipatuhi oleh ahli-ahlinya.

Kerjasama ekonomi EAS masih lemah dan kurang menyerlah, tidak seperti proses APT yang telah berjaya membentuk kerjasama ekonomi serantau melalui inisiatif Chiang Mai dan Pasaran Bon Asia (Chiang Mai initiative and Asian Bond Market). EAS tidak mungkin melahirkan penyelesaian yang konkrit mengenai kegawatan pasaran kewangan global semasa.

Kita harap EAS tidak akan menjadi sebuah forum yang penuh omong-omong kosong sahaja atau pentas untuk kuasa dunia bercatur. Penglibatan ASEAN dengan rakan-rakan kongsi utamanya akan mengubah landskap perhubungan serantau.

EAS boleh menjadi satu laluan penting kepada generasi-generasi akan datang untuk membincangkan isu-isu merentas sempadan seperti langkah mengatasi bencana alam, perubahan iklim dan memastikan makanan cukup. Ia penting untuk mengimbangkan kuasa-kuasa dunia dari bersaing di Asia Pasifik. Masa depan kita bergantung kepada kerjasama dan persefahaman, bukan persaingan dan konflik. EAS adalah jawapannya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved