Sabtu, 3 September 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Jangan liat bayar hutang TEKUN

Posted:

Jangan liat bayar hutang TEKUN

Jangan liat bayar hutang TEKUN

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

PENDANG 2 Sept. – Sikap liat membayar hutang di kalangan peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) masih menjadi masalah kepada tabung itu sedangkan ia memerlukan pusingan modal mencukupi untuk diberikan kepada pemohon lain.

Pengerusi TEKUN, Suraya Yaacob berkata, sehingga 30 Jun lalu, kadar peratusan pinjaman yang diklasifikasikan sebagai pinjaman tidak aktif (NAL) adalah 20.32 peratus melibatkan tunggakan berjumlah RM313.99 juta.

Katanya, kedudukan hutang lapuk iaitu tunggakan melebihi 24 bulan pula berjumlah RM157.81 juta dengan RM33.09 juta berjaya dikutip semula.

"Peminjam TEKUN diminta supaya tidak culas membayar balik pinjaman kerana ramai lagi usahawan kecil memerlukan bantuan tabung ini untuk mengembang atau memulakan perniagaan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Suraya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang memberitahu, setakat ini banyak pihak menerima manfaat daripada tabung berkenaan yang merupakan salah satu landasan untuk usahawan mendapatkan modal perniagaan.

Menurutnya, sejak 1999 sehingga Jun lalu, TEKUN telah menjana pendapatan dan memberi peluang perniagaan kepada kira-kira 188,000 usahawan dari seluruh negara dengan jumlah pembiayaan mencecah RM1.75 bilion.

"TEKUN tidak akan menghadapi masalah untuk meluluskan lebih banyak pinjaman perniagaan jika peminjam melunaskan hutang mereka mengikut jadual," katanya.

Menurut Suraya, punca kebanyakan peminjam gagal melunaskan hutang adalah kerana perniagaan diceburi mereka tidak berdaya saing atau menggunakan pinjaman bagi tujuan selain perniagaan.

Kata beliau, TEKUN kini mengambil pendekatan yang bersifat pujukan dalam usahanya memastikan para peminjam khususnya lebih 36,000 peminjam yang tertunggak melebihi enam bulan agar lebih bertanggungjawab dan melunaskan hutang masing-masing secara berterusan.

Beliau berkata, pegawai akan mengunjungi peminjam tegar untuk memujuk mereka membayar hutang diikuti surat amaran dan tindakan mahkamah oleh Jabatan Undang-undang TEKUN sebagai pendekatan terakhir yang akan diambil jika mereka masih berdegil.

"Bagi peminjam yang menghadapi kesukaran membuat bayaran balik, mereka dinasihatkan berjumpa dan berbincang dengan pegawai-pegawai untuk mendapatkan bantuan," katanya.

600 ayam segar diagih kepada penduduk

Posted:

600 ayam segar diagih kepada penduduk

600 ayam segar diagih kepada penduduk


MOHD. Zaidi Mohd. Said (kanan) mengagihkan 600 ekor ayam kepada penduduk sekitar Permatang Pauh sempena sambutan Aidilfitri di Kampung Tanjung Putus Bukit Mertajam, Pulau Pinang, baru-baru ini.


BUKIT MERTAJAM 2 Sept. - Pergerakan Pemuda UMNO Permatang Pauh membuat kelainan dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri apabila mengagihkan 600 ekor ayam segar kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Program tersebut adalah inisiatif Ketua Pemudanya, Mohd. Zaidi Mohd. Said yang bertujuan meringankan beban penduduk kampung melakukan persiapan terakhir juadah hari raya seperti rendang untuk dijamah pada hari lebaran.

Menurut Zaidi, program yang bermula pukul 9 pagi dan berakhir tiga jam kemudian itu adalah aktiviti terakhir pihaknya pada Ramadan tahun ini dan kos yang dikeluarkan untuk membeli ayam adalah kira-kira RM7,800.

"Selain pengagihan ayam ini, kita turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 70 warga emas yang tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini.

"Apa yang penting agihan ayam pada hari ini diberikan kepada semua penduduk yang layak tanpa mengira parti dan fahaman politik mereka," katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Tanjung Putus di sini baru-baru ini.

Zaidi berkata, sepanjang Ramadan pihaknya telah mengeluarkan kira-kira RM100,000 untuk mengadakan majlis berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan duit raya kepada mereka yang memerlukan.

Jelasnya, pada 20 Ogos lalu, seramai 360 warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya dan miskin diraikan dalam satu majlis berbuka puasa di rumahnya.

"Selain itu, 180 anak-anak yatim turut diraikan dalam satu majlis berasingan pada 25 Ogos lalu bagi menyampaikan sumbangan duit raya kepada mereka.

"Pergerakan Pemuda juga berkerjasama dengan Badan Keluarga Utusan Melayu Seberang Jaya dalam program ziarah dan penyampaian sumbangan kepada fakir miskin dan yang terlantar sakit di sekitar Permatang Pauh pada 23 Ogos lalu," ujarnya.

Yaacob miliki syiling lama berusia 128 tahun

Posted:

Yaacob miliki syiling lama berusia 128 tahun

Yaacob miliki syiling lama berusia 128 tahun


Yaacob Ahmad menunjukkan koleksi 200 keping wang kertas dan syiling keluaran sebelum Merdeka di rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Kubang Pasu, baru-baru ini.


KUBANG PASU 2 Sept. - Seorang pengumpul barangan lama di Kampung Lubuk Batu, Jalan Wang Tepus, di sini mendakwa memiliki lebih 200 keping wang kertas dan syiling lama dari beberapa negara dan koleksi yang paling disayangi adalah syiling setengah sen Straits Settlements 1883.

Yaacob Ahmad, 67, berkata, dia tidak akan menjual koleksi syiling dan wang kertas lama yang disimpannya biarpun ditawarkan untuk menjualnya dengan harga ribuan ringgit.

"Syiling setengah sen itu yang paling lama iaitu berusia 128 tahun dan saya tidak pernah fikir untuk menjualnya.

"Semua koleksi wang kertas dan duit syiling lama yang disimpan ini saya cari sendiri sejak berusia 17 tahun," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, selain menyimpan syiling lama dia juga menyimpan syiling yang jarang ditemui seperti syiling Edward VII King & Emperor 1907, syiling dari China gambar naga dan pitih jawa dengan gambar wayang kulit etong dan ekau.

"Saya tidak akan menjual koleksi saya biarpun ada pihak yang berminat untuk membelinya dengan harga yang mahal kerana saya mahu anak cucu saya melihat koleksi ini.

"Anak-anak saya juga menunjukkan minat untuk menyimpan wang-wang lama ini, jadi saya akan terus menyimpan koleksi ini untuk mereka," ujarnya.

Dia juga menyimpan koleksi wang kertas bernilai sepuluh ringgit lama yang mempunyai ejaan sa-puluh ringgit.

"Memang ramai yang cari duit ini untuk tujuan menarik duit dari alam ghaib namun saya tidak akan beri duit ini kepada mereka yang berniat sebegitu.

"Duit ini untuk peminat yang ingin melihat koleksi wang ini sahaja," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved