Sabtu, 3 September 2011

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kebakaran: 11 penghuni terselamat

Posted:

Kebakaran: 11 penghuni terselamat

Kebakaran: 11 penghuni terselamat

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusankelantan@utusan.com.my


Rafeah Hassan sayu melihat kesan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Ayer Bawah, Alor Gajah, semalam.


ALOR GAJAH 2 Sept. - Kegembiraan sebuah keluarga meraikan Aidilfitri tidak berpanjangan apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Ayer Bawah di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 12.45 pagi itu, kesemua 11 penghuni rumah tersebut terselamat kerana kebakaran berjaya disedari oleh salah seorang mereka.

Menurut Rafeah Hassan, 47, sebelum kejadian, dia yang tinggal di situ bersama suami, Rahmat Mohd. Idris, 47, dan lima anak mereka sedang menonton televisyen.

Turut berada di dalam rumah ketika itu, ialah kakak, abang ipar dan dua anak saudaranya yang datang beraya ke rumahnya.

"Sedang kami leka menonton televisyen, tiba-tiba anak saya, Mohd. Farhan Aslam, 11, menjerit terlihat api dari bahagian atas bumbung rumah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam keadaan mencemaskan itu, Rafeah berkata, mereka sekeluarga cuba memadamkan api namun, gagal kerana tekanan air paip yang rendah.

Menyedari usaha mereka itu sia-sia dan api semakin marak, Rafeah mengarahkan seluruh ahli keluarganya itu segera keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri.

"Mujurlah kami semua bertindak cepat kerana dalam beberapa minit sahaja sebahagian rumah termasuk anjung hangus dijilat api.

"Tidak sangka, kegembiraan kami pada Syawal ketiga berakhir dengan tragedi ini. Namun, saya bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat," katanya.

Sementara itu, nasib malang yang menimpa keluarga Rafeah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Taboh Naning, Datuk Latipah Omar.

Beliau yang turun padang semalam turut menghulurkan bantuan segera dalam bentuk kewangan bagi meringankan beban keluarga tersebut.

"Saya difahamkan, kerugian yang dialami mangsa dianggarkan RM60,000 dan kita harap keluarga ini dapat bersabar sementara kita berusaha membaik pulih rumah ini," katanya.

IPD Melaka Tengah dilempar bahan api lagi

Posted:

IPD Melaka Tengah dilempar bahan api lagi

IPD Melaka Tengah dilempar bahan api lagi


CHUAH Ghee Lye (dua dari kiri) melihat kesan kebakaran di IPD Melaka Tengah, akibat tindakan seorang lelaki membaling botol yang mengandungi bahan bakar kira-kira beberapa meter dari pondok keselamatan, malam kelmarin.


MELAKA 2 Sept. - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Banda Hilir di sini sekali lagi dibaling botol yang mengandungi bahan bakar oleh individu tidak dikenali malam tadi.

Kejadian pertama ia berlaku pada April lalu sehingga menyebabkan kebakaran kecil pada bahagian dinding bangunan di belakang pejabat trafik Melaka Tengah akibat dilempar bahan yang sama.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, kejadian tersebut berulang malam tadi kira-kira pukul 10.05 malam dan dipercayai dilakukan seorang pejalan kaki.

Menurutnya, anggota yang bertugas di pondok keselamatan pintu masuk IPD menyedari perbuatan seorang lelaki membaling botol yang mengandungi bahan bakar kira-kira beberapa meter dari pondok keselamatan.

''Botol tersebut telah dinyalakan api dan pecah selepas dibaling ke dalam kawasan letak kereta IPD dan terbakar berhampiran sebuah kereta Proton Waja seorang pegawai penyiasat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, malam tadi.

Katanya, anggota terbabit dengan pantas memadamkan kebakaran dan berusaha mengejar lelaki terbabit namun gagal.

Ini kerana, ujar beliau, suspek melarikan diri ke kawasan tumpuan yang dibanjiri pelancong berdekatan IPD Melaka Tengah.

''Kita sedang menyoal siasat beberapa pelancong dan pengayuh beca yang mungkin mempunyai maklumat atau ternampak suspek," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengenal pasti bahan cecair pembakar yang digunakan dalam insiden itu dan turut menolak kemungkinan dakwaan insiden malam tadi dilakukan oleh individu yang bertanggungjawab kejadian April lalu.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan pada masa yang sama mengarahkan semua balai dan IPD meningkatkan ciri-ciri keselamatan bagi mengelak insiden yang sama berulang.

Sambut Aidilfitri tanpa keluarga tidak lemahkan semangat polis

Posted:

Sambut Aidilfitri tanpa keluarga tidak lemahkan semangat polis

Sambut Aidilfitri tanpa keluarga tidak lemahkan semangat polis

JEMPOL 2 Sept. - Meskipun tidak dapat berhari raya di kampung halaman bersama keluarga, ia tidak melemahkan semangat anggota polis untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Bagi Lans Koperal Siti Noraidah Sujah, 32, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, bertugas di Aidilfitri sudah menjadi lumrah sejak berkhidmat sebagai anggota polis.

''Dari 2000 sehingga 2008 saya langsung tidak mendapat cuti raya. Tetapi pada 2009 saya berkesempatan untuk pulang berhari raya bersama keluarga di Melaka.

''Namun, tahun lepas dan tahun ini saya kembali ditugaskan pada hari raya," jelas Siti Noraidah yang turut mengakui berasa sedih apabila terpaksa bertugas di pagi Syawal semasa mula menyertai PDRM pada 1998.

Menceritakan pengalamannya itu, Siti Noraidah memberitahu, dia menitiskan air mata sebaik terdengar takbir raya berkumandang kerana terbayang-bayang wajah keluarga di kampung.

''Tahun pertama bekerja saya tidak mendapat cuti raya kerana ditugaskan menjaga kaunter di Balai Polis Batu Kikir. Apabila buka radio saya terdengar alunan takbir raya, membuatkan hati saya sayu.

''Tidak lama kemudian saya terdengar takbir dari masjid berhampiran. Ketika itu perasaan rindu pada keluarga tidak dapat dibendung. Saya masih ingat lagi, saya terus menelefon ibu dan akhirnya gagal mengawal emosi dan terus menangis," katanya.

Katanya, lama-kelamaan, bertugas di pagi Syawal telah menjadi kebiasaan buatnya dan tugas perlu diutamakan.

Menurut rakannya, Koperal Jeefuzan Geo Abdullah Fumin, 49, dari Balai Polis Ladang Geddes, perasaan sedih tetap ada, namun, dia lega kerana keluarga memahami tugasnya.

''Tahun lepas saya dapat cuti dan pulang ke Pahang, jadi tahun ini kena kerja. Tidak menjadi masalah buat saya kerana sebelum memilih kerjaya dalam bidang ini saya sudah mempersiapkan diri.

''Saya akan bercuti selepas raya dan bercadang untuk pulang ke Sabah," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Ladang Geddes, Sarjan Mejar Mohmad Nurdin Sufian, bertugas di pagi raya itu biasa bagi seorang anggota polis, tetapi jika dapat bercuti sempena Aidilfitri ia bagaikan bonus.

''Sudah lebih 10 tahun saya tidak berpeluang bersama keluarga di kampung ketika hari raya. Tetapi tahun ini saya dapat merasai suasana pagi raya bersama keluarga," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved