Sabtu, 3 September 2011

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Isu Bukit Kepong: Mukhriz anggap hanya helah politik Karpal

Posted:

Isu Bukit Kepong: Mukhriz anggap hanya helah politik Karpal

Isu Bukit Kepong: Mukhriz anggap hanya helah politik Karpal

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh mahukan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menarik balik kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong hanya satu helah politik untuk mengelak wujudnya persepsi negatif masyarakat terhadap pakatan pembangkang.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Karpal terpaksa berbuat demikian kerana bimbang sokongan terhadap parti pembangkang terutama DAP akan terjejas disebabkan kenyataan yang dibuat oleh Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu.

Katanya, reaksi negatif daripada banyak pihak berhubung kenyataan Mat Sabu itu menyebabkan Karpal menggesa pemimpin Pas itu supaya menarik balik kenyataannya.

"Ini sebenarnya satu helah. Kita tahu siapa Karpal kerana sebelum ini beliau pernah menghina raja-raja Melayu, tetapi tidak pernah pula beliau menarik balik kenyataan itu.

"Bagaimanapun, apabila kenyataan yang dibuat oleh rakannya, Mat Sabu berhubung tragedi Bukit Kepong mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak termasuk kaum Cina dan India, beliau bimbang sokongan terhadap DAP akan terjejas.

"Jadi, beliau mahu Mat Sabu menarik balik kenyataan tersebut supaya tidak menjejaskan sokongan terhadap pakatan pembangkang terutama DAP. Ini merupakan helah beliau," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mukhriz mengulas kenyataan Karpal yang mahukan Mat Sabu menarik balik kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong.

Pada 21 Ogos lalu, Mat Sabu didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengganas dalam Kompeni Ke-4 Parti Komunis Malaysia (PKM) yang menyerang dan membunuh 25 anggota polis serta keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong merupakan hero sebenar, pada ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut mengecam sikap berdiam diri Pas berhubung isu berkenaan kerana tindakan itu menggambarkan bahawa parti tersebut menyokong penuh kenyataan Mat Sabu mengenai tragedi Bukit Kepong.

"Saya yakin bahawa kenyataan Mat Sabu itu mewakili partinya. Beliau merupakan pemimpin nombor dua Pas, jadi sudah semestinya apa yang diucapkan itu adalah apa yang diperjuangkan partinya.

"Lebih-lebih lagi ada pemimpin dalam parti seperti Tuan Ibrahim Tuan Man (Ketua Penerangan) yang menyokong tindakan Mat Sabu itu. Jadi kita sendiri boleh menilai pendirian Pas dalam isu ini," jelasnya.

Nada sama turut disuarakan bekas Naib Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zahid Md. Arip apabila menyifatkan gesaan Karpal itu tidak ikhlas dan hanya bermotifkan politik.

"Kalau benar Karpal jujur dalam mempertahan fakta sejarah mengenai kemerdekaan negara, peguam veteran itu akan mengiktiraf semua perjuangan UMNO membebaskan negara daripada penjajah.

"Saya tidak nampak keikhlasan Karpal dalam isu ini. Sebaliknya saya melihat ia adalah sandiwara terbaru pembangkang dalam usaha mereka untuk mengalih dan menutup isu mengenai cubaan memurtadkan 12 individu muslim di Selangor," katanya.

Menurutnya, jika benar pembangkang ikhlas, bukan Karpal yang sepatutnya membuat gesaan itu, sebaliknya ia perlu dilakukan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Womau kagum pertubuhan silat Malaysia bersatu

Posted:

Womau kagum pertubuhan silat Malaysia bersatu

Womau kagum pertubuhan silat Malaysia bersatu

Daripada MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my

CHUNGJU 2 Sept. - Kesatuan Seni Bela Diri Dunia (Womau) menyatakan kekaguman terhadap penyatuan pertubuhan silat di Malaysia yang mampu menjadi satu suara dalam banyak perkara dan isu meskipun berbeza aliran serta perguruan.

Naib Presidennya, Megat Zulkarnain Omardin berkata, rasa kagum itu dinyatakan oleh wakil 44 negara yang menganggotai Womau setelah beliau selesai membentangkan kertas kerja bertajuk Seni Bela Diri: Ke Arah Keamanan Sejagat dalam Mesyuarat Tahunan Womau pada 31 Ogos dan 1 September lalu.

"Mereka hairan bagaimana ratusan pertubuhan silat di Malaysia dengan pelbagai aliran perguruan mampu bersatu tanpa ada rasa persaingan seperti dialami kebanyakan seni bela diri di negara-negara lain.

"Justeru mereka meminta agar saya selaku wakil dari Malaysia untuk membentangkan satu kertas kerja tentang langkah yang boleh diambil bagi memperkukuhkan perhubungan antara anggota Womau serta pertubuhan-pertubuhan seni bela diri lain dari seluruh dunia," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain menghadiri mesyuarat tersebut, Megat Zulkarnain berada di sini bagi mengetuai delegasi 10 pahlawan dan srikandi Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) menyertai Festival Seni Bela Diri Dunia Chungju 2011 yang bermula pada malam ini sehingga 8 September depan.

Di samping itu, beliau memberitahu Womau bakal membentangkan kertas kerja mengenai penubuhan Akademi Seni Bela Diri Dunia di Chungju yang membolehkan pengamal seni bela diri dunia memiliki ijazah dalam bidang itu.

"Kertas kerja mengenainya bakal dibentangkan pada Persidangan UNESCO di Paris, Disember depan. Jika ini menjadi kenyataan, tidak mustahil pengamal seni bela diri termasuk silat di Malaysia juga berpeluang mendapatkan ijazah bagi memartabat serta mengembangkan perguruan masing-masing," katanya.

Mengenai penyertaan 'anak Lincah' pada festival itu, beliau berkata, kesemua mereka bersedia untuk memberikan aksi luar biasa biarpun rata-ratanya terdiri daripada anak muda berusia 19 hingga 32 tahun.

"Kami diberikan penghormatan untuk membuat empat demonstrasi pada festival kali ini. Ia bakal dimulakan pada waktu puncak iaitu petang Sabtu di Taman Seni Bela Diri Dunia di sini.

"Bersandarkan kepada komitmen dan disiplin para peserta, saya yakin kami mampu mempamerkan persembahan luar biasa biarpun lapan daripada 10 anggota pasukan demonstrasi baru pertama kali menyertai festival ini," katanya. - UTUSAN

Harapan tinggi kepada UiTM

Posted:

Harapan tinggi kepada UiTM

Harapan tinggi kepada UiTM

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Kerajaan meletakkan harapan tinggi kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk membantu meningkatkan keupayaan pelajar bumiputera menerusi pendidikan dan seterusnya berjaya dalam kerjaya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UiTM kini menjadi satu-satunya institusi yang menyediakan tempat kepada 200,000 pelajar untuk mengikuti pelbagai program yang ditawarkan.

Kata beliau, harapan kementerian itu adalah selaras dengan hasrat negara untuk melahirkan modal insan berpengetahuan tinggi selain berkemahiran tinggi.

"Kita sekarang mengharapkan UiTM dapat melaksanakan peranan itu untuk membantu memajukan orang Melayu bagi membolehkan mereka menguasai ilmu dan pengetahuan.

"Kerajaan percaya UiTM mampu mencapai matlamat itu berikutan kedudukan dan lokasi kampus UiTM terletak di seluruh negara berbanding universiti lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam usaha mengangkat peranan UiTM lebih tinggi, Mohamed Khaled berkata, universiti berkenaan telah menyediakan 'Program Destini Anak Bangsa' iaitu pelajar lemah diberi peluang membangunkan keupayaan masing-masing untuk mendapat peluang kedua.

Selain itu, beliau berkata, UiTM juga diminta memberi tumpuan terhadap pembangunan bagi melahirkan tenaga teknikal di kalangan pelajar kerana antara lain ia selari dengan matlamat kerajaan mengarusperdanakan Institut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT).

Katanya, kerajaan kini memberi tumpuan untuk melahirkan tenaga profesional dan separa profesional dalam kemahiran teknikal kerana semua teknologi yang diwujudkan dalam negara perlu digerakkan oleh kalangan mereka yang terlibat secara langsung dalam teknikal.

"Pada masa ini, negara-negara maju juga telah menetapkan 60 nisbah 40 iaitu tenaga teknikal 60 dan bukan teknikal 40," kata beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved