Jumaat, 2 September 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Pasar Chowrasta uzur, kotor

Posted:

Pasar Chowrasta uzur, kotor

Pasar Chowrasta uzur, kotor

Oleh LEE HOOI BOON
utusanpenang@utusan.com.my

PULAU PINANG 1 Sept. - Kegemilangan pasar basah Chowrasta pada 1960-an dan 1970-an kini tinggal kenangan ekoran sikap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang ambil mudah keadaan bangunan yang semakin teruk sehingga peniaga berniaga dalam keadaan tidak selesa.

Menurut Penyelaras Barisan Nasional DUN Komtar, Loh Chye Teik, peniaga kerap membuat aduan kepada pihak MPPP, namun tiada sebarang tindakan diambil menyebabkan pasar basah berkenaan semakin usang dan tahap kebersihannya juga amat mengecewakan.

Katanya, keadaan pasar berkenaan uzur dan kotor menyebabkan peniaga serta pengunjung merasa tidak selesa dan takut walaupun ia merupakan salah satu tumpuan pengunjung dan pelancong asing.

"Rungutan tidak puas hati peniaga di sini kerap disuarakan kepada kerajaan negeri serta MPPP tetapi tidak mendapat reaksi positif.

"Lihatlah keadaan sekitarnya yang terabai sehingga papan siling jatuh akibat hujan lebat tahun lalu. Namun, tiada tindakan diambil oleh pihak MPPP sehingga kini," katanya.

Chye Teik berkata, pasar Chowrasta dahulu cukup gah kerana sebahagian besar penduduk di sekitar pusat bandar bergantung kepada pasar berkenaan untuk mendapatkan barangan keperluan harian.

Menurutnya, pasar tersebut dipinggirkan kerajaan negeri, sedangkan pasar basah berkonsep sama dengan Chowrasta di Bayan Baru diuruskan dengan baik dan bersih.

"Ini tidak adil kerana pasar basah ini merupakan salah satu bangunan bersejarah di negeri ini. Ia seharusnya diselenggara dan diuruskan dengan baik bagi mengekalkan kegemilangannya," katanya.

Chye Teik mencadangkan pihak kerajaan tempatan membuka tender kepada syarikat swasta untuk menyelenggara dan menaik taraf pasar berkenaan supaya bangunan itu dapat dikekalkan, bersih dan selamat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Chowrasta, Hung Beng Teik, 63, berkata, keadaan bangunan pasar berkenaan sekarang sudah terlalu usang dan suram.

"Kesuraman itu boleh dikatakan berpunca pelbagai faktor terutama bangunan ini tidak diuruskan dengan baik.

"Saya harap pihak berkuasa mengambil langkah segera untuk mencantikkan semula bangunan ini jika mahu ia terus menarik minat pengunjung," katanya.

2 beradik beraya tanpa ibu bapa

Posted:

2 beradik beraya tanpa ibu bapa

2 beradik beraya tanpa ibu bapa

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my


FATIHAH Shaiful Fadzilah (kiri) dan Firdaus Shaiful sayu melihat gambar ibu dan ayah serta adik beradik lain yang maut dalam kemalangan di Kilometer 377.6 Lebuh Raya Utara-Selatan pada 17 November tahun lalu.


LENGGONG 1 Sept. - Ketika insan lain bergembira bersama ayah dan ibu menyambut Hari Raya Aidilfitri, dua beradik iaitu Firdaus Shaiful Fadzilah, 10, dan Fatihah Shaiful Fadzilah, 6, hanya ditemani datuk dan nenek.

Ini kali pertama Firdaus dan Fatihah menyambut lebaran tanpa ayah, Shaiful Fadzilah, 36, dan ibu, Siti Suzana Mohd. Nor, 33, yang meninggal dunia dalam nahas ngeri melibatkan dua lori dan sebuah teksi di Kilometer 377.6 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Slim River pada 17 November tahun lalu.

Kemalangan pukul 2 pagi itu turut mengorbankan dua adik kembar Firdaus iaitu Fitri dan Fikri berusia enam tahun.

Mungkin masih trauma dengan kejadian itu atau seakan cuba melupakan peristiwa tersebut, Firdaus hanya menggelengkan kepala setiap kali diajukan soalan mengenai kejadian tersebut.

Malah, ketika diminta mencuba baju raya yang disediakan oleh neneknya, Maliha Abdul Hadi, 60, dia menolak dan hanya bersetuju memakainya dengan linangan air mata setelah dipujuk berkali-kali.

Maliha percaya perubahan sikap cucunya itu disebabkan dia masih dihantui pengalaman ngeri apabila menyaksikan sendiri kemalangan yang meragut nyawa insan-insan yang disayanginya.

"Mungkin dia sudah tidak mahu ingat lagi kejadian itu dan cuba melupakannya. Walaupun dia masih kecil namun pemikirannya seakan orang dewasa.

"Saya selalu pesan kepada Firdaus dan Fatiha, jika sayangkan mama dan ayah serta Fikri dan Fitri, berdoa banyak-banyak sebab mereka sekarang di syurga.

"Kami tahu mereka merindui mama dan ayah mereka terutama Fikri dan Fitri. Setiap kali keluar rumah pasti akan ada lambaian yang ditujukan kepada bingkai gambar ahli keluarga yang digantung di ruang tamu rumah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Bercerita mengenai sambutan raya yang pertama kali tanpa kehadiran Shaiful Fadzilah, Maliha berkata, tiada perasaan teruja dan gembira kerana sebelum ini anak sulungnya itu yang sering melakukan persiapan raya dan rajin membantunya setiap kali tiba lebaran.

"Raya kali ini kurang serinya. Dulu ada Along, setiap kali hari raya dia yang akan melakukan persiapan dan menyediakan pakaian untuk adik-adiknya.

"Kini semua itu hanya tinggal kenangan, namun kami sekeluarga bersyukur kerana masih ada dua lagi zuriatnya sebagai penyembuh luka di hati kami akibat kehilangan mereka," katanya.

Kepiluan 92 pesakit terubat sempena Aidilfitri

Posted:

Kepiluan 92 pesakit terubat sempena Aidilfitri

Kepiluan 92 pesakit terubat sempena Aidilfitri

KEPALA BATAS 1 Sept. - Kepiluan 80 pesakit yang terpaksa menyambut 1 Syawal di katil wad Hospital Kepala Batas (HKB), di sini sedikit terubat apabila menerima kunjungan rombongan Ahli Lembaga Pelawat hospital tersebut semalam.

Riak kegembiraan terpancar di wajah pesakit berkenaan apabila rombongan tersebut yang diketuai Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat HKB, Ahmad Darus meluangkan masa bertanya khabar selain menghulurkan sumbangan hamper makanan.

Turut mengiringi rombongan tersebut ialah Pengarah HKB, Dr. Norshidah Ismail serta kakitangan hospital.

Ahmad berkata, kunjungan amal tersebut merupakan program tahunan bertujuan memberi keceriaan para pesakit yang terpaksa melupakan hasrat berhari raya bersama keluarga kerana perlu mendapatkan rawatan.

''Kita harap ia dapat meringankan tekanan dan mengubat kerinduan para pesakit dengan ahli keluarga masing-masing khususnya menjelang Syawal ini.

''Dengan program begini, kita dapat berkongsi kesedihan dan menunjukkan keprihatinan kepada insan yang memerlukan sokongan di saat-saat genting melawan penyakit," katanya.

Menurutnya, sepanjang kunjungan itu, pihaknya bertemu pesakit dan menyampaikan sumbangan di wad kanak-kanak, orang dewasa, wad bersalin dan bertemu kakitangan hospital yang akan bertugas di hari lebaran.

Katanya, program itu juga dapat merapatkan pihaknya dengan kakitangan hospital serta memberi semangat memandangkan ada antara mereka tidak dapat pulang berhari raya di kampung tahun ini.

Seorang pesakit, Siti Rohani Harun, 53, dari Kampung Permatang Tiga Ringgit, dekat sini berkata, dia gembira kerana walaupun berada di hospital, masih ada pihak yang tampil mengubat kerinduan berhari raya bersama keluarga.

Bagi Fazliatul Akmar Osman, 34, yang menghidap penyakit batu karang memberitahu, kunjungan itu sedikit sebanyak menghiburkan hatinya selepas terpaksa meninggalkan anak dan suami bagi mendapatkan rawatan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved