Jumaat, 2 September 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Lahirkan pendakwah berkesan

Posted:

Lahirkan pendakwah berkesan

Lahirkan pendakwah berkesan

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my


Antara aktiviti yang dijalankan semasa program praktikal ukhuwah yang disertai pelajar IDIP di perkampungan Orang Asli di Pos Brooke, Gua Musang, baru-baru ini.


KOTA BHARU 1 Sept. - Tidak ramai mengetahui Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) yang terletak kira-kira 12 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu adalah satu-satunya institusi pendidikan Islam yang ditubuhkan khusus untuk membimbing dan melatih saudara baru sebagai pendakwah yang berkesan dalam masyarakat.

Institut di bawah kendalian Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) itu membuka pintu seluas-luasnya kepada saudara baru tanpa mengira latar belakang, kelulusan akademik dan kewangan untuk mempelajari dan mendalami Islam sebagai panduan hidup.

Pemangku Pengarah IDIP, Ahmad Fathan Mahmood berkata, sejarah institut itu bermula sebagai Pusat Latihan Mubaligh Darul Arqam (PLMDA) yang beroperasi di sebuah rumah banglo dua tingkat di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada akhir 1961.

Katanya, penubuhan PLMDA ketika itu bertujuan memenuhi keperluan melahirkan pendakwah Perkim dengan 24 pelajar lepasan universiti-universiti Indonesia dan India serta pelajar dari Korea Muslim Federation telah diambil sebagai kumpulan perintis.

Operasi PLMDA dihentikan pada 1963 tetapi diwujudkan semula pada 1975 dengan nama Pusat Latihan Agama Perkim (PLAP) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke bangunan Wisma Selangor, Petaling Jaya, Selangor.

"Pusat latihan ini akhirnya bertukar nama kepada IDIP dan ia berpindah ke Taman Putra Perkim di Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada 15 Februari 1979 sehingga sekarang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, IDIP menawarkan Kursus Persediaan Pengajian Islam, Sijil Asas Pengajian Islam dan Sijil Pengajian Islam kepada para pelajarnya di sini dan akan mula menawarkan Diploma Pengajian Islam dan Dakwah pada September ini.

Beliau berkata, sehingga kini, IDIP telah melahirkan lebih 2,000 pendakwah yang berkhidmat di jabatan agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara dan antara produknya yang paling dikenali ramai adalah Pengarah Institut Kajian Hadis, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Mohd. Farid Ravi Abdullah.

"Pada hari ini kami mempunyai seramai 177 orang pelajar lelaki dan wanita dengan bilangan kakitangan akademik sepenuh masa seramai 13 orang," katanya.

Jelasnya, antara mata pelajaran wajib yang diajar adalah tajwid, tilawah, bahasa Arab, aqidah ulum al-Quran, ulum al-Hadis, fiqh ibadat, syariah Islamiah, tamadun Islam, bahasa Inggeris dan lain-lain.

Bagaimanapun, Ahmad Fathan berkata, modul pembelajaran di IDIP tidak terhad kepada pembelajaran dalam kelas semata-mata tetapi pelajar akan dipastikan menyertai program praktikal dakwah sekurang-kurangnya dua kali setahun setiap kali cuti semester.

"Kita hantar pelajar ke kawasan pedalaman contohnya di hulu Kelantan atau Sarawak untuk membantu saudara baru di sana dari kalangan Orang Asli dan sebagainya bagi menyelami permasalahan mereka serta memberi sedikit sebanyak bantuan kebajikan.

"Pelajar-pelajar ini akan menjadi anak angkat kepada keluarga Islam agar ikatan dapat dijalin bagi memastikan mereka tidak merasa tersisih dari agama ini meskipun berada jauh dari masyarakat Islam di luar," katanya.

Menariknya, meskipun IDIP sinonim sebagai sebuah institut pendidikan khusus untuk membimbing saudara baru, ia juga memberi ruang kepada orang yang lahir sebagai Islam untuk turut belajar di sini.

Menurut Ahmad Fathan, pihaknya bersedia menerima permohonan mereka yang sejak lahir beragama Islam untuk belajar agama bersama-sama dengan saudara baru.

Katanya, kira-kira 10 peratus daripada pelajar IDIP merupakan penganut Islam asal yang baru hendak mendalami Islam.

"Tidak ada halangan untuk mereka datang ke sini, walaupun peratusan yang kita terima kecil sahaja tetapi apa yang akan mereka pelajari di sini insya-Allah akan memberi manfaat besar.

"Kita juga tidak meletakkan sebarang had umur, asalkan mereka mempunyai iltizam tinggi untuk menuntut ilmu agama," katanya.

Salah seorang pelajar yang ditemui, Meera Saiboo Faqir Muhammad, 60, berketurunan India Muslim, mengambil kursus Sijil Asas Pengajian Islam sejak awal tahun ini.

Meera Saiboo yang berasal dari Negeri Sembilan berkata, walaupun kesedaran untuk mendalami ilmu agama hanya timbul pada usia emas, dia tidak malu untuk berada sekelas dengan pelajar yang bertaraf anak dan cucu kerana tuntutan mencari ilmu hanya berhenti apabila masuk ke liang lahad.

"Masa saya muda, saya dihantar bapa ke sekolah Inggeris. Saya tiada asas agama langsung dan apabila sibuk menyara hidup dengan pelbagai kerja, saya makin tiada masa untuk belajar agama.

"Saya mula sedar 'kehilangan' saya yang sebenar pada tahun lalu dan cuba mencari peluang dan tempat terbaik untuk belajar tentang Islam.

"IDIP adalah tempat paling sesuai bagi insan seperti saya kerana ia menyampaikan ilmu-ilmu Islam secara tersusun dan suasana belajar di sini tidak banyak terganggu dengan unsur negatif luar," katanya.

Jelasnya, matlamat sekarang adalah untuk menjadi seorang pendakwah dan melakukan pembaharuan dalam masyarakat di kesempatan usia yang masih bersisa.

Sementara itu, Ahmad Fathan berkata, cabaran besar yang dihadapi IDIP adalah dari sudut kewangan kerana pada hakikatnya selain sebagai sebuah pusat pengajian, ia menjadi tempat bergantung pelajar yang kebanyakannya disisih keluarga selepas menganut Islam.

Beliau berkata, Perkim sebagai sebuah NGO perlu mencari dana lebih RM80,000 sebulan untuk kos elaun pelajar, penginapan dan makanan mereka.

"Ramai tiada punca pendapatan kerana dibuang kerja setelah majikan bukan Islam tidak senang dengan perubahan mereka, pelajar-pelajar ini mengorbankan segala-galanya kerana hidayah Allah jadi kita bertanggungjawab untuk membantu.

"Kami memperuntukkan pembahagian elaun sebanyak RM200 seorang kepada pelajar ini, selain daripada itu, ada juga yang mendapat duit poket lebih sekiranya mereka ditaja masuk ke sini oleh institusi Islam seperti Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain," katanya.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa mengehadkan kemasukan 100 orang pelajar baru setiap tahun kerana kekangan tempat serta kewangan yang dihadapi.

Justeru, Ahmad Fathan berharap, masyarakat Islam menyedari bahawa saudara baru adalah salah satu daripada kalangan lapan asnaf yang sepatutnya tidak dipinggirkan dalam pemberian zakat.

Katanya, pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi pejabat IDIP di talian 09-771 5810, 771 5816 atau menerusi akaun Tabung Pembangunan IDIP 0301-801-0041536 Bank Islam cawangan Kubang Kerian, Kelantan.

MB rai lebih 1,000 perantau

Posted:

MB rai lebih 1,000 perantau

MB rai lebih 1,000 perantau

Oleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA
utusanterengganu2utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 1 Sept. - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meraikan lebih 1,000 perantau pada Hari Raya Aidilfitri kedua yang disambut meriah di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk di sini kelmarin.

Majlis yang menjadi acara tahunan itu bertujuan mendekatkan hubungan kerajaan negeri dan para pimpinan dengan anak-anak negeri yang berada di perantauan sambil bertukar-tukar pandangan sempena kepulangan mereka untuk berhari raya.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abdul Razak Ismail dan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Datuk Wan Ahamad Wan Muda.

Pada majlis itu, mereka dihidangkan dengan rojak kateh, ketupat, tapai pulut, keropok lekor, laksa Terengganu, laksa penang, kuih-muih tradisional termasuk tat telur dan sebagainya yang jarang ditemui di negeri lain.

Selain pelajar, perantau tersebut terdiri daripada pelbagai jenis profesion seperti ahli akademik, petugas media dan tokoh serta personaliti anak negeri yang mencipta nama dalam pelbagai bidang di luar Terengganu turut dijemput hadir program berkenaan.

Dalam ucapannya, Ahmad berharap, para perantau mendapat maklumat yang tepat mengenai pembangunan semasa dan hala tuju pembangunan negeri di bawah pimpinannya yang berteraskan usaha merakyatkan pembangunan dan pentadbiran.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited melaksanakan pelbagai perubahan dan pembangunan semata- mata ingin melihat Terengganu lebih maju atau setanding dengan negeri lain manakala rakyat menikmati kehidupan lebih sejahtera dalam suasana harmoni.

"Dulu penduduk negeri ini seakan segan ingin mengaku bahawa dirinya orang Terengganu berkemungkinan tidak banyak perubahan yang berlaku.

"Kini, mereka berbangga dengan asal usul mereka kerana ramai rakyat negeri ini mencipta nama di persada antarabangsa," katanya.

Seorang perantau yang berasal dari Batu Buruk, Annur Najwa Azizan, 30, berkata, dia tidak akan melepaskan peluang hadir meraikan majlis seumpama itu jika mendapat jemputan daripada penganjur.

"Pada majlis ini saya dapat mengenali pemimpin Terengganu secara dekat," katanya yang juga Pengurus Akademi Kecantikan Redglow di Shah Alam, Selangor.

Perantau dari Cheras, Kuala Lumpur, Puan Norhayati Mohamed, 40- an pula berkata, dia dan keluarga seronok dapat menghadiri majlis itu kerana berpeluang merasai pelbagai makanan tradisional di samping merasa dihargai oleh pimpinan negeri.

"Nasi dagang dan keropok lekor menjadi hidangan wajib bagi kami setiap kali hadir ke majlis ini kerana di Kuala Lumpur sukar untuk mendapatkannya," katanya datang bersama suami dan anak-anak.

Pada majlis yang berlangsung dalam suasana santai itu, Ahmad bersama isteri Toh Puan Hajah Norliza Mahmud turut mengagihkan duit raya kepada anak-anak perantau.

48 pesakit buah pinggang dapat duit raya

Posted:

48 pesakit buah pinggang dapat duit raya

48 pesakit buah pinggang dapat duit raya


TENGKU Azlan Sultan Abu Bakar (kiri) menyerahkan sumbangan wang tunai dan hamper makanan kepada seorang pesakit buah pinggang di Pusat Hemodialisis Hospital Jerantut, Jerantut, kelmarin.


JERANTUT 1 Sept. - Seramai 48 pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan di Pusat Hemodialisis, Hospital Jerantut di sini menerima sumbangan hamper dan wang tunai daripada UMNO Bahagian Jerantut baru-baru ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dalam program ziarah menjelang Aidilfitri di pusat hemodialisis, wad kanak-kanak dan wanita di hospital itu.

Tengku Azlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut turut menyampaikan sumbangan sama kepada lima pesakit wanita dan tiga kanak-kanak di wad hospital tersebut.

Beliau yang ditemui kemudiannya berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan penderitaan pesakit terbabit menjelang hari raya nanti.

"Walaupun bantuan itu tidak seberapa, tetapi saya yakin, ia cukup signifikan bagi pesakit untuk memeriahkan hari lebaran bersama keluarga nanti.

''UMNO sentiasa memberi perhatian kebajikan kepada semua pesakit sepanjang masa khususnya menjelang bulan Ramadan dan setiap kali menyambut hari raya Aidilfitri," katanya di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee, Pengarah Hospital Jerantut, Devaraj Salam dan Pemangku Ketua Polis Jerantut, Deputi Supritendan Zakaria Kassim.

Beliau berharap syarikat swasta, ahli korporat dan orang perseorangan turut tampil menghulurkan bantuan kepada pesakit dan mereka yang kurang berkemampuan.

''Kita perlu berkongsi kegembiraan menerusi harta benda dan kewangan bersama golongan kurang bernasib baik yang juga berhak menikmatinya selaras dengan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim dan ibadah bersedekah pada bulan Ramadan," ujarnya.

Beliau menambah, usaha syarikat swasta, ahli korporat dan pihak tertentu juga dapat meringankan beban kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan dana hari raya kepada mereka yang memerlukan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved