Selasa, 23 Ogos 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Aidilfitri 2011 pasti ceria

Posted:

Aidilfitri 2011 pasti ceria

Aidilfitri 2011 pasti ceria

Oleh HAMDEN RAMLI
utusanperak@utusan.com.my


MOHD. Salleh Mat Disa (dua dari kanan) beramah mesra dengan keluarga penerima Projek Bantuan Rumah di Parit Buntar, baru-baru ini.


PARIT BUNTAR 22 Ogos - Tanggal 30 Ogos 2010 pasti sukar untuk dilupakan dalam lipatan sejarah hidup seorang nelayan, Samail Saat, 61, yang tinggal di Kampung Tok Ngah, Kuala Kurau dekat sini.

Masih segar dalam ingatan warga emas tersebut ialah bagaimana luluh hatinya apabila melihat segala harta, termasuk rumah kampung miliknya musnah dalam kebakaran pagi itu.

Lebih menyayatkan hati, kebakaran tersebut berlaku kira-kira 10 hari sebelum umat Islam bergembira menyambut hari lebaran Aidilfitri.

Tidak ada apa yang mampu dilakukan, apatah lagi ketika kejadian berlaku dia sedang bertungkus lumus di laut bagi mencari sesuap rezeki.

"Saya tidak tahu apa-apa. Apabila sampai ke jeti pada tengah hari itu orang di jeti memberitahu rumah saya terbakar," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengimbas saat mendengar makluman itu, Samail berkata, tanpa melengahkan masa dia terus mengerah kudrat yang ada selepas lebih lapan jam berada di laut, berlari pulang ke rumah.

Segala hasil tangkapan yang diperoleh dilepas dan dibiarkannya di atas jeti.

Hasrat Samail untuk menyelamatkan sisa-sisa hartanya bagaimanapun tidak kesampaian kerana sebaik tiba di kawasan rumahnya apa yang dapat disaksikan hanyalah abu.

Lebih malang, kebakaran tersebut bukan sahaja memusnahkan rumahnya, tetapi dua lagi rumah jiran.

Sebaik melihat mahligai yang dibina ranap menjadi abu, seluruh hidup Samail bagaikan gelap. Masa depannya dilihat suram.

Dengan pendapatan yang tidak tetap dan kenaikan harga barangan binaan, tidak memungkinkan dia untuk membina semula rumah.

"Hari itu, harta saya hanyalah baju yang digunakan untuk ke laut sahaja. Yang lain musnah. Semuanya tinggal abu sahaja," katanya.

Bagaimanapun, setelah hampir setahun berlalu, Samail boleh menarik nafas lega kerana dengan kegigihan pemimpin di kampung serta kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mengutamakan nasib rakyat, dia kembali memiliki sebuah rumah untuk berteduh bersama keluarganya.

Dua jirannya, turut menerima bantuan rumah yang dibina menerusi peruntukan Projek Bantuan Rumah (PBR) di bawah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).

Pujian seharusnya diberikan kerana dalam tempoh empat bulan selepas kebakaran, ketiga-tiga rumah berkenaan sudah siap dan sedia untuk didiami.

Penyelaras BN Kuala Kurau, Mohd. Salleh Mat Disa berkata, ketiga-tiga mangsa kebakaran itu mula tinggal di rumah berkenaan sejak awal tahun ini.

Katanya, keupayaan agensi kerajaan seperti Felcra untuk mempercepatkan proses permohonan dan memastikan pelaksanaannya berjalan lancar amat mengagumkan dan perlu dicontohi oleh agensi kerajaan lain.

"Saya masih ingat, hari ini mesyuarat, esok pegawai Felcra 'turun padang' membuat tinjauan kawasan.

"Dua atau tiga hari selepas itu, kontraktor pula datang membuat tinjauan dan dalam tempoh seminggu kerja-kerja membina rumah berkenaan sudah bermula.

"Masuk bulan ketiga, bekalan api dan air dipasang dan selepas empat bulan, rumah berkenaan sedia untuk didudukinya," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima rumah bantuan berkenaan, Sariff Ibrahim, 39, mengakui sangat selesa tinggal di rumah yang mempunyai tiga bilik itu.

"Saya bersyukur kerana jika mengikut gaji sebagai pekerja kilang, saya tidak tahu bila boleh memiliki rumah seperti ini," ujarnya.

Menurutnya, sepanjang pembinaan rumah tersebut dia terpaksa menyewa rumah di kawasan berhampiran bagi membolehkan anaknya meneruskan persekolahan di sekolah yang sama.

"Alhamdulillah jika tahun lalu Hari Raya Aidilfitri disambut di rumah sewa, tahun ini mungkin lebih meriah apabila diadakan di rumah baharu ini," ujarnya.

Ketua Kampung Tok Ngah, Ahmad Hamid berkata, sebanyak tiga insiden kebakaran pernah berlaku di kampung berkenaan.

"Dalam kejadian ini jika tidak kerana kerjasama penduduk memadam kebakaran lebih 10 buah rumah boleh musnah," katanya.

Kampung Tok Ngah didiami oleh 130 keluarga, majoritinya adalah petani dan nelayan manakala kira-kira 15 peratus bekerja dengan agensi kerajaan.

Felcra sedia RM21j jayakan PBR

Posted:

Felcra sedia RM21j jayakan PBR

Felcra sedia RM21j jayakan PBR

PASIR SALAK 22 Ogos - Sebanyak RM21 juta diperuntukkan oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) bagi melaksanakan Program Bantuan Rumah (PBR) di seluruh negara tahun ini.

Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, peruntukkan itu melibatkan pembinaan 372 unit rumah baharu dan 248 unit rumah yang akan dibaik pulih.

Katanya, program tersebut selaras dengan matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi rakyat luar bandar.

"Program ini merupakan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membantu rakyat dengan membina rumah baharu atau membaik pulih rumah rakyat yang miskin dan miskin tegar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan surat tawaran kepada penerima Program Bantuan Rumah (PBR) di Kampung Gajah, Pasir Salak, baru-baru ini.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, program tersebut diharap dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat miskin dan miskin tegar dengan segera bagi membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Menurutnya, Felcra akan terus merealisasikan hasrat kerajaan dalam memastikan setiap rakyat memiliki rumah sendiri menjelang 2020.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Naziatun Hussain berkata, rumah yang didudukinya perlu dibaik pulih segera.

"Saya tidak menjangka akan mendapat bantuan membina rumah baharu daripada kerajaan. Syukur semoga tuhan membalas jasa baik mereka," katanya.

Reaksi yang sama turut dikongsi oleh S. Krishnama yang bakal mendapat rumah baharu di bawah PBR.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin masalah rakyat," katanya.

Pas terbukti mungkir janji

Posted:

Pas terbukti mungkir janji

Pas terbukti mungkir janji

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my


Ahmad Bashah Md. Hanipah menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Taman Wira, Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 22 Ogos - Kegagalan membangunkan sektor pertanian iaitu mahu menjadikan Kedah sebagai 'Belanda Timur' merupakan salah satu daripada ratusan janji yang tidak ditunaikan oleh Kerajaan Pas Kedah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, rakyat negeri ini mula bersuara dan sedar bahawa kerajaan negeri hanya tahu berjanji dan tidak pernah melaksanakannya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak menepati janji apabila tidak memungut hasil tanaman pemilik dusun buah-buahan di Padang Terap hingga menyebabkan kira-kira 10,000 penduduk menanggung kerugian besar.

"Saya harap rakyat terus bangkit suarakan janji-janji kerajaan negeri yang tidak ditepati.

"Dahulu mereka (kerajaan negeri) kata nak jadikan Kedah sebagai 'Belanda Timur' iaitu negeri yang maju dalam aktiviti pertanian, namun sekarang tiada satu pun perancangan mereka ke arah itu," katanya selepas menyampaikan bantuan wang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 60 penerima di Dewan Taman Wira di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kekecewaan 10,000 pemilik dusun buah-buahan di daerah Padang Terap yang membuat satu demonstrasi di Naka semalam kerana mendakwa kerajaan negeri gagal menunaikan janji bagi memungut hasil tanaman untuk diproses di Pusat Pengumpulan Produk Pertanian di Sungai Petani.

Menurut Ahmad Bashah, apa yang berlaku kini jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri hanya membuat perancangan di atas kertas, namun tiada pelaksanaan dibuat,

"Kalau kita nak kumpul hasil pertanian, kita kena tubuhkan satu agensi untuk kutip hasil daripada pemilik dusun. Tetapi mereka (kerajaan negeri) tak tubuhkan agensi untuk mengutip hasil, jadi memang berlaku lambakan buah-buahan bermusim seperti rambutan," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri gagal membuktikan bahawa mereka adalah kerajaan yang mampu membela nasib rakyat seperti Barisan Nasional.

"Kita kalau janji kepada rakyat, akan laksanakan dan bantuan yang diberikan tidak mengira bangsa serta agama," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved