Selasa, 23 Ogos 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Akidah pertaruhan politik?

Posted:

Akidah pertaruhan politik?

Akidah pertaruhan politik?

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

RAMADAN kali ini sememangnya memberikan ujian besar kepada umat Islam di negara ini. Di tengah-tengah kerancakan bertarawih dan bertazkirah di masjid-masjid, kita bagaikan 'ditampar' apabila timbul isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah premis yang didakwa Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Ujian kepada kita adalah apabila isu itu timbul, ia menyerlahkan betapa kepimpinan umat Islam sendiri tiada kata sepakat. Malah ada yang memandang sinis dan begitu cepat menuding jari terhadap JAIS.

Kerajaan negeri Selangor awal-awal lagi dalam reaksi segeranya menyatakan kekesalan atas pemeriksaan JAIS itu meskipun dalam masa tersebut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim belum lagi mendapat laporan daripada agensi agama tersebut.

Sikap ini cukup menghairankan kerana sepatutnya JAIS yang merupakan sebuah agensi yang secara tidak langsung terletak di bawah pentadbiran negeri, tidak dipertahankan oleh Abdul Khalid. Kakitangan kerajaan negeri secara keseluruhannya pasti kecewa dan jatuh moralnya apabila agensi negeri tidak menjadi keutamaan pentadbiran Abdul Khalid.

Sebaliknya, awal-awal lagi Menteri Besar menelefon pastor di gereja terbabit ketika pada masa sama JAIS diserang bertubi-tubi kerana dikatakan menceroboh sebuah gereja.

Malah, Menteri Besar sengaja tidak mahu mendedahkan status sebenar premis berkenaan dan hanya mahu ia dimasukkan dalam laporan JAIS.

Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu pula 'menikus' apabila wartawan bertanya soal status premis berkenaan. Menteri Besar menyatakan beliau tidak tahu sedangkan di sebelahnya adalah Ronnie yang sepatutnya sudah mempunyai maklumat tentang status premis yang dikatakan gereja itu.

Selama ini Ronnie gemar menempel dalam sidang akhbar Menteri Besar sering menyampuk kalau ada sesuatu yang perlu diperjelaskan tetapi dalam isu gereja, dia hanya tersengih-sengih.

Sepatutnya Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali lebih layak berada dalam sidang media itu kerana ia membabitkan isu JAIS.

Padahal, sering kali dalam isu membabitkan portfolionya mengenai pihak berkuasa tempatan (PBT), Ronnie adalah juaranya seperti isu arak dan larangan orang Islam bekerja di kelab hiburan.

Apa yang paling mengecewakan ialah Pas yang terus menggunakan kaedah jalan tengah atau manzilah baina manzilatain. Tiada pendirian jitu dibuat kerana lebih mahu mengambil hati orang lain atau lebih tepat kepentingan undi.

Seperti mana dalam isu perkataan Allah, Pas membenarkan penggunaan kalimah jalalah itu asalkan tiada penyalahgunaan. Dalam isu pemeriksaan JAIS pula, keputusan diambil untuk mendapatkan penjelasan JAIS dan gereja.

Pas tidak lagi bercakap tentang kepentingan pengundi deposit tetap mereka - orang Islam tetapi cuba bermain mata dengan pengundi bukan Melayu. Sekali lagi Pas 'ketinggalan bot' berbanding NGO-NGO Islam termasuk yang cenderung kepada parti Islam itu sejak dahulu.

Mereka berjaya membuat pendirian tegas dengan pantas iaitu menyokong JAIS setelah mendapat bukti-bukti asas tentang penyebaran agama lain terhadap orang Islam.

Mereka dengan pantas mencari maklumat awal termasuk rakaman pemeriksaan JAIS pada malam 3 Ogos itu. 12 orang penganut Islam dikesan hadir dalam majlis 'thanksgiving' dan kuiz agama Islam serta menyanyi lagu 'Allahuakbar' dan 'Subhanallah'.

Dalam rakaman itu disaksikan seorang peserta bukan Islam mempertahankan haknya menggunakan kalimah Allahuakbar dan Subhanallah kerana kononnya tiada larangan kerajaan.

Lebih pelik lagi dalam salah satu soalan kuiz itu menyebut tentang berapa kali perkataan Nabi Isa disebut dalam Al-Quran.

Majlis di DUMC itu mungkin hanya ibarat bongkah ais yang timbul di permukaan air. Bongkah yang lebih besar di dasar air tidak kelihatan.

Sekarang mahukah Pas bertanggungjawab apabila kalimah seruan takbir dan tasbih Maha Suci Allah itu pun sudah diceroboh dan disalah guna oleh bukan Islam.

Walaupun Pas kemudiannya membuat beberapa kenyataan penegasan yang dilihat sebagai 'tindakan mengawal kerosakan' tetapi masih tetap mahu menghala peluru kepada lawan politiknya.

Mereka mempersoalkan seolah-olah ada tangan ghaib UMNO dalam pemeriksaan JAIS apabila rakaman pemeriksaan itu mula didedahkan dalam laman-laman blog.

Pas bercakap sedemikian seolah-olah tiada seorang pun ustaz-ustaz dalam JAIS bersikap pro kepada parti itu atau sekurang-kurang yang ada jiwa Islam dan sayangkan perjuangan Islam.

Apa yang mengecewakan ialah apabila persoalan pokok iaitu usaha memurtadkan orang Islam secara halus tidak menjadi perkara utama perbahasan.

Sekurang-kurang reaksi segera pelbagai pihak tidak kira parti politik dan NGO-NGO Islam tidak menunjukkan umat Islam terus dibuai lena. Dalam kekhusyukan beribadah mengejar keberkatan ganjaran Ramadan, jangan lupa ada saudara-saudara kita cuba 'dibawa lari' orang.

Kalau kes di DUMC cuba dinafikan tetapi kita tidak dapat menutup isu memurtadkan Nor Asyiah Bukhori dan Lina Joy yang sudah terbukti memang berlaku penyebaran agama lain ke atas umat Islam. Ibarat di sebalik silau terik matahari di siang hari, meskipun kita tidak dapat melihatnya, kita tahu matahari itu tetap ada.

Sepatutnya dalam isu agama dan mempertahankan hak kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kita semua senada tanpa mengira latar belakang politik atau apa saja kepentingan.

Namun sejauh mana kita serius, boleh dilihat bagaimana sambutan Seminar Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Negara di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam baru-baru ini.

Ruang dewan yang luas di masjid negeri itu mampu menampung ribuan umat Islam yang hadir untuk menunjukkan solidariti atas isu penyebaran agama lain. Namun jumlah kehadiran tidak memberangsangkan.

Adakah orang kita hanya hangat-hangat tahi ayam? Cakap berdegar-degar tetapi memandang sepi isu yang begitu penting seperti murtad.

Seperti yang dinyatakan oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik dalam seminar itu bahawa sikap umat Islam yang berpecah dan sering bertelagah pandangan menyebabkan mereka tidak akan mampu menghadapi cabaran besar termasuk Kristianisasi.

Ini kerana proses Kristianisasi (ke atas umat Islam) itu berselindung dalam arus liberalisasi global yang boleh merubah struktur dan rupa bentuk negara selain mengancam keselamatan.

''Kita 14 juta umat Islam tidak mempunyai apa-apa risalah dan apabila berdepan dengan ancaman, kita bertaburan. Bahkan kita bercanggah sesama sendiri dalam memahami isu yang dihadapi sekarang," kata Abdullah.

Beliau bimbang sekiranya keadaan itu berlarutan, umat Islam tidak akan dapat lagi mempertahankan saki baki jaminan Perlembagaan Persekutuan yang ada di dalam perkara memartabatkan agama Islam.

Katanya, penghakisan kuasa politik dan tawar menawar orang Islam dikhuatiri akan mendedahkan kedudukan Islam negara ini terus dicabar.

Abdullah berkata, arus liberalisasi global yang menggerakkan fahaman humanisme semakin laju sehingga sukar ditolak malah kadang kala mengelirukan umat Islam.

Fahaman ini menjadi ancaman kepada kedudukan Islam, dengan berselindung atas pembentukan masyarakat sivil yang membawa kepada kebebasan individu secara mutlak.

Ini membawa maksud bahawa orang Melayu yang dilahirkan sebagai Islam perlu diberikan kebebasan untuk memilih agama.

Anak tidak perlu ditetapkan agamanya sejak dari bayi sebaliknya membiarkan mereka menentukannya sendiri apabila dewasa. Ini adalah antara pandangan beberapa pemimpin muda pembangkang.

Beli kepentingan Esso Malaysia

Posted:

Beli kepentingan Esso Malaysia

Beli kepentingan Esso Malaysia

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

Belum pun reda isu AirAsia dan MAS, tiba -tiba satu lagi kejutan apabila isu penjualan 65 peratus pegangan ExxonMobil International Inc. kepada San Miguel Corp. (SMC) sebuah syarikat pengilangan arak yang berpusat di Filipina yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai amat merugikan kerana ia melibatkan industri minyak dan gas negara.

Keputusan ExxonMobil mahu melupuskan pegangannya di dalam Esso Malaysia sekali gus menutup operasi runcitnya di negara ini dikatakan berpunca daripada margin keuntungan yang rendah.

Cadangan pengambilan alihan pegangan itu akan menyediakan San Miguel dengan peluang unik untuk meluaskan portfolio peniagaan penapisan dan pemasaran minyak di luar Filipina.

Hebat cadangan itu. Tetapi jika syarikat Malaysia tidak bertindak segera, ia boleh menggambarkan syarikat tempatan tidak layak untuk mengambil alih Esso.

Bahkan, tidak perlu pihak badan bukan kerajaan (NGO) membuat 'bising' tentang isu penjualan pegangan saham ini. NGO berkenaan mahu kerajaan atau syarikat gergasi Malaysia masuk urus niaga itu untuk menyelamatkan Esso Malaysia daripada jatuh ke tangan individu dan syarikat asing.

Ini kerana, kita ada banyak syarikat yang berpengalaman luas dalam bidang penapisan dan pemasaran minyak, namun tidak diberi perhatian sewajarnya.

Esso Malaysia mempunyai prospek pertumbuhan yang baik. Ia memiliki syarikat penapisan minyak di Port Dickson, Negeri Sembilan serta 560 stesen minyak Esso dan Mobil di seluruh negara.

Apa pun, pastinya ExxonMobil mempunyai alasan yang kukuh untuk berbuat demikian dan sudah tentu menguntungkan kedua-dua pihak, namun Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Mohammad Ismail percaya semua pihak di Malaysia mengecam dan tidak bersetuju kerana banyak persoalan yang memerlukan jawapan.

"Esso Malaysia perlu peka kepada sensitiviti negara kita, saya percaya pasti ada syarat-syarat atau terma yang memerlukan syarikat itu memberi tawaran kepada syarikat tempatan terlebih dahulu. Kita mempunyai beberapa individu yang tersenarai sebagai individu terkaya di Malaysia. Apakah mereka ini tidak berminat? Atau tidak ditawarkan.

"Begitu juga kita mempunyai syarikat tempatan atau syarikat milik kerajaan (GLC) yang mampu untuk membeli dengan harga RM3.50 yang ditawarkan. Mustahil syarikat kita tidak mampu melainkan tidak berminat atau tidak ditawarkan? Atau mereka terlepas pandang?," komen Mohammad.

Beliau hairan mengapa harga yang ditawarkan kepada San Miguel adalah lebih rendah darpadai harga pasaran.

"Saya difahamkan pihak Boustead Holdings Bhd. yang dimiliki oleh LTAT ada membuat tawaran yang sekitar RM5.20 berbanding harga pasaran RM4.07 sesaham.

"Persoalannya kenapa syarikat asing yang ditawarkan dengan harga yang begitu rendah iaitu RM3.50 sesaham atau jumlah keseluruhannya RM614.25 juta, sedangkan LTAT menyatakan hasrat untuk membeli ekuiti Esso Malaysia dengan tawaran keseluruhan RM1 bilion?" tanya beliau.

Dalam soal ini, Mohammad berpendapat kerajaan perlu memainkan peranan dalam memastikan agar syarikat tersebut tidak jatuh ke tangan syarikat asing apatah lagi syarikat tersebut melibatkan arak.

"Jika tidak ditangani dengan baik, isu ini akan menjadi modal Pilihan Raya Umum Ke-13 dan ia akan menjadi 'bola tanggung' di mana akan menjadi pukulan smash yang amat sukar untuk dikembalikan.

"Penjualan tersebut juga boleh menjatuhkan imej Malaysia kerana San Miguel merupakan syarikat pengilangan arak dan ini sudah tentu melibatkan kepentingan dan sensitiviti rakyat Malaysia kerana ramai pekerja Esso Malaysia ialah rakyat tempatan," kata Mohammad.

Kerajaan juga perlu berfikiran jauh ke hadapan. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Sekuriti serta agensi kerajaan yang berkaitan perlu berwaspada agar perkara seumpama ini tidak berulang.

Bagi Mohammad, syarikat tempatan perlu diberi keutamaan berbanding syarikat asing. Syarikat tempatan perlu diberi tawaran terlebih dulu, malah jika perlu satu akta diwujudkan bagi mengatasi masalah tersebut.

Kini, pelbagai pihak mendesak kerajaan campur tangan agar ExxonMobil tidak terlepas ke dalam tangan syarikat asing.

Apa pun terima kasih kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berusaha menghubungi pihak Esso di Amerika Syarikat bagi menyuarakan hasrat LTAT untuk membeli 65 peratus ekuiti dalam Esso Malaysia.

Walaupun pihak kementerian tidak boleh terlalu mencampuri urusan tersebut kerana dibimbangi ia akan memberi gambaran buruk kepada pelabur dari luar. Namun sokongan itu selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu melihat lebih banyak syarikat tempatan dipilih menguasai Esso yang mahu mengundur diri daripada perniagaan runcit petroleum di negara ini.

Esso Malaysia sebelum ini dilaporkan akan melepaskan kepentingannya di negara ini dan menumpukan pasaran baru, selain gagal muncul sebagai syarikat peruncitan minyak utama dan ketinggalan jauh di belakang dua pesaing utamanya iaitu Petronas dan Shell.

Industri membabitkan petroleum di negara ini adalah sensitif kerana ia disubsidikan oleh kerajaan untuk rakyat Malaysia.

Sebarang tindakan yang dilihat boleh menyebabkan industri itu dimiliki oleh orang asing adalah amat sensitif dan mampu menjejaskan reputasi negara terutama yang membabitkan dasar-dasar kerajaan.

Sebab itu tugas membeli kepentingan dalam Esso Malaysia mungkin boleh dilakukan oleh syarikat berpengalaman seperti Kencana, Sapura dan Sime Darby. Jika tidak mampu bersendirian, lakukan melalui usaha sama.

Syarikat-syarikat ini mempunyai modal dan reputasi dalam bidang perniagaan petroleum. Kerjasama ini penting agar kepentingan pengguna serta industri minyak di negara ini terjaga.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved