Selasa, 23 Ogos 2011

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Nelayan Sg. Lereh tuntut janji

Posted:

Nelayan Sg. Lereh tuntut janji

Nelayan Sg. Lereh tuntut janji

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
utusanmelaka@utusan.com.my


Perumal (tengah) melihat kerja korek lumpur di muara Sungai Lereh bagi memudahkan nelayan berlabuh di muara berkenaan di Melaka, semalam.


MELAKA 22 Ogos - Kira-kira 80 nelayan di muara Sungai Lereh di sini mendesak pemaju yang terlibat dalam kerja-kerja menambak laut berhampiran kawasan tersebut menunaikan janji bagi membina benteng batu di situ yang tertangguh sejak dua tahun lalu.

Nelayan mendakwa kegagalan pemaju terlibat membina benteng batu di kawasan itu menyebabkan laluan masuk bot nelayan ke jeti menjadi sempit dan cetek sehingga menyukarkan mereka turun ke laut menangkap ikan ekoran kerja-kerja menambak laut.

Menurut Idris Harun, 46, masalah tersebut menghantui nelayan di situ dua tahun lalu iaitu sejak mereka berpindah ke jeti tersebut dari jeti lama di Pantai Klebang.

Katanya, disebabkan masalah itu, nelayan terpaksa meletak bot mereka di luar muara dan hanya boleh masuk ke kawasan jeti jika air laut pasang.

"Pemaju ada juga membuat kerja-kerja mengorek pasir dan mendapan sungai, namun mereka membuat kerja seperti 'melepaskan batuk di tangga', pasir yang mendap selepas dikorek diletak pula dekat dengan sungai.

"Apabila air laut pasang, pasir yang dikorek masuk semula ke dalam sungai dan akhirnya masalah yang sama berulang," katanya ketika ditemui pada majlis lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk R. Perumal ke Jeti Nelayan Sungai Lereh di sini, hari ini.

Lawatan tersebut yang turut dihadiri Pengarah JPS negeri, Gapar Asan diadakan bagi berdialog dengan nelayan berhubung masalah yang berlaku.

Wasalam Suri, 16, pula berkata, pemaju terbabit sudah beberapa kali memberi jaminan kepada nelayan untuk membina benteng batu bagi mengatasi masalah yang berlaku, namun janji berkenaan tidak pernah ditunaikan.

"Nelayan tidak tahu lagi kepada siapa mahu mengadu, janji mereka untuk bina tembok batu di muara sungai ini bukan pertama kali tetapi sudah banyak kali namun ia hanya tinggal janji," katanya.

Sehubungan itu, dia mendesak kerajaan negeri dan agensi terbabit supaya mengambil tindakan tegas ke atas pemaju terlibat dan perlu bertanggungjawab dengan kerja-kerja menambak laut yang dijalankan oleh syarikat berkenaan.

Sementara itu, menurut Perumal, pemaju berkenaan telah memberi jaminan akan membina tembok batu tersebut dalam masa dua bulan ini bagi mengatasi masalah yang timbul.

Katanya, sebagai langkah awal, pihak itu akan menjalankan kerja-kerja mengorek pasir dan mendapan tanah di muara sungai itu sebanyak sekali setiap dua bulan dan jika gagal melaksanakannya, JPS akan mengambil alih kerja itu dan kosnya akan ditanggung oleh pemaju," katanya.

Wanita buat laporan polis dakwa jiran suka 'bawa mulut'

Posted:

Wanita buat laporan polis dakwa jiran suka 'bawa mulut'

Wanita buat laporan polis dakwa jiran suka 'bawa mulut'

ALOR GAJAH 22 Ogos - Akibat tidak tahan dengan sikap jirannya yang didakwa sering mereka-reka cerita buruk keluarganya kepada orang kampung, seorang suri rumah membuat laporan polis kerana berasa tertekan dengan perbuatan jirannya itu.

Wanita yang berusia 35 tahun itu mendakwa, kenyataan jirannya itu yang suka 'membawa mulut' sejak setahun lalu membuatkan kehidupannya sekeluarga sentiasa berada dalam keadaan tertekan.

Dakwanya lagi, tindakan jirannya itu yang sering melemparkan fitnah turut menyebabkan mereka sekeluarga menanggung malu setiap kali berdepan dengan masyarakat setempat yang termakan kata-kata hasutan jirannya itu.

"Tindakan jiran saya itu menyebabkan hubungan ibu serta adik-beradik saya yang lain semakin renggang gara-gara fitnah serta tohmahan yang dilemparkan kepada kami," katanya ketika ditemui di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru di sini, semalam.

Dia membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat semalam turut bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap jirannya itu.

Tambahnya, dia dan keluarga tidak akan berdiam diri dengan fitnah yang dilemparkan jirannya itu sejak bertahun-tahun lalu selagi jirannya itu tidak berhenti mengganggu kehidupan keluarganya.

"Saya memberinya masa selama tujuh hari untuk dia dan suami berjumpa dengan saya dan suami untuk memohon maaf secara terbuka di hadapan seluruh keluarga saya, jika tidak kami akan mengambil tindakan mahkamah," tegasnya.

Bunga api buluh penyeri majlis

Posted:

Bunga api buluh penyeri majlis

Bunga api buluh penyeri majlis

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
utusanmelaka@utusan.com.my


WALAUPUN percikan api yang dihasilkan bunga api buluh tidak berwarna-warni namun tetap menarik dan mampu memukau mata sesiapa yang melihatnya.


MELAKA 22 Ogos - Tanpa pertunjukan bunga api, sambutan Hari Kemerdekaan, tahun baru atau pun majlis keraian besar yang lain pasti akan kurang serinya.

Malah, tembakan bunga api yang berwarna-warni ke udara itu menjadi acara kemuncak sesuatu perayaan yang sudah semestinya ditunggu-tunggu oleh orang ramai dan tidak keterlaluan jika dikatakan bunga api merupakan pelengkap bagi sesuatu majlis.

Apatah lagi, jika majlis atau perayaan itu disambut oleh semua lapisan masyarakat seperti sambutan tahun baru atau Hari Kebangsaan, pasti ada yang berasa kecewa jika tiada pertunjukan bunga api sebagai simbol kemuncak sambutan berkenaan.

Jika dilihat dari sudut sejarah, negara China antara yang terawal mencipta bunga api iaitu kira-kira 2,000 tahun dahulu.

Negara berkenaan juga sering melakukan revolusi terhadap bunga api yang asas sehinggalah yang mampu mengeluarkan percikan api berwarna-warni.

Mungkin atas sebab inilah yang mendorong Ismail Jantan, 43, menceburkan diri dalam pembuatan bunga api secara tradisional iaitu dengan menggunakan buluh sebagai alat utama.

Biarpun percikan apinya tidaklah segah bunga api buatan China yang berharga ribuan ringgit yang sering dipancarkan di ibu negara menjelangnya sambutan Hari Kemerdekaan, namun Ismail tetap berbangga dengan kebolehannya.

Bunga api buatannya bukan sahaja dikenali di sekitar kampung halamannya di Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini malah turut mendapat tempahan dari Negeri Sembilan dan Johor.

Kini, bunga apinya telah menjadi satu kemestian dan sebagai pelengkap serta penyeri kepada majlis perkahwinan dan majlis keraian lain di sekitar Tanjung Bidara.

Menurut Ismail, dia mempelajari cara membuat bunga api buluh daripada bapanya yang diwarisi turun-temurun daripada datuknya dan dia merupakan generasi ketiga memperjuangkan seni pembuatan bunga api buluh secara tradisional.

"Kalau di sekitar sini (Tanjung Bidara), boleh dikatakan setiap majlis perkahwinan sejak bertahun dulu akan diserikan dengan pertunjukan bunga api buluh yang saya buat.

"Walaupun tidak berwarna-warni, tetapi cukup sekadar menaikkan seri majlis dan juga sebagai hiburan kepada yang hadir dan juga pasangan pengantin," katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Beliau berkata, dia turut menerima banyak tempahan bunga api buluh pada bulan Ramadan ini dan dijangka meningkat menjelang Aidilfitri.

Katanya, selain majlis perkahwinan, bunga apinya turut dimainkan di majlis seperti sambutan Hari Kemerdekaan dan sambutan tahun baru di peringkat kampung.

"Bulan puasa ini tidak menang tangan menyiapkan bunga api yang ditempah yang mencapai lebih 15 biji sehari kerana bulan ini (Ogos) ada tiga perayaan itu Ramadan, Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan," katanya.

Ismail berkata, proses pembuatan bunga api secara tradisional tidak rumit namun aspek keselamatan perlu dititikberatkan kerana ia melibatkan bahan bakar seperti belerang.

Katanya, pernah terjadi satu kemalangan kecil di rumahnya apabila serbuk belerang yang sedang dimampatkan di dalam buluh tiba-tiba terbakar dan akibat dari kejadian itu dia terpaksa memindahkan 'makmal' pembuatan bunga apinya jauh sedikit dari rumah.

Beliau berkata, terdapat empat bahan penting dalam membuat bunga api tradisional iaitu buluh, belerang, serbuk besi dan tanah yang digunakan untuk memampatkan belerang di dalam buluh.

Tambahnya, buluh yang digunakan perlulah tebal bagi mengelak daripada pecah semasa bunga api dinyalakan dan menjadi kemestian bagi kanak-kanak mendapat pengawasan sepenuhnya daripada orang dewasa agar kejadian tidak diingini dapat dielakkan.

Menurut Ismail, bagi sebatang buluh, dia mampu menghasilkan kira-kira 6 hingga 10 bunga api bergantung pada panjangnya dan setiap satu bunga api dijual dengan harga RM15.

Bunga api buatan Ismail juga turut mendapat perhatian daripada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi semasa program Jejak Inovasi berlangsung di Melaka bulan lalu.

Ciptaan Ismail turut tersenarai dalam ciptaan yang berpotensi untuk dikomersialkan selepas beberapa kajian mengenai cara pembuatan, keselamatan dan undang-undang dijalankan oleh agensi terlibat.

Ismail berkata, dia sudi untuk berkongsi ilmu pembuatan bunga api buluh dengan ke rumahnya di Batu 23 ½, Lorong Haji Karim, Air Hitam Pantai, Tanjung Bidara di sini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved