Selasa, 23 Ogos 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Rancaknya urus niaga di Internet menjelang Syawal

Posted:

Rancaknya urus niaga di Internet menjelang Syawal

Rancaknya urus niaga di Internet menjelang Syawal

Oleh NOOR FAZRINA NOOR KAMAL
Gambar MOHD. FARIZUAN HASBULLAH dan IRWAN MAJID


Nor Ashikin (kiri) dan Siti Fatimah mudah melakukan urusan jualan perniagaan mereka dari rumah dengan adanya laman blog dan kemudahan Internet.


PILIH mana satu berkenan di hati. Kemudian klik. Ikuti arahan pembayaran dan esok terima bungkusan. Alangkah mudahnya berurus niaga menerusi Internet, tidak perlu bersusah-payah mencari parking, bersesak-sesak di pusat membeli-belah atau beratur di kaunter pembayaran namun masih mampu mendapatkan apa yang dihajatkan di hati.

Lebih-lebih lagi apabila Hari Raya semakin hampir, tetapi persiapan terutama baju raya sama ada untuk diri sendiri mahupun anak-anak belum tersedia dek kesibukan tugasan yang berlambak di pejabat.

Tubuh dan minda juga pasti tidak mempunyai kekuatan untuk 'menyerbu' pusat membeli-belah, justeru Internet dijadikan pilihan untuk urus niaga pembelian.

Yang paling sibuk sudah tentunya pemilik premis niaga maya yang perlu menguruskan penghantaran produk agar selamat, tepat dan diterima dengan penuh puas hati dari si pembeli.

Pemilik laman blog Farwizah Resources http://farwizahresources.blogpsot.com, Siti Fatimah Kepar dan Nor Ashikin Ismail, masing-masing yang berusia 30 tahun, tidak menafikan blog perniagaan mereka menerima kunjungan yang mendadak dalam bulan Ramadan ini.

Dua sahabat yang menjalankan perniagaan menjual pakaian bayi dan tudung itu menyifatkan rezeki di bulan Ramadan memberikan pendapatan lumayan walaupun mereka berdua mengusahakan perniagaan menerusi talian hanya secara sambilan.

Tambah mengujakan, mereka mendapat maklum balas sangat baik daripada pelanggan walaupun baru terlibat dalam perniagaan yang menggunakan medium ini.

"Dengan adanya sedikit bantuan dan kepakaran teknologi maklumat (IT) dan bantuan dari rakan-rakan, kami bangunkan satu laman blog jualan.

"Kami berdua baru sahaja mewujudkan satu laman blog untuk perniagaan ini sebelum bulan puasa. Kami sangat teruja melihat permintaan terhadap produk, terutama pakaian dan kasut bayi mendapat permintaan yang tinggi.

"Bayangkan baru seminit gambar pakaian baru dipapar dalam laman blog terus ada yang membelinya. Urusan ini memang pantas dan berkesan," kata Siti Fatimah yang bertindak selaku pengurus operasi.

Sepanjang hampir sebulan beroperasi, Nor Ashikin berkata, dia dan rakan kongsinya tidak berhadapan dengan banyak masalah kerana masing-masing sudah mempunyai pengalaman berniaga secara sambilan.

Nor Ashikin yang turut menjadi pentadbir untuk laman blog tersebut berkata, strategi pemasaran juga penting di mana dia perlu mewujudkan sebuah blog yang dapat menarik perhatian pelanggan.

Dengan penggunaan warna yang sesuai, susun atur yang mesra pelanggan untuk memudahkan mereka membuat pilihan.

Yang boleh dibanggakan oleh dua sahabat baik ini, masih belum ada pelanggan yang bertindak memulangkan pembelian. Malah menerusi kotak maklum balas yang disediakan semuanya berpuas hati dengan urus niaga tersebut.

"Memang seronok apabila ada pelanggan yang sudi memuat naik gambar anak mereka memakai pakaian yang dibeli di blog kami yang penting bagi seorang peniaga ialah apabila pelanggan bergembira dengan apa yang mereka dapati dari perniagaan kami. Itulah satu kepuasan yang menaikkan semangat kami untuk memberi yang terbaik buat pelanggan kami," ujarnya yang ditemui di rumah sahabatnya yang terletak di Batu 18, Hulu Langat, Selangor.

Pakaian bayi yang ditawarkan di Farwizah Resources sememangnya berkualiti dan ada di antaranya yang berjenama. Namun yang lebih penting ia ditawarkan dengan harga yang amat berpatutan.

Nor Ashikin yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata berusia tiga dan setahun mengakui begitu teruja untuk mencari persalinan untuk si comel yang mana berkenan pada hatinya. Justeru proses pemilihan stok pakaian bayi memang mudah di mana ia lahir dari hati nuraninya sendiri.

"Saya pasti semua ibu mahukan anak mereka memakai pakaian yang cantik-cantik dan selesa untuk musim perayaan ini. Saya juga yakin cita rasa saya kebanyakannya sama dengan ibu-ibu lain, jadi memang tiada masalah untuk memenuhkan stok dengan pakaian yang pasti memikat hati pelanggan yang rata-rata terdiri dari kaum ibu," jelasnya yang boleh dihubungi di talian 012-2022920.

Sementara itu, pemilik laman blog qairashijab@blogspot.com, Ainil Hawa Sazali, 26, tidak menafikan perbezaan yang amat ketara pada hit di blognya sepanjang bulan Ramadan ini.

"Sebelum bulan puasa biasanya saya akan menghantar 50 bungkusan sebulan, namun dalam bulan Ramadan ini walaupun belum genap sebulan sudah lebih 70 bungkusan dihantar," katanya yang ditemui di studio Utusan Malaysia, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelanggan Qairashijab@blogspot.com ini terdiri daripada pelbagai lapisan usia kerana reka bentuk tudungnya menepati tiap peringkat umur wanita. Lebih membanggakan tempahan tudung Qairas Hijab bukan sahaja di Malaysia malah di Brunei, Singapura, Australia, Perancis dan Dubai.

Setiap minggu Ainil yang juga pensyarah di Unisel memastikan dia akan memuat naik rekaan tudung terbaru keluarannya.

"Musim raya ini permintaan memang tinggi, sebagai pensyarah saya hanya akan memberikan tumpuan kepada perniagaan selepas waktu kerja dengan bantuan suami," katanya yang menyifatkan perniagaan online sebagai satu kepuasan diri.

Kiriman PosLaju meningkat

Posted:

Kiriman PosLaju meningkat

Kiriman PosLaju meningkat

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL


SUASANA kesibukan namun penuh sistematik di Pusat PosLaju, Shah Alam.


STATISTIK kiriman dan penghantaran bungkusan dan juga dokumen pada musim perayaan meningkat setiap tahun. Senario ini disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi PosLaju, Nor Azizan Tarja yang turut mengakui bilangan kakitangannya ditambah semata-mata untuk memenuhi keperluan operasi yang meningkat sempena musim perayaan ini.

Tambahnya, peningkatan tersebut bukan hanya berlaku pada Hari Raya Aidilfitri malah Tahun Baru Cina, Krismas dan Deepavali juga.

"Di musim perayaan ini terdapat banyak permintaan untuk menghantar barangan-barangan seperti hadiah, hamper dari badan korporat, kuih- muih, kad raya malah pakaian raya. Di samping itu, syarikat-syarikat juga banyak menggandakan promosi sempena musim perayaan sekali gus menggalakkan kenaikan item kendalian PosLaju. Secara purata item kendalian PosLaju meningkat sebanyak 10 hingga 30 peratus menjelang musim perayaan," ujarnya.

Nor Azizan turut mengakui urus niaga pembelian menerusi Internet semakin mendapat tempat di hati pengguna. Perkara tersebut adalah lanjutan dari perkembangan penggunaan Facebook, Twitter, blog dan sebagainya yang digunakan penjual untuk memasarkan barangan mereka dengan lebih mudah, cepat dan jimat.

Manakala pembeli pula cenderung menggunakan Internet sebagai medium untuk mendapatkan maklumat, membuat tempahan dan pembayaran melalui jaringan perbankan Internet dengan lebih mudah dan cepat tanpa perlu membuang masa ke pusat membeli -belah dan sebagainya.

"Kadar peningkatan ini juga agak ketara sejak tahun lalu di mana peningkatan online business dianggarkan sekitar 25 peratus.

"Pada pendapat saya, punca trend ini adalah peluang mendapat hasil tambahan secara sambilan di kalangan mereka yang bekerja tetap dan juga suri rumah," kata Nor Azizan.

Tambahnya lagi, sebagai syarikat kurier, PosLaju amat menekankan servis kepada pelanggan.

"Aset terbaik PosLaju adalah kakitangan kurier dan kerani yang melakukan tugas di lapangan. Kami amat bertuah mempunyai tenaga kerja yang berdedikasi yang sanggup melaksanakan tugas walaupun berat dan sangat mencabar

"Setiap item yang diterima oleh PosLaju akan diimbas pada setiap pergerakan untuk membolehkan pelanggan mengetahui kedudukan terakhir item tersebut. Setiap kurier PosLaju juga dilengkapi dengan mobile scanner untuk memastikan status dikemas kini di tempat pelangan. Kemudahan ini telah memudahkan pelangan PosLaju. Kebanyakan pengguna akan mengakses Internet untuk mengetahui sama ada item telah berjaya diserah kepada penerima.

"Kami juga melengkapkan kurier dengan kemudahan telefon bimbit bagi memudahkan kurier menghubungi penerima sekiranya perlu sebelum proses serahan dan pick up," katanya yang sentiasa memantau proses kerja dari masa ke semasa dengan kemudahan automasi di setiap pusat PosLaju.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved