Selasa, 23 Ogos 2011

Utusan Online - Muka Hadapan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Rejim Gaddafi tumbang

Posted:

Rejim Gaddafi tumbang

Rejim Gaddafi tumbang


Beribu-ribu penduduk Libya meraikan kejayaan pemberontak menawan bandar Tripoli awal semalam. - AGENSI


TRIPOLI 22 Ogos - Selepas lebih enam bulan berlaku pemberontakan di Libya, rejim Muammar Gaddafi akhirnya tumbang setelah kumpulan pemberontak berjaya menawan hampir seluruh bandar Tripoli, tetapi nasib pemimpin Libya itu masih menjadi tanda tanya.

Anak lelaki bongsu Gaddafi, Saif al-Islam ditangkap oleh pemberontak, manakala anak lelaki sulungnya, Mohammed Al-Gaddafi yang diwawancara oleh televisyen Al-Jazeera di kediamannya dilaporkan menyerah diri, tetapi nasib anak-anaknya yang lain masih tidak diketahui.

Gaddafi menyiarkan tiga mesej audio semalam, dengan berikrar tidak akan menyerah kalah dan menyeru penduduk Tripoli supaya 'membersihkan ibu negara' daripada pemberontak, tetapi beliau tidak muncul di khalayak sejak beberapa minggu lalu.

Satu sumber diplomatik berkata, pemimpin veteran Libya itu mungkin masih berada di kompleks kediamannya, Bab Al-Aziziyah di tengah Tripoli.

"Beliau masih berada di Tripoli dan mungkin berlindung di kediamannya di Bab Al-Aziziyah," kata sumber yang menemui Gaddafi dalam tempoh dua minggu lalu.

Pekarangan Bab Al-Aziziyah kerap dibedil sejak bermulanya campur tangan tentera antarabangsa di Libya pada 19 Mac lalu dan kebanyakan bangunan di kompleks itu sudah ranap.

Namun, Gaddafi boleh berlindung di dalam kubu bawah tanah yang banyak terdapat di kompleks itu, kata sumber tersebut. - AFP

Dua anak Gaddafi ditangkap

Posted:

Dua anak Gaddafi ditangkap

Dua anak Gaddafi ditangkap

TRIPOLI 22 Ogos - Dua anak lelaki Muammar Gaddafi, Saif Al-Islam dan Mohammed Al-Gaddafi ditahan pemberontak hari ini, ketika rejim Muammar Gaddafi tumbang setelah pemberontak menawan hampir seluruh bandar Tripoli.

Saif, anak bongsu pemimpin Libya itu ditangkap oleh pemberontak, sementara anak lelaki sulungnya, Mohammed dilaporkan menyerah diri selepas diwawancara oleh televisyen Al-Jazeera di kediamannya.

Lokasi Gaddafi, bagaimanapun masih belum diketahui sehingga kini, namun sumber pemberontak menyatakan beliau masih berada di Tripoli, manakala sumber lain berkata, beliau telah melarikan diri ke tempat lahirnya, bandar Sirte.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengesahkan penahanan Saif dan kini sedang berbincang untuk urusan memindahkannya yang dikehendaki atas dakwaan jenayah kemanusiaan. - dpa

Pilih kandang tertuduh

Posted:

Pilih kandang tertuduh

Pilih kandang tertuduh

Oleh AMIRUDDIN HARUN dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering melaung-laungkan ketelusan dan keadilan, hari ini memilih untuk memberi keterangan bela diri dari kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi di sini berhubung kes liwat terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Tindakannya itu yang tidak memerlukannya mengangkat sumpah dilihat seolah-olah ingin 'menyelamatkan' dirinya daripada disoal balas oleh pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden.

Bagaimanapun, pilihan itu juga digunakan sewenang-wenangnya oleh Anwar untuk 'menyerang' Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang sebelum ini telah berpuluh-puluh kali membenarkan penangguhan demi menghormati hak Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebagai tertuduh.

Anwar memberi keterangannya dengan membacakan pernyataan bertaip setebal 32 muka surat, kira-kira satu jam 45 minit mulai 9.50 pagi dan seperti kebiasaan, menyelitkan beberapa potongan ayat al-Quran, ucapan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, Shakespeare dan banyak lagi.

Bermula dari perenggan kedua keseluruhan kenyataannya, inti pati 'bela diri' Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) ialah menyalahkan satu persatu tindakan hakim Mahkamah Tinggi tersebut yang didakwa menindas hak beliau untuk mendapat perbicaraan yang adil.

Anwar memberi tujuh alasan tindakan hakim itu yang didakwa gagal memastikan perbicaraan berjalan secara adil antaranya enggan memberi perintah agar bahan material penting diberikan kepada pihak pembelaan dan kegagalan mengarahkan saksi utama kepada pihak pembelaan hadir ke mahkamah memberi keterangan.

Beliau juga mendakwa hakim tersebut bertindak berat sebelah terhadapnya apabila membuat penghakiman awal dengan menyatakan Mohd. Saiful Bukhari sebagai saksi yang dipercayai di akhir kes pendakwaan tanpa mendengar keterangan di peringkat pembelaan terlebih dahulu.

''Saya telah dinafikan keperluan untuk membuat pembelaan saya secara bersumpah. Itu terjumlah kepada penafian hak saya untuk mendapatkan satu perbicaraan yang adil dan saksama,'' katanya dalam suara yang semakin serak.

Keterangannya itu yang boleh dianggap sebagai satu 'ceramah politik' kadangkala menyebabkan Hakim Mohamad Zabidin dilihat tidak selesa sehinggakan ketika Anwar memohon untuk menangguhkan seketika perbicaraan, hakim itu bertanyakan ''Panjang lagi?''.

Pada ketika ini juga, dilihat salah seorang pakar asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibawa khas oleh pihak pembelaan sudah terlelap.

Selain itu, Anwar menyatakan walaupun hakim tersebut ada membenarkan permohonannya seperti menemui saksi-saksi pendakwaan, beliau mendakwa Hakim Mohamad Zabidin turut memberi 'talian hayat' kepada saksi bahawa mereka boleh menolak daripada ditemu bual.

Beliau turut mendakwa bersedia untuk memberi keterangan secara bersumpah tetapi tindakan-tindakan hakim itu telah 'mencipta' satu situasi yang tidak membolehkannya berbuat demikian.

Berhubung pertuduhan yang dihadapinya, Anwar seolah-oleh mengulangi hujah pembelaan di akhir kes pendakwaan di samping menafikan mempunyai hubungan seksual dengan Mohd. Saiful Bukhari.

''Saya ingin menyatakan tanpa ragu-ragu bahawa saya tidak pernah mempunyai sebarang hubungan seksual dengan pengadu, Mohd. Saiful. Dakwaannya adalah pembohongan secara terang-terangan dan berniat jahat dan akan dibuktikan sedemikian,'' katanya.

Menurutnya, dalam kejadian itu, Mohd. Saiful Bukhari berpeluang meninggalkan tempat kejadian tetapi tidak berbuat demikian atas dakwaan kononnya dibelenggu ketakutan walhal pengadu berusia awal 20-an, enam kaki tinggi dan tegap berbanding dirinya yang berusia 60 tahun dan telah menjalani pembedahan sakit tulang belakang selain tidak mempunyai sebarang kedudukan.

Anwar selaku saksi pembelaan pertama juga menyatakan, tindak-tanduk pengadu itu didakwa tidak konsisten apabila turut menghadiri satu majlis PKR dan perjumpaan Kelab Anwar Ibrahim di rumahnya keesokannya selain tidak segera membuat laporan polis atau mendapatkan rawatan.

Kembali mengungkit 'kisah lama', beliau menyatakan pihak pendakwaan pada kes kali ini hanya mengubah cara agar lebih diterima dengan menggambarkan pengadu adalah seorang anak muda yang lemah, naif dan tidak bersalah serta keterangannya perlu dipercayai tanpa menghiraukan sebarang bukti yang bertentangan berbanding 'ala-Stalin' yang digunakan pada kes yang pertama.

Anwar turut menyatakan bahawa pertuduhan yang dihadapinya itu adalah konspirasi politik pucuk pimpinan negara sekarang yang mengulangi dakwaan yang dihadapinya pada 1998.

Anwar, 64, dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Perbicaraan bersambung esok.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved