Rabu, 24 Ogos 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Agar-agar telur punca keracunan

Posted:

Agar-agar telur punca keracunan

Agar-agar telur punca keracunan

KUALA TERENGGANU 23 Ogos – Agar-agar telur bercampur jagung dan sambal belacan punca lebih 70 isteri wakil rakyat mengalami keracunan makanan pada 8 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, hasil siasatan mendapati dua makanan tersebut telah tercemar dan ia dijadikan hidangan makan tengah hari di Stadium Negeri di sini pada 8 Julai lalu.

Menurutnya, sebelum itu, pihaknya telah mengambil 43 sampel makanan dengan dua daripada sampel tersebut iaitu agar-agar telur yang dicampur jagung dan sambal belacan telah didapati positif.

"Hasil siasatan kita, dua makanan itu dihidangkan untuk makan tengah hari di Stadium Negeri pada 8 Julai lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Alias Razak (Pas-Bukit Tunggal) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Ogos lalu, lebih 70 isteri wakil rakyat dari seluruh negara yang diketuai isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkampung di Terengganu sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2011.

Kesemua mangsa mula menyedari mengalami keracunan makanan kira-kira pukul 1 pagi apabila sebilangan daripada mereka muntah dan cirit-birit selepas beberapa jam menikmati makan tengah hari pada 8 Julai lalu.

A. Rahman seterusnya mengesahkan, kelemahan mengenai cara penyediaan makanan yang betul menjadi punca isteri-isteri wakil rakyat Barisan Nasional berkenaan mengalami keracunan makanan.

Dua beradik OKU perlukan bantuan

Posted:

Dua beradik OKU perlukan bantuan

Dua beradik OKU perlukan bantuan


RIFFIN Adan (kiri) bersama dua anaknya yang tergolong OKU di rumah mereka di Kampung Telong, Kandis, Bachok, baru-baru ini.


BACHOK 23 Ogos - Saban tahun, lebaran datang dan pergi dan peluang bertemu saudara-mara digunakan untuk bermaaf-maafan di samping bersama-sama menikmati hidangan ketupat, rendang, lemang dan kuih raya beraneka jenis yang menghiasi meja.

Namun, bagi dua beradik, Mohd. Khunusi, 40, dan Zuraidah Riffin, 38, dari Kampung Telong di sini, hari raya tiada bezanya dengan hari-hari biasa dan ia dilalui penuh suram, sepi dan menyedihkan.

Dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU), dunia mereka hanya di dalam rumah kayu yang semakin usang dan serba kekurangan dan jika bosan, sesekali mereka turun ke tanah, namun tidak boleh dibiarkan lama kerana kedua-duanya gemar mencakar tanah.

Keadaan tersebut membimbangkan bapa mereka, Riffin Adan, 70, kerana penyakit gatal-gatal di tubuh Zuraidah akan merebak jika dibiarkan lama di luar rumah.

Bertemu dua beradik itu baru-baru ini, Riffin memberitahu, tidak kira di pagi Syawal atau hari-hari biasa, Zuraidah lebih gemar memerap di rumah.

Katanya, anak perempuannya suka melihat orang ramai yang lalu lalang menziarah sahabat handai dan saudara-mara di pagi raya di sebalik daun pintu yang semakin mereput.

Sementara Mohd. Khusuni lebih berdikari, malah ada masanya dia akan merayau-rayau di sekitar kampung dan pulang ke rumah lewat petang.

Kehidupan mereka menjadi semakin tidak terurus selepas kematian ibu lebih 15 tahun lalu dan sejak itu hanya kepada bapa yang kian uzur dan lanjut usia disandarkan harapan sebagai pelindung.

Namun, 'berat mata memandang, berat lagi bahu memikul' kerana warga emas itu mengakui menjaga dua anak OKU yang telah dewasa dalam usia lanjut agak memenatkan.

"Lapan lagi anak saya sudah berkahwin dan mereka juga bukan orang senang walaupun tetap menghulurkan bantuan kepada kami," katanya.

Menurutnya, kedua-dua anaknya disahkan menghidap sindrom down sejak kecil, namun dia yang dahulunya bekerja sebagai nelayan enggan membawa anaknya ke sekolah khas kerana tidak mampu.

"Selepas isteri meninggal, saya tidak boleh pergi jauh kerana kedua-duanya memerlukan perhatian," katanya.

Menurutnya, mereka tiga beranak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.

"Dengan wang tersebut saya beli beras dan keperluan asas yang lain. Tiap kali menjelang Ramadan, saya makan apa sahaja yang termampu, begitu juga di pagi hari raya, tiada hidangan istimewa. Cukuplah sekadar mengalas perut," katanya.

Katanya, anak bongsu, Mohd. Ridwan, 28, yang tinggal bersama-sama banyak membantunya menguruskan abang dan kakak yang memerlukan bantuan walaupun telah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Mesra Mall gembirakan kanak-kanak Autisme

Posted:

Mesra Mall gembirakan kanak-kanak Autisme

Mesra Mall gembirakan kanak-kanak Autisme


HASHIM Wahir (kanan) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak autisme pada program jalinan mesra di Kemaman, kelmarin.


KEMAMAN 23 Ogos - Seramai 30 kanak-kanak Autisme diraikan dalam satu Program Jalinan Mesra oleh pengurusan dan kakitangan pusat beli-belah Mesra Mall di sini, kelmarin.

Selain mengecap juadah yang enak semasa berbuka puasa, mereka yang dari Sekolah Kebangsaan Seri Gelugor, Meraga Beris, Kijal dan Kerteh turut menerima pakaian dan duit raya.

Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Property Holdings Bhd., Hashim Wahir berkata, majlis berbuka dan pemberian sumbangan menjelang Aidilfitri merupakan kegiatan tahunan.

"Program di Mesra Mall adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat dengan menyumbang semula kepada anggota masyarakat yang memberi sokongan kepada kejayaan perniagaan,'' katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasek, Ir. Rosli Othman; Pengurus Besar Petronas Kawasan Pantai Timur Zulkifly Ismail serta Pengurus Besar Mesra Mall, Eddie Amran Idrus.

Seorang pelajar, Mohd Anuar Mustafa 15, berkata, dia sangat gembira kerana berpeluang berbuka puasa di pusat beli-belah terkenal itu bersama rakan-rakan lain dan menerima baju serta wang tunai.

"Saya ucapkan terima kasih dan rasa tak sabar nak sambut raya," katanya.

Siti Nur Fatimah Rustam, 13, memberitahu, menyertai program itu adalah pengalaman pertamanya dan rakan-rakan sekolah lain yang menyeronokkan.

"Seronok dapat baju baru yang cantik dan duit raya yang banyak," katanya merujuk kepada pakaian raya bernilai RM120 dan duit raya RM20 yang diterima.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved