Rabu, 24 Ogos 2011

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Elak jalan raya jadi lautan pusara - PM

Posted:

Elak jalan raya jadi lautan pusara - PM

Elak jalan raya jadi lautan pusara - PM

Oleh WANDA IDRIS
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan para pengguna jalan raya agar memandu dengan lebih cermat dan bertanggungjawab semasa musim perayaan ini bagi mengelakkan jalan raya menjadi lautan pusara yang tidak bertanda.

Perdana Menteri berkata, pemanduan yang teliti dalam keadaan bersedia fizikal dan mental dapat mengurangkan risiko kemalangan yang sering mengundang tragedi pada musim-musim perayaan seperti Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.

"Saya secara peribadi amat prihatin serta sedih dengan kes-kes kemalangan terutama apabila ia turut mengorbankan nyawa dan mengakibatkan kesengsaraan kepada keluarga mangsa.

"Apabila kita bercakap mengenai keselamatan jalan raya, ia berkait rapat dengan kemalangan. Walaupun satu tragedi saya percaya ia dapat dikurangkan jika para pemandu menitikberatkan aspek-aspek keselamatan dan ciri-ciri pemanduan berhemah," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi rakaman video program khas Mesej Daripada Perdana Menteri sempena Hari raya Aidilfitri 2011 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.

Mesej tersebut dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut ditonton Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd. Noor serta para mahasiswa universiti tersebut.

Dalam rakaman video tersebut, Najib berpesan kepada para pemandu yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing agar memandu dengan penuh berhemah serta menjaga perilaku dengan tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba.

Ini kerana, kata beliau, kelalaian dan kecuaian walaupun sesaat bukan sahaja mampu mengundang tragedi tetapi mendatangkan kesesalan sepanjang hayat.

"Dalam keghairahan kita menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan sahabat handai, ingatlah bahawa kelalaian kita boleh mengundang tragedi.

"Hindari keinginan mahu berlumba-lumba dan kawal perilaku ketika di jalan raya kerana ia dapat mengelakkan jalan raya menjadi lautan pusara yang tidak bertanda," katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya, kerajaan membelanjakan RM15.6 juta tahun lalu bagi kerja-kerja pembaikan di 37 lokasi kemalangan maut di jalan Persekutuan di seluruh negara.

Menurut beliau, selepas kerja-kerja pemulihan jalan dilakukan, tiada kemalangan dicatatkan di kesemua lokasi terbabit sehingga Jun lalu berbanding 395 kemalangan pada tempoh yang sama pada 2009.

Pada sidang video empat minit itu, beliau turut menyampaikan serangkap pantun berbunyi:

"1Malaysia teguh berpadu

kekal bersatu dalam harmoni

ingatan buat para pemandu

pemanduan berhemah amalan murni.

Sementara itu pada sidang akhbar selepas itu, Ismail Sabri memberitahu, klip video tersebut akan diedarkan kepada orang ramai dan ditayangkan di tempat-tempat umum sepanjang musim perayaan ini.

Selain itu katanya, sebanyak 200,000 kad ucapan Hari Raya Perdana Menteri akan turut diedarkan kepada orang ramai di plaza-plaza tol, pusat beli-belah serta rakan korporat yang mengambil bahagian bermula hari ini.

"Kita berharap agar pengguna jalan raya mengambil perhatian terhadap mesej peribadi Perdana Menteri itu agar kita dapat kesedaran dan seterusnya lebih bertoleransi di jalan-jalan raya sekali gus mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa pada musim perayaan ini," katanya.

Jangan korbankan akidah – TPM

Posted:

Jangan korbankan akidah – TPM

Jangan korbankan akidah – TPM


Muhyiddin Yassin dan Noorainee Abdul Rahman bersama FD Mansor (di kanan Muhyiddin) dan FD Iskandar (kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim sempena majlis berbuka puasa di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 23 Ogos – Umat Islam tidak seharusnya mengorbankan perpaduan sesama mereka semata-mata kerana perbezaan pandangan politik apatah lagi sekiranya ia membabitkan soal akidah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya mahu mereka memperkukuhkan perpaduan bagi menghadapi cabaran lebih besar termasuk menangani usaha-usaha pihak tertentu yang cuba memurtadkan orang Islam.

''Inilah apabila kerajaan negeri tidak bijaksana dalam menguruskan (isu memurtadkan orang Islam) hingga ada yang merasa tidak terbela sebagaimana sepatutnya.

''Pokoknya kita mahu melihat umat Islam memperkukuhkan perpaduan yang jitu dan jangan merasa lemah kerana mereka ada cabaran yang besar dan dalam hal ini kerajaan (Pusat) yakin mempunyai dasar-dasar yang jelas hendak meneruskan kesinambungan pembangunan umat yang telah dilaksanakan selama lima dekad," katanya.

Beliau berucap pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim Rumah Aman yang dianjurkan oleh pemaju hartanah terkemuka, Glomac Bhd. di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini malam ini.

Hadir sama, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Glomac, Tan Sri FD Mansor; Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk FD Iskandar, wakil-wakil kedutaan asing dan beberapa tokoh korporat.

Menurut Muhyiddin, rakyat harus bersyukur dengan nikmat Allah yang mengurniakan negara ini aman dan tenteram sehinggakan kerja-kerja memajukan negara dapat ditumpukan tanpa pergolakan berbanding negara-negara Islam yang lain.

Katanya, kemakmuran negara ini telah membolehkan Malaysia mencapai sasaran menghapuskan kemiskinan tegar pada 2010 berbanding sasaran dalam deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015.

''Semasa saya menghadiri persidangan UNESCO, ramai wakil dari negara membangun seperti Afrika dan Asia menyatakan sasaran itu sukar dicapai kerana ia terlalu tinggi memandangkan sekarang terdapat satu bilion orang miskin di seluruh dunia seperti Somalia yang menghadapi kebuluran.

''Sebaliknya, kita di sini bilangan orang miskin boleh dibilang dan mempunyai rekodnya di setiap peringkat daerah," katanya.

Tambah beliau, Ramadan di negara ini bukan sahaja dipenuhi dengan acara berbuka puasa malah turut diadakan majlis menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

''Ia satu manifestasi keupayaan umat Islam di Malaysia, bukan saja dapat menunaikan fardu ain malah melangsungkan fardu kifayah. Kita berasa bertanggungjawab untuk membimbing anggota masyarakat yang memerlukan bantuan supaya mereka dapat hidup seperti kita," katanya.

Penubuhan GSCA tingkat keselamatan siber negara

Posted:

Penubuhan GSCA tingkat keselamatan siber negara

Penubuhan GSCA tingkat keselamatan siber negara


NAJIB Tun Razak bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sesi bergambar sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Teknologi Maklumat Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut sama Maximus Ongkili (duduk, enam kanan) dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (duduk, lima kanan). – BERNAMA


PUTRAJAYA 23 Ogos – Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC) bersetuju menubuhkan Pertubuhan Keselamatan Siber Global (GCSA) bagi meningkatkan lagi keupayaan dan kesiapsiagaan keselamatan siber negara.

Mesyuarat tahunan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini mengumumkan GCSA akan bertindak sebagai platform kepada ahli gabungan untuk berkongsi maklumat mengenai keselamatan siber negara masing-masing.

Pertubuhan itu juga akan memberi tumpuan kepada usaha menghimpunkan bakat dalam kalangan negara ahli dan juga dijadikan platform untuk melatih golongan profesional dalam bidang keselamatan siber.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili pada sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut memberitahu, Malaysia mengetuai gabungan GCSA yang akan dibuka kepada negara ahli Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Forum Serantau ASEAN dan negara-negara membangun.

''Konsep GCSA itu akan diperhalusi oleh kumpulan pakar E-Kedaulatan yang diterajui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh terdekat ini.

''Diharapkan konsep itu dapat diperhalusi oleh MKN dalam tempoh tiga bulan ini sebelum kita buat keputusan yang muktamad," katanya.

Turut hadir timbalannya, Datuk Fadillah Yusof.

Mesyuarat itu dihadiri 32 ahli NITC yang mewakili kerajaan, swasta dan komuniti serta sembilan kumpulan pakar dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Sebanyak lapan kertas kerja dibincangkan membabitkan tiga keputusan yang perlu diambil tindakan segera dan lima lagi merupakan laporan maklumat daripada setiap kumpulan pakar.

Maximus memberitahu, mesyuarat itu turut bersetuju memberi mandat kepada Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII) untuk mengutamakan penggunaan produk-produk ICT tempatan yang diberi pensijilan MS ISO/IEC 15408.

''Langkah ini mampu meningkatkan sumber pendapatan negara. Pendapatan Kasar Negara (GNI) yang boleh dijana menjelang 2020 dianggarkan RM3 bilion dan sebanyak 5,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved