Rabu, 24 Ogos 2011

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Mualaf sedih tidak mampu buat persiapan Aidilfitri

Posted:

Mualaf sedih tidak mampu buat persiapan Aidilfitri

Mualaf sedih tidak mampu buat persiapan Aidilfitri


ABDUL Latif Chee Abdullah bersama ahli keluarganya di rumah sewa di Kampung Darling Hulu, Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 24 Ogos - Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelma tidak lama, seorang mualaf di Kampung Darling Hulu, Padang Tengku dekat sini pula begitu sedih kerana kehidupannya diselubungi kemiskinan.

Abdul Latif Chee Abdullah, 50, tidak mempunyai pekerjaan tetap menyebabkan kehidupannya umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dia yang memeluk agama Islam sejak enam tahun lalu tidak mampu menyediakan keperluan baharu untuk keluarganya kerana kesempitan hidup dan keadaan kesihatannya sering terjejas.

Abdul Latif yang tinggal dengan isterinya, Chek Zalmuni Chek Mat, 39, bersama tiga anaknya hanya menanti kedatangan 1 Syawal di rumah sewa tanpa berpakaian baharu malah jauh sekali menyediakan kuih-muih.

''Hidup saya terhimpit dan cuma menumpang di rumah sewa dengan bayaran bulanan RM200 dan bila-bila masa boleh keluar jika tuan rumah tidak memerlukan kami.

''Dengan mengambil upah menoreh getah, menebas dusun dan membuat kerja kampung dapatlah sedikit pendapatan sekitar RM300 sebulan dan duit itu digunakan untuk menyara persekolahan anak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Dia kesal kerana namanya juga sering tercicir daripada senarai penerima bantuan wakil rakyat, jabatan agama Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lazimnya kerap membantu golongan asnaf sebelum sesuatu perayaan.

''Kini badan saya kerap uzur dan khuatir tidak dapat memberi kesempurnaan kebajikan keluarga dan menyara persekolahan anak," ujarnya.

Sehubungan itu, dia berharap kerajaan negeri menerusi wakil rakyat di sini dapat membantu memperoleh tapak untuk membina rumah di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).

Isterinya, Chek Zalmuni berkata, dia pernah memohon rumah kos rendah di pekan Padang Tengku di sini tetapi tidak diendahkan.

''Saya tidak dipanggil temuduga kerana pihak berkenaan meragui status saya berbanding dengan orang lain dilayan dengan baik," katanya.

Katanya, dia dan suaminya tidak tahu bagaimana cara dan tempat untuk mengadu masalah mereka.

Dalam pada itu jirannya, Aziz Saman berkata, dia hanya menolong sekadar termampu dan berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan segera.

Tambahnya, kehidupan keluarga itu wajar dibantu pemimpin setempat dan JKKK kerana mereka memerlukan perhatian berbanding insan lain yang sudah menikmati kehidupan selesa.

Harga rendah di tiga pasar tani

Posted:

Harga rendah di tiga pasar tani

Harga rendah di tiga pasar tani

Oleh KHAIRATUL AINAL
ABDUL KARIM
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 24 Ogos – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengadakan jualan terus iaitu "Jimat Belanja Dapur' bagi 13 barangan terpilih di tiga pasar tani di negeri ini pada harga lebih rendah pada musim perayaan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, pasar tani tersebut adalah pasar tani Mega di Kuantan; pasar tani kekal, Jerantut dan pasar tani di Pekan.

"FAMA juga akan mengadakan pasar tani pra Aidilfitri pada 28 dan 29 Ogos di enam buah pasar tani iaitu di pasar tani Mega, Kuantan, pasar tani kekal Jerantut, pasar tani di bandar Pekan, pasar tani di bandar Dara, Chini, pasar tani Bentong dan pasar tani Rompin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Bubur Lambuk dan Pelancaran Jalur Gemilang di perkarangan pasar tani mega di sini kelmarin.

Mohd. Tan memberitahu, sebanyak 5,000 bekas bubur lambuk diedarkan kepada orang ramai yang berkunjung ke Pasar Tani Mega Kuantan di sini.

Menurutnya, program anjuran peserta pasar tani dengan kerjasama FAMA bermula sejak 2008 dan ia merupakan tahun ke empat aktiviti itu diadakan.

"Kali ini, sebanyak RM8,000 diperuntukkan untuk memasak 20 kawah bubur lambuk untuk diedarkan kepada pengunjung. Ia hasil kesepakatan peserta termasuk agensi kerajaan dan swasta serta individu turut memberi sumbangan," jelasnya.

Menghayati isi kandungan al-Quran

Posted:

Menghayati isi kandungan al-Quran

Menghayati isi kandungan al-Quran

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com


Sharifah Khasif Fadzillah menjadi tumpuan peserta selepas Program Tadarus dan Khatam al-Quran Perdana Wanita Pahang di Temerloh, baru-baru ini.


TEMERLOH 24 Ogos - Semua masjid dan surau di seluruh negara termasuk di negeri ini menganjurkan tadarus al-Quran yang merupakan aktiviti wajib diadakan setiap kali kehadiran Ramadan.

Setiap kali selepas menunaikan solat tarawih, sekumpulan jemaah akan berkumpul di satu sudut masjid untuk bertadarus dan membaca al-Quran.

Malah, amalan sejak dahulu lagi itu telah mendorong kerajaan negeri menganjurkan program Tadarus dan Khatam al-Quran Perdana Wanita Pahang baru-baru ini.

Program disertai 1,200 peserta dari seluruh negeri ini dianjurkan bersama dengan Jabatan Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang.

Langkah itu secara tidak langsung membolehkan umat Islam di negeri ini membaca dan menghayati al-Quran yang perlu dijadikan amalan dalam kehidupan.

Lebih bermakna, kehadiran naib johan Akademi al-Quran musim ketiga TV9, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman yang mengetuai bacaan tadarus itu memeriahkan lagi program tersebut.

Seorang peserta, Datin Marsitah Mansur menyifatkan program itu berjaya kerana meningkatkan kefahaman peserta bahawa al-Quran memiliki keistimewaan yang membezakan dengan kitab-kitab sebelumnya.

"Al-Quran merupakan kitab yang syamil dan mencakupi seluruh ajaran Tuhan yang ada pada kitab yang diturunkan sebelumnya (Taurat, Injil, dan Zabur),'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Bagi rakannya, Datin Norazimah Abd.Mubim, umat Islam dituntut menyertainya kerana Allah menjanjikan pahala dan ganjaran besar bagi orang Islam yang mengamalkannya.

Menurutnya, dia kagum dengan kesungguhan peserta yang membuktikan syiar agama itu di negeri ini masih kukuh dan dihayati oleh seluruh masyarakat Islam.

Seorang lagi peserta, Fatimah Idris, 55, berkata, program kali ini amat bermakna kerana membabitkan jumlah peserta yang ramai.

Jelasnya, kehadiran Sharifah Khasif turut mewarnai program itu kerana para peserta teruja mendengar bacaan al-Quran yang dibacakan oleh naib juara Akademi al-Quran itu.

Pendapat itu disokong Rajmah Abd. Razak, 58, sambil mahu ajaran al-Quran diperkukuhkan lagi dalam memberi petunjuk dan bimbingan kepada umat manusia.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved