Rabu, 24 Ogos 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Taktik 'bendera putih' Guan Eng

Posted:

Taktik 'bendera putih' Guan Eng

Taktik 'bendera putih' Guan Eng

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

MALAM kelmarin, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng 'yang memang terkenal dengan lunak tutur katanya' mengingatkan pemimpin pakatan pembangkang supaya terus kekal merendah diri dan terus menunaikan janji-janji mereka.

Ini kerana dia sendiri tidak pasti Pulau Pinang mampu dipertahankan. Kata Guan Eng, tidak ada yang pasti dalam politik. Sebab itu, dia sendiri tidak fikir 100 peratus pasti bahawa DAP akan menang di Pulau Mutiara sekali lagi.

Lebih menarik lagi, kata anak Lim Kit Siang ini semasa majlis mengumpul dana untuk DAP Selangor di Petaling Jaya itu, pakatan pembangkang mesti 'rendah diri dan jangan terbawa-bawa' serta pastikan boleh menunaikan apa yang diharapkan oleh rakyat.

Begitulah Guan Eng. Memang sedap ungkapannya didengar. Tetapi bagi mereka yang mengenali taktik politik Guan Eng, dia sememangnya sering mengungkapkan kenyataan 'mengaku kalah' atau mengalunkan lagu 'bendera putih'.

Barang diingat dan mungkin ada yang menyedarinya, paling ketara taktik itu dikembangkan Guan Eng ketika menggerakkan misi untuk merampas Pulau Pinang daripada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008. Baik menjelang penamaan calon dan memasuki gelanggang PRU tersebut, itulah mukadimah dan penutup Guan Eng sama ada semasa sidang akhbar dan siri ceramahnya.

Bagi mereka terutama kalangan orang politik, yang mengikuti rencah dan corat-coret politik negara, sikap yang ditunjukkan oleh DAP barang kali agak unik berbanding sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang terang-terangan mempamerkan aksi angkuh, berdegar-degar serta memaki-hamun BN.

Namun, bagi para penyokong BN daripada UMNO, meskipun DAP nampak seolah-olah 'merendah diri' tetapi sebenarnya itu adalah strategi taktikal politiknya dengan sekurang-kurangnya pengundi atau masyarakat akan berasa simpati dan memangkah calon parti itu.

Jika diperhatikan pada kempen PRU Ke-12, Guan Eng pada sidang akhbar di Jalan Talipon, Georgetown pada suatu ketika sering mengulang-ulang kenyataannya.

"Mahu nafikan majoriti dua pertiga BN ini pun susah dicapai, macam mana kamu (pemberita) (boleh) cakap andai kata parti-parti pembangkang akan menang kerana ia tidak mungkin berlaku.

"BN pasti menang besar, yang cuma DAP nak pastikan ialah janganlah menang habis, menang sampai tsunami," kata Guan Eng, seingat penulis yang meliputi PRU Ke-12 di Pulau Pinang tempoh hari.

Malah, pemimpin DAP itu 'dengan rasa rendah diri' juga mengingatkan pakatan pembangkang jangan sesekali bercita-cita tinggi melangit untuk berdepan BN. Sebaliknya, pembangkang harus menghadapi realiti bahawa BN tidak mungkin dikalahkan dalam senario politik negara sekarang.

Tapi itu Guan Eng. Taktiknya penuh psikologi dan taktikal. Itulah 'buah silat' DAP ketika masuk gelanggang. Tidak seperti Pas dan PKR yang mudah dibaca kilasnya dan akhirnya dinilai sejak awal tidak baik untuk menjadi pilihan rakyat pelbagai kaum.

Namun, barang diingat, meskipun gaya politik DAP nampak bersahaja serta 'cantik' tetapi jika dibuat penilaian mendalam, terutama ke atas manifesto PRU tempoh hari jelas banyak lompangnya.

Kerana itulah 'lagu yang didendangkan' oleh Guan Eng dengan 'rendah dirinya' perlu diamati dan direnung secara mendalam. Jika diamatipun, kerajaan DAP Pulau Pinang sebenarnya gagal menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya umum lepas untuk memberi pendapatan isi rumah sebanyak RM6,000 sebulan.

Kalau dalam Buku Jingga mereka itu, hampir 'berderau darah' dibuatnya dengan dengan janji-janji pembangkang untuk memastikan Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memiliki konsesi lebuh raya untuk pemberian tol percuma. Sedangkan, berdasarkan perkiraan ekonomi, ia kelak akan memakan belanja antara RM50 hingga RM100 bilion. Jika dilaksanakan, ia akan meningkatkan defisit negara lebih daripada 6.4 peratus dari KDNK. Dengan pendapatan kerajaan RM158.6 bilion pada 2009, melaksanakan janji itu akan menelan kos hampir dua pertiga daripada jumlah keseluruhan pendapatan Kerajaan Persekutuan.

Di sebalik janji-janji ini, bagaimana pula dengan janji Kerajaan DAP Pulau Pinang yang diterajui Guan Eng untuk menghapuskan Tol Sungai Nyior dan Tol Jambatan Pulau Pinang dalam manifesto PRU-12. Setelah mendapat kuasa, janji itu tidak ditunaikan.

Rakyat mengerti bahawa KWSP tidak boleh disalah guna kerana ia khusus untuk simpanan rakyat semasa tua dan tidak boleh digunakan untuk menghapuskan bayaran tol. Kerajaan sendiri komited dalam soal tol dengan menurunkan kadar tol di Kampung Medan - Petaling Jaya Selatan daripada RM1.60 kepada RM1 bagi meringankan beban rakyat. Malahan, kerajaan telah membuat perakuan bahawa kadar tol di empat lebuh raya PLUS tidak dinaikkan dalam masa lima tahun. Demikian juga dengan komitmen akan menamatkan konsesi tol untuk Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught di Kuala Lumpur berkuat kuasa Mei 2011.

Mendengar kelunakan suara Guan Eng dalam nada rendah diri 'mengangkat bendera putih' di Petaling Jaya kelmarin inilah yang sewajarnya dicurigai oleh Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon. Tsu Koon setakat ini belum menampakkan lagi keterampilannya dalam 'mengejar' Guan Eng.

Cuba amati taktik Guan Eng di Petaling Jaya tersebut. Dalam 'bermain bicara' sempat juga dia menyindir: "Walaupun kami adalah kerajaan (di Selangor dan Pulau Pinang), tetapi kami terpaksa meminta bantuan (sumbangan) dari kamu (untuk wang) kerana kita tidak mencuri dari kerajaan.

"Jika kamu pergi ke majlis makan malam MCA, mereka tidak meminta wang daripada kamu, sebaliknya mereka membayar kamu untuk datang."

Cuma, kita tidak mahulah Tsu Koon selicik itu. Cuma Tsu Koon perlu memperlihatkan keterampilannya sekali gus mampu memberi sinar harapan dan meyakinkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN untuk merampas kembali Pulau Pinang pada PRU ke-13.

Masih terngiang-giang di telinga penulis sekali lagi akan taktik licik 'bendera putih' yang diluahkan Guan Eng - sama seperti di Petaling Jaya.

Ketika berucap di Jalan Talipon, George Town pada kempen PRU ke-12, kata Guan Eng, bukan MCA atau Gerakan yang akan terkena bahangnya jika penafian majoriti dua pertiga BN berjaya direalisasikan. Sebaliknya, tempias dirasai UMNO yang menjadi tonggak Melayu. Kerana hanya Pulau Pinang sahaja boleh menafikan dominasi UMNO, kata Guan Eng. Terbukti Pulau Pinang kin di tangan DAP.

Cuma, jangan percaya kepada lagu 'bendera putih' yang dialunkan Guan Eng dan DAP.

Libya menjerumus huru-hara Iraq

Posted:

Libya menjerumus huru-hara Iraq

Libya menjerumus huru-hara Iraq

Oleh Azmi Hassan

TIDAK memeranjatkan apabila Tripoli jatuh ke tangan pemberontak kerana tidak kira bagaimana hebat tentera Muamar Gaddafi jika dihujani dengan serangan udara bertubi-tubi dan berbulan-bulan lamanya, sudah pasti pertahanan Tripoli akan menjadi lemah.

Tetapi apa yang tidak diduga adalah masa yang terlalu lama yang diambil oleh pemberontak untuk menawan Tripoli walaupun disokong sepenuhnya oleh pengeboman udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Keadaan ini menyerlahkan kelemahan sebenar pemberontak dan berita mengenai penangkapan anak Gaddafi iaitu Saif al-Islam beberapa jam selepas Tripoli jatuh tetapi telah dibuktikan selepas itu Saif masih bebas memperlihatkan bagaimana kelam-kabutnya kepimpinan pemberontak tersebut.

Lebih menakutkan lagi adalah Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang akan memainkan peranan sebagai kerajaan sementara perlembagaan Libya dibentuk dan seterusnya mengadakan pilihan raya, juga dinilai sebagai tidak mampu bergerak sebagai sebuah kerajaan yang berwibawa.

Perlu ditegaskan bahawa NTC telah diiktiraf oleh kebanyakan negara barat sebagai kerajaan sah Libya sebelum Tripoli jatuh lagi.

Apa yang dikhuatiri berlaku di Iraq ketika ini akan menimpa Libya kerana terdapat persamaan yang ketara di antara kedua-dua negara tersebut yang ketandusan kepimpinan setelah diperintah oleh diktator kuku besi selama berdekad lamanya.

Iraq selepas lapan tahun diceroboh oleh Amerika Syarikat (AS) masih belum menikmati kemakmuran kerana terlalu banyak kumpulan yang memperjuangkan agenda masing-masing. Kerajaan Iraq hari ini begitu lemah kerana tidak mampu menyatupadukan tiga kumpulan utama iaitu Syiah, Sunnah dan Kurdis yang mempunyai hala tuju masing-masing.

Sebagaimana di Iraq, pemberontak Libya juga terdiri daripada puak dan kumpulan yang berbeza dan pada ketika ini hanya bersatu kerana satu matlamat iaitu untuk menghapuskan Gaddafi.

Malah senario puak di Libya adalah lebih kronik berbanding Iraq kerana terdapat lebih dari 140 puak yang mempunyai matlamat yang berbeza di antara satu sama lain. Pemerintahan Gaddafi selama lebih dari empat dekat adalah berasaskan sokongan kuat sesetengah puak dan menekan puak yang menentang.

Tiga negara utama yang banyak membantu pemberontak iaitu Britain, Perancis dan AS telah memberi jaminan bahawa kesilapan yang dilakukan di Iraq tidak akan berulang di Libya.

Tetapi masalahnya ialah NTC yang dipertanggungjawabkan menyatukan Libya selepas kejatuhan Gaddafi tidak mampu melaksanakan peranan dengan baik kerana tidak mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap kumpulan pemberontak.

Pembunuhan beberapa pemimpin pemberontak oleh kumpulan bertentangan sebelum ini mempamerkan bagaimana tiada kawalan oleh NTC dan kemuncaknya adalah pembunuhan Jen. Abdul Fatah Younes tiga minggu lepas.

NTC sehingga hari ini tidak mampu menyelesaikan kes tersebut yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemberontak yang bermusuhan dengan kumpulan yang dipimpin oleh Abdul Fatah.

Senario yang menjerumus Libya seperti mana Iraq yang telah melalui persengketaan sesama sendiri adalah begitu menyerlah kerana beberapa jam selepas Gaddafi jatuh, kumpulan pemberontak yang berbeza masing-masing telah mengaku bertanggung jawab atas kejatuhan Tripoli.

Kumpulan pemberontak yang berpengkalan di Benghazi umpamanya mendabik dada mengisytiharkan mereka sebenarnya yang telah memulakan penentangan terhadap Gaddafi. Ada kebenaran dakwaan tersebut kerana penentangan bermula di Benghazi pada 17 Februari lepas.

Begitu juga dengan pemberontak di Misrata yang disifatkan sebagai menerima padah yang paling teruk dan berjuang paling sengit kerana selama berbulan-bulan lamanya tentera Gaddafi telah mengepung dan menyerang Misrata.

Satu lagi kumpulan pemberontak yang terdiri dari puak Berber dan Arab juga dianggap penting kerana kumpulan inilah yang telah memecah tembok pertahanan Gaddafi dan seterusnya menawan Tripoli pada hari Ahad lepas.

Belum lagi Tripoli dikawal sepenuhnya, terdapat desas desus kumpulan pemberontak Misrata dan Berber/Arab mendakwa kumpulan masing-masing sepatutnya mendahului jumlah keahlian dalam NTC kerana telah memainkan peranan penting menjatuhkan Gaddafi.

Pada ketika ini kesemua 33 ahli NTC adalah terdiri dari mereka yang lebih simpati kepada pemberontak Benghazi. Keadaan ini tidak menghairankan kerana NTC ditubuhkan pada permulaan penentangan terhadap Gaddafi yang berpusat di Benghazi.

Sebab itu kumpulan pemberontak mengambil masa yang begitu lama untuk tiba di Tripoli kerana tidak ada persefahaman di antara kumpulan yang berbeza dan tidak ada pemimpin yang mampu menyatukan mereka semua.

Keputusan yang mudah seperti sama ada Saif al-Islam perlu dibicarakan di Libya atau diserahkan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tidak dapat dicapai kerana masing-masing mempunyai agenda dan dendam terhadap Saif.

Belum lagi sampai ke peringkat membentuk perlembagaan atau pembentukan kerajaan, begitu jelas kumpulan pemberontak tersebut masing-masing memperjuangkan kepentingan puak masing-masing seperti mana yang berlaku kepada Iraq sebaik sahaja Baghdad tumbang.

Cuma yang berbezanya senario Iraq boleh mempersalahkan AS kerana Washington yang bertanggung jawab menceroboh dan seterusnya menubuhkan kerajaan sementara Iraq.

Tetapi berbeza dengan Iraq tiada campur tangan asing di Libya kecuali peranan dalam serangan udara. Libya pada pasca Gaddafi bergantung sepenuhnya bagaimana puak yang berbeza dapat bekerjasama di antara satu sama lain.

Malah tidak keterlaluan jika diandaikan tugas pemberontak menawan Tripoli dianggap begitu mudah berbanding dengan isu menubuhkan kerajaan peralihan yang saksama.

Mungkin juga sebab pengalaman yang pernah dilalui di Iraq, AS begitu berat hati untuk mengetuai operasi serangan udara Libya dan menyerahkan tanggung-jawab kepada Britain dan Perancis.

AS sudah pasti tidak mahu dituduh sekali lagi sebagai dalang yang telah mengkucar-kacirkan negara Arab.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved