Khamis, 18 Ogos 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Ombak Boutique eksklusif, selesa

Posted:

Ombak Boutique eksklusif, selesa

Ombak Boutique eksklusif, selesa

Oleh RAHANA MOHD DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my


LOBI Ombak Boutique Hotel.


KOTA BHARU 17 Ogos - Percaturan Ahmad Ikhwan Rizal Mohamed, 28, menggabungkan perniagaan butik dengan hotel penginapan membuahkan hasil apabila premis perniagaannya kini mula menjadi pilihan pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

Disokong lokasinya yang terletak di pinggir laluan utama Jalan Kuala Krai, kedudukan Ombak Boutique Hotel hanya mengambil kira-kira lima minit berkereta ke destinasi popular pasar borong Wakaf Che Yeh.

Buah tangan usahawan muda yang selesa disapa Rizal ini, bukanlah mengejutkan kerana dia datang daripada keluarga yang telah lama melibatkan diri dalam bidang sama.

Dalam pertemuan dengannya di sini baru-baru ini, Rizal dan pekerjanya sedang sibuk menyusun pelbagai jenis jualan hari raya. Sempena kedatangan Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menyusul, butiknya menawarkan pakaian baju Melayu dewasa dan kanak-kanak, telekung bersulam, songkok, selendang dan tudung serta kurung siap.

Bagi memberi ruang yang selesa kepada pelanggan untuk membeli-belah, Rizal mendirikan khemah beralaskan pangkin kayu di hadapan butiknya.

"Sempena Syawal tidak lama lagi, perniagaan saya yang sebelum ini lebih menjurus kepada batik lukis dan songket menambah pelbagai koleksi pakaian raya.

"Sejak dibuka minggu lalu, sambutannya amat menggalakkan kerana selain harga yang ditawarkan amat berpatutan dan mempunyai potongan istimewa, tempat meletak kereta juga luas di sini," ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Butiknya yang terletak di tingkat bawah hotel tiga tingkat itu, sering menjadi tumpuan pengunjung terutama golongan wanita yang menginap di situ.

Menyediakan ruang pameran dan jualan yang luas serta selesa, batik lukis yang ditawarkan eksklusif kerana hiasan tambahan labuci dan sekuin pada kain mengikut pilihan pelanggan boleh diperincikan di sini.

Mengimbau pembabitannya dalam bidang perniagaan, usahawan muda itu berkata, ia tercetus apabila sering ditanya oleh pelanggan yang mengunjungi butiknya, Ombak Bawal Eksklusif yang terletak di tengah-tengah pasar borong Wakaf Che Yeh.

"Saya bermula sebagai peniaga kecil-kecilan sebelum beralih kepada bidang perhotelan. Pernah menjual capal, pengedar batik, tudung, songket, batik sarung dan pelikat selepas tamat pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan dari sebuah kolej di Kota Bharu.

"Apabila rezeki bertambah dan mempunyai sebuah butik, rata-rata pelanggan wanita yang datang sering bertanya di mana mereka boleh mendapatkan bilik penginapan kerana kebanyakannya datang dari luar Kelantan," katanya.

Menurut Rizal, kebanyakan pelancong ingin menjelajah ke setiap ceruk pasar malam yang berlanjutan hingga dinihari untuk membeli pelbagai keperluan harian seperti kain ela, pakaian siap, tudung, batik atau menikmati makanan tradisi, nasi kerabu atau pulut mangga.

"Situasi tersebut mendorong pelancong mahukan bilik penginapan untuk bermalam. Kedatangan mereka bukan sahaja ke pasar borong Wakaf Che Yeh, tetapi juga melawat destinasi menarik sekitar Kota Bharu. Justeru, bermulalah operasi hotel ini yang berkonsepkan perkhidmatan lima bintang, tetapi harganya pada satu bintang," ujarnya.


AHMAD Ikhwan Rizal Mohamed di hadapan premis hotelnya di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, baru-baru ini.


Sejak dibuka akhir tahun lalu, hotel yang memiliki 25 buah bilik ini sentiasa menerima tempahan pelancong termasuk yang datang secara berkumpulan atau individu yang mempunyai urusan perniagaan di sini.

Pelanggan bukan sahaja selesa menginap di bilik yang ditawarkan harga serendah RM88 bagi kategori Standard (Twin Single) atau Standard Superior (Queen Double). Mereka juga boleh memilih bilik Deluxe dengan harga RM118 atau harga paling tinggi RM168 untuk Family Deluxe (2 Double) dengan beranda pandang luar.

Menurut Rizal, hotelnya dilengkapi perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar (WiFi), pendingin hawa, televisyen LCD , saluran Astro di samping terletak berhampiran restoran makanan segera dan kemudahan lain.

Bagi orang ramai yang sering berkunjung ke pasar borong Wakaf Che Yeh, jenama Ombak pastinya tidak asing dalam kalangan mereka. Antaranya Ombak Inn sebuah hotel bajet yang terletak di tengah-tengah pasar yang diusahakan oleh keluarga Rizal.

"Sebelum membabitkan diri dalam perniagaan perhotelan di sini, saya telah mengutip pengalaman mengendalikan pengurusan bilik penginapan hotel melalui perniagaan keluarga.

"Selain Ombak Inn, saya turut terbabit dengan penginapan Ombak Pelangi Guest House yang terletak di tingkat 14, Kondominium Pelangi di tengah-tengah bandar Kota Bharu dan menghadap pemandangan indah Sungai Kelantan," katanya.

Tambah Rizal, bagi pelancong luar terutama yang mahu menghirup udara segar dan menikmati suasana kampung, dia menawarkan penginapan di Ombak Village Homestay di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB).

Pengunjung yang berminat menginap di Ombak Boutique Hotel boleh menghubungi 09-7473025 atau melayari laman sesawang, www.ombakboutiquehotel.com atau laman sosial facebook , www.facebook.com/ombakinn.hotel.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

8 kebakaran akibat mercun

Posted:

8 kebakaran akibat mercun

8 kebakaran akibat mercun

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 17 Ogos – Sebanyak lapan daripada 16 kes kebakaran yang berlaku di negeri ini sepanjang bulan Ramadan ini berpunca daripada mercun dan bunga api yang turut mengakibatkan dua kematian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Othman berkata, kebakaran itu menyebabkan 13 keluarga hilang tempat tinggal manakala anggaran kerugian pula sebanyak RM150,000.

"Kecuaian dan kurang pengawasan ibu bapa adalah faktor berlakunya kebakaran yang berpunca daripada bunga api. Begitu juga dengan mercun, mereka bermain dengan lempar begitu sahaja kadang-kadang tidak sedar bahawa tempat itu sensitif dengan bahan api seperti sampah, daun-daun kering, kertas dan sebagainya.

"Jadi, kita mengharapkan agar ibu bapa sentiasa membuat pemantauan di musim perayaan ini bagi mengelak berlakunya sebarang kemungkinan yang tidak diingini," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan bersama media di sini, semalam.

Katanya, gejala bermain mercun atau bunga api perlu diberi perhatian serius kerana ia juga termasuk dalam kategori bahan api yang sensitif dengan kebakaran.

Dalam pada itu, Azmi turut mengingatkan tradisi pemasangan pelita yang selalu dilakukan dalam kalangan masyarakat kampung setiap kali tibanya penghujung bulan puasa supaya memadamkan pelita tersebut sebelum mereka tidur.

"Biarpun belum ada kes kebakaran yang berpunca dari benda itu, langkah pencegahan perlu dititik beratkan oleh semua lapisan masyarakat. Malang tidak berbau," katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, pihaknya akan menjalankan rondaan serta pemantauan melalui Ops Sikap bermula 22 Ogos ini sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan kes kemalangan jalan raya.

Tumpuan utama operasi tersebut, katanya, adalah di jalan-jalan yang seringkali berlaku kemalangan setiap kali tibanya musim perayaan, terutama di Jalan Kuala Krai-Gua Musang.

Operasi tersebut akan melibatkan sejumlah 550 anggota termasuk pegawai di semua balai di negeri ini," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Sultan Kelantan rasmi Masjid Ibadurrahman

Posted:

Sultan Kelantan rasmi Masjid Ibadurrahman

Sultan Kelantan rasmi Masjid Ibadurrahman


SULTAN Muhammad V (kanan) berkenan mengurniakan zakat kepada penerima yang terlibat pada perasmian Masjid Ibadurrahman, Taman Pemuda, Wakaf Stan, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 17 Ogos - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli merasmikan Masjid Ibadurrahman Taman Pemuda Sentosa, Wakaf Stan, Kubang Kerian dekat sini, malam tadi.

Baginda yang berjubah hitam dan berkopiah putih tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 8.30 malam, menurunkan tandatangan sebagai gimik perasmian sebelum menunaikan solat isyak dan tarawih bersama kira-kira 500 jemaah.

Selesai solat, baginda berkenan menyampaikan sumbangan zakat kepada 200 penerima dalam kalangan anak yatim, orang kurang upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan pelajar miskin yang tinggal di dalam mukim tersebut.

Para jemaah turut menggunakan kesempatan kunjungan itu untuk bersalaman dan beramah mesra dengan Sultan Muhammad.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Ibadurrahman, Datuk Othman Zakaria memberitahu, pihaknya menjunjung kasih di atas kesudian baginda berangkat merasmikan masjid berkenaan seterusnya menunaikan solat isyak serta terawih berjemaah bersama penduduk kampung.

"Masjid ini telah siap dua tahun lalu, cuma ia baru dirasmikan pada hari ini (semalam). Selain itu, pihak masjid telah mengemukakan permohonan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk membolehkan masjid ini mengadakan solat jumaat.

"Ini untuk memudahkan penduduk kawasan ini menunaikan solat berkenaan tanpa perlu ke mukim lain seperti sebelum ini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved