Rabu, 17 Ogos 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Berperang secara ‘gentleman’

Posted:

Berperang secara 'gentleman'

Berperang secara 'gentleman'

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my


AHMAD MASLAN


BEBERAPA keputusan klasik dalam siri Pilihan Raya Umum (PRU) lepas jelas menunjukkan Barisan Nasional (BN) sebenarnya boleh merampas kembali Kelantan, mempertahankan Kedah serta memanipulasi undi pos.

Bukan itu sahaja. Selagi ada bulan dan bintang, selagi itulah semua negeri di Malaysia, baik kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen akan terus ditadbir selama-lamanya oleh BN.

Tetapi ada syaratnya. Ia cuma akan berlaku sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah telunjuk BN. Namun itu semua itu tidak akan berlaku. SPR telah membuktikan bukan menerusi 'mainan' suruhanjaya itu secara peribadi tetapi melalui proses demokrasi negara.

Di Kedah, semasa BN kehilangan negeri itu pada 2008, jumlah majoriti undi di lima DUN yang gagal diraih BN jika dicampurkan kelima-limanya, ia baru mencecah 1,400 undi. Jadi, masakan BN hanya sekadar mahu melihat Kedah terlepas daripada genggaman kalau tidak dengan 'cara menawarkan kepada SPR imbalan' supaya menambah kertas-kertas undi untuk menimbus 1,400 undi berkenaan. Tapi ia tidak berlaku dan tidak pernah terjadi.

Di Kelantan pada PRU 2004. BN hanya kalah dua kerusi kepada Pas yang membentuk semula kerajaan negeri. Dua kerusi yang dimenangi Pas itu termasuk satu kerusi yang diraih dengan majoriti dua undi sahaja di DUN Kemuning, Machang.

Mengapa BN kalau benar telah menguasai SPR, tidak pula bertindak mengarahkan supaya ditambah sahaja tiga kertas undi pro-BN di kerusi terbabit. Ini sekali gus meninggalkan cuma satu lagi kerusi majoriti Pas. Dan kebetulan pada 2005, satu pilihan raya kecil diadakan di DUN Pengkalan Pasir, Kelantan dan BN memenanginya.

Bayangkan, jika DUN Kemuning diperoleh BN dengan cara 'jahat' tadi dan Pengkalan Pasir sudahpun dimenangi BN, pastinya Kelantan ditadbir parti pemerintah Pusat. Tapi jawapannya tetap sama, SPR tetap berkecuali dan kuasa rakyat masih menjadi penentu sistem demokrasi negara.

Itu antara dua contoh yang dibangkitkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan ketika merujuk kepada keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen bagi menambah baik sistem pilihan raya di negara ini.

"Kesediaan Perdana Menteri melambangkan keterbukaan beliau yang tidak takut dengan segala tuduhan pembangkang yang tidak berasas terhadap sistem pilihan raya di Malaysia.

"Kita BN ingin mencapai kemenangan yang sesuci-sucinya dan mulia, bukannya 'kemenangan' yang berdasarkan tuduhan pihak pembangkang," kata beliau pada pertemuan dengan Utusan Malaysia di pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya semalam.

Jawatankuasa Terpilih Parlimen itu yang dianggotai wakil rakyat BN dan pembangkang adalah bukti kerajaan komited dengan sistem pilihan raya yang bersih. Dalam aspek ini, jawatankuasa akan berbincang serta mencari kata sepakat mengenai bentuk penambaikan yang perlu dilaksanakan oleh SPR sebelum dilaksana pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Sama ada secara kebetulan atau tidak, Ahmad turut menarik perhatian mengenai tuduhan pakatan pembangkang bahawa kononnya BN sentiasa menang undi pos dalam setiap pilihan raya.

"Tapi ternyata ia hanya tuduhan jahat semata-mata. Kita ambil contoh kemenangan calon Parti Keadilan, Dr. Chandra Muzaffar pada PRU 1999 di Bandar Tun Razak yang menang undi pos.

"Kemudian, Ruslan Kasim yang bertanding atas tiket parti yang sama menang undi pos pada pilihan raya kecil Teluk Kemang pada awal tahun 2000 meskipun tewas di tangan calon BN, S.Sothinathan," kata beliau.

Semua itu menggambarkan apa? Ya, jelas SPR tidak berpihak. Malah, dalam petisyen SPR, tidak pernah tuduhan wujudnya pengundi hantu berjaya dibuktikan.

"Ini bererti isu pengundi hantu hanyalah persepsi pembangkang. Pengundi hantu yang dimaksudkan oleh pembangkang adalah orang dari luar atau perantau yang hanya atau sekali-sekala pulang ke kampung mereka untuk mengundi.

"Barangkali orang tua-tua di kampung tidak mengenali anak si polan dan si polan itu yang telah dewasa untuk pulang mengundi. Kalau satu keluarga ada 10 anak, masakan kita boleh cam kesemua anak keluarga di kampung berkenaan," kata Ahmad.

Bagi Ahmad, pembangkang kini giat untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap tiga perkara iaitu isu, individu dan institusi.

"Misalnya institusi polis dinegatifkan dalam isu perhimpunan haram 'Bersih', Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes Teoh Beng Hock dan sekali lagi SPR dalam isu 'Bersih'. Itulah sebabnya, bila SPR mahu guna sistem biometrik, dia kata guna dakwat kekal tapi katakan jika SPR saran guna dakwat, dia kata pula biometrik lebih bagus," kata beliau sambil merujuk sebuah negara tetangga yang amat korup sistem pilihan rayanya apabila jumlah kertas undi melebihi jumlah populasi.

Sebenarnya, kalau betullah SPR dikuasai BN dari pengerusi, timbalannya sehinggalah para pegawai kanan dan pengarah-pengarah SPR negeri, nescaya setidak-tidaknya 14 daripada 16 pilihan raya kecil sudah disapu bersih oleh BN. Ini tidak, BN hanya menang lapan kerusi manakala pembangkang tujuh dan menang percuma – satu di Penanti, Pulau Pinang.

Demikian juga dalam keputusan pilihan raya negeri Sarawak April lalu, BN pastinya tidak akan membenarkan pembangkang menambah kerusi jika SPR sememangnya berjaya dikuasainya.

"Itu sebabnya BN perlu berhajat untuk menang secara bermaruah dengan menggunakan sistem pilihan raya terbaik.

"Justeru, kita amat mengharapkan badan reformasi pilihan raya ini dapat menghentikan pertikaian yang cuba dicetuskan oleh pembangkang.

"Berperanglah secara 'gentleman', kita nak mereka merasai kekalahan mereka nanti adalah benar-benar tulen," kata Ahmad.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Ubah pendekatan ajar bahasa Inggeris

Posted:

Ubah pendekatan ajar bahasa Inggeris

Ubah pendekatan ajar bahasa Inggeris

Oleh FAUZY HALIM
PENULIS ialah Pengarah Centre of Modern Languages (CML). Beliau pernah bertugas lebih 12 tahun di Amerika Utara, Eropah, Asia, dan Afrika sebagai jurulatih guru pelbagai bahasa.


SEBAHAGIAN graduan bersorak kegembiraan selepas Majlis Konvokesyen Institut Pendikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak, di Kota Samarahan, Sarawak pada 7 Julai lalu.


Pada zaman Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar menjadi Perutusan Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu New York, apabila ada persidangan di peringkat wilayah atau antarabangsa, wakil-wakil dari Malaysia selalu diberi penghormatan untuk mempengerusi dan mengetuai perbincangan, berbagai-bagai jenis jawatankuasa kajian untuk pelbagai agensi antarabangsa.

Itu dulu. Itu cerita lama. Sejak sedekad dua kebelakangan ini, keadaan amat berbeza. Kini acapkali kita mendengar sesetengah graduan kita, antara mereka pemegang PhD, bertutur bahasa Inggeris dengan sebutan dan tatabahasa tunggang-langgang. Mereka masih takut-takut dan kurang yakin menyuarakan pendapat dalam forum atau mesyuarat pejabat.

Alangkah rugi buah fikiran cerdik pandai kita tidak dapat dikongsi, dimanfaat bersama dan mengakibatkan terencat kerjaya mereka hanya kerana kelemahan penguasaan bahasa Inggeris, terutamanya kekangan pertuturan.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran bertanyakan "kenapa setelah 13 tahun bahasa Inggeris diajar, kita masih tidak mampu menghasilkan pelajar-pelajar yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik."

Soalan itu merupakan satu cabaran kepada mereka yang berkecimpung dalam bidang pendidikan, lebih-lebih lagi kepada kalangan pengajar bahasa atau sebagai ibu bapa.

Masalah yang timbul sekarang adalah dari sudut penguasaan bahasa Inggeris komunikasi atau pertuturan. Dari segi bahasa Inggeris penulisan, kita sememangnya patut berbangga dengan ramai pelajar kita yang memperoleh A plus dan A atau B dalam peperiksaan SPM dan A di tahap O-Level.

Pada akhir tahun 1960-an dan awal 1970-an, Tun Hamdan Tahir berbincang dengan penulis perihal penguasaan bahasa Inggeris. Beliau juga bertanya bagaimana kaedah American Peace Corps berupaya dan sanggup menjadi perintis untuk memulakan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu di Sekolah-sekolah Berasrama Penuh (SBP) terpilih; walhal mereka belajar bahasa Melayu dalam masa 11 minggu sahaja.

Jawapan penulis ialah kami dilatih untuk mengajar American Peace Corps menggunakan pendekatan mendengar dan bertutur (Aural-oral) dengan kederasan di antara 120 - 160 perkataan seminit. Kami tidak mencampur-adukkan bahasa penulisan dengan bahasa pertuturan. Ini disebabkan nilai bunyi bahasa sebutan walaupun menggunakan huruf rumi yang sama tetapi mempunyai nilai bunyi yang amat berlainan seperti p dengan b, t,d, k, dan g.

Nilai bunyi 'u' hanya satu sama ada 'unggu' atau 'buku' dalam bahasa Inggeris nilai bunyi 'u' seperti dalam perkataan berikut cut, cute, church, bury, quay, clue, audio.

Jika kita masih ingat, Kementerian Pelajaran pernah memulakan pembelajaran Bahasa Inggeris menggunakan kaedah 'Communication English' di sekolah rendah malangnya oleh kerana tenaga pengajar yang kurang terlatih dan kurang arif dan faham tentang pendekatan itu, kaedahnya berjalan hanya beberapa tahun sahaja.

Sekarang yang masih ada saki-baki pendekatan 'Communication English' itu hanya tentang cara mengatur tempat duduk pelajar-pelajar secara berkumpulan 4, 6 atau 8 orang setiap kumpulan.

Bagaimanapun, di Sarawak program ini terus berjalan dan semasa penulis bertugas dengan US Peace Corps dan Canadian CUSO, pernah melawat kelas-kelas ini di SK & SJK di Miri, Sibu & Kuching, ia dijalankan dengan sempurna dan berkesan. Sebab itu kita dapati pelajar-pelajar di Sarawak lebih yakin dan fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Penulis pernah diminta oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia yang berasal dari Sarawak untuk membuat demonstrasi dan seminar tentang pendekatan 'Aural-oral' yang diguna pakai oleh American Peace Corps, di Kementerian Pelajaran di Jalan Duta.

Maklum balas yang penulis dapati dari hasil demonstrasi dan seminar sejam setengah itu secara ringkasnya, 'susah hendak dijalankan di sekolah kita' (di Semenanjung Malaysia). Dengan itu, berakhirlah riwayat 'Communication English' atau pendekatan 'Aural-oral.'

Sebenarnya, penggunaan pendekatan 'Aural-Oral' ini dapat menjimatkan masa untuk menyempurnakan sesuatu sukatan pelajaran itu di antara 20 hingga 50 peratus (%). Masa yang dijimat tersebut boleh digunakan membuat latih tubi, mengulang kaji untuk peperiksaan dan latihan amali pengukuhan menerusi pelbagai aktiviti kegemaran pelajar sesama atau antara darjah dan aliran.

Aktiviti seperti perbahasan, peraduan menyanyi, drama dan sebagainya. Rekaan pelajar atau guru patut digalakkan.

Kejayaan pendekatan 'Aural-Oral' ini yang digunakan sebagai pelengkap dalam pembelajaran Bahasa Inggeris adalah ketara sekali di Filipina di mana guru-guru TESOL yang kami latih di Pusat Latihan Peace Corps di Universiti Hawaii meneruskan program ini, melatih tenaga pelatih terpilih tempatan yang akan melatih guru-guru bahasa Inggeris rakan sejawat mereka untuk terus menggunakan pendekatan ini apabila guru-guru TESOL dari Peace Corps tamat tempoh perkhidmatan mereka di wilayah-wilayah tersebut.

Hasilnya kita dapati pembantu rumah yang didatangkan dari Filipina agak lebih baik penguasaan bahasa Inggeris mereka dari sesetengah graduan kita. Memang benar terdapat kelemahan-kelemahan lain seperti guru bahasa Inggeris sendiri tidak fasih bertutur dalam bahasa Inggeris seperti 'ketam mengajar anak berjalan lurus'.

Masih ada guru-guru TESL yang mempunyai tahap MUET 5, masih membuat kesalahan dalam sebutan, tatabahasa seperti I didn't went there dan sebutan atau tajwid yang salah tekanan dan intonasinya seperti sebutan 'lettuce', 'mayonaise', 'quay', 'audit' dan sebagainya.

Penggunaan 'malapropism' iaitu kosa kata yang tidak betul penggunaannya terutama seperti 'sensitive', 'bored', 'boring' dan lain-lain. Jika mereka yang pencapaian MUET tahap 5 melakukan kesalahan seperti itu, bagaimana pula nasib pelajar apabila guru-guru mereka yang hanya mencapai tahap dibawah 4.

Sekarang seramai lebih kurang 30,000 guru yang tidak terlatih dibenarkan mengajar bahasa Inggeris. Mereka ini tidak pernah atau tidak cukup latihan untuk membaca phonetic seperti yang terdapat pada semua kamus. Jadi bagaimana mereka nak tahu sesuatu sebutan itu salah atau betul. Dan bagaimana pula mereka boleh membuat analisis perbezaan dan cara-cara sebutan bagi pelajar majmuk dari berpuluh bahasa dan loghat.

Istilah guru TESL (mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa ke-2) juga adalah kurang tepat. Penggunaan yang lebih tepat adalah TESOL (Teaching of English to Speakers of Other Languages). Ini adalah kerana latihan untuk guru-guru TESL mempunyai perbezaan asas berbanding latihan guru-guru TESOL.

Latihan guru TESL penekanan adalah untuk mengajar, guru-guru yang mendapat latihan TESOL akan melatih (conditioning) muridnya secara bersepadu, spontan hingga sesuatu kemahiran itu menjadi kebiasaan atau 'habit' yang tidak mudah hendak dilupai.

Saranan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan agar pendekatan yang digunakan oleh American Peace Corps di Universiti Hawaii amat tepat sekali dan perlu ditangani dengan betul berasaskan kepada fakta dan bukan mengikut perasaan atau agakan.

Oleh itu, saya ingin mencadangkan pendekatan 'Aural-Oral' yang digunakan dalam latihan bahasa-bahasa di Pusat Latihan Peace Corps di Universiti Hawaii diguna pakai sebagai pelengkap kepada pembelajaran bahasa Inggeris, dan sembilan bahasa asing yang diajar di SBP dan beberapa sekolah harian terpilih.

Seandainya pendekatan 'Aural-Oral ' ini diguna pakai sebagai pelengkap dalam pengajaran bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing, penulis berkeyakinan tahap pencapaian pelajar-pelajar kita akan meningkat bukan setakat dalam bahasa penulisan.

Malah, mereka boleh berkomunikasi atau bertutur dalam sesuatu bahasa dengan lebih cepat, mudah, dan berkesan untuk diguna pakai apabila di universiti, semasa menghadiri temu duga dan lebih penting lagi untuk mempertingkatkan keberkesanan serta kejayaan dalam kerjaya mereka di mana juga di dunia ini.

Apabila graduan kita fasih berkomunikasi dengan berkesan dalam berbagai-bagai bahasa yang dilatih sekolah, maka impian dan cita-cita pejuang-pejuang kemerdekaan dan pendidikan terdahulu untuk melihat anak bangsa kita belajar dan menimba ilmu di universiti di serata dunia, berdagang dengan lebih meluas, membawa pulang ilmu, mempertingkatkan perdagangan dan modal antarabangsa ke Malaysia tercinta ini akan menjadi kenyataan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved