Khamis, 11 Ogos 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Sederhana selesai kemelut

Posted:

Sederhana selesai kemelut

Sederhana selesai kemelut

TINDAKAN Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi meneliti apakah benar ada usaha untuk mengkristiankan orang Islam dalam majlis makan malam anjuran sebuah pertubuhan kebajikan di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu mengundang pelbagai reaksi: marah, keliru dan paling banyak adalah memuji tindakan itu kerana ia membabitkan akidah umat Islam.

Dari perspektif Islam, sentimen dan dakwaan wujudnya usaha berkenaan pada majlis tersebut masih belum dapat dibuktikan, kerana JAIS masih belum membuat kenyataan. Tapi, dalam sentimen itu nampaknya JAIS sudah menang moral manakala orang ramai semakin melihat gagalnya kepimpinan negeri yang diterajui oleh orang Islam untuk mempertahan dan memperkasakan agama daripada terus diceroboh, diasak dan dipengaruhi oleh bukan Islam.

Berdasarkan undang-undang, meskipun kebebasan beragama menjadi hak setiap orang, kebebasan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mempengaruhi orang Islam agar menukarkan agamanya. Berdakwah atau mempengaruhi orang Islam supaya menukarkan agama adalah satu tindakan salah dan boleh didakwa di mahkamah.

Apa pun peruntukan undang-undang yang ada, penguatkuasaannya adalah satu tindakan wajar dan harus ditentukan melalui pendakwaan. Maka, tindakan JAIS adalah usaha mencari bukti dan bukannya mewujudkan suasana resah, menceroboh rumah-rumah ibadat sebagaimana dilihat para aktivis yang menentang usaha itu.

Setiap rakyat harus faham undang-undang negara yang mana Islam menjadi agama rasmi, iaitu jangan ada sesiapa cuba mempengaruhi rakyatnya yang beragama Islam untuk meninggalkan agamanya sendiri di negara itu. Demikian juga ajaran-ajaran (sesat) lain yang boleh memesongkan agamanya sendiri.

Islam hendaklah difahami secara menyeluruh (syumul) merangkumi seluruh kehidupan dunia dan akhirat. Pengertian Islam berbeza dengan agama-agama lain, tiada pemisahan di antara dunia dan akhirat antara ibadah dan urusan kehidupan sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 200 bermaksud "Wahai tuhan kami! Berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat." Kerana Islam itu adalah agama yang penuh keseimbangan, sesuai dengan kejadian manusia pada setiap masa dan tempat.

Proses yang seharusnya berlaku sebaik-baik sahaja JAIS dapat mengumpulkan bukti adalah memanggil pihak terbabit untuk mengetahui kedudukan sebenar sama ada ia adalah majlis kebajikan atau majlis memujuk. Jika betul-betul ikhlas untuk menyampaikan bantuan, ia boleh dilihat sebagai satu langkah yang terpuji.

Jika sebaliknya, bersama bukti yang ada maka mereka yang hadir itu boleh diberikan nasihat ataupun peluang membuktikan kehadiran itu tidak boleh diistilahkan sebagai percubaan menjadi murtad manakala pihak penganjur perlu dipanggil untuk mengkaji keikhlasan niatnya.

Dalam konteks Islam, memberikan bantuan atau sedekah kepada mereka yang memerlukan adalah satu tindakan yang amat digalakkan. Atas dasar itulah maka satu kaedah mengumpul dan menyalurkan bantuan melalui institusi zakat diwajibkan ke atas semua orang Islam yang mempunyai harta dan kekayaan.

Keindahan Islam turut tercermin melalui kaedah bagi menyelesaikan sesuatu kemelut, sama ada yang bersifat agama ataupun sosio-politik. Setiap orang yang berbeza pandangan perlu dibawa bersama dalam satu perundingan bagi mencapai satu persetujuan dan persefahaman.

Dalam konteks antara agama, kedua-dua pihak yang berhadapan dengan masalah disebabkan oleh garis pemisah yang kurang jelas, maka berunding adalah kaedah terbaik. Dengan cara melemparkan sesuatu tuduhan atau dakwaan, ia akan memberikan kesan buruk.

Perundingan antara Islam dan Kristian sudah bermula sejak kedua-dua agama itu menjadi titik perbezaan sama ada dalam bentuk teologi ataupun tuduhan melampau sehingga memerangkapkan krisis kosmos.

Sejak Islam dizahirkan sebagai agama wahyu terakhir, Nabi Muhammad SAW melaksanakan pendekatan berhemah dengan tidak memaksa pemeluk Kristian, Yahudi dan lain-lain untuk menukarkan agama asal mereka.

Konteks dakwah tersebut adalah selaras dengan firman Allah SWT, "tiada paksaan dalam beragama" tetapi setelah memeluk Islam, menukarkan agama adalah "dilarang" dan tindakan tersebut dipanggil murtad. Orang yang murtad akan disingkirkan dari jemaah dan mendapat kebenaran sebagaimana dijanjikan oleh Allah SWT.

Perseteruan antara Islam dan Kristian telah lama bermula dan akar umbi masalah itu berpunca daripada prasangka buruk mengenai agama terakhir itu. Mereka menyangka, disebabkan kemurnian Islam sentiasa dipertahankan dan sebarang perubahan ke atas kandungan kitab suci al-Quran akan ditentang habis-habisan.

Berbanding Kristian, ajarannya mengalami pelbagai perubahan disebabkan sikap sesetengah pemegang amanahnya. Atas dorongan untuk menguasai dan mendominasi orang lain, maka terjadi banyak percanggahan dalam Bible. Ia menjadi dua versi yang ada ketikanya tidak boleh berkompromi, seringkali bercanggah antara Old Testament dan New Testament.

Dalam beberapa perkara, dalam Islam turut berlaku perbezaan pendapat tetapi ia atas perkara-perkara yang bersifat nisbi dan bukan mengenai bentuk keimanan. Perbezaan itu telah diselaraskan melalui jumhur ulama, penyelarasan fatwa dan mencari kata sepakat antara alim ulama. Inilah kelebihan yang ada pada Islam, yang mungkin tidak dipraktikkan oleh lain-lain agama.

Jika ada pun perbalahan dan pertelingkahan, ia diselesaikan dengan cara baik. Selagi bukan Islam menghormati dan tidak mengkhianati Islam, selagi itulah keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara dapat dipertahankan.

Masyarakat wajib menghormatinya. Setiap masyarakat harus memandangnya sebagai satu bentuk misi kemanusiaan, tetapi jika terbukti ada penyelewengan maksud, maka tindakan JAIS itu boleh dilihat sebagai sesuatu yang bermaruah. Suatu tindakan yang wajar maka sebelum hasil siasatan itu dirumus dan didedahkan, maka kita tidak sepatutnya melenting keterlaluan. Ia boleh mencemarkan agama Islam itu sendiri.

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Mengurus risiko elak terjebak perlakuan fitnah

Posted:

Mengurus risiko elak terjebak perlakuan fitnah

Mengurus risiko elak terjebak perlakuan fitnah

Oleh Pandangan IKIM

FITNAH boleh membawa pelbagai erti. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, fitnah bermaksud tuduhan, khabar, kisah yang diada-adakan untuk memburukkan seseorang.

Dalam maksud ayat 191 surah al-Baqarah ada disebut "Fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan". Kebanyakan ulama tafsir memberi erti fitnah di dalam ayat al-Quran ini membawa maksud perlakuan kufur dan syirik.

Imam Fakhrulrazi dalam tafsir Kabir memetik Ibn Abbas sebagai berkata, ini kerana pelaku syirik melakukan dosa besar yang melayakkan mereka kekal dalam neraka berbeza dengan kesalahan membunuh. Syirik dan kufur menjadikan pelakunya terkeluar daripada agama.

Ada sebahagian ulama pula memberi erti fitnah sebagai perkara yang mengancam hidup beragama orang Islam sama ada dengan meracuni akidah orang Islam dengan pelbagai perkara yang meragukan atau pun dengan seksaan seperti yang berlaku ke atas sahabat nabi Muhammad SAW seperti Bilal, Sohaib dan Ammar bin Yasir.

Apa pun, semua takrifan fitnah ini membawa maksud negatif yang boleh membawa kucar-kacir dalam masyarakat.

Dari konteks maksud fitnah oleh kamus Dewan, kita dapat melihat di dalam kehidupan bermasyarakat, timbul pelbagai dakwaan terhadap pihak kedua. Dakwaan yang timbul datang daripada pelbagai latar belakang individu dan kelompok dalam masyarakat.

Ada dakwaan yang bersifat jelas dengan bukti sokongan ke atas dakwaan tetapi sebaliknya ada juga yang dibuat tanpa bukti dan tanpa mengetahui latar belakang selok-belok perkara yang didakwa. Ini termasuk pihak ketiga yang membuat dakwaan terhadap suatu isu melibatkan dua pihak lain tanpa terlebih dahulu mengetahui dan menyelidik duduk sebenar perkara, khasnya daripada kedua-dua belah pihak itu sendiri.

Dalam zaman serba canggih dengan teknologi Internet di hujung jari, penyebaran segala dakwaan dibuat tidak terbatas kepada sesuatu kampung, daerah, negeri atau negara bahkan ke seluruh dunia.

Dakwaan yang dibuat apatah lagi jika tidak benar sudah tentu memberi kesan besar kepada orang yang didakwa seperti menjejaskan maruah dan menimbulkan pandangan negatif masyarakat serta boleh mempengaruhi persepsi masyarakat awam dalam sesuatu isu.

Pada masa sama, golongan yang berkepentingan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membuat dakwaan tanpa usul periksa, mengadakan-adakan dakwaan untuk menjatuhkan pihak kedua demi memenuhi pelbagai motif seperti mengembangkan fahaman mereka, menguasai minda masyarakat dengan acuan dan agenda mereka atau untuk menjaga kepentingan diri dan pihak-pihak tertentu. Mereka dengan mudah pula mencanangkan dakyah mereka itu ke seluruh lapisan masyarakat.

Sebagai orang Islam, kita tidak harus terikut-ikut menyokong dan menerima sebarang dakwaan apatah lagi yang datang daripada golongan berkepentingan dengan menambah tokok lagi dakwaan mereka sehingga menjadikan dakwaan golongan tersebut seolah-olah benar walaupun ia sebenarnya belum lagi jelas atau matang.

Orang Islam mempunyai asas panduan yang telah pun digariskan oleh agama apabila ingin mengatakan pandangan dalam sesuatu isu atau menerima berita yang berlaku dalam masyarakat.

Asas ini termaktub dalam satu firman Allah SWT yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujurat: 6).

Ayat ini memberi kesimpulan bahawa berita yang diterima dan sebarang ulasan atau dakwaan yang ingin kita lakukan hendaklah berdasarkan kepada kesahihan kebenaran berita berkenaan.

Jika kita memberi komen tanpa maklumat yang matang dan tepat tentang berita berkenaan maka sudah tentu ia boleh menjadi suatu dosa yang disesali kemudian. Apatah lagi berita yang diterima daripada orang fasik.

Jika kita melihat lebih lanjut, maksud fasik dari segi bahasa adalah menyimpang daripada sesuatu atau daripada matlamat tertentu iaitu tidak taat. Dari segi istilah, imam al-Qurtubi mentakrifkan fasik iaitu mereka yang tidak mentaati Allah SWT daripada kalangan orang Islam yang ahli maksiat dan orang kafir.

Al-Alusi pula mentakrifkan fasik itu termasuk orang berakal daripada kalangan orang kafir dan juga orang Islam tetapi ahli maksiat yang selalu melakukan dosa kecil dan besar. Ayat di bawah menerangkan lebih lanjut maksud fasik.

Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (al-Quran) dan tidak ada yang akan mengkufurkannya (mengingkarinya) melainkan orang-orang yang fasik. (Al-Baqarah:99)

Di samping itu agama Islam juga menggalakkan umatnya agar menyatakan perkara kebaikan atau diam tidak memberi ulasan dalam sebarang perkara atau dakwaan yang tidak ada kaitan dengan mereka.

Jika sesuatu perkara tidak diketahui latar belakangnya maka sudah tentu itu merupakan perkara yang kita sebagai umat Islam tidak diberi mandat untuk memberi komen apatah lagi menyokong dakwaan berkenaan.

Kesan sebarang kenyataan menyokong oleh orang Islam khasnya pemimpin masyarakat tanpa usul periksa dan maklumat tepat dalam dakwaan dan isu yang timbul sudah tentu memberi gambaran yang mengelirukan kepada masyarakat awam Islam.

Pada masa sama, tindakan ini sebaliknya lebih memberi keuntungan kepada pihak tertentu yang ingin melihat kelemahan umat Islam.

Oleh itu, dalam isu-isu masyarakat apatah lagi berkaitan dengan hidup beragama orang Islam, kita perlu menyelidik berita atau isu yang ditimbulkan sebelum mengambil sebarang pendirian dan tindakan agar tidak terjebak ke dalam perlakuan fitnah.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman islam Malaysia (IKIM)

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved