Sabtu, 13 Ogos 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Kenangan suami iringi Maimun

Posted:

Kenangan suami iringi Maimun

Kenangan suami iringi Maimun

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto HAYAT SUEET


Maimun menunjukkan lukisan arwah suami yang dihasilkan ketika sedang bertarung dengan penyakit kanser hati.


RIAK wajahnya ceria dan dia masih mampu bergurau mesra. Seakan hidupnya cukup sempurna dikelilingi bunga-bunga bahagia. Beberapa jam berbual dengan wanita ini membuatkan hati kecil bertanya dari mana kekuatan yang diperolehinya?

Namun, tatkala melihat pada kesan-kesan hitam di bahagian tangan dan kaki, pasti siapa jua boleh mengagak apa yang sedang dilaluinya kini.

"Memang rasa panas dan kering tangan serta kaki ni setiap kali menjalani rawatan kemoterapi," kata Maimun Maidin, yang disahkan menghidap kanser folikular limfoma, enam bulan lalu.

Bayangkan ketika itu dia baru seminggu meratap kehilangan suami tersayang akibat kanser hati, ketulan di paha kanannya pula disahkan doktor sebagai sel kanser yang sedang aktif. Bagaikan dua peluru hidup tepat mengenai diri, namun dia masih mampu tersenyum dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Menurutnya, tujuh orang doktor datang untuk menerangkan keadaan sebenar yang dialaminya ketika itu kerana mereka menyangka dia pasti akan bersedih.

"Saya menerimanya dengan reda dan positif. Saya tidak rasa sedih atau bertanya mengapa saya yang mengalaminya. Cuma air mata ini sukar ditahan bila mengenang suami yang ibarat teman sejiwa sudah tidak ada lagi di dunia," katanya sambil menahan sebak di dada.

Ada titis-titis jernih mengalir di sudut kelopak matanya usai dia berkata-kata. Namun dengan pantas, dia menyeka dan menarik nafas panjang.

Bagi Maimun, dia tidak mahu mengalah. Penderitaan suami sepanjang dua tahun melawan kanser menjadikan dia cukup mengerti dengan segala keperitan yang harus dilalui.

Sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Tapi dia terus tabah. Selepas enam kali menjalani rawatan kemoterapi, rambutnya mula gugur. Begitu juga dengan kening dan bulu mata.

"Dua tiga hari selepas kemoterapi, tekak mula terasa perit. Badan pula rasa tak sedap seperti wanita hamil. Dulu ketika mengandung keenam-enam anak, saya tak pernah rasa seperti ini. Kini baru saya tahu bagaimana keadaan wanita mabuk akibat hamil," katanya tersenyum.

Bagi wanita yang berasal dari Melaka ini, enam orang anak yang masih muda adalah kekuatan dan penawar suka duka. Katanya, masih banyak lagi perkara yang dia ingin lakukan.

"Empat orang anak masih belum berkahwin. Saya tak mahu mereka rasa sedih jika saya terus bersedih. Saya juga nak melihat mereka bahagia dan berjaya dalam bidang masing-masing," katanya.

Ketumbuhan

Bercerita mengenai penyakit yang dihidapinya, Maimun berkata, pada mulanya dia sedar ketumbuhan kecil pada bahagian paha.

"Dah lama saya sedar ketumbuhan ini. Bila pergi berjumpa doktor, mereka kata tak perlu risau kerana ini bisul sahaja," katanya.

Namun lama-kelamaan, ketumbuhan itu membesar. Lalu dia mendapatkan pandangan pakar dan pelbagai ujian dilakukan kepadanya.

Sehinggalah pada pagi sebelum kematian suami pada pertengahan Februari lalu dia akhirnya menjalani ujian imbasan magnetik resonans (MRI). Dan seminggu selepas itu baru disahkan sebagai kanser folikular limfoma tahap satu gred dua.

Bagaimanapun kata Maimun, dia sedikit pun tidak rasa takut atau bersedih. Kerana baginya, setiap yang berlaku itu ada adalah takdir dan pasti ada hikmah tersendiri.

"Boleh dikatakan semua orang ada penyakit masing-masing. Mungkin saya diuji dengan kanser, tetapi orang lain ada penyakit yang lain pula. Penyakit jantung, sakit mental, masalah rumah tangga juga satu penyakit. Rasanya itu lebih berat lagi," katanya.

Jelas Maimun, apa pun yang berlaku, dia perlu menghadapinya dengan tabah dan positif. Dalam pada itu, dia juga berikhtiar seboleh mungkin bagi mengubatinya tanpa menyerah sahaja kepada takdir semata-mata.

Kenangan

Tempoh 36 tahun melayar bahtera rumah tangga, kenangan bersama arwah suami, Raja Azaham Raja Adanan menjadi hadiah berharga yang akan dikenang sehingga ke hujung nyawa.

"Bagi saya, selain anak-anak, kenangan bersama arwah adalah kekuatan untuk terus berjuang. Masih terbayang lagi pelbagai perkara yang kami lakukan bersama," katanya sambil membelek beberapa lukisan yang dihasilkan arwah.

Kata Maimun, mereka berdua berkongsi minat yang sama dalam bidang muzik dan lukisan. Minat itu dipupuk sejak mereka berdua menuntut di Institut Teknologi Mara, Shah Alam sekitar tahun 1970-an lagi.

Menurut wanita berusia 60 tahun ini, rakan-rakan mengibaratkan dia dan suami merpati dua sejoli. Ke mana pergi pasti berdua dan ada sahaja perkara menarik yang dilakukan bersama. Adat berumah tangga ada pasang surutnya, namun mereka tidak pernah menyimpan marah terlalu lama.

"Selepas ini saya berhasrat menyambung kembali minat dalam bidang lukisan. Dah lama saya berhenti melukis kerana memberi tumpuan membesarkan anak-anak dan menjaga suami yang sakit sejak tahun 2008. InsyaAllah, kalau tidak ada halangan, saya juga teringin mengadakan pameran lukisan karya-karya arwah," katanya sambil tersenyum penuh makna.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Berfikir secara positif

Posted:

Berfikir secara positif

Berfikir secara positif

Soalan:
Saya mempunyai seorang kawan yang sering melakukan onani. Puas saya menasihatinya namun, di mengatakan bahawa dia telah ketagih dan hampir setiap hari melakukannya.

Saya ingin bertanya apakah punca perlakuan tersebut? Apakah kesan negatif bagi mereka yang bujang dan sering melakukan onani? Dia juga sering merungut bahawa payu dara telah jatuh (kendur) seperti wanita yang telah berkahwin. Adakah ini kesan daripada onani? Apakah cara yang terbaik untuk saya menasihatinya? Mohon penjelasan.

n Ira, Kuala Lumpur.

Jawapan: Terima kasih kerana mengutarakan soalan yang amat menarik sekali. Perbuatan onani dalam kalangan wanita jarang diperbincangkan. Mungkin kerana ia merupakan suatu 'tabu', walaupun mungkin perbuatan ini makin kerap dipraktiskan terutama oleh golongan remaja masa kini. Perbuatan onani kebiasaannya berpunca daripada perasaan ingin mencuba untuk mencari sesuatu yang baru. Punca lain juga mungkin disebabkan seseorang yang gemar berkhayal kotor, menonton filem porno, merokok, mengamalkan pengambilan pil ekstasi dan alkohol. Jadi secara umumnya, mereka tidak dapat meninggalkan perbuatan onani dan seringkali melakukannya apabila ada masa terluang.

Amalan onani yang telah diamalkan sejak sekian lama boleh memberikan kesan kepada hubungan seks yang normal. Lebih teruk lagi sekiranya onani yang dilakukan menggunakan cara yang ekstrem. Onani sememangnya berbeza dengan hubungan seks yang normal kerana anda tidak perlu untuk memberikan pertimbangan kepada pasangan anda, malah anda melakukannya hanya untuk kepuasan diri sendiri semata-mata. Hubungan seks yang normal memerlukan anda lebih bertimbang rasa serta mementingkan keselesaan di samping menghormati keinginan pasanga. Sekiranya anda tidak dapat memenuhi harapan pasangan, tentunya ia boleh menjejaskan kualiti hubungan seksual tersebut. Onani yang dilakukan secara ekstrem akan memberikan tekanan berlebihan kepada alat kelamin yang boleh memberi kecederaan kepada saraf. Kajian ada menunjukkan bahawa mereka yang beronani menjejaskan kenikmatan hubungan seksual setelah berkahwin kelak.

Kekenduran payu dara secara semula jadinya boleh berlaku pada bila-bila masa dan bukanlah disebabkan oleh perbuatan onani. Tahap kekenduran berbeza-beza bagi setiap orang. Ini bermakna ia juga boleh berlaku kepada wanita yang tidak pernah hamil atau yang tidak pernah menyusukan anaknya. Kekenduran berlaku dengan lebih ketara semasa wanita mengalami menopaus (putus haid) kerana kekurangan aras hormon estrogen. Oleh itu kekenduran boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dan proses itu berterusan dan ia boleh berlaku tanpa disedari.

Anda mempunyai tanggung jawab yang amat besar untuk membawa kawan anda kembali ke pangkal jalan. Ia bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan. Yakinkan diri sendiri dan juga rakan anda. Banyakkan berdoa dan bersolat hajat, moga niat anda dipermudahkan dan kawan anda dapat meninggalkan perbuatan onani tersebut. Untuk itu nasihatkan kawan anda untuk memulakan dengan berfikir secara positif dan menyedari bahawa rakan anda mempunyai potensi untuk menggunakan akal fikiran sehingga mampu bersikap rasional untuk melakukan pertimbangan serta memilih yang terbaik untuk diri sendiri. Terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan untuk melegakan keinginan seksual contohnya memfokuskan tumpuan terhadap hobi, bersenam, menulis dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga beberapa teknik berguna yang boleh dijadikan panduan. Sewaktu diri mula merasa terangsang dan mengalami ketegangan seksual, duduk dengan tenang dan ambil nafas sedalam-dalamnya dengan penuh kesedaran. Alihkan perhatian dan fokus kepada hal lain sekiranya ketegangan seksual itu berpunca daripada imaginasi atau fantasi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved