Ahad, 10 Julai 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Pas terus setia jadi 'pak turut'

Posted:

Pas terus setia jadi 'pak turut'

Pas terus setia jadi 'pak turut'

Oleh ZULKIFLEE BAKAR


Sebahagian penyokong perhimpunan Bersih yang berkumpul di stesen keretapi Kuala Lumpur, kelmarin.


DENGAN fikiran yang tenang, ingatkan kembali wajah-wajah penunjuk perasaan yang menimbulkan huru-hara dalam perhimpunan haram di Kuala Lumpur, kelmarin. Lihatlah dengan teliti satu persatu, siapakah kumpulan majoriti dalam demonstrasi itu? Apakah keturunan dan agama mereka? Apa pakaian yang mereka pakai? Serta siapa yang mereka sokong?

Kita akan mendapat satu sahaja jawapan iaitu majoritinya ialah orang Melayu, beragama Islam dan penyokong Pas. Ada antara mereka yang kononnya atas nama perjuangan sudah berhari-hari di ibu negara dan ada pula baru tiba semata-mata untuk menyertai demonstrasi berkenaan.

Mereka sanggup datang daripada jauh dan dekat, merempat di masjid dan surau, stesen bas dan kereta api, menumpang rumah saudara dan taulan hanya dengan satu matlamat iaitu menyertai perhimpunan haram!

Akibat ketaksuban yang menguasai pemikiran dan mata hati, mereka tidak sedar bahawa perjalanan jauh mereka ke ibu negara adalah semata-mata untuk menjayakan satu perhimpunan haram yang dianjurkan oleh Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga.

Ambiga bukanlah ahli politik dan malahan beliau tidak pernah menyertai mana-mana pilihan raya sebagai calon, sebaliknya Ambiga lebih dikenali sebagai salah seorang penyokong Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang suatu ketika berusaha menggugat kesucian agama Islam.

Malahan penyokong Pas yang bersedia menjadi 'pak sanggup' itu juga tidak memikirkan bagaimana biadabnya Ambiga menunjukkan kedegilannya kepada pihak berkuasa yang melarang perhimpunan haram tersebut diadakan. Tetapi pemimpin dan sebahagian ahli Pas yang sudah diresapi semangat politik kebencian seperti biasa mudah lupa dan begitu senang memaafkan, biarpun individu berkenaan pernah menggugat agama mereka.

Apa yang mengecewakan sehari sebelum itu, khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah mengingatkan mengenai siapa penganjur perhimpunan haram berkenaan.

Malahan Jakim secara tegas menyatakan, '' Mimbar ingin menyatakan bahawa mereka ini sebenarnya pernah menimbulkan kemarahan umat Islam. Mempertikaikan hak-hak orang Islam serta memperalatkan sebahagian daripada pemimpin yang beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk mendapatkan kuasa.''

Kita bersimpati dengan penyokong-penyokong Pas berkenaan yang sanggup berkorban datang ke Kuala Lumpur semata-mata menyahut seruan Ambiga yang disampaikan melalui pemimpin-pemimpin mereka. Dalam demonstrasi haram tersebut, penyokong Pas basah kuyup bukan sahaja disirami hujan malah ada yang pedih mata akibat terkena gas pemedih mata dan semburan air kuning oleh pihak polis.

Dalam soal ini, jangan sesekali menyalahkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Ketika berkumpul pula Pas yang ada pemimpinnya begitu mudah mengatakan mereka lebih hebat dalam perjuangan Islam tidak pula mempedulikan mahram dan bukan mahram.

Semuanya bercampur gaul bersama-sama sama ada yang berserban atau berkopiah, bertudung atau berpurdah, semuanya sudah dianggap 'halal' kononnya atas nama menegakkan kebenaran dan meranapkan kebatilan. Tingkah laku mereka juga amat menyedihkan sebagai seorang penyokong kepada sebuah parti yang selama ini merasakan mereka lebih Islam daripada UMNO.

Lebih mengecewakan ialah sebahagian mereka adalah penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang sanggup mengingkari arahan kerajaan supaya jangan terlibat dalam perhimpunan tersebut semata-mata menjadi alat kepada pemimpin-pemimpin Pas.

Sebab itulah pemimpin-pemimpin Pas perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku ke atas penyokong-penyokong mereka termasuklah jika ada di kalangan mereka dibuang dari IPT.

Ia kerana sudah berminggu-minggu amaran telah diberikan oleh pihak berkuasa bahawa perhimpunan di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu melanggar undang-undang negara.

Tetapi sebahagian besar penyokong Pas yang hadir tidak diberi gambaran sebenar kesan buruk akibat penyertaan mereka, sebaliknya pemimpin Pas meracunkan pemikiran ahli-ahli parti itu dengan menyatakan inilah adalah satu perjuangan bagi menuntut keadilan dan meruntuhkan kezaliman kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Maka tersenyumlah Ambiga, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana mempunyai rakan sekutu seperti Pas yang cukup akur mematuhi arahan agar mengerahkan ahli-ahlinya menghadiri perhimpunan haram berkenaan.

Penyokong-penyokong Pas yang hadir juga seolah-olah tertipu apabila tidak ramai penyokong PKR apatah lagi DAP yang datang untuk berhadapan dengan pihak berkuasa.

Kesudahannya penyokong Pas yang menjadi sasaran dikejar dan ditangkap oleh pihak polis sedangkan penyokong kedua-dua parti itu hanya menonton di televisyen atau membaca di dada-dada akhbar bagaimana 'lawaknya' gelagat kawan mereka dalam Pas yang menyertai demonstrasi berkenaan.

Namun begitu tidak semua ahli Pas yang sejahil kelompok yang datang ke Kuala Lumpur, semalam, masih ada lagi sebahagian pemimpin dan ahli Pas yang mampu berfikir secara waras.

Mereka tidak menyahut seruan turun ke Kuala Lumpur biar pun Presiden Pas sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyertainya. Ia kerana mereka amat memahami kesan buruk akibat perhimpunan haram tersebut.

Beberapa pemimpin muda Pas yang dihubungi oleh penulis beberapa hari sebelum perhimpunan berkenaan memberitahu bahawa mereka tidak rela menjadi 'pak turut' bagi memenuhi agenda Ambiga, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Tambahan pula mereka sendiri merasakan ketiga-tiga pihak berkenaan mempunyai agenda tersirat di sebalik perhimpunan haram tersebut.

Malahan ketangkasan pihak polis membongkar pelbagai elemen yang cuba menyerap masuk semasa demonstrasi berlangsung juga turut membimbangkan pemimpin-pemimpin muda itu.

Ia kerana mereka merasakan perhimpunan haram tersebut bukan sekadar menuntut sebuah pilihan raya bebas, adil dan telus tetapi lebih daripada itu menjurus ke arah menghuru-harakan negara dan menjatuhkan kerajaan secara tidak sah. Tetapi semua ini tidak ada dalam pemikiran pemimpin-pemimpin Pas terutamanya di kalangan mereka yang menjadi penyokong kuat kepada Anwar.

Sikap mereka yang terlalu taksub berpegang kepada kerjasama dengan pakatan pembangkang membolehkan Anwar memanipulasikan kekuatan Pas untuk kepentingan politiknya.

Anwar tidak boleh bergantung kepada PKR yang semakin merudum sokongannya di kalangan rakyat. Malahan PKR tidak sehebat Pas dalam penyusunan organisasinya.

Tambahan pula Anwar tahu ahli-ahli Pas sentiasa patuh dan taat kepada arahan pemimpin-pemimpin mereka, oleh itu Anwar memanipulasikan semua itu bagi membolehkan Pas menjadi penggerak utama dalam demonstrasi yang dilancarkan.

Berdasarkan kehadiran pada perhimpunan haram, kelmarin ramai yang yakin bahawa ia tidak akan seramai mana jika penyokong-penyokong Pas tidak turun ke jalanan.

Bersih tidak ada kekuatan, begitu juga PKR manakala DAP pula tidak akan memperbodohkan diri dengan menyuruh masyarakat Cina meninggalkan masa berfaedah mereka dengan menyertai demonstrasi tersebut.

Ini berbeza dengan Pas yang pemimpin-pemimpinnya begitu ghairah untuk menunjukkan semangat setiakawan sehingga mengerahkan ahli-ahlinya menyahut seruan Ambiga, Anwar dan DAP.

'Lebih hebat' lagi ada pula di kalangan penyokong Pas yang sanggup menjadi 'penaja utama' dengan memberi elaun khas kepada penyokong parti itu yang menyertai perhimpunan haram tersebut.

Demikianlah nasib Pas, dari semasa ke semasa, parti itu terus menjadi 'pak turut' yang boleh diarah membuat itu dan ini untuk kepentingan orang lain.

Semua itu terjadi kerana Pas kini bukan lagi pejuang negara Islam, Pas tidak lagi berdiri atas prinsip menegakkan syariat Allah atau sebuah parti yang berdiri di atas kaki sendiri tetapi Pas kini adalah sebuah parti yang dahagakan kedudukan dan memburu kekuasaan sama seperti PKR dan DAP sehingga terus rela menjadi 'pak turut'!

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Memperluas peranan profesor

Posted:

Memperluas peranan profesor

Memperluas peranan profesor

Oleh NIZAM YATIM
rencana@utusan.com.my


Sebahagian profesor yang menghadiri Majlis Penutupan Kongres Profesor Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra, (PWTC), Kuala Lumpur, Jumaat lalu.


PADA Jumaat lalu telah berakhir Kongres Profesor Negara (KPN) yang julung kali dianjurkan oleh Majlis Profesor Negara (MPN). Kongres di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur itu dihadiri kira-kira 1,000 profesor.

Kongres selama tiga hari itu bertujuan mengenal pasti punca masalah dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu terkini yang menimpa rakyat serta membantu kerajaan untuk mentransformasikan negara.

Kehadiran ramai cerdik pandai adalah kerana menyedari bahawa sumbangan mereka kini tidak hanya terhad di tempat kerja sahaja sebaliknya perlu diperluaskan untuk menjadi pemikir kepada negara.

Mengulas perubahan itu, Pengerusi MPN, Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada hari pertama kongres berkata, profesor seharusnya bertindak sebagai pemikir negara atau tonik intelektual.

"Mereka juga wajar menjadi pencetus idea dan penyelesai masalah yang relevan kepada masyarakat. Inilah peranan yang saya lihat masih asing di Malaysia berbanding negara-negara maju," ujarnya.

Menurut Zakri, sejak negara merdeka hanya ada dua profesor yang telah bertindak sebagai pemikir negara iaitu Allahyarham Prof. Syed Hussin Alatas yang telah menulis buku bertajuk The Myth Of Lazy Native pada 1977 dan Prof. Diraja Ungku Aziz yang banyak membangkitkan kesedaran mengenai kemiskinan luar bandar dan mencetus idea penubuhan Lembaga Tabung Haji.

Ujarnya, jika dua profesor itu mampu membawa perubahan yang besar kepada negara, sudah tentu lebih banyak idea boleh disumbangkan oleh 1,700 profesor di seluruh negara.

Dalam pada itu, Zakri mengakui terdapat beberapa profesor lain yang cuba mencontohi jejak langkah dua tokoh ini, antaranya Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (Seadpri), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo.

"Malangnya, segala pandangan yang dikemukakan Ibrahim dipandang sepi oleh pihak berkuasa, sebab itu masih berlaku kejadian runtuh termasuk yang meragut 16 nyawa di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Al-Hidayah At-Taqwa, Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini," katanya.

Bagaimanapun, tegas Zakri, beliau yakin pengalaman 'pahit' yang dialami Ibrahim tidak akan berterusan berikutan pentadbiran negara yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lebih bersikap terbuka dan mengambil berat idea-idea yang disarankan oleh para profesor.

Langkah itu terbukti apabila kerajaan menubuhkan MPN sebagai badan pemikir bebas dan berkecuali pada 1 April 2010.

Najib ketika berucap merasmikan kongres berkenaan pada Khamis lalu sekali lagi menegaskan penubuhan MPN adalah bukti komitmen kerajaan untuk melibatkan golongan profesor dalam konteks pembangunan negara secara lebih serius dan beliau berharap mereka dapat membantu kerajaan untuk mentransformasi negara dan mengubah minda rakyat.

Keterbukaan kerajaan untuk mendapatkan pandangan golongan profesor turut terserlah apabila Zakri yang merupakan seorang saintis dalam bidang genetik telah dilantik sebagai Penasihat Sains Kepada Kerajaan Malaysia sejak 1 Mac tahun lalu manakala Timbalan Pengerusi MPN, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin telah dilantik sebagai Pengerusi Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok.

Walaupun baru kira-kira setahun ditubuhkan, MPN telah bergerak aktif dengan para profesor telah menghadiri perjumpaan berkala mengikut kluster atau kelompok disiplin kepakaran masing-masing.

Terdapat 14 kluster yang telah diwujudkan iaitu Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan; Ekonomi dan Kewangan; Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa; Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya; Sains dan Matematik; Kejuruteraan dan Teknologi serta Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Ia juga melibatkan kluster Perubatan dan Sains Kesihatan; Industri dan Inovasi; Pertanian dan Keselamatan Makanan; Farmasi dan Sains Gunaan; Teknologi Maklumat dan Komunikasi; Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan serta Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam.

Antara isu-isu yang sedang diteliti oleh kluster terbabit adalah projek pusat pemprosesan nadir bumi oleh Lynas Malaysia Sdn. Bhd. di Gebeng, Pahang serta kebaikan dan keburukan teknologi nuklear berikutan kebimbangan orang ramai terhadap tragedi kebocoran reaktor nuklear Fukushima Daiichi di Jepun.

Isu-isu lain yang mendapat perhatian adalah peningkatan aktiviti pengedaran dadah, kebanjiran pendatang asing, penularan penyakit, pemerdagangan manusia, keselamatan ekonomi (akibat dasar liberalisasi), masalah pembuangan bayi dan kemiskinan.

Walaupun sedikit sebanyak telah berjaya menjalankan tugas yang diamanahkan termasuk menyerahkan 14 resolusi yang dirumus ketika kongres kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; para profesor tidak harus berhenti daripada terus menyumbangkan idea untuk kebaikan negara.

Perkara itu ditegaskan sendiri oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menyampaikan syarahan perdana bertajuk Mentransformasi Negara Melangkaui 2020 pada kongres berkenaan.

Menurut negarawan itu, banyak lagi permasalahan besar yang harus ditangani oleh golongan profesor, antaranya bagaimana untuk merombak sistem pendidikan di peringkat sekolah dan universiti bagi memastikan nilai Islam dan moral yang tinggi menjadi sandaran ketika Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020.

Dr. Mahathir turut mencadangkan supaya para profesor merangka sistem ekonomi alternatif yang berasaskan kepada pengeluaran barangan atau perkhidmatan sebenar dan bukan sistem ekonomi yang berdasarkan kepada spekulasi mata wang sahaja.

Beliau juga menggesa para intelektual supaya mencetuskan idea-idea baru bagi menangani perasaan perkauman yang semakin menular yang berpunca daripada perbincangan tanpa tapisan dalam media bentuk baru. Ia juga berpunca daripada keengganan kaum tertentu untuk berasimilasi dengan masyarakat di negara ini.

Kesungguhan yang ditunjukkan para peserta sepanjang kongres itu sudah tentu melegakan kita kerana nampaknya transformasi yang sedang dilakukan kerajaan mendapat input terbaik daripada golongan cerdik pandai.

Tanggapan bahawa profesor hanya pandai berteori di menara-menara gading ternyata tidak benar lagi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved