Ahad, 10 Julai 2011

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Kibaran 10,000 Jalur Gemilang

Posted:

Kibaran 10,000 Jalur Gemilang

Kibaran 10,000 Jalur Gemilang


ENAM daripada lapan pendaki meraikan kejayaan di puncak gunung Kala Patthar. Dua pendaki lain sedang dalam perjalanan ke puncak.


Ekspedisi pada 2 hingga 21 Mei lalu itu dianjurkan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Cawangan Shah Alam (GPMS). Ia diadakan bagi menunjukkan sokongan GPMS Shah Alam kepada Himpunan Sejuta Belia yang diadakan sempena Hari Belia Negara pada 27 hingga 29 Mei lalu di Putrajaya.

Pasukan yang diketuai oleh penulis selaku Pengarah Program merangkap Ketua Ekspedisi ini disertai oleh Fakrul Munir, Hasan Adnan, Zul Arsi, Firdaus Abdullah Goh, Yusrizam Adnan, Nadhirah Othman dan Rosyen Warida. Berikut catatan pendakian kami.

Kami tiba di Kathmandu dengan menaiki pesawat Royal Nepal Airlines dan sebaik sahaja tiba di ibu negara Nepal itu, kami terus menuju ke hotel Tashi Dhele bagi melepaskan lelah dan membuat persiapan terakhir dari segi peralatan, pakaian dan persediaan mental.

Sebelum memulakan pendakian, kami telah berkunjung ke Pejabat Kedutaan Malaysia di Nepal untuk menerima suntikan kata-kata semangat dan amanat daripada Datuk Elanggovan yang merupakan Duta Besar Malaysia di sana. Layanan dan amanat beliau menjadi perangsang buat kami dan secara tidak langsung menambah obor pembakar semangat dan azam kami untuk membuat pendakian nanti.

Pendakian bermula pada 5 Mei 2011. Seawal pukul 4 pagi, kami meninggalkan hotel untuk menaiki penerbangan tempatan ke Lukla. Sepanjang pendakian, kami dihidangkan dengan panorama yang begitu mengasyikkan.

Mata kami terpaku melihat betapa indahnya gunung-ganang yang diliputi salji yang disimbahi pula cahaya emas matahari. Pohon-pohon yang menghijau dan sungai yang mengalir deras berwarna biru kehijauan menambahkan lagi keajaiban ciptaan Tuhan.

Untuk meringankan beban yang digalas, kami menggunakan tujuh orang pengangkut barang (porter), selain seorang penunjuk arah (guide). Sepanjang mendaki, kami tidak dapat lari daripada cabaran dan rintangan, antaranya terpaksa menempuh perjalanan yang panjang sehingga memakan masa lapan hingga 10 jam setiap hari.

Kami juga berhadapan dengan cuaca sejuk yang ekstrem di bawah paras beku dan juga altitud yang tinggi. Keadaan itu boleh mendatangkan risiko diserang penyakit Acute Mountain Sickness (AMS) dan buta salji (snow blind).

Selain itu, kami turut berhadapan bahaya menempuh laluan di tebing-tebing yang curam, selain ada antara kami mengalami sakit perut, cirit-birit, sakit kepala dan hilang selera makan. Namun, berbekalkan semangat 'Never Left Your Men Behind' dan slogan Malaysia Boleh, segalanya dapat dilalui bersama dengan tabah dan semangat setiakawan yang tertinggi.

Semasa merentang 10,000 Jalur Gemilang di lereng gunung Kala Patthar, kami tidak putus-putus menerima sokongan serta kata-kata semangat daripada pendaki lain dari seluruh dunia.

Mereka kagum dengan misi yang kami bawa. Cuaca sejuk melampau dan salji yang turun langsung tidak diendahkan demi merealisasikan misi dan membuktikan anak Malaysia adalah anak yang gigih dan kental.

Kami mengambil masa tiga jam dari pukul 2 petang untuk merentang kesemua Jalur Gemilang. Kami menyanyikan lagu Negaraku sambil mengalirkan air mata gembira. Sesuatu yang mustahil kini menjadi kenyataan.

Dalam cuaca sejuk melampau, kami pulang ke tempat menginap di Gorakshep. Kami perlu berehat untuk mengumpul kembali tenaga yang hilang kerana keesokan harinya (13 Mei), kami akan meneruskan perjuangan menuju ke puncak gunung Kala Patthar (18,192 kaki/5,643 meter) pada pukul 7 pagi. Sekali lagi, kami diuji dengan tiupan angin sejuk yang kuat dan tidak henti.

Keadaan ini membuatkan ada antara kami mengalami sakit kepala dan kesukaran bernafas. Dalam kepayahan itu, kami tiba juga di puncak gunung sekitar pukul 12.30 tengah hari. Pengalaman melihat puncak tertinggi dunia, gunung Everest dalam pendakian ini sukar digambarkan dengan perkataan.

Keesokan hari iaitu tanggal 14 Mei dan tepat pukul 10.00 pagi, sekali lagi menjadi detik bersejarah dalam hidup kami apabila berjaya menjejakkan kaki ke Everest Base Camp.

Perjalanan turun yang jauh tidak terasa memeritkan. Masing-masing tersenyum puas kerana berjaya menyempurnakan misi. Perasaan kami bercampur baur antara gembira dan sedih kerana terpaksa meninggalkan Banjaran Himalaya yang telah mengumpul 1001 cerita dan kenangan berharga buat kami. Di dalam hati, kami memasang niat untuk kembali lagi di banjaran hebat ini.

Setibanya di Malaysia, kami mendapat berita gembira iaitu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan menjadi saksi untuk pengesahan MBR pada majlis yang diadakan di pejabat beliau, 27 Mei lalu. Kepuasan terpancar pada wajah setiap pendaki apabila mendapat tepukan dan pujian serta ucapan tahniah daripada menteri. Kami hadiahkan kejayaan merentang 10,000 Jalur Gemilang ini kepada seluruh rakyat Malaysia. Terima kasih juga kami ucapkan kepada semua penaja dan seluruh warga GPMS Shah Alam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved