Sabtu, 2 Julai 2011

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Pendaki Malaysia lakar sejarah

Posted:

Pendaki Malaysia lakar sejarah

Pendaki Malaysia lakar sejarah


AHMAD Fakhri Abu Samah (kiri) dan Ahmad Reduan Rozali berdiri di puncak Gunung McKinley di Alaska pada 24 Jun 2011.


MELAYARI enjin pencarian Google dengan menaip perkataan seven summits, kita akan menemui pelbagai maklumat berkaitan pendakian di tujuh puncak tertinggi di tujuh benua di planet Bumi ini (tujuh puncak).

Antaranya, EverestNews.com menyenaraikan nama-nama pendaki yang berjaya menawan tujuh puncak dan menariknya, ia mengasingkan nama-nama pendaki yang berjaya melakukan kesemua pendakian itu dalam dua kumpulan berbeza.

Kumpulan pertama memilih gunung Kosciuszko, puncak tertinggi di benua Australia dan kumpulan kedua memilih gunung Carstensz Pyramid, puncak tertinggi di kawasan Oceania kerana menganggap Australia bukanlah sebuah benua, sebaliknya ia terletak dalam kawasan Oceania.

Berikutan itu, catatan EverestNews.Com menunjukkan sebanyak 87 pendaki dari seluruh dunia berjaya mendaki tujuh puncak dengan memilih gunung Carstensz Pyramid sehingga tahun 2005, manakala sejumlah 115 pendaki menawan tujuh puncak dengan memilih gunung Kosciuszko sehingga tahun 2006.

Sehingga tarikh 24 Jun 2011, tidak ada nama rakyat Malaysia yang berjaya menamatkan ekspedisi penuh getir itu. Hanya pada tarikh itu, dua pendaki Malaysia, Ahmad Fakhri Abu Samah, 30, dan Ahmad Reduan Rozali, 29, muncul sebagai rakyat Malaysia pertama berjaya menamatkan siri pendakian ke tujuh puncak sebaik sahaja menjejak kaki ke puncak gunung McKinley di Alaska, Amerika Syarikat (AS) pada tarikh tersebut.

Gunung McKinley yang berketinggian 6,194 meter atau 20,320 kaki dari paras laut itu merupakan gunung terakhir dalam siri menawan tujuh puncak. Kedua-dua pendaki bersemangat kental itu telah memulakan Projek 7 Pendakian 7 Puncak Tertinggi di 7 Benua Dunia pada tahun 2005.

Gunung pertama dalam projek tersebut yang didaki mereka adalah Kosciuszko (tertinggi di benua Australia); 2006 Kilimanjaro (tertinggi di benua Afrika); 2007 Everest (tertinggi di benua Asia & dunia); 2010 Elbrus (tertinggi di benua Eropah); Vinson Massif (tertinggi di benua Antartika) dan Aconcagua (tertinggi di benua Amerika Selatan) pada Mac 2011 dan akhir sekali gunung McKinley (tertinggi di benua Amerika Utara) pada 24 Jun 2011.

Berita kejayaan mereka diterima oleh Datuk Khalid Yunus merangkap Presiden Persatuan Kembara Negara (PKN) melalui panggilan telefon Ahmad Fakhri dari puncak gunung McKinley kira-kira pukul 11.30 pagi waktu Malaysia pada 24 Jun lalu.

Khalid berkata, kedua-dua pendaki tersebut adalah ahli PKN dan beliau berbangga dengan apa yang dicapai mereka menerusi Projek 7 Pendakian 7 Puncak Tertinggi di 7 Benua Dunia. Lebih mengujakan, katanya, kedua-duanya turut muncul sebagai pendaki pertama di Asia yang berjaya melakukan pendakian ke tujuh puncak secara berdua bermula siri pertama hingga siri akhir pendakian.

"Tiada rekod dicatatkan mengenai pendakian ke tujuh puncak dunia dilakukan secara berdua dari mula ekspedisi sehingga akhir. Rekod yang ada hanyalah rekod pendakian solo," katanya kepada S3.

Beliau berharap kejayaan kedua-dua pendaki ini akan mencetuskan inspirasi kepada pendaki-pendaki gunung dari Malaysia untuk berbuat demikian pada masa depan.

Salah seorang pendaki yang dihubungi melalui telefon satelit, Ahmad Reduan berkata, mereka amat berterima kasih kepada penunjuk arah dari Argentina, Andres Giroti dan Ameliano Poletti kerana membantu mereka melakar kejayaan manis tersebut. Menurutnya, pendakian dari Kem 5 sehingga ke puncak dan kemudian berpatah balik ke tapak perkhemahan mengambil masa 13 jam.

"Ia satu pendakian yang memeritkan memandangkan kami terpaksa meredah suhu sejuk yang mencecah -20 celsius dengan tiupan angin 50 kilometer sejam," katanya.

Sementara itu, Ahmad Fakhri berkata, walaupun bapanya baru meninggal dunia, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan bagi menamatkan siri pendakian ini.

"Syukur kami selamat dan kejayaan ini adalah hadiah untuk arwah yang meninggal pada bulan lalu," katanya.

Gunung McKinley merupakan gunung yang terakhir dalam siri menawan tujuh puncak tertinggi di setiap benua di dunia.

Ahmad Fakhri dan Ahmad Reduan dijangka pulang ke tanah air pada 4 Julai ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved