Sabtu, 2 Julai 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Nota Da Vinci dijual RM92.4 juta

Posted:

Nota Da Vinci dijual RM92.4 juta

Nota Da Vinci dijual RM92.4 juta

Oleh Hafizahril Hamid


Codex Leicester.


BILA kita membicarakan mengenai acara lelongan, terbayang berbagai perkara di benak fikiran. Ada yang terbayang rumah atau kereta yang ditarik dari pemiliknya angkara gagal membayar hutang maka terpaksalah ia dilelong.

Ada yang membayangkan acara lelongan yang dijalankan oleh syarikat pelelong ternama seperti Christie, Sotheby's, Bonhams, Lyon & Turnbull sekadar menyebut beberapa nama. Apabila melibatkan syarikat sebegini acara lelongan anjuran mereka selalunya melibatkan barangan mewah dan antik yang pastinya bernilai jutaan ringgit.

Kini dalam era teknologi maklumat urusan lelongan sudah menjadi semakin mudah, hanya masukkan gambar item yang mahu di jual ke dalam syarikat lelongan Internet, contoh mudahnya eBay atau mudah.com.

Bernilai

Itemnya pula dari sekecil-kecil barang yang murah harganya hinggalah kapal persiaran mewah bernilai ratusan juta dolar. Sebagai perbandingan, tiada perbezaan yang ketara antara lelongan dengan urus niaga lain.

Cuma ia melibatkan syarikat tertentu yang menjadi orang tengah dan melibatkan sekelompok manusia yang akan membida pada harga tertinggi. Namun ia menjadi lebih menarik bilamana melibatkan barangan mewah, antik dan jarang ditemui.

Walau apa pun kisahnya lelongan sebegini adalah antara sebahagian daripada aktiviti ekonomi yang mampu menjana keuntungan lumayan jika kena pada tempat dan barangannya. Melihat kembali kepada sejarah panjang acara lelongan, berdasarkan rekod ia dikatakan telah wujud sekitar 500 tahun Sebelum Masihi.

Jodoh

Berdasarkan catatan Herodotus, kerajaan Babylon lampau pernah menjalankan acara lelongan wanita untuk dijadikan jodoh. Ketika itu dikhabarkan lelongan seperti itu bukan satu kesalahan malah terdapat ibu bapa yang sanggup datang dari jauh untuk 'menjual' anak mereka. Malah adalah dianggap satu kesalahan bagi sesiapa yang menjual anak mereka tanpa melalui proses lelongan.

Dalam catatan lain berdasarkan sejarah empayar Rom, mereka yang ditawan dalam peperangan pula akan menerima nasib malang kerana akan dijual dalam satu lelongan untuk dijadikan hamba abdi. Lebih menarik lagi ketika zaman Rom juga sudah ada kaedah merampas rumah mahupun harta benda jika seseorang tidak mampu membayar hutang.

Malah salah seorang maharaja Rom, Marcus Aurelius pernah menjual perabot dan barangan mewahnya untuk membayar hutang sebelum beliau dipilih menjadi maharaja.

Lebih mengejutkan, kerajaan Rom pernah dilelong kepada pembida tertinggi pada tahun 193 Selepas Masihi. Ini berikutan tindakan askar elit Rom ketika itu yang digelar Pegawai Praetorian telah membunuh maharaja Pertinax berikutan rancangan beliau mahu mendisiplinkan mereka.

Pancung

Akibatnya salah seorang golongan bangsawan, Didius Julianus berjaya membida harga tertinggi dianggarkan 6,250 drachmas untuk setiap seorang Pegawai Praetorian. Beliau hanya berjaya memerintah selama tiga bulan sebelum digulingkan dan kemudian dihukum pancung. Kejadian ini telah mengakibatkan perang saudara yang berlanjutan selama empat tahun. Berdasarkan kisah lampau adalah tidak menghairankan kenapa acara lelongan sebegini begitu mendapat sambutan sehingga kini.

Namun yang pasti golongan kaya akan terus mendapat faedah dari lelongan barangan mewah dan antik kerana hanya mereka yang mampu membelinya dan kemudian disimpan sehinggalah harganya naik berlipat kali ganda.

Jika sebuah kerajaan pun boleh dilelong apatah lagi barangan-barangan lain yang mungkin bernilai berkali ganda dari harga asal. Seterusnya dinyatakan beberapa barangan yang dilihat pelik, mahal dan mungkin juga mempunyai nostalgianya yang tersendiri.

1. Codex Leicester

Buku ini berkisar kepada kajian saintifik yang pernah dilakukan Leornado da Vinci. Walaupun beliau banyak menulis nota kajian dalam pelbagai buku namun buku ini paling berharga berdasarkan teori dan pemerhatian beliau mengenai astronomi, jenis batu, fosil dan kajian mengenai cahaya di cakerawala. Buku setebal 72 muka surat ini pernah dimiliki oleh Thomas Coke yang juga Earl of Leicester pertama pada 1717. Pengasas Microsoft, Bill Gates telah membeli buku ini pada 1994 pada harga AS$30.8 juta (RM92.4 juta) menjadikan ia buku paling mahal di dunia. Setiap tahun Bill Gates akan menayangkan buku ini di muzium yang berbeza untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat dan menilai buku ini.

2. Berlian Wittelsbach

Berlian biru seberat 35.56 karat telah dibeli pada harga AS$23.4 juta (RM70.2 juta) pada 2008 di London oleh seorang lelaki bernama Lawrence Graff. Berlian ini bukanlah paling besar di dunia tetapi tarikan utamanya adalah kejernihan dan kilauan warna birunya begitu memukau. Berlian ini dikatakan berasal dari kerajaan Golkonda di India namun berdasarkan perkembangan terbaru berlian ini telah dipotong kepada tiga bahagian menyebabkan ramai pengkaji sejarah kecewa kerana telah kehilangan keasliannya.

3. Gaun Marilyn Monroe

Gaun berwarna putih gading yang dipakai aktres Marilyn Monroe dalam filem The Seven Year Itch telah dijual pada harga AS$4.6 juta (RM13.8 juta) dalam satu acara lelongan kostum Hollywood. Gaun tersebut yang memaparkan aksi gaun terangkat ditiup angin merupakan rekaan William Travilla dan dikumpul sebelum dijual oleh Debbie Reynolds yang juga seorang pelakon veteran.

4. Painting No. 5

Lukisan bertajuk No. 5, yang dilukis pada 1948 oleh Jackson Pollock telah dinobatkan sebagai lukisan termahal dunia dalam satu acara lelongan pada 2006 dengan harga AS$140 juta (RM420 juta). Lukisan itu bersandarkan kepada teknik splattered paint dengan ukuran lapan kaki lebar dan empat kaki panjang hanya dilengkapi beberapa warna menjadikan ia kelihatan seperti sebuah sarang burung. Pemiliknya sekarang masih menjadi rahsia namun desas-desus mengatakan ia kini dimiliki David Martinez, yang memiliki syarikat Fintech Advisory Ltd.

5. The Walking Man

Arca termahal dunia yang diberi nama L'Homme qui marche I atau The Walking Man merupakan arca termahal dunia dengan harga 58 pound. Arca tersebut dicipta oleh Alberto Giacometti pada 1961. Arca bersaiz manusia ini mempunyai ukuran 183 sentimeter digelar sebagai 'imej rendah diri manusia biasa' telah dijual pada 2010 oleh syarikat lelongan Sotheby di London dan kini ia menjadi milik balu ahli perbankan ternama dari Lebanon, Lily Safra.

6. Badminton Cabinet

Mungkin agak pelik namanya namun ia merupakan almari termahal di dunia. Duke of Beaufort, Henry Scudam yang hidup dari 1707 hingga 1745 telah mengarahkan pembinaan almari ini ketika berusia 19 tahun. Almari ini diperbuat dari kayu ebony dan dilengkapi puluhan batu permata bernilai dan ia diperbuat di Florence, Itali. Almari ini merupakan antara karya paling dihargai di dunia dengan ketinggian 386 sentimeter dan lebar 232.5 sentimeter. Ia kini dimiliki oleh Hans-Adam II, yang juga Putera Raja Liechtenstein pada 2004 pada harga AS$35 (RM105 juta). Ia mendapat nama dari bangunan Badminton House di Gloucestershire, England.

7. 1936 Bugatti 57SC Atlantic

Kereta klasik keluaran 1936 telah mencatat sejarah sebagai kereta paling mahal di dunia. Kereta tersebut yang dimiliki oleh ahli keluarga mendiang Dr. Peter Williamson sebelum dijual kepada Muzium Automatif Mullin yang berpengkalan di Oxnard, California dalam satu lelongan melalui firma lelongan Gooding & Company. Sehingga kini hanya terdapat dua kereta jenis berkenaan, salah satunya dimiliki oleh pereka fesyen terkenal, Ralph Lauren. Harga sebenar penjualan kereta berkenaan tidak didedahkan. Namun menurut sumber kereta tersebut dijual pada harga antara AS$30 juta (RM96 juta) hingga AS$40 juta (RM 128 juta).

8. Eileen Gray Dragon Chair

Direka oleh seorang pereka Ireland, Eileen Gray yang turut diiktiraf sebagai antara pengasas gerakan moden dalam senibina. Kerusi ini pernah dimiliki oleh pereka terkenal Yves Saint Laurent

Namun pada 2009, dalam satu lelongan oleh rumah lelongan Christie di Paris, kerusi ini telah dilelong pada harga AS$28 juta (RM84 juta) menjadikannya kerusi termahal dunia.

9. 1794 American Silver Dollar

Duit syiling termahal dunia ini telah dijual pada harga AS$7.85 juta (RM23.5 juta). Duit syiling satu dolar ini merupakan antara yang paling sukar ditemui dan unik berbanding syiling lain kerana ia menampilkan gambar seorang lelaki berambut panjang. Duit syiling ini telah dibeli oleh The Cardinal Collection Educational Foundation of California dan ia telah dipamerkan di pelbagai muzium di seluruh dunia.

10. Ex-Vieuxtemps Violin

Alat muzik ini merupakan yang termahal di dunia dan direka oleh Giuseppe Guarneri yang juga pereka biola termasyhur dunia sebelum dibeli komposer Belgium, Henri Vieuxtemps. Pada 2008 biola ini telah dibeli oleh seorang peguam dan pemuzik Rusia, Maxim Viktorov pada harga AS $3.9 juta (RM11.7 juta).

11. Treskilling Yellow

Pada 1855 kerajaan Sweden telah melancarkan setem pertama yang hanya dikeluarkan sebanyak lima keping. Pada 1886 hanya satu setem ini ditemui menjadikan ia sebagai antara barang paling berharga di dunia. Setem ini telah banyak kali berpindah tangan dan pada 2010 ia telah dilelong pada harga yang tidak dinyatakan.

Pemiliknya kini hanya dinyatakan sebagai sebuah konsortium antarabangsa dan pemilik sebelumnya adalah sebuah syarikat kewangan yang berhadapan dengan masalah kewangan dan ia terpaksa dijual untuk melangsaikan hutang. Malah semua pembida dan mereka yang terlibat telah diarah untuk mengangkat sumpah bagi merahsiakan semua urusniaga yang berlaku.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Dulu obes kini pelari marathon

Posted:

Dulu obes kini pelari marathon

Dulu obes kini pelari marathon

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto RAHMAN SALLEH


Syahril percaya, tiada apa yang terlambat dalam hidup ini andai kita bersungguh untuk mendapatkannya.


MEMBESAR sebagai kanak-kanak montel dan remaja obes pastinya bersukan adalah perkara terakhir yang difikirkan oleh Syahril Nizam Kamarudin.

Beliau yang mesra dipanggil Syahril berkata, sebagai cucu manja yang dipelihara nenek sejak lahir, dia bebas melakukan apa sahaja tanpa ada yang melarang.

"Tiada siapa yang akan tegur atau marah jika saya makan dengan banyak, tidur hingga ke tengah hari dan tidak pernah bersukan. Lagi pun ketika itu saya fikir bersukan perlukan duit yang banyak untuk membeli kasut, pakaian dan sebagainya. Jadi saya tidak mahu menyusahkan nenek," kata lelaki berusia 36 tahun itu mengimbau kenangan masa silamnya.

Dengan gaya hidup yang sebegitu, tidak hairan ketika baru memasuki sekolah menengah beratnya sudah mencecah 110 kilogram.

Sikap itu terus dibawa Syahril sehingga berumah tangga. Mujur dengan ketinggian 6 kaki 2 inci membuatkan tubuhnya tidak kelihatan terlalu gemuk walaupun beratnya ketika itu sudah melebihi 120 kilogram.

Selepas memperoleh anak kedua manakala anak pertama pula sudah pandai minta ditemani ketika bermain, lelaki bergelar arkitek itu mula sedar dengan keadaan fizikalnya.

"Saya cepat rasa penat dan termengah walaupun hanya sekadar mengejar anak berlari. Oleh sebab itu saya rasa seperti perlu lakukan sesuatu bukan hanya untuk diri sendiri tapi untuk keluarga juga," katanya.

Lantaran itu Syahril bertekad untuk menguruskan badan dengan cara bersenam bukan melalui program yang ditawarkan di pusat kecantikan. Namun ada sahaja usikan nakal yang berkata dia sudah tua untuk melakukan perkara seperti itu (usianya 32 tahun ketika itu).

Tidak berpuas hati, Syahril akhirnya melantik seorang jurulatih peribadi dalam usaha menurunkan berat badan ke tahap yang ideal.

Berlari

Atas beberapa faktor, jurulatih menyarankan agar Syahril bermula dengan senaman paling mudah dan tidak berisiko seperti berjalan.

"Pada mulanya saya terfikir, saya mengupah jurulatih dan dia hanya minta saya berjalan. Bolehkah menurunkan berat?" soalnya.

Namun begitu beliau tetap mencubanya tanpa sebarang bantahan. Pada peringkat permulaan dia berjalan pada jarak dekat bersama jurulatih.

Semakin lama jarak itu ditambah dan jurulatih turut mengajar bagaimana untuk berjalan lebih laju atau lebih mudah dengan berlari secara perlahan.

Memang agak sukar kerana dia yang tidak pernah bersukan ketika zaman kanak-kanak dan remaja kini terpaksa berlari pula.

Selain berjalan kaki dan berlari, beliau juga diperkenalkan dengan diet bagi membantu menurunkan berat badan.

"Diet yang diberi sebenarnya bukan terlalu menyeksa seperti ramai sangkakan. Jika dulu saya makan tiga atau empat kali sehari, tapi kini menjadi lima hingga enam kali sehari. Syaratnya tiada nasi tapi lebihkan bijirin, sayur dan buah," katanya.

Walaupun begitu, setiap seminggu sekali iaitu pada hari Sabtu Syahril boleh menikmati apa sahaja hidangan yang dia mahu tanpa ada sekatan.

Selepas beberapa bulan mencuba, dia semakin rasa seronok dan bertenaga. Perkara itu berterusan selama dua tahun dan dia berjaya mendapatkan berat ideal iaitu 80 kilogram.

Sertai pertandingan

Selepas dua tahun berlari secara suka-suka, pada suatu hari jurulatih mengajak Syahril mencuba menyertai pertandingan larian berjarak 10 kilometer bersama-sama.

"Baru pertama kali mencuba saya terus jatuh cinta. Sebab bila berlari kita tidak lari sendirian apatah lagi jurulatih turut menemani ketika larian pertama saya," katanya.

Bermula dari situ, beliau pula yang akan mencari pertandingan larian sehingga ia menjadi rutin amalannya. Tahun lalu sahaja dia telah menyertai 10 acara dan yang terakhir adalah Standard Chartered KL Marathon 2011 yang berlangsung baru-baru ini. Walaupun tidak menang, namun katanya semangat dan keseronokan berlari beramai-ramai sukar diungkapkan.

Bagi Syahril, rutin hidupnya kini berubah hampir 100 peratus. Daripada seorang kanak-kanak dan remaja yang obes serta tidak pernah bersenam, kini larian antara perkara yang cuba dilakukannya walaupun bukan setiap hari.

Dia kini berasa lebih sihat dan bertenaga, malah lebih seronok kerana mampu melayan anak-anak bermain tanpa rasa penat atau lelah.

Syahril percaya, tiada apa yang terlambat dalam hidup ini andai kita bersungguh untuk mendapatkannya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved