Isnin, 11 Julai 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Telefon Blackberry milik mangsa

Posted:

Telefon Blackberry milik mangsa

Telefon Blackberry milik mangsa

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my


N. Pathmanabhan (depan), T. Thilaiyalagan, R. Kathavarayan dan R. Matan dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 11 Julai – Pelbagai barangan termasuk dua unit telefon bimbit Blackberry milik peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim dan pegawai bank, Noorhisham Mohamad yang dibunuh bersama Datuk Sosilawati Lawiya disahkan ditemui oleh pasukan penyelam di beberapa lokasi sekitar Banting antara 12 dan 25 September tahun lalu.

Koperal Merzuki Shahrim, 43, dari Pasukan Gerakan Marin Wilayah 1, Pulau Pinang memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahan bukti yang didakwa mempunyai kaitan dengan pembunuhan jutawan kosmetik itu seperti serpihan dipercayai tulang dan gigi, enam keping zink serta dua utas jam tangan turut ditemui.

Menurut saksi pendakwaan ke-22 itu, dia dan lima anggota penyelam menemui kesan-kesan seperti objek arang hitam dan terbakar di tebing Sungai Pancau serta dawai semasa membuat pencarian pada 3.35 petang, 12 September 2010.

''Setelah buat pencarian dengan menggunakan kaedah meraba di dasar sungai, kami berjaya menemui beberapa cebisan disyaki tulang yang telah hangus dan serpihan besi dengan kesan terbakar serta berkarat.

''Kami juga menemui beberapa bekas dawai, satu guni plastik tertulis Tapioca 50 kilogram, dua anak kunci dan sebilah pisau,'' katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.

Menurut saksi, pasukannya sekali lagi diarahkan membuat pencarian secara lebih teliti di Sungai Pancau dengan menggunakan kaedah mengayak lapisan dasar sungai sedalam 7.62 sentimeter (sm) hingga 12.7 sm.

Pencarian kali ini berjaya menemui beberapa serpihan dipercayai tulang, serpihan logam yang mempunyai kesan terbakar dan berkarat, beberapa batang disyaki gigi serta anak kunci.

Sementara pencarian di longkang besar berhampiran pintu kunci air Pasar Besar Banting pada pukul 7.15 malam hari yang sama pula berjaya menemukan dua telefon bimbit jenis Blackberry berwarna hitam dan putih pada kedalaman antara 0.6 meter hingga 0.9 meter.

''Saya bersama dua lagi anggota pasukan penyelam turun ke longkang dalam kedudukan berbaris dengan cara menunduk bergerak ke tebing seberang sana dan ulang semula sehingga meliputi kawasan yang diarahkan.

''Lebih kurang pukul 7.15 malam, saya berjaya menemui sebuah telefon bimbit jenis Blackberry berwarna putih. Sementara Lans Koperal Hazriman Ismail menemui telefon bimbit Blackberry berwarna hitam,'' jelasnya.

Menurut saksi, dia juga menemui seutas jam tangan Seiko Honda Racing Team berhampiran jambatan, Sungai Kanchong Laut, Kampung Endah pada pukul 5 petang, 13 September tahun lalu, manakala esoknya, jam jenama Bell & Ross dijumpai di dasar sungai yang sama.

Berikutan kedalaman sungai antara 1.52 meter hingga 1.83 meter serta air yang keruh, kata Merzuki, pasukannya menggunakan peralatan menyelam dengan membuat pencarian berpandukan tali yang direntang di dasar sungai tersebut.

''Pada mulanya saya guna alat pengesan logam, tetapi disebabkan dasar sungai penuh dengan sampah-sarap, alat tersebut asyik berbunyi dan menganggu pencarian pada 14 September 2010.

''Lebih kurang pukul 2.30 petang, Hazriman menemui seutas jam tangan jenis Bell & Ross semasa meraba di dasar sungai itu,'' jelasnya.

Menurut saksi, enam keping zink yang mempunyai kesan berkarat dan terbakar pula ditemui di sebatang sungai di tepi ladang kelapa sawit Jalan Kenangan, Kampung Kelanang pada pukul 5.30 petang hari yang sama.

Sementara pencarian di kawasan sekitar longkang di USJ 1, Subang Jaya pada pukul 7.30 malam, Hazriman berjaya menemui sejambak kunci yang bertulis BMW serta pemegang kunci bertulis Sytner.

''Selepas balik ke Pulau Pinang, kami sekali lagi diarah bersiap sedia untuk membuat pencarian dan pada 21 September 2010, saya menemui satu gelang warna keemasan di kunci air Sungai Lang.

''Pencarian dibuat sekali lagi di dalam longkang besar berhampiran pintu kunci air Pasar Besar Banting pada 25 September 2010 dan kali ini Sarjan Mohamed Yunus Abdul Samad menjumpai satu bateri telefon bimbit Blackberry,'' kata.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; Ahmad Kamil, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari keenam bersambung esok.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Saksi lihat darah di kepala mangsa berukuran sejengkal lebih

Posted:

Saksi lihat darah di kepala mangsa berukuran sejengkal lebih

Saksi lihat darah di kepala mangsa berukuran sejengkal lebih

KUALA LUMPUR 11 Julai - Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu bahawa dia melihat darah berukuran sejengkal lebih di bahagian kepala mayat Ahmad Sarbaini Mohamed ketika melihat tubuh mangsa dari tingkat tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan iaitu tempat lelaki itu dipercayai terjatuh.

Penolong Penguasa Henritta Serai Anak Andrew Lenggie, 24, merupakan individu pertama yang melihat tubuh Penolong Pengarah Kastam Selangor itu dalam keadaan tertiarap di gelanggang badminton aras 1, bangunan SPRM di Jalan Cochrane di sini pada hari kematiannya 6 April lalu.

Pada tarikh tersebut, mayat Ahmad Sarbaini ditemui di bangunan tersebut selepas pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 anggota Kastam.

Saksi ke-10 itu yang dipanggil semula memberi keterangan hari ini menyatakan demikian ketika disoal oleh peguam yang mewakili SPRM, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Koroner di sini.

Henritta turut ditunjukkan gambar badan mayat lelaki itu yang diambil oleh Penolong Pegawai Perubatan, Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Nor Mohd. Azami Mansor yang tiba dengan pasukan ambulans di tempat kejadian pada pukul 10.48 pagi, hari tersebut.

Henritta yang mendakwa tidak pernah melihat mana-mana gambar kejadian sebelum ini kelihatan tidak selesa dan ketakutan ketika mahkamah memaparkan enam keping gambar tubuh Ahmad Sarbaini yang tertiarap dengan kepalanya berlumuran darah.

Di galeri awam, isteri pegawai kastam itu, Masiah @ Maziah Manap dan anak perempuannya dilihat menangis teresak-esak sambil menutup mata masing-masing dengan buku.

Henritta seterusnya diminta menunjukkan tanda aras sejengkal lebih yang dimaksudkannya pada gambar yang dipaparkan di skrin putih itu dengan menggunakan penunjuk laser.

Gambar-gambar tersebut menunjukkan darah di kepala Ahmad Sarbaini yang mengalir dengan ukuran yang lebih panjang di atas lantai gelanggang badminton itu.

Kata Henritta, darah yang dilihatnya pada hari kejadian adalah jauh lebih sedikit berbanding di dalam gambar iaitu dalam ukuran sejengkal lebih jari manusia sahaja.

Sebelum itu, Muhammad Shafee menjelaskan kepada mahkamah, keterangan berkenaan penting dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Ahmad Sarbaini sebelum pakar patologi memberi keterangan, bagi mengetahui waktu kematian dan sama ada lelaki itu masih bernafas atau tidak ketika itu.

Menurutnya lagi, ketika Henritta hadir memberi keterangannya pada Jumaat lalu, kesemua pihak telah terlepas pandang mengenai soalan berkaitan darah itu.

Menurut Henritta, dia sendiri tidak ingat untuk menceritakan perihal itu kerana kejadian tersebut masih menjadi igauannya sehingga kini.

Terdahulu, Nor Mohd. Azmi memberitahu, dia mengambil enam keping gambar Ahmad Sarbaini selepas mendapati lelaki itu telah meninggal dunia berdasarkan pemeriksaan nadi di lehernya.

Dalam pemeriksaan tersebut juga, kata Nor Mohd. Azami, dia mendapati tangan kiri Ahmad Sarbaini bengkak dipercayai patah dan tulang paha sebelah kanannya juga patah.

Inkues di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani bersambung esok.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved