Selasa, 7 Jun 2011

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Suara keinsafan dari ‘jeriji besi’

Posted:

Suara keinsafan dari 'jeriji besi'

Suara keinsafan dari 'jeriji besi'

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my


Orang Diselia diajar berdikari untuk kembali menjadi insan berguna selepas dibebaskan kelak.


TAMPIN 6 Jun - Andainya 'jeriji besi' di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan Kem Syed Sirajuddin, Gemas boleh bercerita, maka kisah keinsafan Orang Diselia (ODS) pasti akan dikumpul menjadi naskhah agung.

Apa tidaknya, pertemuan selama dua jam dengan ODS di pusat berkenaan nyata menggambarkan kesedaran tinggi penghuninya untuk kembali menjadi insan bermaruah selepas dibebaskan kelak.

Kisah ODS seperti Dahama, 26; Krishnan, 25 dan Ah Chong, 38, yang mewakili lebih 300 penghuni pusat dalam kem berkenaan merupakan detik permulaan kehidupan baru apatah lagi kesemua mereka melakukan kesalahan lampau kerana desakan hidup.

Kata Dahama, dia menyesal kerana terbabit dalam jenayah samun berkumpulan kira-kira setahun yang lalu.

"Kalau detik itu boleh diundur semula, saya tidak mungkin melakukan perbuatan itu. Semuanya kerana terlalu ikutkan perasaan dan mahu mendapatkan wang lebih.

"Saya menyesal. Hari ini saya gembira kerana ditempatkan di pusat ini dan ia benar-benar merubah cara saya berfikir dan menghadapi kehidupan pada masa depan," katanya yang berasal dari Seremban.

Tambahnya, dia tidak lagi tertekan dan bebas daripada ejekan kawan dan masyarakat sekeliling.

"Masa saya di pusat ini dipenuhi dengan program pembangunan insan termasuk solat berjemaah dan kaunseling," katanya yang ditemui di Kem Syed Sirajuddin, Gemas dekat sini, baru-baru ini.


Dua penghuni Pusat Pemulihan Pemasyarakatan memberi makanan pada ikan ternakan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.


Dahama yang hampir menitiskan air mata berkata, terlalu banyak dosa yang dilakukannya dan memohon maaf kepada seluruh ahli keluarga dan orang yang dianiayainya.

"Di pusat ini, saya belajar menanam pokok cili, tahu tentang jenis baja dan sebagainya. Saya berazam apabila keluar kelak dapat menjadi seorang petani yang berjaya," katanya yang akan dibebaskan pada bulan Mei, 2012.

Rakannya, Krishnan memberitahu, orang akan tetap memandang hina banduan sepertinya.

"Kami banyak dosa dengan masyarakat di luar sana. Kita telah melakukan kesalahan dan memang wajar dihukum.

"Sukar untuk kami meyakinkan orang luar betapa kami sudah insaf dan kami perlu buktikan kepada mereka," katanya yang dijangka bebas kira-kira tiga bulan lagi.

Dia yang meringkuk dalam penjara sebelum ini kerana kesalahan dadah memberitahu, pusat ini adalah harapan baru untuk ODS sepertinya dalam merubah corak kehidupan.

"Makan, minum, duduk selesa dan dijaga dengan baik. Kerajaan telah melakukan apa sahaja untuk melihat bekas banduan seperti kami kembali menjadi manusia yang berguna," ujarnya.

Ah Chong pula berkata, dia telah keluar masuk penjara sebanyak 11 kali dan ini merupakan pengakhiran dalam siri jenayah dadah yang dilakukannya sejak sekian lama.

"Cukuplah, pusat ini memberikan saya banyak keinsafan dan kesedaran. Saya tidak mahu lagi menyakiti hati keluarga dan masyarakat di luar sana. Saya diajar memelihara ikan dalam kanvas dan kolam. Saya akan praktikkan apabila keluar kelak," katanya.

Menurut Dahama, Krishnan dan Ah Chong yang mewakili ODS di situ, pusat itu ibarat 'universiti banduan' dan yang diterima masuk juga merupakan mereka yang terpilih.

"Tentulah apabila berada di tempat yang baik, kami juga berazam untuk keluar sebagai 'graduan banduan' yang baik supaya dapat membayar jasa kerajaan dan berbakti kepada masyarakat," kata mereka.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

ODS dibantu berdikari

Posted:

ODS dibantu berdikari

ODS dibantu berdikari


ANGGOTA tentera serta warden penjara berkawal dan memantau aktiviti sebahagian penghuni Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.


TAMPIN 6 Jun - Sepotong ayat yang diucapkan Orang Diselia (ODS) di Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas dekat sini cukup menyentuh hati.

"Jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh duduk bersama mendengar rintihan banduan, mengapa masyarakat tidak boleh merapatkan kembali hubungan yang telah retak itu," rintih mereka.

Najib dalam kunjungan di pusat itu pada 28 Mei lalu berbual dengan enam ODS serta keluarga mereka dan kesemuanya menyatakan penghargaan terhadap usaha yang dilakukan kerajaan kepada mereka.

Ini kerana di pusat berkenaan, ODS menikmati kehidupan yang jauh lebih selesa dan menyeronokkan berbanding di penjara, malah dengan ilmu yang ditimba ada yang bercadang untuk menjadi petani moden apabila keluar kelak.

Usaha kerajaan melalui Strategi Lautan Biru menampakkan hasil positif yang impaknya bukan sahaja untuk ODS, malah keluarga, masyarakat dan negara.

Ketua Inspektor Penjara, Amran Abdullah yang ditemui Utusan Malaysia di pusat itu baru-baru ini memberitahu, faktor kemanusiaan diterapkan dalam program pemulihan itu.

"Kita mahu meningkatkan jati diri dan semangat berdikari di kalangan ODS supaya apabila bebas kelak, pemikiran mereka akan lebih fokus kepada ilmu berasaskan pertanian yang diterapkan di pusat ini.

"Penekanan terhadap kerja pertanian dan memelihara ikan diberi kepada ODS untuk memupuk minat mereka supaya tidak tercari-cari kerja apabila dibebaskan kelak," kata Amran yang juga pegawai penjaga pusat itu.

Menurutnya, pusat itu mempunyai keluasan 24.28 hektar dalam Kem Syed Sirajuddin dengan lapan blok ODS sahaja meliputi keluasan 2.02 hektar yang dikawal oleh anggota dan pegawai Jabatan Penjara.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Swasta perlu sokong zon larangan

Posted:

Swasta perlu sokong zon larangan

Swasta perlu sokong zon larangan

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 6 Jun - Kerajaan negeri memerlukan kerjasama dan sokongan pihak swasta dalam pelaksanaan kawasan larangan merokok bagi memastikan matlamat menjadikan Melaka bebas asap rokok menjelang 2013 tercapai.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sebagai permulaan, lima lokasi telah dikuatkuasakan sebagai Zon Bebas Rokok iaitu di sekitar kawasan bersejarah di bandar warisan dunia, Melaka Raya, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, pusat bandar Alor Gajah dan Jasin.

Bagaimanapun, menurutnya, hanya premis atau kawasan milik persendirian di kawasan tersebut dikecualikan daripada tindakan larangan berkenaan.

''Namun, 21 tempat larangan yang ditetapkan bebas asap rokok misalnya dalam semua bangunan dan kawasan awam dilarang sama sekali merokok," katanya berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Projek, Pembangunan Pekan Kecil, Kesihatan dan NGO negeri, Datuk Seet Har Cheow.

Melalui pelaksanaan Zon Bebas Rokok di lima lokasi tersebut, orang ramai yang didapati menghisap rokok di kawasan itu boleh dikenakan kompaun minimum RM300 atau maksimum RM5,000 berkuat kuasa 15 Jun ini.

Kata beliau, sepanjang tempoh tiga tahun menjelang 2013, pihaknya melalui Jabatan Kesihatan negeri sentiasa memperhebatkan usaha untuk mewartakan lebih banyak lagi kawasan sebagai Zon Bebas Rokok di negeri ini.

''Melalui pengisytiharan Zon Bebas Rokok itu, Melaka menjadi negeri pertama mewartakan lokasi tertentu sebagai kawasan bebas asap rokok bertujuan melindungi kesihatan orang ramai," katanya.

Katanya, pelaksanaan zon bebas asap rokok itu diharap dapat menarik lebih ramai pelancong ke Melaka yang inginkan udara yang segar tanpa asap rokok.

Antara tempat dalam kawasan warisan dunia yang dilabel sebagai Zon Bebas Rokok ialah sekitar Bukit St. Paul yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan, muzium, gereja, bangunan Stadthuys, Kota A'Farmosa dan pesisiran Sungai Melaka.

Ini termasuk kawasan perumahan dan komersial yang bersejarah serta bangunan keagamaan sepanjang Jalan Tun Tan Cheng Lock (Jalan Heren), Jalan Hang Jebat (Jonker Street), Jalan Tokong/Tukang Emas/Tukang Besi dan Jalan Kampung Pantai dan seluruh kawasan Jalan Merdeka.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved