Selasa, 14 Jun 2011

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Maksimumkan tempoh mandat

Posted:

Maksimumkan tempoh mandat

Maksimumkan tempoh mandat

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

KETIKA pakatan pembangkang tidak sabar-sabar mencetuskan polemik tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, menteri paling senior dalam Kabinet, Datuk Seri Dr. Rais Yatim merungkaikan satu isu yang dianggap beliau harus direnungkan bersama.

"Paling ketara adalah isu ekonomi, perut dan cari makan. Selagi BN berupaya mententeramkan tahap kenaikan harga barang, selama itu rakyat akan berpihak kepada BN.

"Tapi ini juga berkaitan kemampuan kerajaan untuk pastikan subsidi tertanggung dan boleh ditanggung hari ini iaitu RM20 bilion oleh kerajaan kita. Alhamdulilah, ada Petronas, kalau tidak, tentu agak membebankan," kata beliau.

Rais, 69, berada dalam kerajaan selama empat dekad dan bekerja di bawah lima Perdana Menteri dari era Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sehinggalah memegang portfolio Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ketika ini di bawah pentadbiran anak sulung Perdana Menteri kedua itu, Datuk Seri Najib.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di khutub khanah pejabat kementerian di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur kelmarin, Rais menyatakan: "Saya memang menerima hujah semua isu mempengaruhi undi tetapi perkara remeh tak membawa banyak perubahan sebab ia dialami dan disentuh oleh segelintir masyarakat sahaja.

"Tapi bila sampai ke tahap harga yang naik terus menerus di luar kawalan, maka ia takkan menguntungkan kerajaan. Jadi, mahu tak mahu daripada suri rumah ke peniaga, soal harga barang menjadi isu besar kepada mereka. Kita kena berusaha ke arah itu dengan menstabilkan harga dan tetapkan harga di tahap membantu rakyat," kata beliau.

Rais mengibaratkan PRU ke-13 sebagai penentu paling grafik dan jelas kepada masyarakat dan negara kerana buat pertama kali BN yang bertulang belakangkan UMNO hanya mempunyai tenaga majoriti mudah - tidak dengan majoriti dua pertiga.

Justeru, ia satu titik permulaan psikologi yang dipandang negatif oleh sesetengah pihak yang menentukan setakat mana orang Melayu dan bumiputera mengenal akan hak-hak dan kepentingan kaumnya lebih daripada rakan-rakannya dari kalangan kaum India dan Tionghua.

"Sebabnya ialah orang Melayu yang selama ini lebih ke depan dalam politik negara secara bersekutu pada masa ini sendiri berpecah dua dalam bahagian besar dan berpecah tiga apabila dikira UMNO, Pas dan PKR. Yang ketiga ialah penentuan kepemimpinan yang mampu menjadi pemimpin kuat kepada kaum-kaum.

"Semuanya ini diselia oleh Perdana Menteri, walaupun kita yakin beliau akan membawa kepada 'situasi menang-menang' tapi beliau kena dapatkan sokongan orang Melayu lebih daripada biasa. Dari situ pentingnya kita membuat ujian kepada persoalan bolehkah BN mendapat dua pertiga kerusi.

"Jika tahun ini dibuat PRU, maka sukar untuk kita mencapai dalam bentuk biasa yang memerlukan sedikit masa untuk Gagasan 1Malaysia bercambah. Percambahan itu memerlukan sentuhan hidup, yakni faedah kepada masyarakat," kata beliau.

Dan akhir sekali yang harus ditentukan ialah sama ada kontrak sosial yang wujud dalam Perlembagaan itu menjadi kekal ataupun tidak dalam beberapa situasi penentuan.

"Dengan semua inilah PRU Ke-13 sangat penting kepada orang Melayu dan bumiputera," kata Rais.

Rais percaya jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat dalam tahun ini, pakatan pembangkang yang menguasai Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Kedah pastinya tidak akan menyertai pilihan raya peringkat Pusat. Mereka memiliki hak sedemikian.

Maka dengan itu, ia satu faktor yang perlu difikirkan oleh BN kerana semasa PRU, pembangkang akan bebas membuat gerak kerja di luar dugaan.

"Jadi, jalan keluar paling praktikal ialah memaksimumkan tempoh PRU, jadi mereka tak ada pilihan, semua boleh keluar untuk berkempen. Dan tarikhnya ialah pada tahun 2013," kata beliau sambil menaruh keyakinan tinggi penguasaan kembali BN ke atas Kedah dan Selangor.

Mengulas satu persatu kedudukan parti-parti pembangkang dan kaum tertentu, Rais mempunyai pandangan berikut:

* PKR - Potensinya sudah berkecai dari sudut realiti. Struktur parti itu sendiri yang meliputi pucuk pimpinan atau orang paling berpengaruh seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, sahsiahnya 50:50. Walaupun dikatakan 'berkarisma' dan sebagainya tetapi perjuangan Anwar tampak kepada hala-hala yang dipersoalkan, justeru tidak membantu PKR.

Malah, PKR sudah hilang 15 pemimpin utama daripada Ahli Parlimen sehinggalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). PKR sebenarnya bersandarkan nasib kepada Pas dan DAP. Apabila Pas dan PKR bersatu, 55 peratus sokongan orang Melayu cenderung kepada UMNO dan selebihnya kepada Pas dan PKR. Namun data ini adalah rambang dan belum diuji lagi.

* Orang Tionghua - Kaum itu diyakini akan pulang ke kotak persahabatan untuk BN dan UMNO. Di Sarawak, mereka menjalankan politik bandaran dengan semua bandar besar 'disapu' oleh mereka. Kemungkinan itu berlaku di Semenanjung dan Sabah tetapi sebenarnya mereka belum diuji 10 peratus. Yang ada cuma di bandar-bandar besar tetapi belum teruji di kalangan orang Tionghua yang menetap di pekan kecil dan kawasan industri.

Berdasarkan senario yang dikemukakan oleh jabatan dasar dan penerangan dan rakan-rakan parti komponen BN, kira-kira 38 peratus lagi pendirian orang Tionghua belum diketahui.

* DAP - Parti itu sekarang sudah merasa keseronokon memerintah sebuah negeri. Pengalaman di Pulau Pinang perlu dilihat dari sudut praktikal dengan pentadbiran Lim Guan Eng mirip PAP di Singapura (DAP sendiri lahiran PAP). Ada 'tali pusat' sebenarnya antara PAP dan DAP yang difahami semua wujud tetapi tidak dapat dikira atau diukur di Malaysia. Apa yang berlaku di Pulau Pinang itu harus dilihat dari sudut BN melalui komitmen parti Gerakan atau MCA untuk merampas kembali negeri itu.

Cuma, kedudukan DAP agak kebal di negeri itu sehingga pentadbiran masjid pun hendak ditentukan mereka corak pentabirannya. Dan sayangnya, orang Melayu di Pulau Pinang tidak bangkit sama ada UMNO atau Pas. Kemuraman Gerakan dan MCA amat jelas berdasarkan maklum balas yang diterima oleh JASA.

* Pas - Dengan melepaskan konsep negara Islam, Pas menjurus kepada politik populis. Ia tidak lagi kepada ajaran ortodoks yang dahulu sinonim dengan Pas. Mungkin dengan cara ini, para pemimpin baru yang muncul di keliling Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh bebas memainkan kepentingan politik daripada agama.

Kemunculan pemimpin Pas di dalam topeng Islam itu semakin tertanggal. Jadi, yang untung ialah DAP. Parti chauvinis itu memperoleh 'dividen' daripada kemunculan 'Pas baru'. Soalnya, Pas tidak pernah menyatakan untuk memperjuangkan kepentingan Melayu seperti mana UMNO.

* UMNO - parti orang Melayu ini harus berubah seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri iaitu berubah dari dalam dengan memiliki peribadi yang luhur dan jangan angkuh. Diyakini jika ini dilakukan oleh kepimpinan UMNO di seluruh negara, UMNO akan menjadi lebih kukuh.

Menutup minum petang dengan Rais, menteri itu memberitahu penulis: "UMNO harus mengikis semua amalan negatif. Kita harus beri kepada Perdana Menteri ruang untuk membuat pasukan yang baru (pada PRU nanti). Jangan kecil hati jika ditinggalkan beberapa individu.

"Yang penting Jeneral Najib mampu kukuhkan based orang Melayu dan kemudian kukuhkan based tradisional orang Melayu lebih daripada orang lain."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pas 'berkorban' demi kuasa

Posted:

Pas 'berkorban' demi kuasa

Pas 'berkorban' demi kuasa

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

ADALAH sesuatu yang melucukan apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat ulasan kononnya UMNO tidak nyenyak tidur kerana bimbang terhadap Pas.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Barisan Nasional (BN) sudah lama melaksanakan negara berkebajikan.

Hakikatnya, Pas yang sebenarnya tidak nyenyak tidur memandangkan tindakan mengubah laluan bahtera politik mereka dari negara Islam ke negara berkebajikan mula mendapat kritikan ramai.

Kritikan itu bukan sahaja datang daripada penyokong UMNO dan BN malahan di dalam Pas sendiri sudah wujud perasaan tidak puas hati berikutan tindakan Pas yang kini dilihat sanggup mengorbankan segala-galanya demi mencari kuasa politik bersama sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Walaupun Nik Abdul Aziz cuba berhujah bahawa konsep negara berkebajikan adalah sebahagian intipati yang terdapat negara Islam tetapi semua itu boleh dianggap hujah politik sahaja atau lebih tepat lagi ke arah matlamat menghalalkan cara.

Pertemuan penulis dengan beberapa pemimpin muda Pas selepas Muktamar Tahunan Pas Ke-57 parti itu baru-baru ini telah memberikan pemahaman kepada penulis kenapa Pas terpaksa korbankan perjuangan negara Islamnya.

Berikut catatan daripada apa yang mereka ceritakan mengenai senario perubahan dasar politik Pas:

Pas yang sejak berpuluh-puluh tahun lalu mempertahankan perjuangan Islam akhirnya luntur semangat mereka semata-mata mahu mengejar tampuk kekuasaan.

Kejayaan agak cemerlang yang dicapai oleh pembangkang dalam pilihan raya umum lalu telah membangkitkan keghairahan Pas untuk terus bersama-sama PKR dan DAP untuk menumbangkan BN.

Tetapi untuk berada satu bahtera dengan kedua-dua parti itu bagi menuju ke Putrajaya, Pas tidak boleh berada di bahtera berasingan, mahu tidak mahu Pas perlu mengikut rentak PKR dan DAP.

Namun begitu yang menjadi halangan utama kepada Pas ialah dasar perjuangan Islamnya yang dikatakan menimbulkan perasaan tidak selesa terutamanya kepada DAP.

Jika Pas terus bertegas dengan dasar Islam maka selagi itulah pakatan pembangkang dilihat mempunyai ideologi berbeza dan tidak mungkin dapat bersatu kerana perbezaan berkenaan.

Justeru Pas berusaha menutup isu perbezaan ini dengan menukar arah tuju perjuangannya bagi membolehkan ia serasi dengan PKR dan DAP.

Pada mulanya Pas berusaha untuk mentarbiyahkan kedua-dua parti berkenaan supaya menerima dasar Islam yang mereka perjuangkan.

Namun kedua-dua parti itu enggan tunduk sehingga memaksa Pas mengalah kerana pilihan yang mereka ada ialah teruskan dasar perjuangan Islam atau tinggalkan pakatan pembangkang.

Pas amat memahami bahawa mereka tidaklah mempunyai kekuatan politik jika bersendirian tanpa sokongan PKR dan DAP.

Walaupun sejarah politik negara membuktikan bahawa Pas bukanlah calang-calang parti tetapi keyakinan itu semakin luntur akibat diresapi dengan keterujaan untuk menguasai Putrajaya.

Pas dipengaruhi oleh PKR dan DAP bahawa kononnya BN kini berada dalam keadaan 'nazak' dan gelombang perubahan yang dikatakan melanda negara-negara di Asia Barat akan turut 'menghempas' bumi Malaysia dalam pilihan raya umum akan datang.

Oleh itu Pas tidak mahu ketinggalan bahtera yang dikemudikan oleh DAP dan dinakhodakan PKR, maka mereka bersedia bersama-sama biarpun hanya menjadi penumpang di pelantar paling bawah atau lebih tepat lagi anak kapal yang hanya mengikut perintah sahaja.

Bagi Pas, soal kedudukan tidak penting, soal dasar perjuangan sudah tidak perlu difikirkan, apa yang lebih utama ialah menawan Putrajaya dan menumbangkan kerajaan BN.

Keghairahan Pas ini yang diibaratkan seperti kelompok yang begitu dahagakan kuasa telah diambil kesempatan oleh PKR dan DAP untuk menekan Pas supaya meninggalkan dasar perjuangan Islamnya.

Maka akhirnya wujudlah apa yang dipanggil konsep negara berkebajikan, satu konsep yang pernah dilaung-laungkan pada tahun 2008 tetapi langsung tidak dilaksanakan di negeri yang dikuasai oleh Pas sama ada di Kelantan mahupun Kedah.

Tindakan Pas meninggalkan perjuangan negara Islamnya telah memungkinkan parti itu dilihat sebagai kelompok yang paling tidak konsisten dalam perjuangan politiknya.

Malahan Pas kini dilihat parti yang paling rugi kerana terpaksa mengorbankan ideologi perjuangannya semata-mata tunduk kepada tekanan merebut kuasa yang diuar-uarkan oleh PKR dan DAP.

Ketika kedua-dua parti itu sejak 2008 terus konsisten dengan dasar mereka, Pas pula semakin bercelaru dan sudah tidak mempunyai hala tuju lagi, selain mengikut sahaja ke mana yang akan dibawa oleh PKR dan DAP.

Demikianlah catatan perbualan penulis dengan pemimpin-pemimpin muda Pas berkenaan yang jelas menampakkan kekecewaan mereka terhadap perubahan hala tuju bahtera perjuangan Pas.

Walaupun Pas sering menuding jari mengatakan bahtera UMNO semakin bocor dan akan tenggelam tetapi pada pandangan pemimpin-pemimpin muda berkenaan sekurang-kurangnya UMNO tidak menggadaikan prinsip perjuangannya demi mengejar kuasa.

''UMNO dominan dalam BN, malahan berbanding parti komponen lain UMNO jauh lebih kukuh dan sedang memperbaiki kelemahan berikutan apa yang berlaku pada pilihan raya umum lalu.

''Tetapi bagaimana dengan Pas? Pas tidak berbuat apa-apa selain terus teruja hendak merebut kuasa dan apa pun yang Pas rancang sekarang bukannya memperbaiki kelemahan parti tetapi semata-mata hendak nampak serasi dengan PKR dan DAP,'' kata salah seorang daripada pemimpin muda Pas berkenaan.

Sememangnya pemimpin-pemimpin Pas boleh berhujah apa sahaja bagi menghalalkan tindakan mereka menuju matlamat negara berkebajikan dan ia mungkin akan diterima oleh pengikut-pengikut tegar mereka.

Namun bagi rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu yang boleh berfikir dan membuat penilaian mereka sudah pasti mengetahui betapa hebatnya Pas berusaha untuk mengejar kuasa sehingga sanggup menggadaikan segala-galanya termasuk perjuangan Islamnya.

Apa yang lebih malang dalam keghairahan itu Pas terlupa bahawa mereka bukanlah parti utama di dalam pembangkang tetapi dulu, kini dan selamanya akan hanya menjadi pak turut kepada PKR dan DAP.

Berdasarkan hakikat itu kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa, ''Sekarang Pas sudah sampai titik sama dengan dengan UMNO. Kita akan potong dan lintas dia.'' - hanyalah impian semata-mata.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved