Selasa, 14 Jun 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Beli hartanah di bawah harga pasaran

Posted:

Beli hartanah di bawah harga pasaran

Beli hartanah di bawah harga pasaran

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 14 Jun - Dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini yang dijual oleh ahli perniagaan, Datuk Shamsuddin Hayroni kepada bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo dengan harga RM3.5 juta ditaksirkan bernilai RM5.55 juta mengikut harga pasaran pada tahun 2007.

Pengarah syarikat perunding aset Henry Butcher Malaysia, Long Tian Chek, 54, berkata, dua lot tanah ditaksirkan bernilai RM2.35 juta, manakala banglo yang dibina di atas salah satu lot itu pula bernilai RM3.2 juta.

Saksi pendakwa kelapan yang dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai penilai hartanah memberitahu, beliau membuat penilaian itu menggunakan kaedah perbandingan dengan beberapa maklumat yang diberikan oleh agensi tersebut.

Antaranya adalah laporan penilaian yang disediakan oleh Rahim & Co., pelan bangunan yang diluluskan pada 2007 serta rekod daripada Jabatan Pernilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi lot tanah kosong itu.

''Semasa membuat penilaian pada Ogos 2009, saya hanya memeriksa hartanah itu dari luar kerana kami tidak boleh membuat pemeriksaan dalaman apabila tidak dibenarkan masuk.

''Ia merupakan banglo dua tingkat yang dilengkapi dengan kolam renang, gazebo dan tempat kereta. Berdasarkan gambar-gambar rumah tersebut, saya anggarkan ia telah siap antara 50 dan 60 peratus,'' katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar.

Tian Chek yang berpengalaman selama 30 tahun sebagai penilai hartanah memberitahu, beliau turut membuat perbandingan dengan harga empat lot banglo di kawasan yang sama bagi mendapatkan nilai tersebut.

Jelasnya, harga dua lot tanah ditaksirkan bernilai RM45 satu kaki persegi selepas membuat perbandingan harga-harga tanah pada 2007 iaitu antara RM50 dan RM60 bagi setiap kaki persegi.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penilaian di Jabatan Penilaian Harta dan Tanah Selangor, Noor Faiza Shamsuddin pula menganggarkan satu lot kosong bernilai RM918,000, manakala satu lagi lot dengan banglo bernilai RM3.9 juta.

Beliau membuat penilaian itu berdasarkan dokumen perjanjian jual beli pada Mei 2007 tanpa mengambil kira kerja-kerja ubah suai yang sedang dijalankan ke atas banglo tersebut.

''Semasa membuat lawatan pemeriksaan bersama Datuk Shamsuddin, saya dapati rumah sedang diubah suai. Saya menemubual Shamsuddin dan menjadi amalan untuk bertanya mengapa beliau menjual pada harga yang rendah daripada harga pasaran.

''Shamsuddin memberitahu beliau ada masalah dan terpaksa menjualnya. Saya tidak bertanya lanjut apa masalah tersebut,'' jelasnya.

Menurut Noor Faiza, permohonan untuk menilai harga hartanah tersebut diterima daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tujuan cukai setem pada 2007.

Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zaharah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di alamat No. 8 & 10 Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 daripada Ditamas Sdn. Bhd. melalui Shamsuddin dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh syarikat itu pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung esok.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Inkues Ahmad Sarbani 4 hingga 15 Julai

Posted:

Inkues Ahmad Sarbani 4 hingga 15 Julai

Inkues Ahmad Sarbani 4 hingga 15 Julai

KUALA LUMPUR 14 Jun - Inkues untuk menyiasat kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, April lalu, ditetapkan pada 4 hingga 15 Julai ini.

Perbicaraan selama 10 hari itu akan didengar oleh Majistret Aizatul Akmal Maharani yang akan bertindak sebagai koroner sepanjang prosiding tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pegawai Polis Mahkamah, Asisten Supritendan R. Munusamy kepada pihak media melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.

Pada 3 Jun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret di sini untuk mengadakan inkues tersebut selain turut menyertakan laporan kematian mengejut (SDR) mengenai kejadian tersebut.

Sehari sebelum itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dilaporkan bersetuju dengan cadangan PDRM supaya satu inkues diadakan berhubung kematian Ahmad Sarbani.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dalam laporan terdahulu menyatakan, inkues itu perlu diwujudkan bagi menyiasat secara menyeluruh punca kematian Ahmad Sarbani.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini pada 6 April lalu, disebabkan kecederaan parah akibat jatuh dari tempat tinggi.

Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved