PERKEMBANGAN yang berlaku dalam negara sejak akhir-akhir ini cukup membimbangkan DATUK AIDIT GHAZALI. Timbalan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI) ini melihat seakan-akan ada agenda jahat untuk merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama menerusi isu-isu sensitif yang sengaja dibangkitkan oleh pihak tertentu.
Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor ini menegaskan kelahiran JATI mungkin tanpa dirancang namun pertubuhan itu cukup jelas dengan perjuangan untuk memartabat kebenaran dan melindungi agama Islam, hak umat di Malaysia dan institusi raja sebagai payung dan pelindung agama Islam daripada digugat dan dicabar.
Dalam konteks isu kalimah Allah dan rampasan Bible bahasa Melayu dan Iban yang menggunakan kalimah suci itu, apa pendirian JATI?
AIDIT: JATI lahir untuk saling melengkap usaha-usaha sedia ada dalam membanteras bahaya-bahaya tindakan menggugat martabat Islam, mencabar hak-hak umat Islam dan Raja Melayu.
Isu berkaitan salah guna kalimah Allah oleh pihak Kristian dan banyak lagi isu lain telah JATI tangani selama dua tahun kebelakangan ini dan menjadi fokus kita.
Apabila JATI bersuara, kami berpegang pada al-Quran, sunah, ijmak ulama, segala pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Perlembagaan Persekutuan, hak Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam, pengakuran pada fatwa-fatwa, keputusan mahkamah dan hakikat yang tidak boleh disangkal, iaitu bumi Malaysia ini adalah Tanah Melayu dan Malaysia adalah sebuah negara Islam.
Justeru, pendirian JATI terhadap isu kalimah Allah dan rampasan bible juga bersandarkan pada teras-teras ini.
Terdapat semacam kecelaruan sesetengah pihak tentang ketegasan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas bible menggunakan kalimah Allah itu. Apa puncanya?
Kecelaruan yang dikatakan itu bergantung pada siapa yang dikatakan bercelaru? Bagi saya, pihak gereja dan golongan Kristian yang terlibat bukan celaru tetapi sengaja tidak mahu terima hakikat dan kebenaran yang terkandung dalam teras-teras yang saya sebutkan awal tadi. Sudah terang lagi bersuluh, seolah-olah ada suatu agenda yang tersirat dan yang tidak bersifat mulia terhadap Islam, umatnya dan kedaulatan negara?
Mereka menimbulkan tentang Perkara 10 yang ditandatangani oleh Perdana Menteri tetapi Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa jika ada enakmen, maka enakmen mengatasi Perkara 10 ini. Mereka menimbulkan penghakiman oleh Mahkamah Tinggi tetapi tidak mengutamakan penghakiman Mahkamah Rayuan. Mereka hendak menggunakan hujah hak asasi tetapi mengapa guna takrifan hak asasi negara-negara lain sedangkan mereka ialah rakyat Malaysia? Banyak lagi kontradiksi dan paradoks yang mereka lakukan sehinggakan sangat kelihatan naïf dan jelas menunjukkan kedegilan yang bakal mengundang kemudaratan dalam negara kita.
Apakah pihak-pihak parti politik pembangkang dan sebahagian parti komponen Barisan Nasional celaru?
Pada saya tidak. Tetapi yang malangnya apabila mereka lebih mementingkan kelebihan politik kepartian dan parakiolisme daripada hendak menegakkan tonggak-tonggak negara dan kemaslahatan awam.
Apakah rakyat celaru? Di sini kita kena kaji apa sebab utama mereka boleh jadi begitu? Mungkin kualiti maklumat serta kaedah menyampaikan maklumat perlu diperbaiki. Apakah kerana wujud para pemimpin yang tidak mencerminkan sifat-sifat mithali sehingga masyarakat sangsi dengan kewibawaan mereka apabila berhujah? Apakah sistem pendidikan kita masih gagal melahirkan masyarakat yang bukan sekadar celik akal tetapi juga celik iman dan celik akhlak? Apakah sebab mereka yang ada kuasa bertindak tetapi tidak kuasa hendak bertindak sehinggakan undang-undang ibarat gajah putih?
KEPARTIAN
Justeru, sekiranya kewibawaan pihak-pihak yang memimpin dipersoalkan, saya tidak hairan kerana pada saya, mereka sendiri yang menjemput keadaan ini berlaku ke atas mereka. Ketika ini, masih banyak lagi pihak seperti NGO Islam dan Melayu, tokoh wibawa, para ulama yang tidak buta dengan politik kepartian sempit dan pelbagai pihak lagi yang sudi menghulur kudrat untuk menangani kemelut ini. Tetapi setakat mana pihak-pihak berkuasa sudi memberi tempat yang bermakna dan berkesan untuk mereka, masih boleh dipersoalkan.
Yang saya perhatikan masih lagi wujud sindrom lena dan sikap zon selesa sehinggakan kesegeraan yang sepatutnya ditunjukkan oleh pihak-pihak berkuasa lembab dibuktikan.
Apa yang mendorong kelompok evangelis Kristian ini mencabar Perlembagaan, enakmen yang berkaitan dengannya dan kuasa Raja Melayu sebagai ketua agama?
Saya yakin bahawa puak-puak yang tidak bertanggung jawab ini tidak akan berani bertindak tanpa ada kuasa-kuasa lain yang memberi mereka sokongan, dorongan dan kekuatan. Selain badan-badan, tokoh-tokoh serta parti-parti politik dalam negara yang sefikrah dengan mereka, saya yakin juga bahawa wujud tangan-tangan ghaib dan kuasa-kuasa terselindung di luar negara yang bersekongkol dengan puak-puak ini. Keadaan menjadi semakin musykil dan penuh kesangsian apabila ramai rakan saya yang beragama Kristian tidak bersetuju dengan kedegilan rakan-rakan seagama mereka ini.
Malah, jika kita kaji pelbagai hakikat yang wujud dalam dunia penganut Kristian, kita dapati bahawa wujud pelbagai percanggahan ketara, hatta yang melibatkan soal prinsip dalam kepercayaan kumpulan Kristian masing-masing. Malah, berlaku banyak kes salah laku moral yang melibatkan para paderi mereka, sebagaimana dilaporkan oleh agensi-agensi media antarabangsa.
Dalam dunia di mana kecanggihan ICT berada di tahap tinggi, berita-berita aib ini tidak boleh disembunyi lagi, ibarat pekung agenda dan salah laku sebahagian daripada mereka ini tidak mampu dihalang daripada pengetahuan umum.
Tetapi, selagi umat dan para pemimpin Islam sendiri tidak tegas dan ikhlas dalam mempertahankan hak-hak kita, maka selagi itulah puak-puak ini masih kuat bukan sebab mereka layak dipanggil kuat, tetapi kita menyajikan kepada mereka kekuatan akibat kelemahan kita sendiri.
Apakah kerajaan yang ada di Selangor mampu mempertahankan kewibawaan umat Melayu, kedudukan agama Islam dan peranan Sultan sebagai Ketua Agama?
Saya masih mencari-cari bukti kukuh untuk katakan bahawa mereka serius dalam hal ini. Tetapi setakat ini, saya belum jumpa bukti itu walaupun sudah dua pilihan raya umum (PRU) menyaksikan pakatan pembangkang menang di Selangor.
Bagaimana saya nak cari bukti jika dalam kedua-dua kes yang melibatkan JAIS iaitu Damansara Utama Methodist Church (DUMC) dan Persatuan Bible Malaysia ini menyaksikan pimpinan Muslim dalam kerajaan negeri seolah-olah membela puak Kristian sedangkan sepatutnya memberi jawapan adil dari segi memberi ruang kepada JAIS untuk memajukan maklumat yang lebih terperinci?
Bagaimana saya nak ada keyakinan jika saya saksikan ketara sikap mengalah pada DAP manakala wakil-wakil Pas terus lesu dalam mempertahankan Islam?
Tetapi JATI tidak mahu mengira-ngira jumlah kontradiksi sebab itu yang pihak musuh hendak. Mereka hendak kita sibuk tangani isu sehinggakan kita tidak cukup masa dalam membuat rancangan rapi untuk maju ke hadapan.
Justeru, JATI akan bersinergi dengan pelbagai rakan pintar dalam memperkasakan khazanah maklumat kerana tanpa maklumat yang tepat serta berkesan, kita nanti sekadar bertindak dalam kegelapan.
Apakah krisis politik yang sedang terjadi di Selangor bersifat ideologikal atau pancaran daripada kepentingan peribadi dan kelompok?
Pada saya, krisis politik yang berlaku ini adalah petanda jelas bahawa retak bakal menjadi belah. Faktor-faktor yang akan mempengaruhi momentum menjadi belah ini banyak tetapi yang utama adalah sifat kemaruk kuasa, taksub pengikut kepada tokoh sanjungan mereka, kedegilan sebahagian masyarakat untuk mengaku bahawa mereka telah salah pilih pemimpin, kegigihan NGO Islam dan Melayu untuk bertindak dengan lebih rapi lagi, pendedahan pelbagai cerita dalaman yang tak mampu disembunyikan lagi serta keinsafan sebahagian pimpinan UMNO yang ikhlas hendak melakukan transformasi pemerkasaan visi dan misi.
Realiti politik dalam negara kita adalah seperti bongkah ais. Kita hanya tahu 20% yang berlaku tetapi yang berlaku belakang tabir, secara rahsia, melalui lakonan serta drama politik adalah 80%. Masyarakat semakin celik dalam merasai kehadiran 80% ini walaupun tidak ramai yang mahir membacanya.
Tentu sekali ini akan merugikan Islam, umatnya dan masa depan generasi kita apabila ada pihak yang boleh tersenyum dengan kekaburan serta kecelaruan yang dicipta sehinggakan bakal pengundi muda pada PRU-14 nanti akan membuat pertimbangan berdasarkan bacaan yang salah.
Kembalilah kepada pepatah, "berani kerana benar dan takut kerana salah. Jangan kita lebih indah khabar daripada rupa. Bila buat kerja, elakkan sekadar melepaskan batuk di tangga. Jika hendak bertindak, ukur baju pada badan sendiri supaya kita tidak lebih sudu daripada kuah."